Monday, August 30, 2010

ManA mIliK kiTa...







Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

P / S : tidak perlu kita berasa sombong kerana apa yang kita ada semuanya milik Allah . Marilah menjadi hamba Allah yang bersyukur dan redha dengan ketentuannya .

Friday, August 27, 2010

BerMula SeBuah keHidupAn...


Salam buat semua rakan-rakan yang berada di atas muka bumi Allah.mudah-mudahan kita keluar dari kolej ramadhan dengan mendapat ijazah taqwa.
Amma ba’d.

Ketentuan Ilahi
Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran saya lafazkan kepada Allah kerana telah memberi peluang dan keizinan untuk saya terus merantau di bumi Nya. Allah telah membawa saya ke bumi Rochester, sebuah Bandar yang aman di negeri New York. Allah berfirman:

“Boleh jadi kamu mebenci sesuatu,padahal perkara itu baik bagi kamu dan boleh jadi kamu meyukai sesuatu perkara padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah menegtahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (2:216)

Pada asalnya, tidak ada fikiran saya untuk menyambung di Rochester Institute of Technology (RIT) namun Allah lebih mengetahui. Saya begitu bersemangat untuk pergi ke Michigan State University (MSU). Dek kerana tawaran MSU datang lebih lambat berbanding RIT, hati saya telah tawar untuk ke MSU. Saya mendapati RIT sesuai dengan jiwa saya memandangkan ia terletak di kawasan kampong dan tidak sesak dan sibuk dengan kenderaan. Alhamdulillah….

Perjalanan Yang Panjang
Perjalanan yang panjang bermula di KLIA. Flight  ke Los Angeles International Airport (LAIA) bermula pada 25/8/2010 tepat pukul 3.15 petang. Selepas 4 jam perjalanan,flight  berhenti di Tao Yuan International Airport, Taipei. Airport di Taiwan tidaklah sehebat airport di KLIA. Selepas 1 jam 30 minit, perjalanan diteruskan ke LAIA selama 12 jam 10 minit. Dalam pesawat MAS tersebut, pelbagai makanan dan minuman sedap disediakan.

“Sir, do you want beer?

Soal peramugari melayu muslim kepada penumpang berbangsa asing.inilah perkara yang saya amat kesali. Setibanya di LAIA, saya tidak menghadapi masalah untuk melepasi kastam di Amerika namun beberapa orang rakan saya ditahan selama 3 jam di LAIA tanpa diketahui sebabnya. Pukul 11.30 malam waktu LA, saya dan rakan-rakan yang lain meneruskan perjalanan ke Detroit menaiki Delta Airlines dan perjalanan ini mengambil masa selama 3 jam 15 minit. Tepat pukul 6.15 pagi, kami tiba di Detroit Airport; sebuah airport yang cantik dan sangat kemas. Sekali lagi saya dan rakan yang lain menukar flight yang lain untuk ke Rochester Airport dan masa perjalanan ini mengambil masa 1 jam 10 minit. Tepat pukul 9.30 pagi waktu Rochester, saya selamat sampai di bumi Rochester. Alhamdulillah

Anti Sampah
“ Kamu sebagai ketua murid ada kuasa mutlak untuk menyuruh mana-mana murid untuk kutip sampah di kawasan sekolah kita” pesan guru disiplin sekolah rendah kepada saya lapan tahun yang lepas. Tarbiah ini melekat di hati saya. Di sini, sampah tidak kelihatan di jalan-jalan raya dan perkara ini sangat menenangkan saya. Sesiapa yang pernah sebilik dengan saya tahu fiil saya yang anti sampah. Rochester Bandar yang tenang dan bersih tanpa sampah. Alhamdulillah..
                                                       Park Point Drive; rumah saya dari luar
Diperli Atau Memang Hensem
Kelmarin, bagi menghilangkan jet lag, saya berjalan keluar bersama Akmal, Ainuddin, dan Leh Ming. Ketika berjalan di sekitar Park Point Drive, rumah kediaman saya, 4 orang minah saleh menaiki sebuah kereta dan membunyikan hon kepada kami sambil tersengih-sengih malu. Sama ada, mereka memerli kami kaum lelaki yang berjalan sedangkan mereka menaiki kereta ataupun kami memang hensem. Wallahualam…
                                Rumah senior yang saya tumpangi di Rustic Village
Setakat ini sahaja dahulu coretan untuk kali ini.

Thursday, August 26, 2010

AlhamdUliLlah....

Alhamdulillah, saya selamat sampai di bumi Rochester..Sekarang ini saya menetap di rumah senior..
                                               ini rumah saya di rochester.

Monday, August 23, 2010

AkU guSAr..

Salam buat semua muslimin dan muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah sehingga ke akhir hayat.
Amma ba’d.

Hari ini, terdetik di hati saya untuk membeli akhbar metro. Sebelum ini, hanya berita harian yang dibeli selain akhbar alternatif tetapi akhbar metro pada 23/8/2010 ini betul-betul menyentap jantung saya. Headline pada hari ini adalah “Gadis Sunti Bermukah”. Bayangkan gadis yang masih mentah berumur 12 tahun  sudah berani bermukah dengan dua lelaki yang seorang berumur 20 tahun dan seorang lagi berumur 23 tahun. Ia lebih mengejutkan kerana ia berlaku di bulan ramadhan dan semasa waktu persekolahan. Kejadian ini berlaku di Kulim, Kedah (klik di sini untuk berita penuh).

Apabila membaca berita ini, pelbagai persoalan timbul di benak fikiran saya. Apakah dia tidak ke sekolah? Di mana ibu bapanya ketika masa kejadian? Apakah penyebab dia begitu berani melakukan perbuatan terkutuk itu di bulan Ramadhan yang mulia ini? Tidakkah dia memikirkan masa depannya?

Perkara ini berlaku di Kulim; sebuah bandar teknologi tinggi dan bangunan di pekan Kulim tidaklah sekompleks dan sehebat bangunan-bangunan di kota metropolitan Kuala Lumpur. Timbul lagi persoalan, jika di Kulim perkara sebegini boleh berlaku, apakah jaminan perkara ini tidak berlaku di Bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown, dan Johor Bahru?

Membaca berita ini menyebabkan saya bimbang dan gusar apabila memikirkan 15 ke 20 tahun akan datang. Insha Allah, pada masa itu saya juga bakal mempunyai anak-anak yang berumur dalam linkungan belasan tahun. Hati jahat saya mengatakan, gadis ini tidak dididik dengan didikan agama yang sempurna. Namun hakikatnya, hanya Allah yang tahu.

Berita ini sepatutnya membuka minda kita agar dilakukan sesuatu kepada sistem pendidikan di negara kita. Saya sendiri tidak pasti bagaimana kita harus meminda sistem pendidikan yang sedia ada tetapi saya yakin bahawa sistem pendidikan kita mempunyai kekurangan. Hari ini, kita terlalu menjadi examination oriented. Kesannya, ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen dan memaksa anak mereka untuk belajar supaya mendapat bilangan A yang maksimum. Ibu bapa harus sedar, perbuatan ini menyebabkan anak-anak memberontak dan tanpa mereka sedar, anak-anak akan melakukan sesuatu di luar jangkaan seperti yang dilakukan gadis ini. 

Selain itu, pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah tidak menyeluruh. Hanya sebahagian tertentu sahaja yang diajar sedangkan perbincangan dalam Islam mencakupi seluruh kehidupan. Saya  juga tidak nampak usaha-usaha yang bersungguh dalam menimbulkan pembudayaan ilmu di negara kita. Kita boleh dapati di stesen –stesen bas, kreta api, teksi dan sebagainya masyarakat menunggu kaku tanpa buku di tangan. Kalau ada pun, ianya novel picisan, majalah hiburan yang melalaikan dan komik yang langsung tidak membentuk budaya berfikir. Sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu memandangkan kes-kes seksual di kalangan remaja seawal 12 tahun sudah berleluasa.

Dalam setiap kali solat, saya sentiasa memohon kepada Allah agar mengurniakan isteri yang solehah yang dapat bersama-sama saya di masa hadapan agar dapat mendidik anak-anak saya menjadi insan soleh solehah. 

Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatuna min qurrata a'yun waja'lna lil muttaqina imaama.

Sunday, August 22, 2010

HilAnG FokUS..

   Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Rabbul I’zzati kerana telah menyampaikan kita ke dalam fasa maghfirah dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Fasa rahmat telah dua hari berlalu sekaligus menyaksikan bahawa masa berjalan begitu pantas sehingga terkadang kita tidak menyedarinya. Beruntunglah bagi yang sentiasa beringat.

   Dalam bulan ramadhan yang mulia ini, hendaklah kita mempertingkatkan amal Ibadah sebanyak mungkin kerana pahala yang dikurniakan Allah berlipat kali ganda Allah kurniakan. Dalam bulan mulia ini, saya telah mengambil langkah untuk deactivate facebook bagi tujuan ihya’  ramadhan. Namun, dua tiga hari ini, saya hilang fokus atau dalam erti kata lain saya hilang khusyuk dalam solat terutama solat tarawih. Punca utama berlakunya keadaan ini disebabkan saya terlalu memikirkan tentang hari rabu ini. Bukanlah bermaksud sebelum ini, solat saya sememangnya khusyuk tetapi sejak dua tiga hari ini saya kurang fokus dalam sembahyang berbanding solat tarawih sebelum ini. Sesungguhnya kita manusia terlalu disibukkan (baca: menyibukkan diri) dengan urusan duniawi.

   “Yun, nanti kalau dah kahwin aku nak pesan kat isteri aku. Kalau nak buat kuih ke, nak beli baju raya ke, buat di bulan sya’ban. Zaman rasulullah SAW, para sahabat pulun (bersungguh-sungguh) melakukan amal ibadah tapi hari ini kita sibuk dengan nak cari baju raya la, buat kuih la, pergi pekan la..macam-macam” kata seorang sahabat saya.

“cari baju raya awal-awal tak best sebab baju fashion tahun lepas punya. Satu lagi, tak banyak offer sangat.haha” saya berceloteh.

  Apa yang saya nak ceritakan disini adalah, memang benarlah kata sahabat saya itu. Orang sekarang lebih mengimarahkan syawal berbanding Ramadhan walhal ramadhan terdapat pelbagai rahmat, berkat, serta terdapat padanya malam al qadar. Ramadhan juga menyaksikan bahawa umat Islam menang dalam peperangan badar al kubra. Ramadhan juga menyaksikan, al quran diturunkan pada malam 17 ramadhan dan dalam ramadhan juga, pahala dilipat gandakan. Jadi, orang yang menyia-nyiakan ramadhan bolehlah dikatakan kurang bijak atau dalam bahasa kasarnya bodoh. Sepuluh malam ramadhan terakhir sepatutnya ditingkatkan amal ibadah kerana kita tidak pasti lagi sama ada kita akan bertemu ramadhan akan datang ataupun tidak. Oleh itu, hargailah ramadhan yang sedang mendatangi kita dengan bersolat jemaah setiap waktu di masjid, bertadarus, bertarawih, bersedekah, dan melakukan amal-amal kebajikan yang lain.

Saya menyeru diri saya dan saudara-saudara sekalian supaya marilah kita ubah cara fikir kita dan melakukan anjakan paradigma dalam ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Friday, August 20, 2010

Ini ReaLitI...

Saya tidak berniat untuk menulis panjang kerana ada orang sudah menulis tentang cerita ini dengan panjang lebar. Nak Tahu? klik di sini 



Fasa Rahmat akan berakhir. Fasa Maghfirah bakal menyusul.

Thursday, August 19, 2010

TaHniAh!!!!....

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar A Level INTEC yang telah memperolehi keputusan peperiksaan dengan cemerlang. Sesungguhnya usaha anda semua selama dua tahun telah membuahkan hasil.Semoga kejayaan ini menaikkan lagi semangat anda semua untuk melanjutkan pelajaran ke Ireland dan India (ALM), United Kingdom (ALUK), dan Jerman (ALG). Adalah diharapkan kejayaan anda diiringi dengan kesyukuran kepada ilahi.

Khas: Kepada Rafi Md Yusop , sekalung tahniah kepada anda atas keputusan yang cemerlang. Allah tidak pernah mensia-siakan doa hamba Nya yang ikhlas. Semoga terus berjuang di University College of Dublin (UCD)

Monday, August 16, 2010

Dan aPaBiLa meRekA BerPesaN.....

 Mak Cik Gayah (jiran): "Nanti jangan bawak balik minah saleh pulak.orang melayu kita ramai lagi"

Mak Lang: "Dok sana cuti jangan balik.Pi jalan-jalan.Jangan tinggal sembahyang sebab tu ja benteng kita"

Cikgu Zabaruddin: "Belajaq kat sana elok-elok. Kalau nak cari jodoh, carila yang melayu kat sana."

Emak :"Hang dok sana tak payah balik tak pa.Hang pi la jalan-jalan mana hang nak pi. Kalau ada duit, tahun depan pi Mekah buat umrah dulu .nanti tak kalut dah"

Rasulullah SAW: “Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman hingga kamu saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan kamu  satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu!”(HR. Muslim)

Allah : Tidakkah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada." (Surah al-Hajj, ayat 46)

Sunday, August 15, 2010

LeBai dan sOngkOk...

Salam ramadhan buat semua muslimin dan muslimat, semoga kita terus meningkatkan amal ibadah dalam bulan yang mulia ini.
amma ba’d.


Semakin hari kita mendapati bahawa gejala pembuangan bayi, rasuah, seks bebas dan pecah amanah semakin menjadi-jadi di negara kita. Gejala ini merebak bagaikan barah tahap keempat; seolah-olah tidak boleh dikawal lagi. Apakah tidak ada penyelesaian dalam hal ini? Apakah manusia tidak tahu bahawa api neraka itu sangat panas? Bagi menjawab persoalan-persoalan ini kita harus tahu apa punca sebenar yang membawa kepada pemasalahan di atas.

Presenting Problem  VS  Real Problem
Gejala-gejala yang saya sebutkan di atas adalah presenting problem ataupun pemasalahan yang zahir (baca: pemasalahan yang wujud disebabkan sesuatu perkara). Semua gejala tersebut berlaku disebabkan adanya real problem ataupun pemasalahan pokok. Kebanyakan masyarakat hari ini, tidak kenal lagi halal dan haram. Apa yang penting bagi dirinya adalah wang, harta, pangkat, dan projek. Pemasalahan pokok bagi semua gejala yang negatif ini adalah disebabkan masyarakat hari ini menjauhkan (baca:dijauhkan) diri daripada al quran dan as sunnah.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu mengikutinya. Al quran dan sunnahku.” (Bukhari)
Segala suruhan Allah dalam al quran tidak dihiraukan lagi. Semua sunnah nabi tidak lagi diamalkan. Apabila dua panduan ini ditinggalkan atau diamalkan secara separuh-separuh, maka kepincangan dalam masyarakat berlaku tanpa dapat dibendung. Manusia hidup tidak lagi bertuhankan Allah tetapi mereka menyembah nafsu ammarah yang senantiasa menghasut kearah kejahatan. Persoalan sembahyang pada hari ini tidak lagi dititik beratkan, puasa tidak lagi ditunaikan, zakat dianggap membebankan, dan haji dianggap menyusahkan. Lupakah kita bahawa semua yang kita ada adalah pinjaman yang akan dipersoalkan di yaumul hashr

Firman Allah dalam al quran : “sesungguhnya solat itu dapat mencegah kamu daripda perbuatan keji dan mungkar” (29:45).
Kerana tidak bersolat, kita dapat melihat hari ini masyarakat melakukan dosa dan maksiat secara terang-terangan. Pemimpin terpalit dengan rasuahnya, orang kaya sentiasa menindas yang miskin, para ulama’ bagaikan syaitan bisu dan orang miskin pula tidak sudah-sudah merungut akan nasib diri. Apakah sudah tidak ada ruang untuk mengubah keadaan ini?

Politik Kepartian
“Eh mat, hari ni kenduri rumah Seman kat Taman Batu Dua. Dia panggil kita semua pergi makan kenduri”

“Kau je lah yang pergi Mail. Kau tau kan aku ni berdarah ‘biru’. Tak nak lah aku pergi rumah orang berdarah ‘hijau’. Diorang ni cakap je lebih,buatnya tidak pun.”

Begitulah situasi keadaan sesetengah daripada kita. Jika kenduri orang BN, orang PAS tidak pergi dan jika kenduri orang PAS, orang BN tidak pergi. Inilah politik sempit yang diamalkan oleh masyarakat hari ini. Kadang-kadang perkara-perkara remeh pun hendak dipolitikkan.

“Tiang elektrik kat hujung kampong kita tumbang semalam”
“Ni mesti kerja ‘puak-puak’ tu semalam. Diorang pasang kat tiang tu banyak sangat bendera dan banner”

Boleh tak jika dalam hal-hal kemasyarakatan kita mengenepikan perbezaan fahaman politik? Disebalik perbezaan marilah kita mencari titik persamaan. Orang memakai lebai dilabel PAS manakala orang memakai songkok dilabel sebagai UMNO. Kenapa perlu mempolitikkan pemakaian songkok atau lebai?Bukankah orang islam dalam PAS dan UMNO adalah bersaudara. Rasulullah SAW bersabda “setiap muslim itu bersaudara. Tidak boleh menzaliminya, tidak boleh membiarkannya, tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh mendustainya. Taqwa disini (Rasulullah SAW mengisyaratkan di dadanya).(Muslim)

Marilah kita semua tinggalkan fahaman politik sempit (politik kepartian) yang menuju ke jurang binasa. Politik yang baik adalah, kita duduk berbincang bagaimana harus kita majukan ekonomi ummah dan negara, siapa yang harus memimpin negara kita, bagaimana ingin mendaulatkan perundangan Islam dan bagaimana ingin kita mencapai perpaduan antara kaum. Perkara ini yang sepatutnya menjadi titik persamaan dalam kita ingin menuju kea rah negara maju.

Ultra Melayu
Terdapat hari ini segelintir orang melayu sangat pantang dicabar hak dan ketuanan Melayu tetapi apabila Islam dicabar semuanya menikus. Saya amat terkilan dengan kelulusan lesen perjudian yang dibuat oleh seorang pemimpin melayu. Bukankah dalam Perlembagaan Malaysia perkara 160, Melayu itu adalah I) menganut agama Islam II) bercakap bahasa melayu III) mengamalkan adat dan budaya melayu. Di mana Islam disisi orang yang membenarkan lessen judi? Adakah masih di dalam hati atau sebaliknya. Nauzubillah.. Kadang-kadang semangat kemelayuan melebihi semangat Islam lalu halal haram tidak lagi diambil kira. Kalau ia menguntungkan orang melayu, ketepikan perkara halal dan haram. Mari kita renungi sebuah lagi hadis Rasulullah SAW
Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang di atas panji Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati di atas Asabiyah” (Sunan Abu Dawud)

“Barangsiapa yang berjuang di bawah panji-panji emosi, menjadi marah kerana sikap berat sebelah (’asabiyah), atau menyeru ke arah ‘asabiyah, atau mendukungnya dan kemudian meninggal, maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Sahih Muslim)

Rasullulah SAW tidak mengaku umat bagi orang yang mendukung fahaman assabiyah dan matinya dalah sama dengan orang jahiliyah. Neraka tersedia bagi orang yang memegang selain dari tali-tali Allah.

Tajdid
Oleh itu, sudah tiba masanya kita melakukan tajdid (pembaharuan) dalam diri kita. Selaku masyarakat yang celik ilmu, marilah kita mengambil semula al quran dan as sunnah yang ditinggalkan setelah kita melihat kebobrokan yang berlaku akibat panduan yang mulia ini ditinggalkan. Hiduplah di atas landasan tauhid dan iman serta tingglkanlah segala kemungkaran dan kefasikan hidup. Semoga ramadhan tahun 1431 hijrah menjadi pemangkin (catalyzer) dalam kita melakukan anjakan paradigma.
Wallahua’lam…

Thursday, August 12, 2010

SaraNan Buat baKal pERanTau....

Salam buat semua,mudah-mudahan kita mendapat kerahmatan, keampunan serta pelepasan dari api neraka sempena di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Amma ba’d.

Alhamdulillah pada 7/8/2010 yang lepas, kumpulan pertama penerbangan pelajar Malaysia ke Amerika bagi tahun 2010 telah selamat berlepas ke destinasi masing-masing di Amerika. Ada yang ke Iowa State University, Penn State University, University Park dan University of Arizona. Mereka semua khabarnya telah selamat sampai setelah hampir 40 jam menempuh perjalanan udara serta beberapa transit.

Di kesempatan ini saya ingin menyarankan kepada rakan-rakan yang bakal berlepas selepas ini untuk membeli buku bagi menghilangkan kebosanan ketika di atas kapal terbang nanti. Ada empat atau lima buah buku telah saya beli bagi tujuan tersebut. Antaranya buku  The 7 Habits of Highly Effective People (Stephen R Covey), Rindu Bau Pohon Tin dan Bercinta Sampai ke Syurga (Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil), The Perfect Man (Sheila O’Flanagan, novel), Fikah Luar Negara (Ustaz Maszlee Malik) serta beberapa buah buku lagi.

Di sini saya ingin menyarankan dua buah buku yang sangat wajar dibeli, Rindu Bau Pohon Tin dan Bercinta Sampai Ke Syurga karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com). Bagi pelajar yang akan ke luar negara, buku ini sangat sesuai untuk dijadikan panduan memandangkan Ustaz Hasrizal juga merupakan bekas anak perantauan di bumi Jordan dan UK. Saya akui, bahawa buku Fikah Luar Negara karya Ustaz Maszlee Malik juga penting memandangkan kita akan keluar dari “comfort zone” kita. Sebagai contoh di negara kita, di semua tandas kita akan menemui paip air namun di sesetengah negara tandas mereka kering dan mereka hanya menggunakan tisu untuk beristinjak. Jadi kita perlu sesuaikan dengan keadaan yang baru ini secepat mungkin.

Berbalik kepada buku saranan saya ini, ia lebih banyak perkongsian dan perbincangan ustaz Hasrizal tentang mua’malat kita sesama rakan-rakan senegara, komuniti setempat serta rakan-rakan yang datang dari negara asing lain juga. Dalam buku ini juga, banyak input-input  yang dapat membuka minda kita terhadap sesuatu isu apabila berada di luar negara kelak. Secara peribadi, saya mendapati banyak pandangan saya sama dengan Ustaz Hasrizal. Mungkin kerana kami pernah mendapat tarbiah dari sekolah agama, maka banyak pendapat kami boleh dikatakan sama. Tidak pasti pula saya jika faktor pihak penajaan yang sama telah menyebabkan banyak persamaan pendapat antara saya dan beliau. Ustaz Hasrizal merupakan pelajar kumpulan pertama tajaan JPA ke Jordan dalam bidang syariah.
Pelajar INTEC bersama Ustaz Hasrizal pada 18/6/2010
dalam program Fly High 2010

Sebelum membaca buku ini, saya berpendapat bahawa lambakan pelajar Malaysia di Timur Tengah sedikit sebanyak telah merendahkan kualiti ilmu di tempat tersebut. Hal ini kerana, sesetengah ibu bapa menghantar anak mereka belajar bidang agama di sana dengan duit poket sendiri setelah mendapati anaknya tidak cemerlang dalam bidang akademik. Seolah-olah jika anak mereka tidak pandai, maka bidang agama adalah “talian hayat” atau pilihan terakhir untuk mencerahkan masa hadapan anak-anak mereka.Ustaz hasrizal telah “mengiyakan” pendapat saya dalam buku Rindu Bau Pohon Tin. Hal ini terjadi apabila beliau berada di tahun kedua di Jordan apabila layanan orang Jordan sebelum ini sangat baik terhadap rakyat Malaysia bertukar menjadi dingin sedikit disebabkan kemasukan pelajar-pelajar Malaysia ke sana bukan atas dasar ingin belajar tetapi kerana suruhan ibu bapa. Jadi memang berbeza orang yang pergi ke sana atas dasar ingin mendalami ilmu dengan orang yang pergi kerana “mak suruh”. Iltizam dan kesungguhan mereka sangat berbeza.

Pendapat lain dalam buku Bercinta Sampai Ke Syurga adalah dalam institusi rumah tangga sekarang. Ada suara-suara mengkritik beliau mengatakan dalam banyak-banyak isu, kenapa isu cinta dan rumah tangga menjadi pilihan dalam kebanyakan artikel beliau. Saya sememangnya bimbang dengan kes-kes keruntuhan institusi rumah tangga yang semakin meruncing di negara kita terutama membabitkan orang melayu Islam. Ia sangat menyedihkan dan dikhuatiri masyarakat non-muslim akan mendapat persepsi negatif dengan mengatakan Islam adalah punca keruntuhan rumah tangga ini. Atas sebab ini jugalah beliau menulis buku ini bagi menyatakan kebimbangan dan punca-punca berlakunya kes-kes sebegini. Ustaz Hasrizal juga telah banyak menghuraikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani krisis sebegini.

Pendapat lain yang sama dengan saya adalah mengenai hala tuju politik negara dan beberapa isu lain mengenai siasah. Cukuplah bagi saya menyatakan dua persamaan di sini dan sesungguhnya tidak rugi membeli kedua-dua buku ini. Mudah-mudahan buku ini dapat menjadikan panduan bermua’malat dan menguruskan persepsi ketika berada di luar negara kelak.

Akhir kalam, semoga kita semua menghampiri tahap taqwa dalam dalam bulan yang penuh rahmat ini.
Wallahua’lam...
P/S: Sedang menunggu panggilan akhir penerbangan ke Los Angeles pada 25/8/2010 ini.

Saturday, August 7, 2010

SalAm Ramadhan

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak buat semua muslimin dan muslimat. Semoga kita semua menghampiri tahap taqwa seperti yang telah difirmankan Allah dalam surah Al Baqarah ayat 183:

"YOU WHO BELIEVE, FASTING HAS BEEN PRESCRIBED FOR YOU, AS IT HAS BEEN PRESCRIBED FOR THOSE BEFORE YOU, SO THAT YOU MAY BE PIOUS"

"Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu sebelum kamu,mudh-mudahan kamu bertaqwa"