Monday, May 19, 2014

Andai Alam Mampu Berbicara...


Salam kepada sahabat semua, semoga semuanya dalam pemeliharaan Allah.
Amma ba’d

Sudah lebih tiga bulan saya tidak mencoretkan walaupun sekelumit cebisan pemikiran, pengalaman atau pandangan. Bukanlah kerana sibuk tetapi saya akui kerana kekeringan idea di samping focus banyak diberi untuk membuat kerja-kerja lain.

Saya suka merenung tentang kehidupan. Ya kehidupan manusia dan alam sekeliling. Alam dan insan tidak akan pernah putus berinteraksi. Namun dalam kebanyakkan hal, insan sering mengkhianati alam. Di sana sini, pencemaran sungai, penebangan hutan, dan  pencerobohan marin semakin berleluasa. Manusia menjadi semakin tamak dan haloba mengumpul wang. Mereka lupa bahawa mereka tidak bersendirian tinggal di alam ini. Adanya ikan di laut, pokok di darat burung beterbangan di udara. Seandainya mereka mampu berbicara, apa alasan yang mampu kita berikan akibat kerakusan kita ‘menggomol’ alam? Lupakah kita kepada firman Allah:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar Rum 30:41)

Ikan ada haknya, burung ada haknya, binatang di hutan juga ada haknya. Jadi mengapa manusia tidak mahu memahaminya? Apakah habuan duniawi sudah cukup menggelapkan mata hati mereka?
Sama-sama kita renungkan, kita hidup tidak menanggung langit. Tiba masa, pasti jua bertemu dengan Rabbul Izzati.


Friday, February 7, 2014

Egois...



Bersyukur jika Allah menghadiahkan dirimu seseorang yang mampu meleburkan sedikit egomu..:)

Wednesday, January 29, 2014

Digamit Bayangan Istanbul...


Salam kepada sahabat semua, semoga Allah menganugerahkan as sakinah (ketenangan) dalam diri kita.
Amma ba’d.

Antara tulisan travelog yang saya sentiasa nanti-nantikan adalah travelog tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Tiga travelog beliau yang sudah saya miliki adalah Secangkir Teh Pengubat Letih (Turki), Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu (Ireland), dan Rindu Bau Pohon Tin(Jordan). Dalam minggu ini, sudah ada beberapa artikel ustaz yang menceritakan pengalaman beliau di Turki tahun lepas dalam usaha untuk menyiapkan pengajian sarjananya tentang Imam Birgivi. Pengkajian ini membawanya untuk ke Istanbul bagi mendapat sumber maklumat primer tentang Imam Birgivi.

Saya tertarik dengan artikel ini (klik untuk membaca).

Dalam artikel ini, ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya kerana saya sendiri mengalaminya semasa belajar di bumi Uncle Sam dahulu dan ketika berkunjung ke Turki tahun lepas.

“...Tentang adat, tentang kebiasaan, tentang ukhuwwah, tentang kita. Contohnya, semasa kita makan di Gaye Vakfı, saya memerhatikan cara kalian makan. Mengutip serpihan roti yang jatuh ke lapik semasa ia dipatahkan, adalah sesuatu yang unik bagi saya. Ia adalah interpretasi semasa kepada hadith Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang memberitahu sahabat agar tidak membazir air semasa berwudhu’, walaupun duduk di sungai” saya menyambung cerita.

Semasa saya di Rochester dahulu, saya selalu memerhati seorang sahabat saya, Ahmed Topal ketika dia makan. Dia kini sedang melanjutkan pelajaran sarjana (master) di Yale University, Connecticut. Sememangnya dia mengutip serbuk-serbuk roti dan sisa makanan yang tumpah, dan memakannya. Bila ditanya sebab dia melakukannya, dijawab yang kita tak tahu makanan manakah yang ada keberkatan, jadi kutiplah sisa makanan yang tumpah itu dan makan.Dia juga pasti menghabiskan makanan yang ada dalam pinggan tanpa bersisa. Ia begitu berbeza dengan kebanyakkan rakyat Malaysia yang tidak menghabiskan makanan terutama mereka yang makan di restoran mewah.

“Hasrizal, apa yang membentuk sifat sensitif dengan mengutip butiran simit yang bertabur di meja ialah tarbiyah jemaah dan elemen tasawwuf. Generasi muda sekarang pandai. Mereka mampu membaca sendiri. Tetapi tanpa tarbiyah jemaah, benda yang mereka tahu hanya menjadikan mereka pandai berhujah. Tetapi mereka akan minum dengan cawan tangan kiri, pakai baju tidak dahulukan tangan kanan, tidak hormat kepada orang tua… Islam mereka hanya pada kepetahan berhujah. Jika kuat sikit, mereka simpan janggut dan berpakaian tertentu. Akhlaq, bukan akhlaq Islam. Tiada jemaah, tiada latihan, membid’ahkan tarekat hingga membuang tasawwuf” jelas Fatih.

Ya! Ini juga saya perhatikan sebahagian sikap ahli muda jemaah tertentu di Malaysia. Konon mereka berminda progresif, mahukan perubahan dalam jemaah mereka dan mereka mungkin banyak membaca tentang pelbagai buku terutama buku pemikiran tokoh dan juga falsafah. Namun, kebijaksanaan mereka tidak disulami dengan akhlaq yang baik. Mencarut, menyindir, maki hamun, melabel serta tidak kurang juga menghukum sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Saya cukup bimbang dengan perkembangan sikap anak muda walaupun saya memuji sikap suka membaca serta berfikir mereka.

” Di Turki, pemain utama politik dari era Adnan Menderes ke Necmettin Erbakan, Turgut Ozal hingga ke Recep Tayyib Erdogan, hampir tiada yang merupakan seorang ulama’, walaupun insan seperti Erbakan dan Erdoğan pada latar belakangnya di Sekolah Imam Hatip melayakkan dirinya untuk digelar ‘ustaz’ seandainya beliau di Malaysia.

Apa yang berlaku ialah, alim ulama, tuan guru, para masyaikh memegang agenda Tarbiyah. Mereka memimpin jemaah-jemaah Tarbiyah, khususnya yang berorientasikan tasawwuf, tanpa semestinya sebagai sebuah tarekat. Namun ulama’ ini menggalakkan anak muridnya menyertai politik dengan kualiti rujukan akhlaq peribadi yang kukuh dan tinggi.”

Murabbi saya di Rochester, salah seorangnya adalah Imam Ismet Husny Akcin, Imam di Islamic Center of Rochester. Beliau sangat menggalakkan saya menyertai politik. Saya bukanlah daripada mereka yang berlatar belakang agama. Kata beliau, “You are good,you should be the leader in your country”. Memang kuliah Imam Ismet banyak juga yang berkaitan dengan dunia politik Islam. Saya sering sahaja terkenang-kenang saat ketika mendengar kuliahnya usai solat subuh dan maghrib di ICR. Basah, bersahaja, dan sesuatu.

“Walaupun ada gelisah di hati, jika selama ini mereka melayan saya dengan begitu sempurna setiap kali berkunjung ke Turki, mampukah saya melakukan perkara yang sama jika mereka ke Malaysia nanti?”

Jika saya berziarah ke rumah sahabat-sahabat Turki saya di US dahulu, layanan mereka dirasakan sungguh hangat (cordial welcome). Dengan makanannya, minumannya dan kesantunannya, membuatkan saya sentiasa terkenang akan mereka.

Saya berharap Ustaz Hasrizal dapat menulis travelog tentang perjalanan beliau di Turki dalam usaha menjejak peribadi Imam Birgivi.

Yang berharap.

Ihsan Google

Sunday, January 26, 2014

Keikhlasan...


Salam kepada semua. Semoga Allah sentiasa merahmati kita.
Amma ba’d.

Wujudkah pilihan yang silap dalam hidup kita? Saya pernah bersembang dengan seseorang suatu ketika dahulu. Dia berkata, dalam hidup kita sebenarnya tiada pilihan yang silap, semuanya sudah diaturkan Tuhan dengan sempurna. Saya bersetuju kenyataan ini dengan bersyarat. Syaratnya, jika kita ikhlas dalam mencari makna hidup. Bagi saya, keikhlasan adalah sifat terpenting yang perlu ada kepada seorang hamba Allah dan khalifahnya di muka bumi. Dalam hidup, sama ada atas kehendak atau terpaksa, kita tidak mampu untuk lari daripada membuat pilihan. Ada pilihan yang kita buat bergerak seperti dirancang. Ada pilihan yang kita buat tidak seperti kita jangka. Jika pilihan yang dibuat itu tidak seperti kita jangka, perlukah kita kecewa? Sebagai insan biasa, kita akan berasa sedih dan kecewa jika pilihan kita adalah salah. Namun, Allah tidak pernah mempersiakan doa hamba-hambaNya yang ikhlas.

Di sinilah keikhlasan memainkan peranan yang penting untuk berhadapan dengan situasi ini. Kita sudah mempertimbangkan segala-galanya sebelum membuat pilihan ini, kita ikhlas mencari redha Ilahi, kita ikhlas untuk menjadi umat Rasulullah SAW yang terbaik, maka taqdir yang tidak seperti kita jangka itu, pasti membawa kebaikan buat kita di masa hadapan. Kuncinya, kekalkan keikhlasan dan bersabar. Allah sebaik-baik pembalas atas keikhlasan dan kesabaran kita.

Jangan menyesal atas pilihan yang dibuat jika dibuat dengan penuh keikhlasan untuk memburu redha Ilahi. Allah sentiasa mahu yang terbaik buat setiap hambaNya.

Monday, January 20, 2014

Mengundang Keberkatan Ilahi...

Peringatan daripada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Thursday, January 16, 2014

Memelihara Amanah...


salam kepada sahabat semua, semoga dalam pemeliharaan Allah.
Amma ba’d.

Imam Al Ghazali pernah bertanya kepada anak-anak muridnya tentang apakah yang paling berat di dunia ini? Lalu dijawab oleh mereka dengan pelbagai jawapan. Kesemuanya menjawab tidak seperti apa yang dikehendaki beliau.

Imam Al Ghazali menjawab, amanah adalah perkara yang paling berat untuk ditanggung. Ya amanah.
Amanah adalah perkara yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Amanah sebagai seorang Muslim adalah solatnya, puasanya, zakatnya serta segala tuntutan fardhu yang lain. Amanah sebagai seorang anak, ayah, ibu, pemimpin, sahabat, ahli masyarakat serta siapa sahaja yang bergelar manusia, pasti akan memegang amanah.

Semakin kita meningkat dewasa, semakin banyak kita akan menerima amanah.
Harta, pangkat, dan wanita merupakan cabaran besar bagi mereka-mereka yang memegang amanah. Berleluasanya segala bentuk penyelewengan dan ketirisan kerana terangkatnya amanah daripada diri seorang pemegang amanah.

Perbanyakkan berdoa kepada Allah, supaya dikekalkan amanah dalam diri kita.

“Ya Allah, Engkau kekalkanlah amanah dalam diri kami. Janganlah engkau angkat sifat amanah dalam diri kami sehinggalah kami mati”