Sunday, January 26, 2014

Keikhlasan...


Salam kepada semua. Semoga Allah sentiasa merahmati kita.
Amma ba’d.

Wujudkah pilihan yang silap dalam hidup kita? Saya pernah bersembang dengan seseorang suatu ketika dahulu. Dia berkata, dalam hidup kita sebenarnya tiada pilihan yang silap, semuanya sudah diaturkan Tuhan dengan sempurna. Saya bersetuju kenyataan ini dengan bersyarat. Syaratnya, jika kita ikhlas dalam mencari makna hidup. Bagi saya, keikhlasan adalah sifat terpenting yang perlu ada kepada seorang hamba Allah dan khalifahnya di muka bumi. Dalam hidup, sama ada atas kehendak atau terpaksa, kita tidak mampu untuk lari daripada membuat pilihan. Ada pilihan yang kita buat bergerak seperti dirancang. Ada pilihan yang kita buat tidak seperti kita jangka. Jika pilihan yang dibuat itu tidak seperti kita jangka, perlukah kita kecewa? Sebagai insan biasa, kita akan berasa sedih dan kecewa jika pilihan kita adalah salah. Namun, Allah tidak pernah mempersiakan doa hamba-hambaNya yang ikhlas.

Di sinilah keikhlasan memainkan peranan yang penting untuk berhadapan dengan situasi ini. Kita sudah mempertimbangkan segala-galanya sebelum membuat pilihan ini, kita ikhlas mencari redha Ilahi, kita ikhlas untuk menjadi umat Rasulullah SAW yang terbaik, maka taqdir yang tidak seperti kita jangka itu, pasti membawa kebaikan buat kita di masa hadapan. Kuncinya, kekalkan keikhlasan dan bersabar. Allah sebaik-baik pembalas atas keikhlasan dan kesabaran kita.

Jangan menyesal atas pilihan yang dibuat jika dibuat dengan penuh keikhlasan untuk memburu redha Ilahi. Allah sentiasa mahu yang terbaik buat setiap hambaNya.

No comments: