Wednesday, January 29, 2014

Digamit Bayangan Istanbul...


Salam kepada sahabat semua, semoga Allah menganugerahkan as sakinah (ketenangan) dalam diri kita.
Amma ba’d.

Antara tulisan travelog yang saya sentiasa nanti-nantikan adalah travelog tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Tiga travelog beliau yang sudah saya miliki adalah Secangkir Teh Pengubat Letih (Turki), Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu (Ireland), dan Rindu Bau Pohon Tin(Jordan). Dalam minggu ini, sudah ada beberapa artikel ustaz yang menceritakan pengalaman beliau di Turki tahun lepas dalam usaha untuk menyiapkan pengajian sarjananya tentang Imam Birgivi. Pengkajian ini membawanya untuk ke Istanbul bagi mendapat sumber maklumat primer tentang Imam Birgivi.

Saya tertarik dengan artikel ini (klik untuk membaca).

Dalam artikel ini, ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya kerana saya sendiri mengalaminya semasa belajar di bumi Uncle Sam dahulu dan ketika berkunjung ke Turki tahun lepas.

“...Tentang adat, tentang kebiasaan, tentang ukhuwwah, tentang kita. Contohnya, semasa kita makan di Gaye Vakfı, saya memerhatikan cara kalian makan. Mengutip serpihan roti yang jatuh ke lapik semasa ia dipatahkan, adalah sesuatu yang unik bagi saya. Ia adalah interpretasi semasa kepada hadith Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang memberitahu sahabat agar tidak membazir air semasa berwudhu’, walaupun duduk di sungai” saya menyambung cerita.

Semasa saya di Rochester dahulu, saya selalu memerhati seorang sahabat saya, Ahmed Topal ketika dia makan. Dia kini sedang melanjutkan pelajaran sarjana (master) di Yale University, Connecticut. Sememangnya dia mengutip serbuk-serbuk roti dan sisa makanan yang tumpah, dan memakannya. Bila ditanya sebab dia melakukannya, dijawab yang kita tak tahu makanan manakah yang ada keberkatan, jadi kutiplah sisa makanan yang tumpah itu dan makan.Dia juga pasti menghabiskan makanan yang ada dalam pinggan tanpa bersisa. Ia begitu berbeza dengan kebanyakkan rakyat Malaysia yang tidak menghabiskan makanan terutama mereka yang makan di restoran mewah.

“Hasrizal, apa yang membentuk sifat sensitif dengan mengutip butiran simit yang bertabur di meja ialah tarbiyah jemaah dan elemen tasawwuf. Generasi muda sekarang pandai. Mereka mampu membaca sendiri. Tetapi tanpa tarbiyah jemaah, benda yang mereka tahu hanya menjadikan mereka pandai berhujah. Tetapi mereka akan minum dengan cawan tangan kiri, pakai baju tidak dahulukan tangan kanan, tidak hormat kepada orang tua… Islam mereka hanya pada kepetahan berhujah. Jika kuat sikit, mereka simpan janggut dan berpakaian tertentu. Akhlaq, bukan akhlaq Islam. Tiada jemaah, tiada latihan, membid’ahkan tarekat hingga membuang tasawwuf” jelas Fatih.

Ya! Ini juga saya perhatikan sebahagian sikap ahli muda jemaah tertentu di Malaysia. Konon mereka berminda progresif, mahukan perubahan dalam jemaah mereka dan mereka mungkin banyak membaca tentang pelbagai buku terutama buku pemikiran tokoh dan juga falsafah. Namun, kebijaksanaan mereka tidak disulami dengan akhlaq yang baik. Mencarut, menyindir, maki hamun, melabel serta tidak kurang juga menghukum sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Saya cukup bimbang dengan perkembangan sikap anak muda walaupun saya memuji sikap suka membaca serta berfikir mereka.

” Di Turki, pemain utama politik dari era Adnan Menderes ke Necmettin Erbakan, Turgut Ozal hingga ke Recep Tayyib Erdogan, hampir tiada yang merupakan seorang ulama’, walaupun insan seperti Erbakan dan Erdoğan pada latar belakangnya di Sekolah Imam Hatip melayakkan dirinya untuk digelar ‘ustaz’ seandainya beliau di Malaysia.

Apa yang berlaku ialah, alim ulama, tuan guru, para masyaikh memegang agenda Tarbiyah. Mereka memimpin jemaah-jemaah Tarbiyah, khususnya yang berorientasikan tasawwuf, tanpa semestinya sebagai sebuah tarekat. Namun ulama’ ini menggalakkan anak muridnya menyertai politik dengan kualiti rujukan akhlaq peribadi yang kukuh dan tinggi.”

Murabbi saya di Rochester, salah seorangnya adalah Imam Ismet Husny Akcin, Imam di Islamic Center of Rochester. Beliau sangat menggalakkan saya menyertai politik. Saya bukanlah daripada mereka yang berlatar belakang agama. Kata beliau, “You are good,you should be the leader in your country”. Memang kuliah Imam Ismet banyak juga yang berkaitan dengan dunia politik Islam. Saya sering sahaja terkenang-kenang saat ketika mendengar kuliahnya usai solat subuh dan maghrib di ICR. Basah, bersahaja, dan sesuatu.

“Walaupun ada gelisah di hati, jika selama ini mereka melayan saya dengan begitu sempurna setiap kali berkunjung ke Turki, mampukah saya melakukan perkara yang sama jika mereka ke Malaysia nanti?”

Jika saya berziarah ke rumah sahabat-sahabat Turki saya di US dahulu, layanan mereka dirasakan sungguh hangat (cordial welcome). Dengan makanannya, minumannya dan kesantunannya, membuatkan saya sentiasa terkenang akan mereka.

Saya berharap Ustaz Hasrizal dapat menulis travelog tentang perjalanan beliau di Turki dalam usaha menjejak peribadi Imam Birgivi.

Yang berharap.

Ihsan Google

No comments: