Tuesday, December 31, 2013

Bulatkan Azam...


Salam buat semua, semoga kita semua dalam rahmat Allah.
Amma ba’d.

2013 sudah sampai ke penghujungnya. Apa yang kita lalui dalam tahun ini diharapkan menjadi titik tolak untuk lebih maju menghadapi hari-hari mendatang.

Tahun 2014 ini menyaksikan ramai sahabat-sahabat saya yang akan bernikah. Tahniah saya ucapkan. Semoga Allah memberkati perkahwinan kalian hingga ke jannah. Mungkin disebabkan ramai yang sudah tamat pengajian atau sudah berada di tahun akhir pengajian, memang elok sangat disegerakan urusan pernikahan ini.

Negara kita bakal menyaksikan banyak harga barang dan perkhidmatan akan meningkat. Ini adalah kezaliman regim pemerintah yang menyeksa rakyat. Allah adalah sebaik-baik pembalas kepada pemerintah yang zalim.

Apapun, kita secara individu marilah sama-sama kita istiqamah untuk melakukan amalan baik dan konsisten berpegang dengan prinsip-prinsip yang baik kita pegang selama ini.
Carilah ilmu, dekatkan diri kepada Allah, tingkatkan taqwa, semoga Allah meredhai kita semua. Semoga 2014 membawa sinar yang gemilang dalam hidup kita semua.

Bulatkan azam, tempuhi cabaran mendatang dengan mengharapkan rahmat dan redha Allah. Seeru a’la barakatillah..:) 

Credit to Google

Semoga tahun 2014 diisi dengan warna warni kehidupan yang indah buat kita. 


Thursday, December 19, 2013

United Breaks Guitar...

Salam kepada semua sahabat, semoga Allah merahmati kita semua.
Amma ba’d.

Kenalkah kalian kepada Dave Carroll? Dia adalah seorang pemuzik dari Canada. Ada satu peristiwa menarik yang berlaku dalam tahun 2008 yang melibatkan dia dan syarikat penerbangan United Airlines.

Pada suatu hari dalam tahun 2008, dia menggunakan pesawat United Airlines (UA) dari Halifax, Canada ke Chicago,USA (transit ketika dia dalam perjalanan ke Nebraska, USA). Dek kerana terlalu sayangkan gitar akustiknya, dia membawa gitar tersebut ke dalam kabin pesawat. Namun, flight attendance tidak membenarkannya berbuat demikian dan menyuruhnya menyimpannya dalam kargo pesawat. Lalu dengan terpaksa dia bersetuju dengan syarat, jika berlaku kerosakan kepada gitar tersebut, pihak United Airlines mesti menanggung kerugian tersebut. Pegawai penerbangan bersetuju dengan bersahaja.

Dipendekkan cerita, setibanya di Chicago, ternyata gitar tersebut rosak sepenuhnya lalu dia menuntut ganti rugi dari pihak United Airlines. Malangnya, pihak UA tidak mahu bertanggungjawab atas kerosakan gitar tersebut. Kecewa dengan layanan pihak UA, lalu dia mengugut untuk menulis sebuah lagu tentang insiden itu.

Apa kesannya hasil lagu itu? Kesan terbesar adalah saham UA menjunam mendadak sebanyak 10% yang bernilai USD 180 juta.


Dalam hidup, kita mesti mengambil tanggungjawab atas kesalahan yang kita lakukan. Jika kita lari daripada tanggungjawab, padah yang lebih besar bahkan tidak terjangka mungkin akan berlaku.


Boleh baca di sini kisah tersebut

Friday, December 6, 2013

Menguasai Ilmu...


Salam kepada semua, semoga Allah merahmati kita. Sempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi.
Amma ba’d.

Secara peribadi, saya seorang yang sangat menghargai ilmu kerana saya tahu betapa penting nilai ilmu dalam hidup insan. Saya suka dikelilingi persekitaran ilmu sama ada di tempat tinggal saya, atau ketika berbual santai dengan kawan-kawan saya. Kebanyakan idea-idea saya sama ada di blog ini atau di laman social berkisar untuk mengajak kawan-kawan saya untuk menuntut dan menghayati ilmu.

Saya mendapati ramai kawan-kawan dapat menguasai ilmu di bidang masing-masing dengan baik seperti ilmu  engineering, medicine, business, biotechnology dan sebagainya. Walaubagaimanapun, kebanyakkan mereka kekurangan satu cabang ilmu lain iaitu ilmu komunikasi. Ilmu komunikasi ini termasuklah secara lisan atau bertulis. Ilmu ini penting untuk memastikan maklumat yang ingin kita sampaikan kepada orang yang bukan daripada bidang kita dapat difahami dengan jelas oleh mereka.

Orang yang bijak bukanlah orang yang mampu bercakap dengan menggunakan segala jargon yang orang awam tidak faham, tetapi mereka yang bijak adalah mereka yang mampu menerangkan atau menyampaikan untuk kefahaman orang awam.

Atas sebab ini, keperluan kepada bidang art dan social studies tidak boleh diabaikan. Bidang-bidang ini sama penting sebagaimana bidang pure science yang lain. Dilihat kepada sejarah Islam, cendekiawan Islam yang lalu menguasai ilmu yang pelbagai (multidisciplinary knowledge). Selain menguasai ilmu perubatan, Ibnu Sina juga menguasai ilmu falsafah. Sheikh Aq Shamsuddin selain menguasai ilmu-ilmu fiqh dan hadith, beliau juga menguasai ilmu perubatan; direkodkan beliau mengarang tujuh buah buku perubatan. Inilah kehebatan ulama’-ulama’ silam.

Maka, menjadi keperluan untuk kita umat Islam untuk menguasai cabang ilmu komunikasi di samping ilmu sains yang sedang/telah kita pelajari. Kemahiran menyampaikan syarahan kepada awam akan member mileage kepada kita agar lebih yakin untuk berhadapan dengan siapa sahaja termasuk mencabar pemikiran mereka-mereka yang lebih tinggi ilmunya daripada kita. Carilah ilmu dengan pelbagai cara sama ada membaca, berbincang dengan ahlinya, bertalaqqi, menghadiri kuliah-kuliah, serta befikir dan bertadabbur melihat alam semula jadi.

Selagi ia bernama ilmu, jangan sesekali memandang rendah kepadanya.

Tertarik dengan "Buku, Bukan Bom!"

Sunday, December 1, 2013

Alangkah Beruntungnya Kita...

Salam kepada semua, semoga Allah merahmati kita semua.
Amma ba’d

Jika kita merenung keadaan diri kita, pasti kita menginsafi hakikat betapa beruntungnya kita. Kita punya banyak kelebihan berbanding sesetengah insan yang lain. Walaupun tanpa harta yang banyak, rumah hanya sekadarnya, makanan cukup untuk mengalas perut tetapi anggota fizikal kita sempurna, dikurniakan keluarga yang baik, duduk di tempat yang jauh daripada kancah peperangan dan kemiskinan serta bebas beribadat kepada Allah.

Semasa di Rochester dulu, ada beberapa kali saya menyertai khidmat masyarakat (community service). Antara siri yang saya ingati adalah ketika berkunjung ke Cathedral School at Holy Rosary, Lexington Avenue, Rochester. Anak-anak disini merupakan pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR). Kebanyakkan mereka adalah keluarga miskin dari negara dunia ketiga (Afrika). Mereka datang ke Amerika dengan dibiayai tiket penerbangan dan mereka PERLU membayar semula kepada kerajaan Amerika Syarikat segala jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan Amerika ke atas mereka. Sesampainya mereka di sana, tiada jaminan pekerjaan yang diberi. Kebanyakkan penempatan mereka di sana, memang tidak tersusun dan terurus seumpama kawasan setinggan di Malaysia dan kebiasaannya, tempat mereka itu kadar jenayahnya tinggi. Kalau melalui kawasan penempatan mereka, hati diruntun pilu sambil hati kecil berkata “alangkah beruntungnya aku”.

Saya selalu melalui kawasan mereka (kawasan ghetto), kalau hendak pergi makan di sebuah Restoran Turki di Downtown Rochester, memang kawasan mereka sangat tidak tersusun dan dipenuhi sampah sekelilingnya. Agak ‘menyeramkan’ melalui penempatan mereka.

Saya selalu terfikir, anak-anak itu masih kecil, mana mungkin mereka mengerti erti kehidupan yang sedang mereka lalui. Hati kecil sering berbisik, semoga suatu  hari saya dapat membantu mereka. Mereka mesti diberi ruang dan peluang hidup sempurna sebagaimana insan lain.

Di Cathedral School,Rochester