Monday, October 7, 2013

Bercita-Citalah...

Salam kepada sahabat semua.Semoga Allah menunjukkan kita kebenaran dan memberi kekuatan ke arah jalan kebenaran itu.
Amma ba’d.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz hanya memerintah selama 30 bulan atau cuma dua tahun setengah sahaja. Namun keadilan di bawah pemerintahannya tiada tolok bandingnya pada zaman itu apabila diumpamakan serigala boleh berkawan dengan kambing di atas padang ragut yang sama. Di bawah lembayung keadilan pemerintahannya tiada siapa di wilayah-wilayah Islam yang layak menerima zakat kerana semua orang sudah merasa kaya. Inilah kesan sebuah kepimpinan yang bertunjangkan keadilan dan ketaqwaan.

Banyak kisah-kisah hebat tentang seorang figura yang agung ini. Dalam banyak-banyak kisah, saya tertarik dengan satu sikap Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini. Baginda sering bercita-cita ingin menjadi atau mendapatkan yang terbaik. Baginda pernah berkata:

"Sesungguhnya jiwaku adalah jiwa yang mempunyai banyak cita-cita. Aku pernah bercita-cita menjadi amir (gabenor madinah), aku telah mendapatkannya. Aku bercita-cita menjadi seorang khalifah, aku juga telah mendapatkannya. Sekarang, cita-citaku adalah syurga, dan aku berharap mendapatkannya."

Dalam sebuah hadith qudsi, Allah menjanjikan naungan Allah di hari tiada naungan, yang pertama sekali adalah pemimpin yang adil.

Dalam hidup, kita perlu bercita-cita tinggi kerana daripada cita-cita itu, gelombang atau aura positif akan dihantar ke minda dan jiwa lalu terhasillah tindakan yang positif. Namun, bercita-cita tinggi itu, haruslah membawa kita kepada mencari redha Allah dan membahagiakan kita di hari akhirat kelak. Tanamlah cita-cita yang tinggi dalam sanubari serta berfikirlah secara positif dan pohonlah segala hajat yang baik kepada Allah. Allah maha kaya dan Dia maha mengasihani.


Jangan pernah takut untuk bercita-cita tinggi.

Menuju puncak kejayaan.

No comments: