Wednesday, October 30, 2013

Ke Mana Pergi Subsidi Kami...


kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini separuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian mengerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini...

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...

Puisi oleh Dr Maza


Monday, October 28, 2013

Kehangatan Cinta Qais & Laila...

Salam semua. Semoga Allah mengurniakan kita dan rahmat dan petunjukNya buat kita semua hambaNya.
Amma ba’d.

Kisah Qais dan Laila merupakan sebuah kisah cinta yang lebih agung daripada kisah Romeo dan Juliet. Bagaimana kisahnya?

Pemuda tampan dan kuat beribadah bernama Qais terpaut hati pada gadis bangsawan yang cantik bernama Laila. Cinta Qais berbalas.  Laila sangat mencintainya. Namun, nasib mereka malang kerana cinta mereka dihalang oleh ayah Laila. Laila ditunangkan dengan sepupunya. Hal ini sangat meruntun jiwa Qais dan Laila. Mereka berdua dilambung derita perasaan cinta dan rindu yang dahsyat.

Pada suatu hari Laila mengutus surat kepada Qais melalui seorang utusan. Kata utusan itu, “ Qais, sekiranya engkau mahu, aku boleh aturkan pertemuanmu dengan Laila. Caranya adalah dengan engkau terus masuk ke dalam bilik Laila.”

Qais segera menjawab, “Sesungguhnya, aku sangat takut dengan azab Allah. Aku takutkan api neraka yang tidak pernah padam. Aku tidak rela bertemu Laila dengan cara itu.”

Lalu utusan tadi pulang menemui dan memberitahu Laila. Laila kagum dengan keteguhan iman Qais. Hal ini membuatkan Laila terus memendam rindu lantas nekad untuk berkurung dalam biliknya sehingga dia meninggal dunia sendirian. Begitu sekali pendirian Laila dalam mempertahankan cintanya dan ingin mencontohi ketaatan Qais kepada Tuhannya.

Qais pula, apabila mengetahui berita kematian Laila, dia menziarahi kubur Laila dengan perasaan yang hancur. Qais tertidur di atas pusara Laila kerana melalui perjalanan yang jauh. Qais bermimpi Laila datang kepadanya dalam keadaan cantik dan kelihatan bahagia sambil berkata kepada Qais, “Aku kini bahagia wahai kekasih hatiku. Ketaatanmu mendorongku memperoleh kebahagiaan yang kekal abadi dalam syurga Tuhanku.”

Qais memandang Laila  dengan penuh rindu, dirayu kekasihnya itu dengan kata-kata, “Laila kekasih hatiku, seru namaku daripada keindahan di sana supaya kita dapat bertemu dan bersama selama-lamanya.”
Laila menjawab, “Wahai kekasihku Qais, tidak lama lagi kita pasti bertemu dan bersama selama-lamanya.”
Selepas Qais terjaga daripada tidurnya itu, beliau tidak berdaya bergerak ke mana-mana lagi. Qais memendam rindu yang mendalam kepada Laila. Tujuh hari berada di pusara Laila, Qais akhirnya meninggal dunia.

Begitulah agungnya sebuah kisah cinta agung Qais dan Laila. Saya tidak pasti kesahihan cerita ini, tapi ini adalah karya dari Parsi (Iran). Menurut seorang sahabat saya yang faqih dalam hal agama, katanya cerita ini benar  dan pernah berlaku di zaman pemerintahan Umayyah, sewaktu pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan (Zaman pemerintahan monarki Islam). Kisah Qais dan Laila didendangkan dengan irama ghazal. Islam itu agama penuh seni.

Wallahualam.


P/S: Hanya mengisi masa lapang dengan menulis..:)

Wednesday, October 23, 2013

Merindui Ketenangan Itu...

Kata orang jauh perjalanan, indah permandangan. Kata Imam Al Ghazali, perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa lampau. Kehidupan ini silih berganti namun kenangan kekal terpahat di memori. Biar gambar ini merungkai kerinduan di hati.

Jalan ke kampus (bicycle route)



Belakang ICR

Apples di Public Market of Rochester

Apple di G n S Orchard

Apple picking

Letchworth State Park, New York

Building 1, RIT

Lowenthal Road






Mendon Pond Park

The Lake Isle of Innisfree?

Saya hanya berharap dapat kembali ke sana walau hanya seketika..:)


Saturday, October 19, 2013

Oh Tuhan, Aku HambaMu...

Ya Allah,
Tatkala insan sedang diulit mimpi
Aku bangkit dalam sunyi sepi
Memohon ampun dan kekuatan diri
Bagi menempuh onak dan duri
Mengharungi kehidupan duniawi
Mendepani mehnah dan tribulasi

Ya Rahman,
Aku insan kerdil lagi lemah
Menagih kasihMu yang mencurah
Sesekali aku terasa lelah
Seketika ujianMu mencelah
Menunjukkan aku sebuah hikmah
Sesungguhnya Engkaulah ya Allah
Tuhanku yang penuh rahmah

Ya Rahim,
Akan ku terus ketuk pintuMu
Walau terkadang aku dilanda jemu
Namun kasihMu sentiasa bertamu
Menjengah aku yang adakala buntu
Andai ujian datang bertalu
Aku punya Engkau yang satu

Ya Hakim,
Engkau tuhanku yang maha bijaksana
Sedang aku hambaMu yang hina dina
Denai kehidupan yang tersisa
Ku telusuri demi sebuah bahagia
Mencari sakinah di negeri sana

Oh Tuhan, aku hambaMu.

Apa khabar Rochester dan isinya? Moga baik-baik saja.

Monday, October 7, 2013

Bercita-Citalah...

Salam kepada sahabat semua.Semoga Allah menunjukkan kita kebenaran dan memberi kekuatan ke arah jalan kebenaran itu.
Amma ba’d.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz hanya memerintah selama 30 bulan atau cuma dua tahun setengah sahaja. Namun keadilan di bawah pemerintahannya tiada tolok bandingnya pada zaman itu apabila diumpamakan serigala boleh berkawan dengan kambing di atas padang ragut yang sama. Di bawah lembayung keadilan pemerintahannya tiada siapa di wilayah-wilayah Islam yang layak menerima zakat kerana semua orang sudah merasa kaya. Inilah kesan sebuah kepimpinan yang bertunjangkan keadilan dan ketaqwaan.

Banyak kisah-kisah hebat tentang seorang figura yang agung ini. Dalam banyak-banyak kisah, saya tertarik dengan satu sikap Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini. Baginda sering bercita-cita ingin menjadi atau mendapatkan yang terbaik. Baginda pernah berkata:

"Sesungguhnya jiwaku adalah jiwa yang mempunyai banyak cita-cita. Aku pernah bercita-cita menjadi amir (gabenor madinah), aku telah mendapatkannya. Aku bercita-cita menjadi seorang khalifah, aku juga telah mendapatkannya. Sekarang, cita-citaku adalah syurga, dan aku berharap mendapatkannya."

Dalam sebuah hadith qudsi, Allah menjanjikan naungan Allah di hari tiada naungan, yang pertama sekali adalah pemimpin yang adil.

Dalam hidup, kita perlu bercita-cita tinggi kerana daripada cita-cita itu, gelombang atau aura positif akan dihantar ke minda dan jiwa lalu terhasillah tindakan yang positif. Namun, bercita-cita tinggi itu, haruslah membawa kita kepada mencari redha Allah dan membahagiakan kita di hari akhirat kelak. Tanamlah cita-cita yang tinggi dalam sanubari serta berfikirlah secara positif dan pohonlah segala hajat yang baik kepada Allah. Allah maha kaya dan Dia maha mengasihani.


Jangan pernah takut untuk bercita-cita tinggi.

Menuju puncak kejayaan.

Sunday, October 6, 2013

Setabah Yukabid...

Salam buat sahabat semua. Semoga Allah menganugerahkan kebaikan dalam hidup kita.
Amma ba’d.

Kenalkah kita kepada Yukabid?

Firaun pada zaman kelahiran Nabi Musa AS, mengeluarkan satu arahan di luar batasan pemikiran akal yang waras, iaitu membunuh semua bayi lelaki yang lahir. Hal ini kerana, dia bermimpi bahawa akan ada suatu masa, kekuasaan firaun akan hancur disebabkan oleh seorang anak lelaki bani Israel. Merasakan kedudukannya yang terancam, arahan gila ini dikeluarkan. Semua bayi lelaki dibunuh di hadapan ibu bapa mereka.

Yukabid, ibu Nabi Musa AS, berasa amat bimbang setelah melahirkan Nabi Musa AS. Ibu mana yang tidak menyanyangi anaknya? Anak yang dilahirkan dengan penuh susah payah, tiba-tiba ada satu arahan bayi yang suci itu mesti dibunuh. Naluri keibuan Yukabid sangat bimbang akan keselamatan anaknya. Lalu datanglah ilham dari Tuhan Arrahman supaya Nabi Musa AS, diletakkan di dalam tong atau peti kemudian dialirkan di atas Sungai Nil. Ibu itu masih tidak senang hatinya memkirkan nasib akan anaknya. Sungai Nil yang alirannya deras, ada binatang yang buas dan ganas, serta kemungkinan saja peti itu terbalik lalu tenggelam. Naluri keibuan yang kuat sangat sukar untuk melepaskan anaknya pergi, namun itulah ilham dari Tuhannya agar anaknya selamat. Allah berfirman:

“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke Sungai Nil, maka biarlah aliran sungai itu membawanya terdampar ke tebing, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu(Musa); dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.” (Taha 20:38-39)

Siapakah yang memungut Nabi Musa AS? Firaun itulah yang mengutip serta menjaganya dengan penuh kelengkapan. Kakak Nabi Musa AS, Maryam setiap hari pergi ke istana Firaun untuk mengetahui perkembangan adiknya. Suatu hari, isteri Firaun, Asiah (wanita solehah) mencari ibu susuan bagi Nabi Musa AS. Lalu Maryam memberitahu dia tahu siapa yang boleh menyusukannya. Insan itu tidak lain adalah Yukabid, ibu bayi yang mulia itu sendiri. Lalu datanglah Asiah serta pengawal-pengawal istana ke kampong di mana Yukabid tinggal.


Inilah kisah-kisah orang yang YAKIN,PERCAYA serta MENYERAHKAN segala-galanya kepada Tuhannya yang maha pemurah. Allah sesekali tidak akan membiarkan hamba-hambanNya yang mengharap dalam kebuntuan melainkan pasti ditolong. Kita punya Allah, mengapa minta selain daripadaNya? Allah tidak pernah jauh dari kita. Adakah kita cuba mendekatkan diri kepada Allah? Jika Yukabid itu Tuhannya Allah, siapa pula Tuhan kita jika bukan Arrahman dan Arrahim itu? Pohonlah kepadaNya dan letakkanlah segala pergantungan hanya kepadaNya. Semoga Allah membantu kita dalam urusan dunia dan akhirat kita.