Thursday, May 30, 2013

Mereka...

Salam kepada sahabat semua. Semoga Allah meneguhkan pendirian kita dalam Islam.
Amma ba’d.

Selalu kita terdengar bahawa jika kita berazam dan meneguhkan pendirian untuk berubah menjadi baik, maka Allah akan ‘hantarkan’ orang-orang yang baik dalam hidup kita. Kenyataan ini benar. Insan walau sejahat mana dia, pasti ada sekelumit di hatinya mahu berubah menjadi baik, yang tinggal sama ada dia terus menerus mengikut hawa nafsu atau mujahadah melawan nafsu.

Hikmah adalah perkara yang tersirat di sebalik yang tersurat. Kadang-kadang, kita tak mampu menerka apa yang sedang berlaku ke atas kita, kenapa berlaku ke atas kita; sehinggalah Allah menyingkap hikmah tentang takdir yang menimpa kita.

Saya Cuma ingin meringkaskan sepanjang saya berada di Rochester, antara hikmah yang tersingkap adalah dihadirkan tiga orang insan yang cukup bermakna bagi diri saya.

Bersama Dr Rauf Bawany

Dr Rauf Bawany merupakan bekas pakar sakit kanak-kanak (pediatrician) yang sekarang merupakan Muslim chaplain  di RIT. Beliau merupakan orang yang sering saya rujuk bagi meminta pendapat sama ada berkenaan agama, isu semasa dan juga peribadi. Banyak sudah nasihat dan manfaat yang saya perolehi daripada beliau. Seorang yang lurus hatinya, sentiasa hormat dan sayang akan anak muda seperti saya. Seorang yang tidak lekang memberi semangat jika saya menyatakan sesuatu hasrat untuk membuat kebaikan. Semoga Allah merahmatinya dan keluarganya.

Bersama Dr Shakeel Sharif

Dr Shakeel Sharif yang merupakan seorang pakar mata (ophthalmologist) yang setiap minggu mengorbankan masanya untuk membuat kelas tafseer di RIT semenjak bulan Disember 2011. Kitab tafseer yang digunakan adalah kitab tafseer Ibnu Katheer. Banyak pencerahan saya dan sahabat-sahabat di sini perolehi sepanjang mengikuti kelas tafseer beliau. Saya masih ingat, ketika bulan ramadhan tahun lepas, beliau mengadakan kelas tafseer  mengupas surah luqman dan diadakan internet live streaming. Namun, memandangkan saya di Malaysia baru sahaja selesai solat tarawikh dan perlu tidur untuk bangun sahur, maka saya tidak mengikutinya. Semoga Allah merahmatinya dan keluarganya.

Bersama Imam Ismet Husny Akcin

Imam Ismet merupakan imam bagi Islamic Center of Rochester (Masjid di sini). Beliau begitu gigih menyantuni anak muda. Di ICR, beliau mengadakan kuliah tafseer mingguan, tazkirah subuh dan maghrib setiap hari, kuliah tafseer khas bagi muslimat serta bersedia dijemput ke mana-mana program jika pelajar Malaysia ingin menjemputnya. Beliau yang berbangsa Turki, amat santun peribadinya serta senantiasa mendoakan kebaikan Jemaah yang hadir di ICR. Wajahnya yang sentiasa tersenyum, sungguh menenangkan bagi siapa sahaja yang melihatnya.

Inilah antara insan-insan yang telah saya ambil manfaat daripada mereka sepanjang keberadaan saya di sini. Sebenarnya ramai lagi sahabat-sahabat yang ingin saya sebutkan nama mereka tetapi saya biarkan mereka hanya di kotak memori saya. Mereka yang membentuk siapa saya sekarang. Saya bersyukur kepada Allah kerana dianugerahkan insan-insan yang semangatnya kental walaupun diri mereka sangat sibuk dengan urusan duniawi.


Satu persoalan yang muncul di minda saya, mereka telah menyumbang sesuatu untuk kebaikan Islam. Semoga Allah menerima amal-amal soleh mereka. Apa pula sumbangan saya kepada Islam sepanjang lebih kurang 23 tahun menjadi Muslim? Allah, ampunilah kelemahan hambaMu ini.

Allahul mustaan.

Friday, May 24, 2013

Fasa Baru...

Salam kepada sahabat yang diredhai Allah. Semoga urusan kita dipermudahkan Allah.
Amma ba’d.

Kurang dari dua minggu saya akan meninggalkan bumi Uncle Sam. Perasaan memang bercampur baur. Sedih sebab akan berpisah dengan rakan-rakan dan komuniti Muslim di sini namun dalam masa sama, gembira kerana bakal balik bersama dengan keluarga. Antara paling saya terharu, Imam Ismet mengatakan, “ We’re gonna miss you.”
RIT class of 2013

Apapun inilah fasa-fasa kehidupan yang mesti ditempuhi. Saya sentiasa percaya every exit is an entrance to another phase of life. Sering juga saya fikirkan, di lembah mana di bumi Allah akan saya meneruskan kehidupan? Persoalan ini kadang-kadang begitu misteri kerana saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang pasti. Namun, sesuatu yang sentiasa saya harapkan adalah di mana bumi saya dipijak, saya mampu tetap dan istiqamah dengan Islam dan perjuangannya. Diri ini bukanlah bagus, tetapi sedar inilah tanggungjawab yang akan dipersoalkan Allah apabila dijemput pulang ke pangkuaNya.

Ada satu doa yang dibaca oleh Nabi Musa yang dirakamkan oleh Allah dalam Alquran:

رَبّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْت إِلَيَّ مِنْ خَيْر فَقِير


Jadi, marilah sama-sama cuba mengamalkan doa ini agar kita sedar kebergantungan dan segala nikmat hanyalah daripada Allah.

Selamat menempuh alam baru buat sahabat-sahabat saya di RIT. Kenangan bersama kalian sentiasa terpahat kukuh. Seeru a'la barakatillah.

Tuesday, May 21, 2013

Coretan Graduasi...


Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurniaNya, saya selamat bergraduasi dan menamatkan undergrad studies di bumi  Uncle Sam. Tiga tahun berada di bumi asing, menjadikan saya lebih menghargai Islam yang saya anuti ini. Saya juga belajar melihat Islam dan kehidupan dari perspektif asing yang berbeza. Islam sebagai rahmatan lil a’lamin.

Bergambar sebelum ke dewan graduasi

Di sebalik kecemerlangan ini, saya yakin adanya mereka yang jauh dengan saya mendoakan kecemerlangan dan kebaikan buat saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Saya juga sedar, ini bukanlah penamat kepada dunia akademik saya tetapi ia satu pintu baru untuk saya melangkah ke alam reality yang saya tidak pasti bagaimana cabarannya. Namun, satu hakikat yang saya pasti, taatilah Allah, nescaya Allah sentiasa ada bersama saya.

Melangkah gagah

Saya pernah jatuh baik dalam akademik mahupun semangat, namun berjaya bangkit semula. Menghadapai konflik dalaman mahupun luaran merupakan asam garam kehidupan anak perantau. Namun Allah telah menyingkapkan hikmah demi hikmah. Alhamdulillah.

Jatuh bangun bersama mereka

Pesanan kepada sahabat yang masih lagi berjuang di bumi asing, tekun dan bersabarlah. Letakkan kebergantungan hanya kepada Allah kerana dia Ar Razaq.

Alhamdulillah. Semoga redha Allah bersama

Apapun, semoga Allah mengampuni segala dosa saya sebelum ini dan meredhai saya sebagai hambaNya. Semoga Allah bantu dalam setiap langkah.

Allahul mustaan.

Sunday, May 12, 2013

Apa Lagi Cina Mahu?...


Salam kepada sahabat, semoga tenang dalam mengahdapi liku-liku kehidupan ini.
Amma ba’d.

Baru-baru ini timbul isu perkauman dalam politik tanah air kita. Utusan Malaysia dengan muka depannya ‘Apa Lagi Cina Mahu? Memainkan sentiment perkauman yang boleh mencetuskan ketidakstabilan kaum di Malaysia. Saya tidak mahu membincangkan statistic berapa ramai ahli parlimen Melayu atau Cina di dalam dewan rakyat sekarang kerana saya yakin, bagi sesiapa yang cakna akan politik pasti mendapat gambaran jelas, ahli parlimen manakah yang lebih ramai.
Muka Depan Utusan Malaysia yang bertarikh 7 May 2013

Saya ingin tegaskan, bahawa dalam Islam, perkauman di tolak sama sekali. Saya teringat kisah Bilal bin Rabah dan Abu Dzar Alghifari. Berikut adalah kisah yang pernah terjadi pada Zaman Rasulullah SAW.

Di dalam riwayat pernah diceritakan, Abu Zar r.a memanggil Bilal r.a dengan gelaran “wahai anak hitam”. Bilal r.a yang mendengar panggilan tersebut terdiam dan tidak membalas panggilan Abu Zar r.a itu. Dengan rasa kesal Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah untuk mengadukan hal tersebut. Tiba di rumah Rasulullah, Bilal r.a meluahkan isi hatinya pada Rasulullah SAW. Seketika sahaja, berubah wajah Rasulullah SAW menjadi merah padam. Rasulullah SAW terus ke tempat Abu Zar berada, tetapi hanya lalu sahaja. Rasulullah SAW terus ke masjid.

Mengetahui bahawa Rasulullah SAW marah padanya, lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berkata kepadanya “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina Bilal dan menghina asal usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal usulnya adalah orang jahiliyah sebelum masuk Islam, dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa-sisa jahiliyyah”.

Abu Zar r.a merasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu pada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan pintalah Allah ampunan atas doaku…”  Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal r.a, Abu Zar merangkul Bilal sambil memohon maaf padanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata “Demi Allah wahai Bilal aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu injak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.

Demikian cerita bagaimana Bilal bin Rabah dari keturunan Habsyah yang berkulit hitam di hina oleh orang arab.Ini menunjukkan betapa sentiment perkauman sangat tidak diterima dalam Islam.

Saya pernah menulis status di FB dengan status berikut:
Klik untuk pembesaran


Semalam, semasa majlis Seniors Grad Night, sahabat Cina saya ini berkata kepada saya.

“Eh, thanks for coming on that night. You should do it more. Sejak you datang malam tu, I punya persepsi berubah tentang politik negara.”

Malam itu, saya masih ingat selain kami bersembang pasal business planí,kami juga bersembang pasal isu politik semasa, isu PPSMI, isu pentadbiran awam dan isu hudud  (serta saya ceritakan juga kepadanya tentang Islam yang syumul ini). Katanya lagi, dia sangat menghargai pertemuan malam tu, dan berharap saya untuk buat macam tu lagi sebanyak mungkin.

Ringkasnya, apabila timbul persoalan ‘Apa Lagi Cina Mahu?’ jawapannya, mereka mahu agar diberi penerangan yang sebenar tentang Islam dan intipati ajarannya.

Wallahualam.

Thursday, May 9, 2013

Sampaikan Kami Kepadanya...


Insha Allah, lagi dua bulan umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Marilah bersedia untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini.

Allahumma bariklana rajaba wa sha'ban, wa balighna ramadhan.

Kredit Gambar: Islamic Wallpaper


Monday, May 6, 2013

Pasca PRU 13...


Salam kepada sahabat semua. Semoga Allah melindungi daripada fitnah dan mengasihi kita semua.
Amma ba’d.

Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke 13 telah berlangsung. Keputusan seperti semua sedia maklum adalah seperti berikut:

Parlimen:

BN: 133 Kerusi
PR: 89 Kerusi

Dewan Undangan Negeri:

BN: 275 Kerusi
PR: 229 Kerusi

Makanya, Kerajaan persekutuan masih lagi diperintah oleh Barisan Nasional. Selangor, Pulau Pinang, dan Kelantan kekal di bawah pentadbiranPakatan Rakyat. Kedah diserahkan semula kepada Barisan Nasional.
Dikatakan juga beberapa negeri pada kiraan awal mendapati bahawa telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat, namun ‘magic’ berlaku lalu kiraan dilakukan semula dan hasilnya Barisan Nasional kembali menguasai negeri-negeri tersebut.

Saya secara peribadi mengharapkan sinar Pakatan Rakyat memerintah Malaysia pasca PRU 13 bukanlah kerana Pakatan Rakyat adalah yang terbaik tetapi BN telah terbukti segala salah guna kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan rakyat marhaen dan segala bentuk lagi penyelewengan. Ini menunjukkan rakyat sudah muak. Saya mengikuti perkembangan keputusan PRU13 seawal 3 pagi waktu New York (3 petang waktu Malaysia). Pukul 12 tengah hari waktu New York saya menghadiri kelas tafseer Dr Shakel dan segala perkembangan PRU 13 saya hentikan seketika.Memang hati dah berbunga memikirkan bahawa Pakatan Rakyat akan memenangin PRU  kali ini. Semasa dalam kelas tafseer, saya mendapat mesej daripada sahabat saya yang berada di Michigan:

“lain kalilah Yun, inshaAllah”

Saya terkedu seketika. Tumpuan dalam kelas hilang seketika sambil muncul beberapa persoalan timbul dalam kepala.

Apakah hutang negara akan terus meningkat? Bagaimana dengan kos sara hidup rakyat? Apakah mungkin berlaku peningkatan gaji bagi pekerja sector awam dan swasta? Apakah jaminan keharmonian kaum akan lebih terjamin? Bagaimana pula dengan jaringan keselamatan sosial? Apakah kadar jenayah dan rasuah akan terus meningkat? Apakah media arus perdana akan terus disekat dan berat sebelah?

Ini adalah sebahagian soalan yang muncul di minda. Bermaksud dalam lima tahun lagi, jika Barisan Nasional tidak mengubah corak pentadbirannya sebelum ini, maka rakyat Malaysia akan terus berada dalam situasi yang sukar begini.

Memang saya akui terkilan dengan keputusan PRU 13 kali ini namun pada sebelah petangnya, saya mengajak beberapa sahabat ke Ontario Lake yang terletak 25 minit dari rumah saya bagi menenangkan fikiran. Mereka sependapat dan turut berkongsi rasa duka cita bahawa Pakatan Rakyat kalah kali ini. Namun ada beberapa yang kami bincangkan. Kita tidak boleh tunggu sehingga PRU 14 baru mula nak bekerja tetapi kerja memenangkan Islam mesti dimulakan dari sekarang. Kami bersepakat, bahawa kami kena mula mendidik masyarakat kepentingan ilmu. Kena turun untuk membuat kebajikan kepada penduduk kawasan pedalaman, terangkan kepada mereka situasi politik semasa, jangan takut kepada perubahan, serta memenangi hati mereka.

Inilah adalah sebahagian yang mampu kami lakukan untuk memastikan kemenangan kepada keadilan dan kesejahteraan di Malaysia. Tenang sedikit rasanya selepas sembang santai begini di Tasik Ontario. Harapan kami kepada kerajaan Barisan Nasional agar mereka lebih telus dan adil dalam pentadbiran serta mengubah corak pentadbiran boros kepada berjimat cermat.

Sebagai orang Muslim, saya meyakini bahawa saya mesti terus bekerja supaya keindahan Islam akan terzahir suatu hari nanti. Insha Allah. Jangan bersedih, Allah bersama kita. Senyum.