Salam kepada sahabat yang saya
kasihi kerana Allah. Semoga sentiasa dalam perlindungan Allah.
Amma ba’d.
Sedar tidak sedar, sudah dua
minggu saya berada di Malaysia. Dari segi pembangunan, saya tidak nampak banyak
perubahan tetapi semasa memandu di jalan raya, kereta-kereta mewah seperti BMW,
Toyota Camry, Nissan Teana dan banyak lagi sudah banyak kelihatan. Apakah taraf
hidup rakyat sudah meningkat? Mungkin ya. Memang perubahan sebegini yang kita
harapkan namun cukupkah sekadar meningkatnya taraf hidup sedangkan sikap dan mentality
masih di takuk lama. Saya akui memandu di Malaysia memaksa saya menjadi defensive
driver; sentiasa lebih berhati-hati daripada biasa. Penunggang motosikal
yang melanggar lampu isyarat, pemandu kereta yang tidak bertimbang rasa, dan
banyak lagi perkara-perkara bahaya yang dilakukan oleh pemandu di Malaysia. Mentality
yang suka berada di zon selesa, takut melakukan perubahan adalah gejala yang
melanda masyarakat Malaysia khususnya golongan warga emas. Namun gelombang yang
berlaku saya lihat positif apabila semakin ramai artis dan bekas-bekas pegawai
tertinggi kerajaan sudah mula bersama gerakan politik Islam. Ini dilihat
sebagai perkembangan positif kerana mereka mempunyai pengaruh tersendiri.
Pasal makanan di Malaysia, saya
tidaklah terlalu teruja sebab saya bukan gourmet. Namun setiap pagi,
apabila ayah pergi kerja, dan adik bongsu saya pergi sekolah, saya dan emak
pergi pasar dan makan roti canai. Inilah rutin harian saya. Buat masa sekarang,
hajat ingin berendam dalam air terjun yang sejuk belum lagi kesampaian.
Dalam dua minggu pertama ini,
saya merancang untuk ziarah sanak saudara dan guru-guru sekolah rendah saya.
Alhamdulillah Allah izinkan bertemu sanak saudara dan guru-guru sekolah rendah
saya. Apa yang menariknya, semasa saya bertemu guru-guru saya pada hari selasa
lepas, topik saya bakal berkahwin juga hangat diperkatakan oleh guru-guru
sekolah rendah saya. Walaupun hampir 10 tahun saya sudah meninggalkan sekolah
rendah namun, semua cikgu masih mengenali diri saya; mungkin sebab saya
dahulunya ketua murid sewaktu darjah 6 dan juga hanya satu-satunya anak murid
mereka yang belajar di luar negara dalam batch saya.
“Teacher dengaq kamu nak kawen. Betoi
ka? Sebab teacher tengok fb Nazrul, ramai sangat kawan-kawan dok komen Nazrul
nak kawen”
Soalan teacher Farah tengah hari
itu menyebabkan saya berfikir bagaimana saya harus menjawabnya. Selama dua jam
setengah bersama guru-guru sekolah rendah pagi itu, menyebabkan saya terfikir
betapa jasa seorang guru sangat besar.
“Dari kakak kamu, kamu, adik-adik
kamu, semua cikgu yang ajar. Cikgu duk tang ni ja, kamu dah melepas ke Amerika”
Begitulah cerita guru-guru
sekolah rendah saya. Kebanyakannya sudah berkhidmat di sekolah rendah saya itu
lebih 15 tahun. Ya Allah Engkau berkatilah guru-guruku, sesungguhnya jasa
mereka kepadaku cukup besar.
Bermula minggu hadapan, ada
daurah di Shah Alam dan saya akan bertolak ke KL pada hari ahad pagi. Semoga Allah
permudahkan. Bulan Julai pula semakin banyak daurah, ijtima’, meeting
dan kenduri kahwin sahabat-sahabat saya dari KISAS. Barakallahulahum.
Dua minggu yang pertama ini,
terasa begitu cepat masa berlalu. Saya sedar saya dan sahabat-sahabat semakin
membesar, oleh itu peranan dan tanggungjawab juga semakin mencabar.Penting bagi
saya untuk sentiasa berwaspada dan sensitif dengan persekitaran saya.
Wallahua’lam.
Makan pasembor dengan mak dan adik di Padang Kota Lama