Saturday, April 28, 2012

Persahabatan...


Salam kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memberi hidayah dan taufiq kepada kita agar kekal di atas landasanNya.
Amma ba’d.

Demonstrasi BERSIH 3.0 telah tamat saya kira, namun kesan yang dihrapkan biarlah positif. Seiring tamatnya Demonstrasi ini, maka entri kali ini juga merupakan cooling down kepada artikel-artikel, berita-berita, status-status FB,Twitter yang mungkin tegang sebelum ini.

Ada yang memandang BERSIH 3.0 sebagai positif dan ada memandangnya dengan penuh stigma. Apa pun pandangan kalian, diharapkan ianya bersumberkan dalil Alquran dan Assunnah. Jangan memandang sesuatu perkara atas semangat dan fahaman assabiah. Jangan pula yang semangat menyokong dan mengkritik sesuatu perkara atas dasar kepentingan-kepentingan nafsu.

Kita sebagai rakyat Malaysia memang cintakan tanah air. Saya sejujurnya, sangat rindu dan ingin segera pulang berbakti kepada Negara. Setelah hampir dua tahun merantau di Negara orang, saya sampai kepada konklusi bahawa buruk baik Negara, saya adalah rakyatnya dan menjadi tanggungjawab saya untuk membawa dan memelihara kemakmuran bumi Malaysia. Di situlah saya dilahirkan, di situ saya dibesarkan, di situ saya mempunyai keluarga, saudara dan sahabat handai, di situ lah saya akan pulang berbakti, Insha Allah.

Saya ingin berkongsi satu ayat Alquran yang kita ketahui:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan ketaqwaan” (Al Zukhruf 43:67)

Saya terbaca satu status FB, “Kawan jadi lawan kerana politik”. Saya cukup tidak bersetuju, kerana perbezaan ideology politik, kita bermasam muka, hubungan kita renggang, dan kita tidak bertegur sapa. Baik, berbeza keadaan di US ini misalnya; hanya ada dua parti politik yang akan bertanding iaitu Democrat dan Republican. Semasa mereka berkempen, mereka membentangkan idea dan agenda serta hala tuju Negara tetapi setelah berlangsungnya pilihan raya, parti yang menang boleh duduk semeja dan sama-sama berbincang melaksanakan agenda Negara.

Kalau ideology politik itu bertentangan dengan dasar Alquran dan Assunnah, apakah kita umat Islam yang beriman kepada Alquran dan para rasul boleh menerimanya. Nah, atas dasar ini, sudah saya perjelaskan dalam entri-entri sebelum ini bahawa neraca pertimbangan kita hanyalah Alquran dan Assunnah. Satu membawa kepada prinsip-prinsip Islam; keadilan, kebajikan, kebaikan dan satu lagi membawa kepada prinsip-prinsip taghut; sekularisme, hedonism, kapitalsime.

Atas dasar ini, perlunya kepada akhlaq yang mahmudah dalam mengahadapi perbezaan ideology politik. Kepada yang membawa ideology politik Islam, kita harus berakhlaq dalam menerangkan kebenaran dan kepada yang tidak tahu serta masih bergelumang dengan system sekularisme, janganlah menyombongkan diri kepada kebenaran kerana kesombongan tersebut tetap juga akan menyampaikan kita ke kubur dan bertemu Mungkar dan Nakir.

Melalui ayat ini, Allah mengingatkan kita agar sampaikan kebenaran walaupun natijahnya kita mungkin dipulaukan, dicaci, ditohmah dan sebagainya kerana bermusuhan di akhirat itu lebih teruk akibatnya berbanding tidak bertegur sapa di dunia kerana seruan kebenaran kita tidak diendahkan. Kalau kita berkawan baik di dunia, tetapi berkawan atas dasar kebatilan, maka di akhirat kita akan bermusuh-musuhan. Namun andai persahabatan kita di atas dasar kebenaran; saling tegur menegur, saling nasihat-menasihati antara satu sama lain, semoga Allah redha akan persahabatan ini dan kita akan kekal bersahabat di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.


"..dan hendaklah kamu bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan taqwa dan jangan pula kamu bertolong-tolong dalam melakukan maksiat dan pencerobohan kepada Allah, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksaNya” (Al Maidah 5:2)

Wednesday, April 25, 2012

Perkaitan...


Salam kepada sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, semoga Allah melimpahkan rahmatNya buat kita hamba-hambaNya.
Amma ba’d.

Trend facebook, twitter, blog dan pelbagai medium sosial yang lain memberi impak yang besar dalam penyebaran maklumat masa kini. Namun, dalam pelbagai maklumat yang kita terima haruslah kita bijak menapis, kerana ada sesetengah maklumat berbaur fitnah serta tidak betul. Baik, mengenai sebar berita fitnah mendapat balasan neraka dan azab yang pedih, tidak perlu lagi diberitahu kerana saya yakin semua sedia maklum akan ancaman Allah yang maha dahsyat ini.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasiq membawa berita, maka siasatlah tentang kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan” (Alhujurat 49:6)

Apa yang saya perhatikan, ada sesetengah rakan berkongsi tentang jodoh,nikah khitbah, perihal cinta dalam Islam dan banyak lagi yang mempunyai tajuk seangkatan dengannya. Ada pula yang berkongsi tentang politik, isu-isu kenegaraan, perihal parlimen dan salah laku ahli politik. Banyak juga yang berkongsi tentang dakwah dan tarbiyah, isu-isu Palestin, Syiria dan perihal umat Islam sejagat. Namun, tidak kurang juga yang berkongsi tentang penemuan-penemuan sains terbaru yang lebih bersifat akademik.jadi, setiap daripada kita mempunyai minat masing-masing (own interest).

Namun, menjadi sedikit masalah jika kita gagal menghubung kaitkan perkongsian-perkongsian di atas di antara satu sama lain. Sebagai contoh bagi yang gemar berkongsi perihal politik, ada sesetengahnya menganggap tidak ada kaitan dengan dakwah dan tarbiyah. Ada pula hidupnya hanya berkisar perihal dakwah dan tarbiyah dan menganggap agenda politik adalah kotor dan tiada mengena dengan dakwah dan tarbiyah. Begitu juga yang berkongsi tentang jodoh dan nikah gagal menghubung kaitkan dengan politik. Ada juga yang berbicara tentang politik tetapi tidak nampak perkaitannya dengan jodoh dan pernikahan.

Apa yang saya percaya, kesemua minat kita mempunyai hubung kait di antara satu sama lain. Bagaimana hubung kait tersebut? Begini, jika kita bercakap soal politik tetapi mengketepikan aspek dakwah dan tarbiyah, kita akan melihat lahirnya politikus yang tidak berakhlaq dalam parlimen, memakan rasuah, melakukan salah laku kuasa serta menyeleweng dana rakyat. Begitu juga jika kita hanya mementingkan aspek dakwah dan tarbiyah dan mengabaikan hal politik, yakinlah kuasa tidak menjadi milik umat Islam. Segala idea-idea Islamik kita hanyalah bersifat idealistik tanpa mampu diterjemahkan dalam bentuk realistik. Jika kita hanya memikirkan soal jodoh soleh/solehah dan mengabaikan aspek politik (biasanya soal jodoh ini jarang dipisahkan dengan soal tarbiyah dan dakwah), ini bermaksud kita gagal memikirkan kebaikan untuk zuriat yang bakal lahir daripada sulbi kita. 
Menuju Malaysia yang sejahtera

Kita tahu, bahawa golongan politikus adalah entiti yang diberi mandat kuasa untuk menentukan hala tuju negara; baik dari dasar ekonomi, pendidikan, sosial serta pembangunan negara. Saya amat mengambil berat soal pendidikan kerana realiti hari ini, walaupun negara kita diishtihar sebagai negara Islam, tetapi agenda islamisasi tidak nampak pesat berkembang kerana anak-anak muda kita, mahasiswa negara kita tidak terdedah kepada pendidikan yang mampu menjadikan mereka berfikiran kritikal serta berbalas hujah dengan non-muslim. Pendidikan sedia ada sekarang yang bersifat exam-oriented­ menjadikan pelajar-pelajar kita hanya tahu menghafal kemudian memuntahkannya semula semasa menjawab exam. Apabila tamat belajar dan turun dalam lapangan, mereka tidak mampu melakukan kerja dalam lapangan kerja yang semakin meluas dengan efektif. kita tidak boleh nafikan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tetapi realiti hari ini kita dapati masa kebersamaan ibu bapa dan anak-anak sangat kurang. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya, anak-anak pula sibuk dengan aktiviti di sekolah. Ibu bapa tidak punya banyak masa untuk memerhati anak-anak; sebahagian tanggungjawab ‘terpaksa’ diserahkan kepada para guru. Jika sistem pendidikan tidak dapat diperbetulkan, hasrat untuk melahirkan human capital hanyalah angan-angan kosong.

Tambahan lagi, perkaitan antara pernikahan dan politik ini adalah, kita sedia maklum semua pasangan yang berkahwin menginginkan zuriat. Baik, di atas saya telah bincangkan soal kepentingan pendidikan buat generasi masa hadapan. Soal kedua adalah soal keselamatan, apakah kita tidak bimbang dengan meningkatnya kadar zina, buang bayi, pecah rumah, rompakan, gangsterism serta vandalisme? Dimana kewajaran untuk ibu bapa melepaskan anak-anak keluar ke sekolah, bermain-main di laman dengan anak jiran sebelah, keluar untuk beraktiviti di sekolah jika soal keselamatan diabaikan? Kalau menunggu di hadapan pagar sekolah pun mempunyai kemungkinan yang besar untuk diculik, apakah jaminan keselamatan berada di tempat-tempat lain seperti padang permainan?
Kita ingin terbang lebih jauh

Pentingnya disini, selain memilih pasangan hidup yang terbaik, penting juga untuk memilih bakal pemimpin negara yang dapat menjamin keberkesanan serta kualiti pendidikan dalam mencapai objektif melahirkan modal insan ataupun memetik istilah Alquran disebut sebagai ulul albab. Pemimpin yang baik juga akan memastikan soal keselamatan, ketenteraman serta keamanan negara berada dalam tahap yang paling baik.
Khulasahnya, setiap satunya mempunyai perkaitan antara satu sama lain cuma dalam membuat pertimbangan, kita harus mempunyai neraca. Apakah neraca kita? kita mempunyai neraca pertimbangan Alquran dan Assunnah dalam kehidupan. Jadi, gunakanlah neraca ini untuk melakukan perkaitan dan timbang tara dalam melakukan hal berkaitan duniawi serta ukhrawi kita. Kita mampu hidup dengan lebih baik. Peace.

Wallahua’lam.

Monday, April 23, 2012

Your Call...


Salam kepada sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Semoga rahmat Allah melimpah ruah dalam kehidupan seharian kita.
Amma ba’d.

Siapa sahaja kita, kehidupan hanyalah di antara dua. Iman atau kufur, berjaya atau gagal, kaya atau miskin, hidup atau mati, cinta dan benci. Dan di antara dua tersebut, jawapan kepada diri hanyalah YA atau TIDAK. Jika ditanya mahu berjaya atau gagal, pastilah orang waras akal fikirannya menjawab YA.
Jawapan YA atau TIDAK menentukan tindakan kita dalam pelbagai soalan kehidupan. Jika kita ingin berjaya, ingin jadi kaya, ingin jadi pandai, maka jawapan YA akan disusuli dengan tindakan yang betul bagi mencapai tujuan tersebut.

Namun dalam hidup, ada sesetengah perkara yang sama ada jawapan kita YA atau TIDAK, kita mesti melalui iaitu persoalan tentang kematian. Jika ditanya, sama ada kita ingin mati atau tidak, jika kita menjawab YA atau TIDAK kita pasti mati kerana inilah sunnah kehidupan yang telah termaktub dalam Al Quran.
Di sini ada kaitan antara iman dan kehidupan. Kita boleh memilih untuk beriman atau tidak, namun kita tidak boleh memilih sama ada untuk mati atau tidak. Allah berfirman;

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan dalam Islam” (Ali Imran 3:102)
 
Memandangkan kita wajib mati, pilihan sama ada untuk beriman atau kufur harus dibuat dengan sedar konsekuens yang bakal kita hadapi selepas kita mati kelak. Jika kita beriman kita selamat, jika kufur maka azab Allah tidak terperi sakitnya.

Begitulah juga dengan dakwah. Tabiat dakwah adalah perit, dipenuhi dengan ranjau dan onak berduri tetapi inilah jalan yang menyampaikan kita kepada keredhaan Allah dan syurgaNya. Adapun jalan untuk duduk bersenang lenang, sekadar memenuhi tuntutan kehidupan; makan ,pakaian, tempat tinggal, pasangan hidup jalan ini tidak menyampaikan kita kepada Allah.
Courtesy of google

Jika jalan bersenang dipilih, di antara kita dan binatang ternak tiada bezanya. Binatang ternak juga mencari makanan, tempat tinggal, pasangan hidup demi memenuhi TUNTUTAN hidup tetapi kita insan dianugerahi aqal fikiran bukan sahaja untuk memenuhi TUNTUTAN hidup tetapi apa yang lebih besar daripada itu adalah memenuhi TUJUAN hidup. apa tujuan hidup kita? Allah berfirman:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. “sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi”. Lalu malaikat bertanya “adakah Engkau ingin menjadikan di bumi itu orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami sentiasa bertasbih memujiMu. Allah berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui” (Albaqarah 2:30)

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan menghambakan diri (melakukan ibadah) kepada Ku”( Adzariyat 51:56)

Jadi persoalan TUJUAN hidup telah Allah nyatakan dalam Alquran. Janganlah kita memilih untuk hidup seperti binatang ternak kerana ia suatu kehidupan yang amat buruk di sisi Allah sebagaimana firmanNya:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”. (Al-A'raaf 7: 179)

Akhir kalam, dalam hidup kita tidak akan dapat lari daripada membuat pilihan. Buatlah pilihan yang tepat demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Indeed! It is your call.

Sunday, April 15, 2012

PTPTN: Berakhlaqlah (Panas!!!)...


Salam buat ikhwah, akhawat, dan sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga kita semua mendapat petunjuk Allah.
Amma ba’d.

Hari ni (ahad) saya ada meeting online, siapkan assignment, ada game bola di RIT, dan rasa malas hendak menulis. Namun, saya terpaksa gagahkan juga untuk menulis tentang isu mansuhkan PTPTN ini. Kalau hendak dibincangkan isu wajar atau tidak mansuhkan PTPTN, saya tidak mahu bahaskan di sini kerana ia pasti melibatkan perbahasan yang panjang dan setiap perbahasan harus dilakukan secara ilmiah dan berfakta. Apa yang membuatkan saya paksa diri saya untuk menulis adalah, masalah AKHLAQ kita dalam menangani isu ini.

Sebelum pergi lebih lanjut, saya ingin bertanya sahabat pembaca, apa yang terkandung dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi? Salah satunya adalah kebebasan bersuara. Jadi bagi sesiapa yang ingin mengemukakan idea,cadangan, bantahan, atau kritikan kepada sesuatu perkara isu, biarlah ianya dilakukan dalam suasana harmoni.

Dalam isu demontrasi mansuhkan PTPTN ini, saya lihat bahawa baik dari pihak yang menyokong atau memansuhkan PTPTN ini, sangat TIDAK BERAKHLAQ. Kamu kalungkan bunga kepada gambar PM dan Menteri Pengajian Tinggi, kamu laungkan sentiment politik kepartian, disusuli dengan takbir, apakah ini ajaran islam dan akhlaq yang Rasulullah SAW tinggalkan? Saya tidak kisah kalau yang mendapat nama buruk akibat perbuatan ini, hanya orang-orang yang terlibat. Namun, baru-baru ini saya terbaca berita yang saudara kita dari hindu, tersinggung dek perbuatan yang biadap ini dan kesannya agama Islam dipersoalkan. Apakah tindakan ini melambangkan Islam yang sebenar? Apapun saya bersyukur kerana saya sudah mendapat penjelasan dari ‘Orang Malaysia’ bahawa golongan mahasiswa yang terlibat ini bukanlah terdiri daripada mana-mana ahli usrah dan ahli Jemaah. Kalau tidak, bertambah duka apabila yang menyertainya terdiri daripada ahli-ahli Jemaah. Di Amerika ini, purata orang masuk Islam adalah 20,000 orang setahun. Saya cuba mencari maklumat tentang purata kemasukan Islam di Malaysia, namun gagal menemui statistik tetapi daripada pemerhatian saya ia sangatlah kurang. Salah satu punca warga Amerika masuk Islam selain daripada faktor kajian sendiri, ia juga disebabkan akhlaq yang mulia yang ditonjolkan oleh Muslim di Amerika. Jadi, bagaimana mungkin saudara-saudara kita dari Buddha dan Hindu hendak tertarik dengan agama Islam kalau menunjukkan kelakuan yang tidak berakhlaq ini?

Kepada yang menentang tindakan para pendemo ini, ya! kamu berhak menyuarakan pendapat kamu juga namun jangan menggunakan bahasa-bahasa kesat dalam menyuarakan pendapat.

“Kalau dah tahu diri tu bangang, belajarlah bersungguh-sungguh, nanti tak payah bayar PTPTN.”

Banyak lagi perkataan kesat yang saya dapati di FB, Twitter, dan sebagainya, cukuplah satu ini sebagai contoh. Patutkah kerana kamu yang dikurniakan kepandaian sehingga dapat biasiswa kamu menggelarkan orang lain dengan kata-kata kesat? Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik kepandaian kamu kerana ia kepunyaan Allah.

Baik kamu menyokong atau membantah PTPTN, berakhlaqlah dengan akhlaq Rasulullah SAW dan jangan menzalimi saudara seislam kita. Rasulullah SAW bersabda:

“Dari Abu Hurairah r.a, katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: 'Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinainya.Taqwa itu berpunca dari sini - sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga kali. SUDAH CUKUP KEJAHATAN SEORANG ITU JIKA DIA MENGHINA SAUDARANYA YANG ISLAM. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya." (Riwayat Muslim)

Atas dasar ini, saya tegaskan sekali lagi bahawa sistem pendidikan formal yang sedia ada di Negara kita terbukti gagal melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiah, akhlaq dan peribadinya. Sungguh malang bagi yang tidak sedar akan perkara ini. Namun, untuk mengatakan saya malu menjadi warga Malaysia disebabkan perkara-perkara ini,bukanlah saya kerana itu adalah kata-kata orang yang tidak berwawasan kerana tidak tahu bertindak. Bertindaklah dengan kadar kemampuan. Dengan krisis nilai yang semakin parah dan membarah, satu muhasabah buat diri saya serta ikhwah dan akhawat sekalian, kita tiada masa untuk rehat. Marilah berganding bahu, bekerja lebih keras membetulkan paradigma mahasiswa yang berlaku kecelaruan pemikiran.

wallahualam

Saturday, April 14, 2012

Tanya Sama Itu Hud-Hud...


Salam kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga kita dilimpahi rahmat dan kasih sayangNya.
Amma ba’d.

Ura-ura ada mengatakan pilihan raya umum akan diadakan pada bulan Jun ini. Sejauh mana kebenarannya saya kurang pasti. Walau apapun, siapa sahaja yang memerintah secara zalim, hak rakyat dibuat macam hak sendiri, menolak perundangan Al quran dan Assunnah, maka marilah sama-sama menolak kepimpinan taghut ini.

Baru-baru ini ada satu wacana mengatakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dituduh sebagai parti ajaran sesat. Jadi isunya apa? Isu yang saya lihat dalam kancah politik Malaysia hari ini adalah, tahap pemikiran rakyat Malaysia belum matang dalam berpolitik. Saya tidak mahu bahas sama ada PAS itu sesat atau benar kerana bagi kita yang cakna akan isu semasa di Malaysia, pastinya sudah tahu yang mana ikhlas untuk perjuangkan agama dan yang mana Islam hanya dijadikan pemanis mulut untuk meraih undi daripada rakyat. Menuduh sesuatu sebagai sesat tanpa mengemukakan bukti yang jelas dan kukuh adalah tindakan yang sangat zalim dan berat. Mari kita menyelak Alquran dalam surah An Naml:

“Dan setelah itu, nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam kumpulan tenteranya) lalu berkata: Mengapa aku tidak melihat burung hud-hud? Adakah dia daripada mereka yang tidak hadir?” (27:20)

“Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang berat atau aku akan sembelihnya kecuali dia dapat membawa kepadaku alas an yang terang dan nyata (sebab-sebab dia tidak hadir)” (27:21)

Menarik untuk kita telusuri kisah Nabi Sulaiman, burung hud-hud, dan  ratu Saba’. Jadi, sempatkanlah diri kita untuk mentadabbur ayat-ayat selepas dua ayat di atas ini. Apa yang ingin saya sampaikan adalah Nabi Sulaiman akan mengenakan hukuman yang sangat berat kepada burung hud-hud jika ia gagal mengemukakan hujah-hujah yang kukuh atas kelewatannya. Inilah disiplin dalam Islam, setiap tindakan dan pertuduhan harus disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh; jangan hanya bercakap tanpa fakta. Setakat yang kita tahu, selama Kelantan diperintah oleh PAS, indeks rasuah adalah sifar. Sekadar yang kita tahu, kedah yang diperintah oleh PAS, hasil balak meningkat, kebajikan sekolah-sekolah agama terpelihara, FDI (pelaburan langsung asing) terus meningkat terutamanya di Kulim High-tech Park dan pelbagai hasil dinikmati oleh rakyat Kedah (sumber: klik sini)

Jangan kerana gilakan kuasa, prinsip Niccolo Machiavelli dijadikan mazhab; matlamat menghalalkan cara. Bila kita hendak berkuasa, kita bukan gila kuasa tetapi kita nak rampas kuasa daripada orang gila. Indahnya Islam apabila ia mengajar kita memelihara maqasidul syariah (objektif syariah) yang lima itu; agama, jiwa, aqal, keturunan, dan harta.

Di sini, apa yang saya nampak adalah rakyat Malaysia menghidapi krisis nilai yang parah. Ramai yang gagal membuat penilaian kerana bias dalam memilih sumber-sumber berita. Sikap fanatisme serta malas mengkaji juga merupakan factor rakyat Malaysia tidak mampu berpolitik secara matang.

“Hanya parti A sahaja boleh memerintah Negara supaya kebajikan Melayu terjaga”

“Jika kita membiarkan mereka memerintah, hak-hak kita akan dirampas”

Propaganda-propaganda terus dimainkan tetapi bagi rakyat yang berfikir dan sentiasa mengkaji serta memerhati, tidak akan termakan dengan propaganda. Kita harus ingat segala apa yang kita buat semuanya dinilai oleh Allah. Siapa pemimpin yang kamu lantik, kenapa kamu membiarkan pemimpin zalim berkuasa, kenapa kamu tidak mempertahankan hak-hak kamu yang dirampas. Segala-galanya akan dipersoal. Jadilah kita umat yang adil dalam erti kata meletakkan sesuatu pada tempatnya. Benarkan yang benar, batilkan yang batil.

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah akan dirimu sentiasa orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana adil itu lebih menghampiri taqwa dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam terhadap perkara yang kamu lakukan” (Al Maidah:8)

Marilah jadi muslim yang cakna akan isu umat baik di peringkat international mahupun nasional. Kita mampu untuk hidup lebih baik. Jangan malas dalam mengkaji.
Wallahua’lam.

P/S: Kepada mahasiswa yang berfikiran “apa politik-politik ini, kau study sudahlah, sibuk pulak nak berpolitik”, saya sarankan kamu cabut otak kamu dan letak di kepala lutut. Sekian!

Untuk bacaan tambahan, klik di sini

Friday, April 6, 2012

Walau Selirik Senyuman...


Salam buat ikhwah wa akhawat fillah. Semoga Allah terus memelihara hati-hati kita daripada penyakit-penyakit mazmumah.
Amma ba’d.

Kita biasa dengar kisah yang selalu diceritakan ini. Terdapat seorang hamba Allah yang telah membunuh seramai 99 orang lalu pergi bertanya kepada seorang rahib, adakah Allah akan menerima taubatnya. Jawab si rahib, mana mungkin Allah menerima taubat si pembunuh ini. Lalu dibunuhnya si rahib ini menggenapkan mangsanya menjadi 100. Bertanya lagi hamba Allah yang telah membunuh seramai 100 orang ini kepada penduduk satu kampong, adakah orang alim yang boleh dia rujuk dalam masalahnya. Setelah orang kampong menunjukkan rumah seorang alim, lalu pergilah dia ke rumah orang alim ini dan bertanyalah dia akan soalan yang sama. Apakah masih ada ruang pengampunan buat dirinya yang telah membunuh 100 nyawa? Jawab orang alim itu;

“Pintu taubat sentiasa terbuka, siapa yang sanggup menutup pintu taubat buat kamu? Pergilah kamu ke kampong sekian kerana di situ penduduknya menyembah Allah.  Sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu pulang lagi ke negeri kamu kerana negeri kamu telah rosak”

Dalam perjalanan ke kampong yang dimaksudkan orang alim tadi, taqdir Allah mendahului bahawa si pembunuh 100 orang tadi meninggal dalam perjalanan. Kematiannya menjadi khilaf antara malaikat rahmat dan malaikant azab; apakah patut dia dimasukkan ke dalam syurga kerana niatnya yang suci atau patut sahaja dia dihumban ke dalam neraka kerana dosa membunuh yang melampau. Rahmat Allah itu luas. Turun malaikat ketiga menjadi hakim kepada pertikaian tersebut memerintahkan supaya dua malaikat tadi mengukur jarak antara kampong yang ditujunya dan kampong yang ditinggalkannya, yang manakah lebih hampir. Nah, ternyata kampong yang ditujunya lebih hampir dengan jasadnya yang terbujur kaku. Maka, telah ditaqdirkan syurga buatnya sekalipun dosanya menggunung tinggi.

Dalam hidup kita, ramai orang baik yang kita jumpa mempunyai masa silam yang hitam dan tiada jaminan yang orang kita lihat baik sekarang akan terus menerus menjadi baik di masa hadapan. Apa yang tinggal adalah usaha, doa dan harapan. Berusaha menjadi baik serta berdoa dan mengharap agar  Allah sentiasa menetapkan hati kita dalam agamaNya. Selaku muslim, marilah kita menjadi insan yang membuahkan harapan kepada insan yang lain. Jangan sesekali membunuh harapan makhluq kerana kelak harapan kita kelak terbunuh. Janganlah kita sesekali putus asa terhadap rahmat Allah kerana Dia maha kaya; segala yang meliputi langit dan bumi adalah kepunyaanNya. Dia boleh memasukkan pelacur yang bersifat ihsan kepada anjing kedalam syurga, apakah Dia akan mensia-siakan hamba-hambaNya yang berdoa dengan penuh pengharapan? Sesekali tidak!

Draw A Line

Dalam hidup, kita mesti melukis garisan-garisan sempadan. Setiap yang kita lakukan, biarlah ada sempadannya.

“Nakal-nakal aku, aku takkan tinggal sembahyang”.

“Walaupun result aku tak seberapa, aku akan cuba istiqamah hadir usrah”

“Walaupun aku kawan-kawan dengan budak jahat, aku tak hisap rokok, tak keluar dating dengan awek, tak pergi disko”

Ada satu hadith yang maksudnya ;

“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan harta kamu tetapi Dia melihat hati kamu” (maksud hadith)

Hati adalah tempat takluk Allah. Kita manusia nampak secara zahir, tetapi yang mengetahui segala isi hati hanyalah Allah jalla wa’ a’la. Atas sebab ini, kalau ada kawan atau sahabat yang kita kenali dia sebagai seorang yang sangat teruk; tidak sembahyang, cakap kotor, berperangai tidak senonoh, jangan sesekali membunuh harapan dia untuk menjadi baik kerana kita tidak tahu jauh di sudut hati mereka, mereka sangat ingin berubah menjadi baik dan hidup bahagia seperti orang lain.

Akhir kalam, selaku insan, kebergantungan kita hanyalah kepada Allah. Berilah harapan kepada insan walaupun sekadar selirik senyuman. Kita mampu hidup dengan lebih bahagia apabila menyandarkan harapan hanya kepada Allah..:)
Wallahua’lam.

Sunday, April 1, 2012

Langkah Menuju Ilahi...


Salam kepada ikhwah dan akhawat fillah. Sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa setiap ujian pasti bersamanya ada kesenangan. Apa yang penting letakkan pergantungan kita hanya kepada Allah, tuhan pemilik semesta alam.
Amma ba’d.

Hari ni sukalah saya membincangkan factor-faktor keberkesanan Tarbiyyah. Tarbiyyah seperti mana kita semua sedia maklum, merupakan elemen pembangunan sesebuah peradaban. Dengan tarbiyyah yang betul, insha Allah kita mampu mengembalikan peradaban Islam yang gilang gemilang dahulunya. Sebenarnya ada banyak faktor, tetapi pada kali ini, kita akan membincangkan empat daripada faktor-faktor tersebut. 

Kesungguhan &  Komitmen Yang Kuat

Bersungguh-sungguh dalam setiap perkara memang dituntut oleh Allah dan Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam Alquran:

“Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik dengan bersungguh-sungguh, sedang dia beriman, maka mereka itu akan diberi pahala di atas usahanya.”(17:19)

Dengan keazaman dan visi yang jelas, ingin melihat Islam kembali berdaulat di dunia (sekurang-kurangnya di tanah air tercinta), maka tidak layak lagi bagi kita bermain-main, masih berkhayal, dan masih bermanja-manja (terkena atas batang hidung sendiri). Kalau kita singkap kembali seerah bagaimana Suhaib Arrumi, seorang hartawan meninggalkan segala hartanya menyertai Hijrah bersama para sahabat ke kota Madinah. Dalam konteks kita, katakanlah satu hari nanti kita terpaksa ditugaskan ke pedalaman Sabah atau Sarawak yang mana kita perlu menaiki bot yang merentasi sungai yang ada begitu banyak buaya di samping kita terpaksa berhadapan dengan masyarakat pedalaman yang buta IT, sanggupkah kita? Begitulah Kesungguhan Suhaib Arrumi, meninggalkan hartanya di Kota Mekah dan terpaksa menempuh perjalanan dalam padang pasir yang terdedah kepada lanun padang pasir, ribut padang pasir, panas terik serta kehabisan bekalan makanan dan minuman demi mencari mardhatillah. Satu muhasabah buat diri kita agar kita mampu melakukan pengorbanan seperti ini. 

Keperibadian Murabbi

Panggillah apa sahaja, pemimpin, naqib, murabbi, ayah, abang, senior atau saudara seislam, kita haruslah menonjolkan akhlaq yang mahmudah. Tidak ada model yang paling ideal untuk dicontohi melainkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Keperibadian Nabi yang agung adalah model yang paling baik untuk kita contohi dan teladani. Bagaimana baginda begitu menjaga hati para sahabat. Ada satu kisah yang selalu kita dengar, iaitu kisah dimana baginda menyantuni wanita yahudi yang mencacinya. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, barulah wanita tersebut masuk Islam. Agenda kita adalah “winning people’s heart and mind” . Sebab itu kita perlu menyantuni mad’u-mad’u kita. Perwatakan kita perlu matang, bersifat kebapaan/keibuan, problem solver, sering bertanya khabar kepada mereka, dan memberi hadiah/penghargaan kepada mereka.

Mewujudkan Biah Solehah

Mebina biah solehah atau persekitaran yang baik adalah penting supaya adanya amar maa’ruf wa nahi munkar dalam komuniti yang kita duduki. Cara untuk kita membina persekitaran yang baik adalah dengan berkawan dan begaul dengan orang-orang yang soleh (baik). Bagi yang dah mempunyai calon pasangan hidup, bolehlah merancang untuk mendirikan baitul muslim kerana cara ini juga merupakan cara yang terbaik untuk mewujudkan biah solehah dalam keluarga sebelum dikembangkan dalam masyarakat. Dalam konteks pelajar luar Negara, perlu juga kita associate diri kita dengan komuniti muslim tempatan, banyakkan bergaul dengan mereka serta banyak menyertai program-program yang mereka anjurkan. Perkara ini secara tidak langsung, akan menambah dan membetulkan cara fikir kita. Idea kita juga akan bercambah selepas kita bergaul serta memahami budaya serta adat masyarakat setempat. Alhamdulillah, apa yang sdapati, perpaduan komuniti muslim di Rochester sangat utuh melalui pelbagai program yang dianjurkan oleh Islamic center of Rochester.

Pemerkasaan Sistem.

Bercakap mengenai system, kita mendapati bahawa system usrah sehingga sekarang mampu membentuk individu menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Katakanlah, selepas ini system usrah tidak lagi relevan untuk membentuk individu muslim, maka satu jalan baru harus difikirkan supaya matlamat melahirkan indvidu muslim yang berkualiti digapai. Jadi, untuk masa sekarang, system usrah itu sendiri harus diperkasakan. Pastikan sesibuk mana kita, naqib atau naqibah harus mencari masa untuk adakan usrah walaupun sekejap (walaupun usrah itu terpaksa diadakan di airport. Usrah siapa la kan.:P). bermula dengan perbetulkan cara pandang dalam hidup; daripada memandang kesempitan hidup duniawi kepada memandang keluasan hidup ukhrawi, pembentukan aqidah islamiah yang kukuh, perkukuhkan ibadah yang wajib dan sunat, pembentukan akhlaq yang mulia serta istiqamah dalam dakwah dan tarbiyyah.

Khulasahnya, kita punya tugas dan cita-cita yang murni tetapi sulit untuk menuju ilahi.apakah masih ada masa untuk bermalas-malasan (terkena sekali lagi batang hidung)? Insha Allah, Allah sentiasa bagi ruang kepada kita untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Ayuh sahabat, kita mampu mengubahnya.

Wallahua’lam.