Friday, May 6, 2011

Tangan Yang Lembut Itu...

Salam buat semua sahabat-sahabat yang dirindui kerana Allah. Hiduplah atas landasan yang Allah redhai, mudah-mudahan kita sampai ke destinasi yang ditujui.
Amma ba’d.

Pepatah ada menyebut, “tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia”. Sungguh benar dan tepat bidalan ini. tangan siapa yang menghayun buaian? Sudah semestilah tangan seorang ibu yang tidak pernah kenal erti jemu dan lesu dalam mendidik anak-anaknya. Hari ini kita kagum melihat seorang tokoh korporat menaiki kereta besar, kita bangga melihat seorang doktor berjaya melakukan pembedahan, kita takjub dengan daya kepimpinan seorang pemimpin, namun tahukah kita disebalik kejayaan mereka semua siapakah yang lebih layak dipuji? Ya seorang ibu yang bersusah payah  mengendong perutnya selama Sembilan bulan dengan penuh payah, seorang ibu bagaikan separuh nyawa ketika hendak melahirkan anaknya, seorang ibu menyusukan anaknya dalam keadaan penuh lemah, seorang ibu yang sabar dengan kerenah nakal anak-anaknya, seorang ibu yang tidak jemu mendidik, menjaga, dan melakukan segala yang terbaik untuk anaknya. Allah berfirman:

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyusunya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (31:14)

Demikianlah Allah meyampaikan keterangan yang benar tentang betapa susahnya seorang ibu saat ingin melahirkan seorang anak. Jika kita mampu mengadakan untuk emak kita sebuah rumah agam, sebuah kereta mewah, sebuah pakej pelancongan ke luar negara setiap tahun, yakinlah bahawa jasa itu hanya setaraf debu-debu ditelapak kaki ibu kita kerana pengorbanan, kasih sayang, kecintaan mereka kepada kita tiada tolok bandingnya.

Redha ibumu, susu ibumu, doa ibumu hidupmu pasti cemerlang. Di saat seorang ibu mampu memelihara dan mendidik sepuluh orang anaknya dengan penuh kesabaran, mampukah seorang anak memelihara seorang ibunya yang seorang itu apabila tua kelak?

“Ya Allah, hambaMu memohon agar hamba tidak lupa diri apabila berjaya dan menjadi orang besar kelak. Kekalkanlah hambaMu ini dalam sifat tawaddhuk dan sentiasa mengenang jasa kedua ibu bapa hamba. Peliharah mereka sebagaimana mereka memeilhara hamba sewaktu kecil. Matikanlah kami semua dalam keadaan husnul khatimah agar kami dapat disatukan kembali dalam syurgamu sebagai keluarga sakinah sebagaimana kami di bumi ini menegcapi nikmat keluarga sakinah tersebut.”

Harta yang banyak, isteri yang jelita, pangkat yang besar dan pengaruh yang kuat tiada erti andai ibu tidak meredhai hidupmu. Bersabda Nabi Muhammad SAW:

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ayah dan ibu.”

Sementara hidupmu masih tersisa, lakukanlah sesuatu yang terbaik dan menyenangkan ibumu. Andai ibumu redha, langkahmu di ‘sana’ selamat.

Buat para ibu, tanpa anda, tidak lahirlah pemimpin yang bijaksana, tidak lahirlah golongan korporat dan teknokrat, tidak lahirlah golongan guru-guru dan tidak lahirlah insan-insan yang cemerlang.

Kepada anak-anak, kalian hanya mempunyai seorang ibu. Hilangnya tiada pengganti, maka janganlah sesekali melukai hati ibumu.

Tangan itu dalam penuh kelembutan mengusap dan membelai anaknya, melahirkan seorang insan yang disanjung manusia.

Selamat hari ibu buat Pn. Norhashimah Bt Ahmad kerana sentiasa sabar dengan kerenah anak-anakmu yang nakal terutama anak emak yang kedua ini. sesungguhnya anak emak ini sentiasa mendoakan kesejahteraan ibunda di kampung.

Ya Allah Ya Tuhanku, cucurilah rahmat dan kasihanilah kepada kedua ibu bapaku seperti mereka mengasihi dan menyayangiku sewaktu aku kecil”
                                              
Rindunya pada emak dan ayah. Moga diberi kesempatan untuk bertemu mereka...

3 comments:

SUHAIMI RAMLI said...

Alhamdulillah, moga anda menjadi anak yang soleh dan sentiasa berada dalam redha ibu bapa....justeru carilah isteri sebaik ibumu =))

Unknown said...

awat Nabi suruh taati ibu 3x lebih dari ayah r? aku dah lupa xplanation dia

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

to suhaimi: andai ada diketemu di rit, tidak lagi akan ditunggu..:)
to matt:tak tau, tanya ustaz kat germany..:)