Salam buat rakan-rakan sekalian. Sejajar dengan peningkatan umur, diharapkan semakin bertambahlah ilmu agama, ilmu akademik, akhlak mahmudah, amal soleh dan amal kebajikan.
Amma ba’d.
Sejauh manakah kita bermanfaat terhadap manusia dan makhluk sekeliling kita? Pernahkah soalan sebegini timbul dalam benak fikiran kita? Manusia yang bermanfaat adalah manusia yang terbaik yang diiktiraf oleh junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda “sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain”. Berdasarkan kepada hadis yang sangat tinggi nilainya ini, bagaimanakah kita boleh mengaplikasi maksud hadis ini dalam kehidupan kita? Hidup kita tempang sekiranya kita hanya hidup untuk diri sendiri. Manusia ini sebenarnya makhluk sinergi. Sinergi disini bermaksud kita hidup dalam rantaian yang memerlukan kepada kebergantungan sesama manusia. Sebagai contoh, dalam bab makan: jika kita ingin memakan nasi, ia dimulakan dengan petani yang menanam padi, disusuli dengan orang yang mengambil padi tersebut menggunakan mesin padi, diikuti dengan orang yang memandu lori untuk dibawa padi tadi ke kilang padi. Di kilang padi, pekerja kilang mengendali mesin untuk memproses padi menjadi beras dan sehinggalah seseorang memasak untuk kita menjadi nasi. Bukankah ia merupakan satu proses yang panjang?
al yadu u'lia khairun minal yadu al sufla
Untuk menghasilkan nasi sebenarnya bukanlah proses yang mudah. Maka atas dasar inilah kita harus menjadi manusia yang bermanfaat. Tujuannya adalah untuk kita membalas jasa dan manfaat orang-orang yang telah bermandi peluh untuk menyediakan nasi kepada kita. Itu hanya dalam bab makan, tidak termasuk bab perlindungan, pengangkutan dan sebagainya. Menjadi orang yang bermanfaat tidak semestinya memerlukan pengorbanan wang ringgit dan harta. Mengajar orang akan ilmu yang kita miliki sudah dikira memberi manfaat kepada orang lain apatah lagi memberi sumbangan jutaan ringgit untuk membangunkan perpustakaan, rumah anak yatim, pusat bantuan dan sebagainya. Setiap sesuatu yang dapat memberi kemudahan atau kebaikan kepada orang lain dikira manfaat. Disebabkan perkara ini, kita mesti mendidik diri kita dengan sikap berkorban, empati, kasih sayang, menanamkan sifat kemanusiaan dalam diri kita dan kerjasama serta bantu membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Jika kita ikhlas membantu makhluk lain yang memerlukan bantuan, yakinlah bahawa Allah telah menyediakan ganjaran buat kita dan pada hakikatnya kebaikan kita itu akan kembali kepada kita sebagaimana firman Allah dalam Al quran:
7. jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan Yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya Yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki Masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali Yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja Yang mereka telah kuasai, Dengan sehancur-hancurnya.<17:7>
Oleh itu, marilah kita bertekad untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
p/s: teringat tagline ustaz hasrizal (saifulislam.com) “erti hidup pada memberi”.
1 comment:
Terbaek r Ustaz..tq utk peringatan yang ringkas tapi penuh makna ini..semoga Ukhuwwah kita di RIT nanti lenih mantap dan kita bakal saling memanfaati antara satu sama lain di sana nanti..sesungguhnya ana terlalu terhutang budi dgn anta!
Post a Comment