Salam buat rakan-rakan, semoga kalian sihat walafiat di samping orang tersayang.
Amma ba’d.
Kita sering mendengar bahawa Islam is the way of life namun sejauh mana kita memahami kenyataan ini ataupun ia sekadar retorik. Ramai orang menyangka bahawa Islam hanyalah sekadar agama ritual yang pengikutnya sembahyang, puasa, bayar zakat, dan pergi haji. Pandangan ini kurang tepat kerana Islam ada dalam setiap perkara; Islam tidak terbatas hanya kepada rukun-rukun Islam sahaja. Apakah yang saya maksudkan dengan Islam ada dalam setiap perkara? Ia bermaksud Islam ada kaedah tersendiri dalam tatacara kehidupan yang merangkumi sosial, politik, ekonomi, dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kehidupan kita baik di dunia mahupun di akhirat. Sebermulanya kita bangun tidur sehinggalah malam kita nak tidur, Islam mengajar kita pelbagai adab dan doa dalam membentuk kita menjadi manusia yang mempunyai nilai-nilai insaniah. Sifat kemanusiaan seperti, berkasih sayang, bertolak ansur, membantu orang lain merupakan sifat sebenar manusia yang mempunyai akal dan perasaan.
Kali ini saya ingin membicarakan tentang satu juzu’ dalam juzu’-juzu’ Islam iaitu persaudaraan islamiyyah. Persaudaraan dalam Islam atau Ukkhuwah islamiyyah merupakan satu ikatan yang terbentuk hasil daripada ikatan aqidah yang mentauhidkan Allah SWT. Melalui lafaz yang mulia “Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi nabi Muhammad itu pesuruh Allah” maka seluruh umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira bangsa, keturunan, geografi, serta budaya. Allah berfirman:
sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. <49:10>
Mengikut situasi di Malaysia kita hidup dalam negara pelbagai kaum dan berbilang bangsa. Kita tidak boleh menanamkan semangat cintakan bangsa sehingga kita merendahkan kaum-kaum lain. Ingatlah! tidak ada yang mulia disisi Allah melainkan orang yang paling bertaqwa disisi Allah.
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)"<49:13>.
Jika kita menyanyangi saudara seislam kita, apakah kita tidak boleh menyanyangi rakan-rakan non-muslim yang baik dengan kita? Mari kita renungi sebuah hadith yang disabdakan Nabi Muhammad SAW:“ siapa yang menyakiti az-zimmi seumpama telah menyakiti ku”.Daripada Hadith ini kita mengetahui bahawa kafir zimmi ataupun kafir yang tidak menentang islam harus dihormati. Darah dan maruahnya haram ditumpahi.
Manisnya Ukkhuwah
Kembali kepada perbincangan asal, Ukkhuwah Islamiyah. Serendah rendah tahap dalam berukkhuwah adalah berlapang dada (husnu dhan) manakala setinggi-tinggi tahap berukkhuwah adalah itsar. Apakah itu itsar?ia adalah kita mendahului orang lain dalam perkara-perkara yang bukan Ibadah. Sebagai contoh apabila kita makan berjemaah, kita membiarkan diri kita sebagai orang terakhir yang mengambil makanan tersebut.Adapun itsar dalam hal-hal ibadah adalah makruh sebagaimana contoh, kita menyuruh orang bersedeqah dahulu sebelum kita sendiri yang melakukannya.
Akibat nilai-nilai ukkhuwah islamiyah terhapus,kita lihat umat Islam hari ini terlalu mudah diganyang. Adapun yang mengamalkan nilai-nilai Islam ini hanyalah pada ahli usrah sendiri sahaja sedangkan Islam tidak membezakan warna kulit,budaya, dan bangsa inikan pula sesama muslim walaupun dia bukanlah daripada kalangan ahli usrah kita mahupun jemaah kita. Selain itu, apabila nilai-nilai ini hilang, kebanyakan muslim langsung tidak terasa tanggungjawabnya keatas umat Islam di Palestin. Mereka hanya fikir cukup dapat hidup dengan aman di bumi Malaysia yang bertuah ini. Ya! Mereka pergi ke program-program yang dianjurkan Aman Palestin namun mereka tidak sanggup meninggalkan kelazatan KFC, McDonald, dan sebagainya yang merupakan produk Israel.
Oleh yang demikian, saya dengan rendah hati mengajak saudara saudari sekalian agar kita kembali menerapkan nilai-nilai ukkhuwah islamiyah dalam diri kita agar semua Muslim dapat bersatu padu menentang segala ideologi-ideologi yang bercanggah dengan Al quran dan As sunnah. Banyak cara yang boleh dilakukan bagi menerapkan nilai ukkhuwah islamiyah seperti sembahyang berjemaah di surau, membantu rakan-rakan yang kurang arif dalam pelajaran, keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan, serta sentiasa bersama dalam susah dan senang.Sebelum menghabiskan kalam saya pada kali ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar menghayati Hadith yang disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW:
“....Orang islam itu adalah saudara orang Islam yang lain.maka tiada boleh dia menzaliminya,tiada boleh membiarkan dia dalam kehinaan, tiada boleh mendustainya, dan tiada boleh menghinanya....”
No comments:
Post a Comment