Saturday, September 28, 2013

Jangan Takut Untuk Bernikah...

Salam kepada sahabat yang saya kasihi. Semoga Allah menganugerahkan kita ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan kita, di dunia dan akhirat.
Amma ba’d.

“Kau bile lagi?”

“Insha Allah, sampai mase nanti aku bagitau.”

Begitulah senario yang saya hadapi selepas bergelar graduan. Bila bertanya khabar dengan kawan-kawan, soalan bila ingin mendirikan rumah tangga adalah perkara yang wajib ditanya oleh mereka.

Saya ada bertemu dengan beberapa sahabat. Alhamdulillah, ada sesetengah daripada mereka yang sudah bertunang. Apa yang lebih menggembirakan saya, belanja hantaran yang ditetapkan oleh bakal mertua masing-masing adalah murah dan memudahkan mereka untuk bernikah.

Ada seorang sahabat, bakal doktor di masa hadapan, belajar perubatan di Mesir bercerita yang bakal mertuanya hanya menetapkan mas kahwin sebanyak RM 84.00 dan tiada hantaran ditetapkan. Ada seorang sahabat yang belum lagi bergraduasi, bakal mertuanya hanya menetapkan wang hantaran sebanyak RM 5000. Bagi saya ini perkembangan menarik mutakhir ini.

Mafhum sabda Nabi Muhammad SAW:

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah” (hadith riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh Albani)

“Di antara kebaikan wanita adalah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (hadith riwayat Ahmad dan At Tabrani)

Saya melihat perkembangan sosial semasa di Malaysia adalah tidak sihat dan membimbangkan. Saban hari, berita pasangan terlanjur semakin banyak. Semoga Allah melindungi saya, sahabat-sahabat dan seluruh remaja muslim daripada terjerumus ke lembah zina. Saya sedikit hairan dengan sesetengah sikap ibu bapa. Mereka menghalang anak-anak mereka daripada berkahwin dengan alasan masih belajar, tiada pekerjaan tetap, masih muda dan pelbagai seribu satu alasan namun sekali anak mereka terlanjur, mudah pula urusan menikahkan anak mereka kerana khuatir malu. Jikalau mereka membenarkan dan mempermudahkan urusan pernikahan anak-anak mereka sedari awal, bukankah itu lebih mulia? Ini antara fitnah duniawi yang sangat saya bimbang. Allah berfirman:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (Annur 24:32)

Bukankah ini adalah jaminan Allah bahawa Dia akan memberi kekayaan jika kita khuatir jatuh miskin? Perktaan siapakah yang lebih benar andai bukan janji Allah bagi seorang yang beriman? Ramai daripada kita hari ini, terlalu ingin memenuhi tuntutan duniawi sehingga melupakan apa itu KEBERKATAN dan RAHMAT.

Saya dahulu belajar tentang keberkatan melalui teori yang dipelajari dalam kelas. Selepas menempuhi beberapa fasa dalam kehidupan saya semakin memahami apa erti keberkatan. Keberkatan itu adalah perkara yang kelihatan sedikit di mata manusia tetapi mencukupi bagi mereka yang merasai nikmat keberkatan, sentiasa berasa tenang walaupun diri dilanda seribu satu macam mehnah, keyakinan yang tinggi hanya kepada Allah, serta dibuka pintu rezeki seluas-luasnya. Inilah sebahagian hal yang berkaitan keberkatan.

Dalam pernikahan, Allah menjanjikan ketenangan.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati  (berasa tenang) dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar Rum 30:21)

Apakah kita hanya bertawakkal tanpa perlu berusaha?

Tawakkal itu sendiri bermaksud menyerahkan segala urusan kita kepada Allah SELEPAS berusaha. Tawakkal itu merangkumi USAHA, DOA dan BERSERAH kepada Allah. Apakah tidak perlunya kepada persediaan? Saya tidak bermaksud akan hal ini, Cuma asas kepada sebuah pernikahan adalah KEYAKINAN dan KESETIAAN dan KEPERCAYAAN.

Saya berpendapat, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam hal ini. Sesekali jangan menghalang anak-anak mereka untuk bernikah di usia muda sebaliknya beri ruang untuk anak-anak berfikir secara mendalam. Terangkan kepada anak-anak bahawa di sebalik keindahan sesebuah pernikahan, wujud di sana TANGGUNGJAWAB dan CABARAN. Menghalang hanya mebuatkan jiwa remaja semakin memberontak. Ini yang dikhuatiri kerana mereka boleh bertindak di luar batasan.

Saya juga menyedari bahawa kadar perceraian bagi pasangan muda membimbangkan. Pada pendapat saya punca bagi kes ini disebabkan kurangnya pendedahan tentang alam rumah tangga oleh masyarakat (individu, ibu bapa, dan pihak berwajib). Sejauh mana kursus perkahwinan betul-betul mendedahkan alam rumah tangga atau mereka semata-mata mengaut keuntungan? Sejauh manakah pasangan muda remaja ini didedahkan dengan cabaran-cabaran semasa? Dengan wujudnya medium sosial seperti FB, Twitter dan sebagainya, keadaan menjadi bertambah parah. Ini adalah sebahagian cabaran realiti semasa. Saya juga percaya, perkahwinan bukanlah penyelesai kepada semua permasalahan sosial jika ia dilakukan bukan kerana Allah. Kalau hati bulat dan tekad ingin melaksanakan suruhan Allah, mengapa masih ragu dengan janji Allah?

Sebagai kesimpulan, permudahkan urusan pernikahan orang muda, bantulah mereka membina rumah tangga, serta wujudkan persekitaran yang baik untuk mereka.  saya juga ingin berkongsi sebuah kisah bagi mereka yang yakin kepada Allah dan Rasul SAW.

Sila klik di sini.

Jangan takut untuk bernikah. Wallahualam


Nota kaki: Saya mengalu-alukan kritikan serta pandangan yang berbeza dan kontra dengan saya.

No comments: