Monday, June 17, 2013

Amar Maaruf Nahi Munkar...

Salam kepada semua sahabat.Semoga Allah memberkati kehidupan kita dan menganugerahkan kehidupan yang baik buat kita.
Amma ba’d.

Kelmarin saya terbaca satu berita di akhbar Sinar Harian mengenai tawaran RM 1000 bagi mereka yang dapat menangkap penyokong bola sepak yang bertindak liar (baca di sini). Kita tahu bahawa di mana-mana sahaja pasti wujud sebilangan penyokong fanatik yang akan bertindak di luar batasan apabila pasukan mereka kalah, meraikan kemenangan pasukan mereka atau memang sengaja menimbulkan kekecohan. Antara tindakan liar yang dimaksudkan adalah membawa mercun ke dalam stadium, membaling botol air mineral ke dalam stadium, dan merosakkan harta benda awam di perkarangan stadium.

Dari satu sudut tawaran ini seolah-olah menarik bagi membenteras salah laku sebahagian penyokong fanatik bagi mana-mana pasukan bola sepak di tanah air. Namun saya terfikir akan suatu perkara. Sampai bila masyarakat kita harus disogokkan dengan imbuhan untuk melakukan perkara-perkara baik? Apa jadi kepada pendidikan sivik yang diajar di sekolah-sekolah? Tidak adakah perasaan cintakan keamanan dalam jantung hati rakyat Malaysia? Jika mereka cintakan keamanan dan keharmonian, tidak perlu lagi tawaran RM 1000 untuk mereka membanteras tindakan liar ini.

Sebab itu kuncinya hanya balik menghayati ajaran Islam yang syumul. Islam mengajar umatnya agar memelihara ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat. Islam juga amat menekankan amar maaruf dan nahi munkar. Jika dua perkara ini, benar-benar dihayati oleh peminat bola sepak tanah air yang majoritinya adalah Melayu Muslim, saya yakin tawaran RM1000 tidak lagi perlu diberikan.

Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan mengeluarkan tawaran ini. Saya tidak tahu berapa banyak kos pengurusan bagi KAFA tetapi bagi Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis, kos pengurusan bagi sebulan adalah RM 220,000 termasuk membayar gaji pemain dan pegawai. Saya jangkakan Negeri Kelantan lebih lagi memandangkan mereka turut terlibat dengan perlawanan di luar Malaysia. Maka, jika tawaran ini dilaksanakan bukankah makin bertambah kos pengurusan?

Masalahnya bukan pada pengurusan, masalahnya adalah sejauh mana pendidikan Islam di negara kita benar-benar memberi kesan kepada rakyat Malaysia amnya dan Muslim khususnya? Pendidikan tentang intipati ajaran Islam sepatutnya diterapkan di dalam mana-mana organisasi atau persatuan yang wujud di Malaysia. Jika orang yang benar-benar faham agama berada dalam organisasi dan memainkan peranan sebaiknya, saya yakin semua orang akan terdidik dengan didikan agama. Makanya tidak perlu lagi kepada pengeluaran wang tambahan bagi memberi imbuhan kepada mereka yang berjaya menangkap penyokong fanatik yang melakukan tindakan liar semasa perlawanan berlangsung.


Wallahu’alam.

Tuesday, June 11, 2013

Cinta & Wahyu...

Salam kepada sahabat semua. Semoga Allah meredhai kita sebagai hambaNya. Marilah sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah.
Amma ba’d.

Saya setiap minggu dari US lagi saya mengikuti drama Cinta & Wahyu. Semalam adalah episod akhir bagi drama ini. Drama ini merupakan sambungan atau sekuel kepada drama Warkah Cinta yang berjumlah 12 episod. Cinta & Wahyu juga mempunyai 12 episod.

Mulanya saya menonton drama Warkah Cinta hanya kerana ingin melihat sama ada drama ini sama seperti drama cinta yang lain di kaca TV seperti Nur Kasih tetapi ternyata drama ini unik dan lain bahkan sangat patuh syariah. Pada mulanya juga saya juga ingin menilai apakah drama ini sebanding dengan filem-filem dari tanah seberang seprti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Pendapat saya, filem KCB sangat menepati syariah bermula dengan pemilihan pelakon yang menutup aurat, penggunaan bahasa yang baik, serta disampaikan ilmu-ilmu agama menerusi perbualan dalam lakonan tersebut. Sememangnya karya-karya cinta islamik dari Indonesia yang ditulis oleh seorang penulis prolific, Ustaz Habiburrahman Elshirazy, sangat menarik dan berilmiah. Saya amat meminati tulisan beliau. Antara novel beliau yang telah saya baca, Ayat-Ayat Cinta, Bumi Cinta, dan Cinta Suci Zahrana (Saya hanya menonton KCB, tidak membaca novelnya).
Saya bersama Ustaz Habiburrahaman berprogram di Las Vegas, 2011

Jadi, harapan saya kepada drama Warkah Cinta adalah sebanding dengan filem cinta islamik dari tanah seberang. Drama Warkah Cinta dan Cinta & Wahyu sememangnya unik kerana latar belakang peggambaran yang dibuat di Mesir dan Kelantan serta di Kemboja. Percintaan di kalangan ustaz ustazah sememangnya lagi rumit daripada orang-orang biasa. Dalam drama Cinta & Wahyu, Ustaz Amir Mukhlis sememangnya hanya mencari seorang, iaitu Ustazah Balqis. Sememangnya percintaan mereka dipenuhi liku, namun itulah hakikat cinta suci demi mengejar kebahagiaan akhirat, mereka tabah menghadapinya sehingga membawa mereka ke gerbang pernikahan juga akhirnya.

Ketepikan kisah percintaan mereka. apa yang uniknya tentang drama ini? Uniknya, di saat ramai pihak memandang lekeh institusi pondok dan maahad tahfiz, drama ini mengubah persepsi penonton agar mengetahui bahawa ilmu-ilmu yang dipelajari di pondok penting. Buku-buku fikrah seperti Apa Ertinya Saya Menganut Islam (tulisan Almarhum Ustaz Fathi Yakan) turut diketengahkan. Dalam drama ini juga, pengarah (seorang ustaz) cuba memartabatkan institusi pondok dengan membawa penonton melihat keadaan pondok (di Kelantan) yang sungguh tenang dan aman. Ustaz Amir Mukhlis (lakonan Imam Muda Nazrul) yang merupakan lulusan Mesir juga dilantik oleh seorang pengarah syarikat (lakonan Dato Jalaludin Hasan) sebagai Human Resource Manager. Di sini, mesej yang ingin disampaikan bahawa perlu orang yang mempunyai pendidikan agama dalam sesebuah organisasi. Langsung saya teringat bagaimana pentingnya ulama dalam misi Sultan Muhammad Alfateh ingin menakluki Konstantinopel. Pemakaian jubah, serban, dan purdah oleh pelakon menunjukkan bahawa golongan ini juga mampu terkehadapan. Di akhir-akhir episode ini, diplotkan juga pertemuan Ustaz Amir dan Ustazah Balqis atas misi bantuan kemanusiaan di Kemboja. Bagi saya ia sungguh menyentuh hati, masyarakat Islam di Kemboja hidup di atas bot-bot di atas sungai. Sebelum ini, saya hanya membaca sahaja kesusahan penduduk Muslim di Kemboja, tetapi menerusi drama ini, saya dapat melihat sendiri realiti kemelaratan hidup saudara seaqidah saya di sana. Semoga saya berpeluang menjejakkan kaki ke sana. Allahul mustaan.

Drama ini juga sedikit sebanyak akan mengubah persepsi penonton yang sering menganggap Kelantan sebagai negeri miskin. Ternyata rakyat Kelantan jauh seperti yang diperkatakan, kerana mereka berniaga sendiri. Rumah-rumah mereka juga besar dan luas.

Inilah sebahagian keunikan drama ini yang mampu saya coretkan. Siapa yang berkelapangan dipersilakan menonton. Saya sudah habis menonton 12 epsiod Warkah Cinta yang bermula pada hujung tahun lepas (di Youtube), dan telah habis menonton 12 episod Cinta & Wahyu yang telah berakhir semalam di TV Alhijrah.

Selamat menonton..:)


Warkah Cinta episod 1


Cinta & Wahyu episod 1

Monday, June 10, 2013

Semangat...

Alhamdulillah sudah dua hari di Malaysia. Bersyukur dapat bertemu ahli keluarga yang sentiasa dirindui. Saya juga sudah melapor diri secara atas talian kepada JPA, hanya menunggu panggilan daripada mereka sahaja (doakan saya sahabat semua).


Saya akui kerinduan kepada bumi Uncle Sam terutamanya Rochester sedang dirasai. ICR, IFM (Turkish restaurant), tasik-tasik sekitarnya, dan masyarakatnya. Entah bila akan kembali ke sana. Apapun pengalaman itulah yang mengajar apa erti kehidupan. Pesanan saya, kepada mereka yang masih di luar negara sana, persiapkanlah diri kita dengan ilmu yang bermanfaat. Masyarakat di Malaysia perlukan perubahan. Untuk melakukan perubahan, kita perlu kepada kekuatan. Kekuatan ilmu, kekuatan material, kekuatan spiritual dan kekuatan mental kerana tidak lagi akan berada dalam dunia idealism. Semuanya adalah reality yang memerlukan kepada KEKUATAN.

Ontario Beach yang sentiasa mendamaikan

Senja berlabuh di Park Point

Pohon epal di hadapan rumah

Tempat mengeratkan ukhuwah

Halal Cheeseburger di RITZone

Usah hidup atas kenangan silam, tetapi binalah kehidupan atas pengalaman lalu..:)


Wednesday, June 5, 2013

Kalam Akhir...

Salam buat sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semuanya.
Amma ba’d.

Insha Allah esok, 6 Jun 2013 saya akan bertolak balik ke Malaysia tanah tumpah darah. Saya kira ini ialah entri terakhir sebelum meninggalkan bumi United States yang penuh warna warni mewarnai kehidupan saya. Adakah saya akan kembali ke sini semula? wallahua'lam. 
Allah berfirman:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Al A’raf 7:34)

Tempoh keberadaan saya di United States telah tamat. Saya harap junior-junior yang masih tinggal dapat meneruskan legasi menyambungkan silaturahim bersama komuniti Rochester yang telah kami, senior-senior bina. Bukan kami ingin mendabik dada membangga diri, cuma sekelumit harapan kami agar nama baik rakyat Malaysia di mata umat Islam di United States terus dipelihara. Mereka sangat menyanjung keluhuran dan budi pekerti umat Islam dari Malaysia. Begitu banyak pujian dihamburkan apabila bergaul bersama mereka. bukanlah pujian yang dicari, tetapi bersyukur kerana kehadiran kita dalam kehidupan mereka menjadi qudwah hasanah serta memberi impak positif buat mereka.


Saya bukanlah siapa-siapa yang terlepas dari silap dan salah, maka sepuluh daktil saya susun memohon kemaafan. Saya juga mohon dihalalkan segala makan dan minum serta mohon dituntut hutang jika ada. Alhamdulillah, saya terlepas daripada satu fasa kehidupan dan sedang memasuki satu lagi tingkatan liku kehidupan. Semoga Allah sentiasa bersama saya dalam susah dan senang. Selamat berjuang sahabat semua, sesungguhnya hidup kita mengutip pahala untuk menuju ke negeri akhirat yang abadi.

2010

2013

How fast time flies. Ya Allah, kurniakanlah kebaikan dan keberkatan dalam umurku. amin ya rabb