Sunday, September 16, 2012

Memaknakan Kehidupan Sebagai Insan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengurniakan keberkatan dalam hidup.
Amma ba’d.

Apa beza antara kita dan binatang yang melata di atas muka bumi Allah, andai hidup hanya memikirkan bagaimana hendak isi perut? Kita selaku khalifah Allah di atas muka bumi harus tunduk dan patuh hanya kepada Allah dan sebarkan mesej kebenaran Islam yang Allah turunkan melalui lisan Rasulullah SAW kepada makhluq sekalian alam.

Cuma sedikit perkongsian, Alhamdulillah sekarang saya semakin nampak kenapa saya dicampakkan di RIT ini yang pada mulanya bukanlah pilihan di hati. Semakin hari Allah menunjukkan mutiara-mutiara hikmah kehidupan di sini. Di sini, saya ditarbiyah dan mentarbiyah, di sini Allah juga menyingkap rahsia dan menyuluh jalan kehidupan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sehati dan sefikrah. Kami mungkin berbeza manhaj pemikiran, tetapi kami meraikan perbezaan yang wujud di antara kami yang membuahkan kebahagiaan dalam berukhuwah.

Seperti saya maklumkan entri sebelum ini, kita mesti menjadi manusia bermanfaat kepada manusia lain. Atas dasar ini, kami ikhwah dan akhawat di RIT mengambil kata sepakat untuk membincangkan Usul 20  Assyahid Imam Hassan Albanna setiap minggu. Apa yang kami harapkan dari perbincangan ini adalah dapat menghasilkan dai’e yang kritikal serta memahami waqi’ (situasi) semasa dalam  kita ingin membawa seruan dakwah. Melalui perbincangan ini juga, kami bebas mengemukakan pandangan dan idea dalam mencari kaedah yang relevan untuk bergerak di medan. Insha Allah, mudah-mudahan Allah memberkati usaha ini.

Cuti summer lepas, saya ada membeli sebuah buku hadith, Syamail Muhammadiyah. Apa yang saya fikir, apa guna kita mengaku umat Rasulullah SAW andai kita tidak betul-betul mengenali susuk tubuh, manhaj dan kehidupan Rasulullah SAW. Dalam buku ini, diceritakan sifat fizikal, cara Rasulullah SAW bergaul, makan, minum, bergurau dan banyak lagi urusan kehidupan Rasulullah SAW dalam seharian.Jadi, saya dan ahli rumah saya mengambil inisiatif untuk membaca satu hadith satu hari selepas setiap kali solat maghrib berjemaah di rumah. Mudah-mudahan usaha ini juga menambah kecintaan kami kepada Rasulullah SAW dan menjadikan hidup kami lebih menepati sunnah baginda.

Berada di Rochester yang kaya dengan tempat-tempat semula jadi yang menarik, menggamit hati kami untuk mengambil peluang mengadakan rehlah dan tadabbur alam. Setiap quarter, kami sentiasa pastikan adanya satu rehlah di tempat-tempat menarik di sini seperti di Mendon Park, Ontario Lake, Letchworth State Park dan juga Seneca Lake. Mendampingi alam menyedarkan kami keagungan dan kebesaran Allah lantas diri menjadi insaf atas kekerdilan diri.


Kenangan untuk diuntai: rehlah di Seneca Lake

Petang hari kami sama-sama beriadah bermain volley ball, pocket billiard dan bola sepak. Semuanya dilakukan demi merapatkan ukhuwah. Kalau ada majlis-majlis di sini, kami adakan persembahan nasyid dan sebagainya, sehinggakan kami dijemput untuk membuat persembahan di University of Rochester semasa program bersama Baba Ali bulan depan. Semoga Allah permudahkan urusan kami.


Anak muda kreatif: Anak Kampung versi hari raya

Dalam hidup, Allah dengan sifat lemah lembutnya memberi kita ujian namun hikmah disebaliknya amat besar jika kita bersabar dan terus memohon kepadaNya agar diberi jalan keluar atas setiap mehnah. Kunci kehidupan, jangan pernah lelah mencari hikmah. Gunakanlah masa kita dengan perkara-perkara bermanfaat agar kita ada jawapan depan Allah.
Wallahualam.

Thursday, September 13, 2012

Apa Kata Mereka...


Salam kepada semua sahabat yang saya muliakan kerana Allah, semoga kita semua dalam lingkungan rahmatNya.
Amma ba’d.

Syariah Islam datang dengan maqasid syariah (objektif syariah), dengan tujuan memelihara agama, darah, akal, harta dan maruah. Begitulah tujuan diutuskan Rasululullah SAW demi menyempurnakan syariat Allah. Jadi dalam entri kali ini, saya suka untuk menaqalkan (quote) kata-kata cendekiawan barat mengenai perundangan Islam yang diambil dari buku Islam Holistik; Praktikal, Sesuai Di Tempat dan Masa tulisan Prof Dr. Yusof Al Qaradawi.

Dr Ezco Ensabato:

“Syariat Islam mengatasi perundangan-perundangan barat dalam berbagai penganalisaannya bahkan ia memberikan kepada dunia, perundangan yang paling kukuh dan kekal.”

Professor Chabrl, dekan fakulti undang-undang, University Vienna berkata:

“Sesungguhnya kemanusiaan berbangga kerana lelaki seperti Muhammad SAW adalah daripada kalangan mereka, kerana walaupun dia seorang yang buta huruf, beliau mampu semenjak beberapa belas kurun yang lalu membawakan perundangan yang akan menjadikan kami orang-orang Eropah lebih bahagia daripada keadaan sekarang walaupun kami akan mencapai kepada kemuncaknya selepas dua ribu tahun.”

Tokoh falsafah dan satera dunia terkenal, Bernard Shaw berkata:

“Sesungguhnya saya sentiasa amat menghormati agama Islam kerana ada padanya kekuatan dan keberkesanan, Ia sahajalah agama yang jelas kepada saya. Islam ialah agama yang jelas kepada saya. Islam adalah agama yang memiliki kekuatan perubahan berjalan seiring dengan kepentingan manusia pada setiap zaman.”

Tokoh sejarah Inggeris, Wales berkata:

“Sesungguhnya Eropah berhutang dengan Islam dalam bidang yang amat besar dalam perundangan pentadbiran dan system perniagaannya.”

Tokoh sejarawan Perancis, Sidio menegaskan:

“Sesungguhnya undang-undang Napoleon adalah dinukilkan daripada kitab fiqh mazhab imam Malik iaitu syarah al Dardir ‘ala Matan Khalil”

Syariah Islam jelas diperakukan oleh mereka sarjana-sarjana barat yang bukan beragama Islam. Namun, malang buat umat Islam didunia khususnya di Malaysia apabila agama tidak lebih daripada amalan-amalan harian. Perbincangan fiqh hanya sekadar rukun Islam yang lima. Pemerintah sedaya upaya menghalang wacana iIlmu di university-universiti kerana bimbang mahasiswa mendapat pencerahan sebenar mengenai undang-undang pentadbiran Islam yang sebenar. Wahai mahasiswa sekalian, Celik dan bangkitlah.

Wallahua’lam.

Saturday, September 8, 2012

Fasa Transisi...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga terus diberi kekuatan untuk istiqamah dengan segala amal-amal soleh yang dilakukan di bulan Ramadhan lepas.
Amma ba’d.

Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat dan rahmatNya, saya masih lagi berada di atas muka bumiNya ini. Masih lagi kiranya diberi peluang untuk bertaubat atas dosa-dosa yang menggunung tinggi. Sesungguhnya kita manusia selalu melakukan dosa, namun Allah dengan sifat Ar Rahman, Ar Rahim dan Al Latif, membuka ruang taubat dan kemapunan melebihi luas langit dan bumi. Terpulang kepada kita untuk merebut peluang ini.

Saya menyedari hakikat yang saya bakal menamatkan undergraduate studies saya kurang dari setahun (biidznillah.mohon doa sahabat semua buat kebaikan saya). Apa yang berada dalam kotak pemikiran saya adalah, “Apa arah tuju aku selepas ini?”

Semalam dalam usrah disini, saya bertanyakan hal ini kepada anak-anak buah saya, apa yang mereka akan lakukan selepas habis degree. Masing-masing dengan jawapan tersendiri. Saya tidak mahu bincang sangat arah tuju masing-masing selepas ini. Apa yang saya terfikir adalah, fasa berbaki Sembilan bulan ini adalah fasa memikirkan arah tuju hidup, dakwah, kerjaya, keluarga, dan sebagainya.

Makanya, Sembilan bulan ini selain berusaha untuk mempertingkatkan prestasi akademik, adalah seiring juga kita kena fikirkan bagaimana kita boleh menyumbang kepada masyarakat selepas tamat belajar nanti.

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain” (Maksud Hadith)

Apa sahaja yang kita ingin lakukan selepas ini, kita tidak lari daripada tanggungjawab sebenar kita yang telah diamanahkan oleh Allah jalla wa a’la selaku hamba dan khalifah di muka bumi.  Kita mungkin ingin menjadi saintis, ahli perniagaan, cendekiawan, dan teknokrat namun jangan lupa untuk berbakti kepada insan lain. Lantaran itu, segala budaya jahiliyah dan lagha wajiblah kita kikis sedikit demi sedikit dengan menyedari kita akan memasuki satu lagi fasa kehidupan yang lebih mencabar di luar alam kampus. Sikap melambatkan solat, suka baca anime, membuang masa berborak berita-berita gossip, banyak tidur, dan sikap kurang berhemah dalam berbelanja wajiblah dikikis dalam membentuk diri menjadi insan yang bertaqwa dan berkualiti.

Menjadi pelajar tahun akhir merupakan masa transisi dari satu fasa kehidupan ke fasa kehidupan yang lebih mencabar selepas ini, atas sebab ini, persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat yang rencam harus dilakukan sebaik mungkin. Di luar sana, pasti kita tidak terjangka untuk bertemu dengan manusia yang berbagai ragam.

Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (dalam kehidupan sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)” (Al Insyiqaq:19)

Mengakhiri entri ini, saya mengingatkan agar peningkatan umur biarlah seiring dengan meningkatnya kematangan dan amalan soleh. Selamat merancang dan berfikir untuk kebaikan sesama insan.
Wallahu’alam.

Kenangan cuti summer di Batu Ferringhi