Wednesday, August 15, 2012

Salam Aidilfitri 1433H...


Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar wa lillahil hamd. Segala puji hanya layak bagi Allah tuhan semesta alam yang telah menjadikan serta mencukupkan rezeqiNya ke atas kita hamba dan makhluqNya.

Alhamdulillah atas segala nikmat yang dipanjangkan Allah, pada tahun ini kita masih dipanjangkan usia, diberi peluang untuk masuk ke dalam medan tarbiyah ramadhan. Satu bulan yang telah dijanjikan Allah dengan pelbagai kenikmatan dan keberkatan; terpulang kepada kita ingin merebut atau membiarkan ia berlalu sepi.

Saya secara peribadi, merasakan ramadhan tahun ini membawa kelainan dalam hidup saya di mana diberi peluang oleh Allah untuk bertarawih di belakang imam-imam dari Gaza serta mendengar luahan mereka secara langsung tentang keadaan di Gaza, dapat beriftar,berusrah, dan bertarawih bersama murabbi di sekitar lembah Klang, dapat beriftar dengan sebahagian asatizah yang kita kenali melalui TV serta dapat beriftar juga dengan rakan-rakan yang lebih dua tahun tidak bersua muka. Semuanya merupakan nikmat Allah yang menyambungkan silaturrahim antara kami hamba-hambaNya.

Namun, dalam keadaan nikmat yang terlalu banyak ini, marilah sama-sama kita menginsafi keadaan umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia begitu ramai walaupun uban sudah memutih di kepala tetapi masih ponteng puasa. Di Arakan, muslim Rohingya dibantai dengan kejam oleh puak rakhine Buddha. Di Palestin, selain zionis laknatullah membedil rumah-rumah rakyat Palestin, mereka juga sering terputus bekalan elektrik serta petrol, menyebabkan mobilisasi mereka terbantut. Di Syria, Bashar Alassad laknatullah tidak mengendahkan bulan ramadhan yang mulia, terus menerus membunuh jiwa-jiwa umat Islam yang tidak bersalah. Tidak dilupakan juga bagi masyarakat muslim di negara barat yang tinggal di hemisfera utara, mereka berpuasa lebih 17 jam sehari. Inilah antara ujian-ujian massa yang melanda umat Islam.

Namun, saya sentiasa percaya ujian ini mengajar kita menjadi matang serta mendidik kita supaya sedar sudah tiba masanya umat Islam untuk bersatu menentang kezaliman yang melata, mengenepikan segala perbezaan mazhab dan ideologi politik, memperkasa jati diri dengan ilmu agama dan akademik, membangkitkan hamasah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta berdaya saing di peringkat global.

Harapan Allah kepada kita kepada hambaNya melalui tarbiyah ramadhan adalah mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa dalam erti kata kita sentiasa menyedari kewujudan Allah dalam setiap tindakan dan bual bicara. Kenal apa itu dosa pahala, tahu membezakan yang haq dan batil, sentiasa takut dan mengharapkan kepada Allah, serta menjadi insan yang senantiasa menegakkan keadilan dalam kehidupan. Taqwa mengajar kita untuk bersungguh bekerja dalam meninggikan kalimah tauhid di muka bumi ini. Kesan taqwa dapat dilihat jika kita masih mampu lagi untuk beristiqamah dengan segala amal soleh dan kebajikan apabila kita keluar daripada bulan ramadhan kelak.

Sambutlah aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesederhanaan, insafilah kelemahan diri serta kenanglah orang-orang terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita. Bertaqwalah kepada Allah walau di mana sahaja kita berada kerana itu sebaik-baik benteng dan bekalan.

Mana mungkin insan selain Nabi Muhammad SAW terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Selagi bernama insan, terutama yang hidup di akhir zaman yang begitu hebat cabrannya, lebih lagilah terdedah kepada pelbagai maksiat dan kesalahan. Apa yang tinggal hanyalah, insan sentiasa diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah dan memohon maaf sesama kita.

Dengan itu, saya insan biasa dan kerdil yang bergelandangan di atas muka bumi Allah memohon ampun dan maaf kepada seluruh sahabat dan insan yang mengenali diri saya, jika selama ini saya terkasar bahasa, tersilap bicara, tersalah memberi harapan, terambil sesuatu yang bukan hak, terabai tugas serta tanggungjawab dan pernah mengecilkan hati mana-mana pihak. Harapan saya, sahabat-sahabat semua sudilah memaafkan kesalahan dan kesilapan saya. Saya juga tidak berdendam dengan mana-mana sahabat serta telah memaafkan kesemua orang-orang disekeliling saya. Marilah kita jalinkan ukhuwah, bentuk sahsiah dan sama-sama berganding bahu mendaulatkan Islam di tanah air kita.
Wallahua’lam.

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib
Senior year, biotechnology
Rochester Institute of Technology
New York, USA

2 comments:

siputsedut said...

selamat hari raya..minta maaf banyak2 salah silap..kereta inshaAllah sihat..

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

taqabbalallahu minni wa minki. mohon maaf atas segala khilaf zahir dan batin. ooo, bila roadtest?