Friday, July 13, 2012

Hosgeldiniz Ramadhan...


Salam kepada sahabat, ikhwah dan akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memelihara kita dalam iman dan amal  soleh.
Amma ba’d.

Ramadhan mejelma lagi. Bagaimana persediaan kita menyambut ramadhan? Bila ditanya apa harapan Ramadhan kali ini, ada yang menjawab akan bangun qiam pada 10 malam terakhir, ada yang ingin melakukan amal ibadah secara berjemaah, dan ada yang berharap akan istiqamah dengan amal-amal soleh selepas berakhirnya Ramadhan. Merenung firman Allah dalam kitabNya yang agung:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang dahulu sebelum kamu supaya berpuasa,  mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Al Baqarah 2:183)

Output  bulan Ramadhan adalah melahirkan insan-insan yang bertaqwa dengan melalui proses tarbiyah ketika dalam bulan Ramadhan. Bertaqwa dalam erti kata, sentiasa sedar dan merasai kehadiran Allah dalam hidup, tahu halal dan haram, kenal dosa dan pahala, mempertimbangkan antara syurga dan neraka dalam setiap tindakan.

Banyak amalan yang digalakkan ke atas diri insan tatkala Ramadhan menjelma. Bertadarus, bertilawah, infaq, menjamu orang berbuka puasa, berzikir, bermunajat, menunaikan solat sunat tarawih, berqiyamullail, dan memperbanyakkan doa serta berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Ini semua adalah amalan zahir yang boleh kita buat dan gandakan dalam bulan Ramadhan.

Adapun amalan batin atau amalan hati adalah sama wajarnya untuk kita perhatikan. Menjaga pandangan, menjaga pertuturan dan perbuatan, tidak membuang masa, berbaik sangka serta sabar dan syukur dengan lapar dan dahaga berpuasa.

Dengan izin Allah, jika kita semampu mungkin mengoptimumkan masa kita untuk beribadah kepada Allah, semoga kita selangkah menuju taqwa. Ingatlah, insan yang bertaqwa dimurahkan rezeqinya daam kehidupan sebagaimana firman Allah:

“ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari pelbagai masalah) serta menganugerahkannya rezeqi dari sumber yang tidak di sangka-sangka” (At Talaq 65:2-3)

Demikianlah kelebihan insan bertaqwa. Semoga ramadhan tahun ini lebih baik daripada ramadhan tahun lepas. Allahumma balighna Ramadhan.

Holgeldiniz Ramadhan (selamat datang Ramdhan)

Mengharapkan sinar Ramadhan yang gemilang

No comments: