Wednesday, May 23, 2012

Ada Apa Dengan Padi?...


Salam kepada  sahabat, ikhwah dan akhawat. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya yang luas kepada kita.
Amma ba’d.

Cuti tiga bulan Summer sudah bermula. Diharapkan kita semua dapat merancang cuti kita dengan baik. Pelbagai program yang akan diadakan di Malaysia bagi kita sertai antaranya WOW (Wonderful Overseas Weekend), JOM(Journey Of Muslim), PUNCAK (Pre Departure US Canada KITA), SIC (Sharing Is Caring), STC (Summer Training Camp) dan banyak lagi. Selain itu mungkin ada yang balik ingin melangsungkan pernikahan, saya ucapkan Barakallahulakuma. Saya? Biarlah taqdir jadi penentu. Tinta telah diangkat, lembaran sudah kering.

Ilmu adalah asas untuk membentuk ketamadunan. Dengan adanya ilmu kita dapat melihat wujudnya masyarakat madani (civilized society). Ada satu hadith nabi yang menyebut:

“Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap Muslim” (maksud hadith)

Saya rasa hadith ini semua orang maklum. Salah satu ciri atau sifat penuntut ilmu adalah dia seorang yang tawadduk atau merendah diri. Pepatah melayu mengatakan ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Ada perkara yang boleh kita belajar daripada padi. Hari ini kita dapat lihat, perkembangan ilmu sangat drastik. Di sana sini perbicaraan ilmu sentiasa segar dan hidup namun persoalannya, apakah ilmu itu membentuk kita menjadi manusia yang bersifat rabbani, tunduk dan tawadduk kepada Alkhaliq serta menjadikan kita semakin taqarrub kepada Allah?. Kadang-kadang kita dapati, sesetengah orang ilmu agama hanyalah seciput tetapi begitu lantang mengkritik ulama muktabar seolah-olah dialah mujtahid abad ini. Dengan banyaknya ilmu ia sepatutnya menjadikan kita semakin merendah diri tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Saya kagum dengan beberapa religious figure di RIT ini. Orang yang saya maksudkan adalah Dr Rauf Bawany. Beliau merupakan Muslim Chaplain di RIT ini. Saya rapat dengan beliau kerana beliau merupakan pemerhati (observer) dalam kelas arab saya. Biasanya selepas habis kelas arab, kami akan sama-sama berjalan ke surau (interfaith center) untuk menunaikan solat asar. Banyak perkara terutama berkaitan umat Islam di Amerika ini. Apa yang menyebabkan saya tertarik dengan beliau adalah kerendahan hati beliau sekalipun beliau bergelar Doktor. Apabila berjalan menghampiri pintu bangunan, beliau yang akan membukakan pintu dan mempersilakan saya untuk masuk dulu sebelum beliau masuk. Bagi menghormati beliau saya akan menyuruhnya masuk dahulu, tetapi beliau bertegas menyuruh saya memasukinya dahulu. Siapalah saya hendak dimuliakan sebegitu rupa. Lebih mengkagumkan saya, beliau memanggil saya “Sheikh Nazrul”. Sedangkan nak dibandingkan ketinggian ilmu, beliau dengan saya bagaikan langit dan bumi. Begitu sedikitnya ilmu saya berbanding ilmu beliau. Jika saya mengemukan pendapat saya tentang sesuatu perkara, beliau sangat menghargainya. Berkali-kali diulangnya “jazakallahu khair”. Kadang-kadang beliau meminta pendapat saya, bagaimana beliau boleh memperbaiki khutbahnya pada hari jumaat. Subhanallah, betapa tawadduknya beliau walaupun beliau berbicara dengan anak muda yang naïf seperti saya.

Antara figure yang lain adalah Dr Shaqeel. Beliau merupakan guru tafsir bagi kami pelajar-pelajar RIT. Walaupun beliau sangat hebat dalam ilmu tafsir namun sifat rendah dirinya terbukti. Saya teringat minggu lepas semasa banquet MSA (Muslim Student Association), saya makan di satu meja dengan beberapa orang sahabat. Tiba-tiba beliau menghampiri meja kami dan bertanya khabar. Selepas bertanya khabar dan bersembang hal itu dan ini, beliau meminta pendapat bagaimana penyampaian dalam kelas tafsir boleh dipertingkatkan lagi. Subhanallah, seorang pakar sakit mata yang juga faqih dalam bidang tafsir Alquran, tidak segan silu untuk meminta pendapat daripada anak muda seperti saya. Inilah tauladan dan contoh buat kita penuntut ilmu.

Adakah bila mereka merendah diri, ilmu dan maruah diri mereka berkurang? Tidak! bahkan mereka semakin dihormati. Atas sebab ini, janganlah kita yang diberi sedikit kelebihan dalam ilmu sudah ingin bongkak dan mendabik dada. Adat orang berilmu, semakin bertambah ilmu, semakin mereka merendah diri. Mereka takut kepada Allah. Saya berpesan kepada diri saya dan sahabat ikhwah dan akhawat, tawadduklah apabila kita berilmu. Semoga makin bertambah ilmu kita dan semakin berkat. Sesuatu ilmu itu berkat jika diamalkan.

“Sesungguhnya orang-orang yang takut dalam kalangan hamba Allah hanyalah Ulama’ (orang-orang yang berilmu)” (Fatir 35:28)

Wallahualam.

P/S: Kadang-kadang saya ada idea, tetapi motivasi nak menulis hilang sedikit. Hanya jasad disini, hati dan fikiran sudah di Malaysia.

Thursday, May 17, 2012

Perubahan...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga semuanya sihat, selamat serta dalam naungan Allah.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak update  blog ini kerana beberapa kekangan masa dan kerja. Hari ini, secara tidak rasminya saya sudah boleh tersenyum gembira kerana sudah habis peperiksaan yang agak kritikal, Bio Separation dan Chemical Separation. Minggu depan saya hanya ada dua subjek lagi untuk peperiksaan akhir, College Algebra dan Arabic III. Mohon doa sahabat sekalian.

Pertama-tama sekali saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat senior yang sudah grad atau bakal grad bulan ini. Pengorbanan kalian selama tiga atau empat tahun terasa sangat indah dengan segala susah payah diharungi dalam tempoh ini. Cuaca yang ekstrim, kelas yang padat, lab report dan assignment yang bertindih, serta sedikit masalah mungkin dengan persekitaran , segalanya jelas berbaloi. Namun, menjadi harapan mereka-mereka yang di Malaysia agar kalian semua pulang dan berkhidmat untuk kemajuan Negara selepas banyak  wang pembayar  cukai kita guna bagi membiayai kita di sini.

Manusia itu sentiasa berubah. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya memang akan berubah baik secara fizikal ataupun mental. Kalau dulu secara fizikal tidak ada janggut dan misai, tetapi sekarang lebat kelihatan janggut dan misai bagi lelaki. Kalau dahulu cara berfikiran masih lagi keanak-anakan tetapi sekarang sudah matang sedikit bicaranya. Itulah hakikat kehidupan kita. Cuma yang menjadi persoalannya adalah , apakah kita berubah kearah kebaikan ataupun sebaliknya?

Perubahan yang kita inginkan sudah tentulah kearah kebaikan. Selepas kita dahulunya pernah hanyut dengan arus pemikiran yang tidak islamik, apakah kita masih lagi mahu duduk dalam lingkungan jahiliyah selepas kita terasa sesaknya jiwa tanpa panduan Alquran dan Assunnah? Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah kerana mengurniakan sahabat-sahabat yang dahulunya memandang sepi kepada tarbiyah tetapi sekarang dialah orang yang begitu bersemangat untuk mentarbiyah diri dan sahabat-sahabatnya. Dia sentiasa bertanya kepada saya, apa lagi kita patut buat untuk ajak orang join  usrah, bila lagi daurah kita, bila nak buat program lagi. Saya sangat meraikan semangat sahabat-sahabat saya yang sebegini. Rasa terharu dan ingin menangis ada kerana saya kenal bagaimana mereka sebelumnya. Tarbiyah Islam benar-benar menyentuh hati mereka sehingga ada yang mencadangkan bahawa apabila sudah pulang ke Malaysia kelak, sudah bekerjaya dan berkeluarga, ingin diwujudkan penempatan tarbiyah. Taman tarbiyah, kampong tarbiyah atau apa sahaja residential. Nampak macam terlalu ideal tetapi tidak mustahil untuk dilaksanankan.

Inilah perubahan yang kita inginkan. Semuanya harus bermula dengan kesedaran, “aku adalah muslim, sudah terlunaskah tanggungjawab aku kepada Islam?”.  Meminjam kata-kata ustaz Hasrizal “memaksa diri untuk berubah adalah orang yang Berjaya, berubah kerana terpaksa itu adalah mangsa”. Masih belum terlambat untuk kita membuat perubahan dalam diri kita. Selagi nyawa dikandung badan, peluang sentiasa terbuka. Rahmat Allah terlalu luas untuk kita berubah kearah kebaikan dan yakinlah, bantuan Allah sentiasa luas untuk kita menuju kebaikan.

Berubahlah kea rah kebaikan, kita akan dapati betapa indahnya kehidupan.

P/S: Masih teringat kempen Barack Obama semasa tahun 2008 "The Change We Need"

Sunday, May 6, 2012

Pemutus Kelazatan...


Salam kepada semua sahabat, ikhwah dan akhawat fillah. Perjalanan hidup kita penuh ranjau dan onak duri. Adakala kita berasa duka, adakala kita gembira. Hidup sesekali tidak lari dari ujian serta tribulasi. Kuasa kita terhad kepada usaha, doa dan tawakkal.
Amma ba’d.

Kematian itu bukanlah penamat kepada kehidupan insan tetapi adalah peralihan alam kehidupan dari dunia menuju ke kampong akhirat. Allah berfirman:

“Dan bagi tiap-tiap umat itu ada tempoh (ajal yang telah ditetapkan); apabila tiba tempoh itu, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat dan tidak dapat pula dipercepatkan” (Al A’raf 7:34)

Semalam saya pulang dari Pennstate University selepas menghadiri short daurah di sana bersama sahabat-sahabat dari Pennstate university dan University of Buffalo (UB). Kami bertolak pulang selepas solat jama’ taqdim maghrib-isya’ di sana lebih kurang pukul 9.15 malam. Di US ini, highwaynya sangat gelap kerana dikelilingi hutan dan tiada lampu jalan di tepinya. Lagu playlist nasyid di Iphone sahabat saya dimainkan bagi menghilangkan kesunyian memandu. Mereka yang lain termasuk co-pilot turut mengembara kea lam mimpi. Saya tidak kisah kerana semalam seolah-olah perjalanan terasa amat indah ditemani cahaya rembulan purnama. Sangat cerah. Biasalah, bila memandu seorang diri fikiran melayang memikirkan itu dan ini. Lagu demi lagu dimainkan. Tiba-tiba terdengar lagu ini.
Mendengar lagu ini, teringat saya akan dua orang rakan yang meninggal semasa usia masih muda. Seorang meninggal semasa berumur Sembilan tahun akibat ketumbuhan dan seorang lagi meninggal semasa berumur 12 tahun akibat gangguan makhluk halus. Bila teringat akan kematian mereka yang masih muda, jiwa saya sebak, air mata terembes keluar mengenangkan bila pula giliran saya akan menyusul. Sekurang-kurangnya mereka meninggal dalam keadaan belum baligh; jaminan syurga itu adalah pasti. Saya bermuhasabah; “andai aku mati waktu sekarang, apakah aku akan ke syurga? Apakah Allah redha kepadaku? Apakah nabi akan memberi syafaat kepadaku?”

Dalam masa itu, saya insaf betapa kerdilnya saya. Nafas yang saya hela bukan milik saya, segala yang saya ada akan dipertanggungjawabkan, dan tanggungjawab yang saya pegang juga kadang-kadang tidak disempurnakan dengan baik. Astaghfirullahal adhim. Mengenangkan semua ini, saya semakin insaf dengan keadaan umat yang masih lalai, yang masih jauh dari pimpinan Alquran dan Assunnah serta yang semakin rakus mengejar duniawi. Tidakkah mereka tahu bahawa mati itu adalah pemutus kelazatan?

” Perbanyaklah kalian mengingati pemutus kelazatan (yakni kematian).” (HR. At-Tirmidzi )

Berpada-padalah dengan duniawi serta perbanyakkanlah amal demi kebahagiaan ukhrawi. Saya mengajak diri saya serta sahabat sekalian agar perbanyakkan istighfar kepada Allah. Hidup kita bukan untuk menongkat langit. Astaghfirullah.