Thursday, January 5, 2012

Kita Pemuda & Pemudi Itu...


Salam sahabat-sahabat semua, semoga kita dikurniakan hidayah dan taufiq agar kekal dalam Deenul Haq, Islam.
Amma ba’d.

Alhamdulillah cuti yang masih berbaki lagi beberapa hari ini akan diisi dengan perkara yang bermanfaat. Alhamdulillah a’la kulli hal atas rahmat, nikmat serta kesempatan yang dikurniakan Allah Ar Rahim untuk bertemu ikhwah dari seluruh pelosok US serta dapat berjalan-jalan tadabbur alam di Las Vegas,Nevada serta beberapa tempat di California.
Golden Gate Bridge, San Francisco, California

Dalam kesibukan kita berprogram, masih sempat lagi kita membaca beberapa isu yang berlaku. Bermula dengan perkahwinan sejenis yang terjadi di Dublin, Ireland kemudian berlaku demontrasi dalam kalangan mahasiswa di Malaysia disusuli pula dengan dikatakan seorang pelajar cemerlang SPM suatu ketika dahulu terjebak dengan perkara-perkara liar. Astaghfirullahal A’zim, kita yang membaca jadi pening dan kadang-kadang pelik dengan apa yang berlaku. Sedar atau tidak, kesemua perkara itu jika tidak terlibat secara langsung pasti ada sedikit persamaan antara kita dengan mereka yang terlibat; kesemua mereka adalah remaja yang berumur antara 20-an ke 30-an.Ya mereka dan kita ada persamaan. Dalam fatrah (fasa) umur ini, saya akui kita masih mencari identiti diri kita yang sebenar. Ya, kita sedar kita muslim tetapi kadang-kadang duniawi ini terlalu indah sehingga melekakan kita daripada tanggungjawab sebenar.

Di sini saya suka untuk membincangkan  tanggungjawab kita selaku pemuda dan pemudi Islam. Setelah usrah demi usrah, tamrin ke tamrin, daurah ke daurah tetapi masih lagi ada saki baki jahiliyah dalam diri kita. Jadi, marilah sama-sama kita renungkan semasak-masaknya tanggungjawab pemuda dan pemudi Islam yang telah digariskan oleh Profesor Shiekh Dr. Yusof Alqardawi.

1) Memahami Islam Secara Jelas

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan buatnya, Allah akan memfaqihkan dia dalam agama”

Memahami Islam secara jelas adalah substance penting untuk menghilangkan kekeliruan dalam tindakan dan pemikiran kita. Selalu kita terdengar statements:

“ala aku tak bertudung pun tapi still solat penuh lima waktu dan baca al quran. Ok what.”

“ala dia tu nampak macam ustaz, pakai kopiah dan jubah bagai, akhlaq hampeh. Baik aku lagi”

Kenyataan-kenyataan ini, menunjukkan kekeliruan sesetengah sahabat kita dalam menjalani kehidupan sebagai muslim. Alquran dan Assunnah itu mesti diambil secara kaffah (keseluruhan) tanpa ragu. Jadi, pergilah menuntut dengan guru yang mursyid demi mendapat ilmu yang sahih.

2) Mengamalkan Islam Yang Sahih

Suka saya tegaskan sekali lagi, Islam bukanlah agama dogmatic tetapi kesemuanya datang dengan dalil dan hujah. Perlembagaan yang kita junjung adalah Alquran dan Assunnah. Syarat diterima amal seseorang adalah niat yang ikhlas kerana Allah dan mengikut syariat. Jadi, perlunya kita untuk merantau menuntut ilmu dengan guru yang kita kenali sebagai guru yang baik dan benar pengamalannya. Banyak dalam masyarakat kita sering keliru antara adat dan ibadat. Sering kali adat walaupun bercanggah dengan syariat dikatanya ibadat. Hati kita perlu dididik agar membuahkan amal yang soleh. Akhlaq seorang muslim adalah ‘mukjizat’ bagi melunakkan hati orang sekeliling.

3) Memelihara Ukhuwah Islamiah

Dalam memelihara ukhuwah Islamiah, dua elemen penting yang perlu diambil perhatian adalah salamatus sodr (berlapang dada) dan husnu dhan (bersangka baik). Kita muslim bukannya penghukum tetapi penyeru kearah jalan al haq dan taqwa. Maka,jangan terlalu mudah membuat kesimpulan dalam sesuatu perkara. Harus kita dalami sesuatu perkara berdasarkan sumber-sumber yang sahih. Ukhuwah adalah perkara tunjang untuk memelihara keharmonian hubungan sesama muslim dan masyarakat sekitar.

4) Melaksanakan Amar Maa’ruf & Nahi Munkar

Mengajak kepada kebajikan dan mencegah daripada kemungkaran merupakan aspek penting untuk melihat sebuah masyarakat islami dan masyarakat tarbawi. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110:

“Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala kebajikan  dan mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar keimanan). Dan kalaulah ahli kitab itu beriman, tentulah hal itu menjadi baik bagi mereka tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq” (3:110)

Apabila keempat-empat perkara ini sudah lengkap, kata Sheikh Yusof Alqardawi, ianya petanda kepada kemenangan Islam semakin hampir.

Jadi, harapan besar kita agar garis panduan ini dijadikan titik mula tahun 2012. Insya Allah harapan saya untuk diri saya dan sahabat-sahabat yang saya kasihi agar kita dapat menguatkan tekad dan semangat untuk semakin laju melangkah dalam kehidupan. Saya berdoa agar saya dan sahabat-sahabat dihimpunkan dalam jannah Allah sebagaimana kita di dunia hidup di bawah bumbung langit yang sama.
Wallahu’alam.


P/S: Terjumpa lagu ini di playlist blog Hanisah, terus teringat kampung. Barakallahulakuma untuk Kak Long saya yang akan berkahwin pada 22 January ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati Kak Long dan bakal keluarga sehingga ke syurga.