Salam buat semua sahabat yang saya kasihi, bagaimana hidup kita hari ini? Semoga semakin hari semakin hampir kepada Allah.
Amma ba’d.
Alhamdulillah kuliah tafseer di RIT semakin ramai minggu ke minggu dan saya berharap agar usaha imam Shaqeer diredhai Allah. Sedikit maklumat; imam Shaqeer merupakan seorang doktor pakar sakit mata di sebuah hospital di Rochester ini. Saya amat mengkagumi usaha beliau dalam mengembangkan dakwah di bumi Uncle Sam ini. Semoga Allah mengurniakan limpahan rahmat, rezeqi dan kasih sayangNya yang tidak terbatas kepada Imam Shaqeer. Inilah kualiti sebagai umat Islam yang mesti kita teladani. Apa guna Degree, Master dan PhD kita andai kita jahil ilmu agama kita sendiri.
Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi dari kuliah tafseer minggu ini. Sering kali kita berdoa kepada Allah dengan pelbagai permintaan, rintihan, pengaduan dan rayuan. Saya yakin kita sedar bahawa perkataan yang kita gunakan untuk merujuk kepada Allah adalah Rabb. Sebagai contoh:
“Ya tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka” (2:201)
“Ya tuhan kami, berilah kami beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara yang menyenangkan hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan orang muttaqin” (25:74)
“Ya tuhan kami, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta orang-orang beriman pada hari berlakunya perhitungan amal”(14:41)
“Ya tuhan kami, janganlah Engkau jadian pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir dan ampunkanlah dosa kami wahai tuhan kami, Engkau sahajalah yang maha kuasa lagi maha bijaksana” (60:5)
Banyak lagi doa-doa yang diajar oleh Al Quran, kalau yang berminat untuk menghafal doa-doa dari Al Quran bolehlah klik di sini.
Kesemua doa-doa tersebut bermula dengan Rabbana. Kalimah Rabb digunakan bagi merujuk kepada tuhan. Insya Allah selepas kita tahu maksud sebenar Rabb ini, doa kita akan lebih bermakna dan mudah-mudahan kita lebih khusyuk ketika berdoa. Rabb mempunyai tiga maksud:
Maksud Rabb yang pertama adalah yang memiliki secara mutlaq (the total and complete owner). Apa maksud yang memiliki secara mutlaq ini? Katakanlah kita ada iPhone 4, adakah kita tahu segala-galanya tentang iPhone 4 tersebut? Kita mungkin tahu bagaimana menggunakannya, tapi kita mungkin tidak tahu bagaimana system itu bekerja. Kita juga tidak tahu untuk membaikinya andai gadget tadi rosak. Setiap komponen iPhone 4 seperti casing, screen dan sebagainya pula dicipta daripada bahan asas (raw material). Namun kalimah Rabb ini bermaksud Allah menciptakan sesuatu daripada tiada dan Dia maha mengetahui apa yang terdahulu dan terkemudian, apa yang tersembunyi serta yang dizahirkan. Allah juga boleh menyesatkan kita serta memberi kita taufiq dan hidayah. Allah juga boleh memuliakan kita serta menghinakan kita, Allah juga boleh mengkayakan kita serta boleh menjadikan kita miskin. Atas sebab ini, ada satu hadith qudsi:
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal,nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta,nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Jadi apabila berdoa, yakinlah Allah akan memaqbulkan doa kita serta bertawakkallah.
Maksud Rabb yang kedua ialah , hanya satu-satunya (the one and only) yang layak dipatuhi dan disembah (the one who deserves to be obeyed and worshipped). Hanya Allah zat yang layak disembah dan ditaati dan tidak boleh dipersekutukan dengan apa-apa jua. Baik percakapan kita, perbuatan kita, pembawakan kita, semuanya tidak menjadikan kita terjerumus ke lembah syirik. Atas sebab ini, ketika kita gembira ucaplah Alhamdulillah dan apabila ditimpa musibah sebutlah innalillahi wainna ilaihi raji’un. Ingatlah tempat s kembali segala perkara hanyalah kepada Allah.
“..Cukuplah Allah untuk menolong kami dan Dialah sebaik-baik pengurus yang terserah kepadaNya segala urusan kami” (3:173)
Maksud Rabb ketiga adalah, pemelihara, pembekal serta pentadbir alam ini (sustainer, provider and maintainer). Haruslah kita meyaqini bahawa segala apa yang kita dapat adalah pemberian dan anugerah daripada Allah jalla wa’ ala. Maka, patutkah kita kufur atas segala pemberian dan kurniaan Allah itu? Ingatlah segala yang kita kecapi hari ini adalah daripada Allah; semuanya akan ditanya. Tentang harta kita; yang halal akan dihisab dan yang haram akan diazab, beringatlah. Tanpa pemberian Allah, kita tidak punya apa-apa.
Jadi, inilah sedikit sebanyak ilmu yang mampu saya kongsikan untuk kali ini. Harapan saya, sahabat yang membaca artikel ini dapat menyebarkannya baik dalam usrah, kepada kawan-kawan, sanak saudara serta orang yang kita temui, mudah-mudahan saya mendapat saham di akhirat kelak. Apabila kita faham maksud Rabb ini, mudah-mudahan kita dapat hayati maksud semasa memanjatkan doa kepada Allah.
Wallahua’lam.
Imam Shaqeer said, RIT should be Rochester Institute of Tafseer.Allahu Akbar..:)
Dakwah itu indah dan harum
No comments:
Post a Comment