Sunday, December 18, 2011

Asal Kita Segumpal Darah...

Salam semua, Alhamdulillah segala puji hanya layak untuk Allah jalla wa a’la, tuhan yang telah menganugerahkan segala rahmat dan kasih sayangNya kepada semua makhluk.
Amma ba’d.

Kita sering mengimpikan perkara-perkara mahal dalam kehidupan kita seperti kereta mewah, rumah banglo, makanan sedap dan pakaian yang mahal lagi berjenama tetapi kita lupa bahawa semua perkara itu adalah kesenangan yang memperdaya. Sebenarnya ada perkara yang lagi mahal jika hendak dibandingkan dengan perkara-perkara di atas; itulah iman dan islam yang ada dalam diri kita sekarang. Walaupun tanpa rumah besar, kita masih ada tempat untuk berteduh daripada hujan dan panas. Tanpa kereta mewah, kita masih mempunyai kenderaan untuk sampai ke destinasi kita. Tanpa pakaian yang mahal kita masih mampu memakai pakaian yang menutup aurat kita. Namun, tanpa iman dan Islam kita hilang panduan dan pedoman, hidup dalam kegelisahan dan tiada arah tuju. Oleh itu, peganglah Islam yang kita ada sekarang ini walaupun harganya sehingga nyawa menjadi taruhan.

Hari ini (sabtu), Alhamdulillah saya dan sahabat-sahabat di sini diberi peluang oleh Allah untuk menghadiri kuliah tafsir mingguan oleh Imam Shaqeel. Sebenarnya kuliah ini bermula dari minggu lepas dan memang kami sudah menghadirinya sejak minggu lepas lagi tetapi atas faktor masa (exam dan perkara lain) jadi saya tangguhkan dahulu cerita pasal kuliah tafsir ini. Imam Shaqeel mulakan dengan tafsir surah Al Alaq ayat satu hingga lima.

“(Wahai Muhammad!) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (seluruh makhluk). Ia telah menciptakan manusia dan segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Ia mengajar mauusia apa yang tidak diketahuinya.” (96:1-5)

Lafaz Iqra’ dalam surah ini adalah kata perintah (fi’il amr). Di sini kita harus bezakan antara request dan command. Jika ianya request, kita ada pilihan sama ada ingin buat atau tidak tetapi apabila ianya command, kita tidak ada pilihan. Mahu atau tidak, kita mesti buat.

Saya sebenarnya tertarik dengan pengajaran di sebalik penurunan ayat ini. Pertama, ketika malaikat Jibril menurunkan ayat ini lalu menyuruh nabi membaca, lalu jawab Nabi Muhammad SAW bahawa baginda tidak tahu membaca lalu dipeluk oleh malaikat dengan kuat dan perkara ini terjadi sebanyak tiga kali. Ketika nabi dipeluk, nabi merasa gementar yang amat sangat dan kesukaran untuk bernafas. Ini menunjukkan bahawa apa yang nabi terima dan tugas nabi selepas ini amat sukar dan terbeban. Inilah tugas dakwah dan apa yang paling penting, perkara berat inilah yang Rasulullah SAW wariskan kepada kita selaku Muslim.

Ketika Rasulullah SAW pulang lalu bagnda berkata kepada Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama dan paling dikasihi baginda, “zammilooni” (selimutkan aku) dalam keadaan baginda berwajah pucat lesi dan gementar. Lalu Saidatina Khadijah menyelimut baginda sambil menenangkan baginda. Saidatina Khadijah juga menyuruh baginda bertemu dengan sepupunya , waraqah bin naufal, seorang ahli kitab yang sahih.Pengajaran di sini adalah, seorang isteri merupakan sumber inspirasi dan kekuatan kepada perjuangan seorang suami. Tanggungjawab seorang lelaki dalam lapangan dakwah memang berat, terutama bagi yang sudah berada dalam Jemaah. Atas sebab ini isteri sebagai sayap kiri kepada sang suami dan sumber inspirasi kepada perjuangan suami.


Kemudian Rasulullah SAW pergi berjumpa dengan waraqah bin naufal. Di sana ketahuilah baginda bahawa baginda akan dilantik menjadi Rasul kepada umat akhir zaman. Di sini, ibrah yang dapat kita ambil adalah, kita hendaklah pergi merujuk kepada orang yang tahu jika kita tidak tahu.

Subhanallah, kadang-kadang saya rasa terlalu besar nikmat Allah kepada kami warga Rochester; dikurniakan komuniti muslim yang baik, duduk dalam persekitaran kampong yang aman dan tenang, dan apa yang penting program-program islamik di sini subur. Alhamdulillah. Apapun semuanya terpulang kepada diri masing-masing untuk merebut peluang keemasan ini ataupun tidak. Tiada hujah lagi di hadapan Allah bahawa “oh, aku tak dapat hidayah lagi” sedangkan sumber-sumber hidayah terlalu banyak di sekeliling kita.
Wallahu’alam.

P/S: insya Allah lagi tiga hari saya dan sahabat-sahabat dari Rochester (39 orang) akan bertolak ke Las Vegas bagi menghadiri muktamar MISG di sana. Ada yang naik flight dan ada yang naik bas tetapi apa yang paling penting, kami semua selamat pergi dan selamat pulangn ke Rochester yang kami sayangi...:)

No comments: