Salam buat sahabat-sahabat sekalian. Semoga kita semua sentiasa digolongkan dalam golongan yang bertaqwa dan beramal soleh
Amma ba’d.
Lumrah manusia diciptakan dengan perasaan menyanyangi dan ingin disayangi. Tanpa kasih sayang, hidup manusia itu akan berkecamuk, jiwa tidak tenang dan sentiasa dalam keresahan. Perasaan kasih sayang merupakan satu rahmat yang agung dalam kehidupan manusia kerana perasaan ini membolehkan manusia membiak seterusnya dapat menjalankan tugas selaku khalifah di muka bumi ini dengan baik. Untuk kali ini, sukalah saya untuk berkongsi sedikit sebanyak tips supaya kita disayangi Allah dan manusia. Marilah kita merenung dan berfikir sejenak tentang hadis yang disabdakan junjungan mulia kita, Nabi Muhammad SAW.
“Telah datang seorang lelaki kepada kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam lalu berkata: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amal apabila aku mengerjakannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Rasulullah SAW berkata: zuhudlah engkau kepada dunia nescaya engkau dikasihi Allah; dan hendaklah engkau zuhud kepada apa yang ada disisi manusia nescaya engkau dikasihi manusia.” (Hadis Hasan riwayat Ibn Majah)
Hadis di atas merupakan hadis yang ke 31 dalam matan arba’in (hadis 40 karangan Imam An Nawawi). Pokok hadis ini ialah untuk dikasihi Allah dan manusia, kita hendaklah zuhud. Apa itu zuhud? Erti zuhud menurut bahasa ialah berpaling atau tidak menghendaki kepada suatu kerana tiada mutu dan nilainnya. Menurut istilah syara’ ialah mengambil sekadar yang perlu dari satu yang diyakini halalnya.
Ramai orang hari ini tersilap faham dalam pengertian zuhud. Mereka menganggap berpakaian compang camping itu zuhud, menolak dunia secara total adalah zuhud, dan menaiki kenderaan buruk adalah zuhud. Menurut Ibn Al Qayyim Rahimahullah, zuhud ialah:
1) Zuhud itu ialah kosong hati dari dunia bukan kosong tangan daripadanya. Inilah zuhud golongan ariffin (golongan yang mengenal Allah).
2) Zuhud itu ialah kosong sama sekali dari sesuatu sama ada di dunia ini mahu dari syurga di akhirat kelak kecuali Allah. Hanya Allah (keredhaan Allah ) yang dikehendakinya dan tidak selain itu. Ini adalah golongan
muqarrabin (yang hampir kepada Allah).
muqarrabin (yang hampir kepada Allah).
Belilah Rumah banglo di seksyen 7 Shah Alam, gunalah kereta BMW 7 Series, dan pakailah baju Durban asalkan pakai kerana Allah; tidak berbangga-bangga dengan apa yang ada serta tidak khuatir andai nikmat-nikmat itu hilang dari tangan. Andai banglo itu roboh, andai BMW itu rosak, dan andai pakaian itu koyak rabak, perkara itu tidak sedikit pun membuatkan kita sedih.
Kembali kepada topik kita, KASIH SAYANG. Rasulullah mengajar kita tentang bagaimana kita ingin dikasihi Allah dan manusia, maka selaku umatnya haruslah kita sentiasa di atas landasan al quran dan sunnah Rasuluullah SAW. Pesanan Rasulullah SAW agar zuhud kepada dunia amat berguna supaya Allah mengasihi kita. Zuhud kepada dunia ialah tidak tamak terhadap duniawi; dalam erti kata lain tidak bersifat materialistik dan hedonistik. Allah itu maha kaya, jika kita meminta kepadaNya, maka itu tidak menjadi hal kepada Allah. Namun, manusia ini hakikatnya faqir (miskin kerana tidak memiliki apa-apa pada hakikatnya); jika kita meminta-minta kepada manusia, nescaya mereka akan mula berasa meluat dan menyampah kepada kita dan kasih sayang yang mulanya mekar kembali menguncup. Jika kita inginkan sesuatu, janganlah mengharap ihsan orang lain sebaliknya berusahalah bersungguh-sungguh dan berdoalah kepada Allah.
Pernah seorang badwi di kota Basrah bertanya : “siapakah ketua masyarakat di sini?” lalu dijawab pendudk di situ.” Ketua masyarakat ialah Al Hassan”. “dengan apa yang mulia itu jadi ketua?”
Lalu dijawab lagi “Dengan ilmunya dan sikapnya. Kerana manusia berkehendakkan kepada ilmunya sedangkan dia tidak berkehendakkan kepada dunia mereka.”
Beramallah dengan petunjuk Al Quran dan As Sunnah, mudah-mudahan kita semua disayangi Allah, Rasul serta makhluk di langit dan di bumi.
Wallahualam.
2 comments:
nice post with nice pictures..=)
may we get the benefits from this hadith..
Post a Comment