Sunday, May 30, 2010

BerManFaatKah KiTa??....

Salam buat rakan-rakan sekalian. Sejajar dengan peningkatan umur, diharapkan semakin bertambahlah ilmu agama, ilmu akademik, akhlak mahmudah, amal soleh dan amal kebajikan.
Amma ba’d.

Sejauh manakah kita bermanfaat terhadap manusia dan makhluk sekeliling kita? Pernahkah soalan sebegini timbul dalam benak fikiran kita? Manusia yang bermanfaat adalah manusia yang terbaik yang diiktiraf oleh junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda “sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain”. Berdasarkan kepada hadis yang sangat tinggi nilainya ini, bagaimanakah kita boleh mengaplikasi maksud hadis ini dalam kehidupan kita? Hidup kita tempang sekiranya kita hanya hidup untuk diri sendiri. Manusia ini sebenarnya makhluk sinergi. Sinergi disini bermaksud kita hidup dalam rantaian yang memerlukan kepada kebergantungan sesama manusia. Sebagai contoh, dalam bab makan: jika kita ingin memakan nasi, ia dimulakan dengan petani yang menanam padi, disusuli dengan orang yang mengambil padi tersebut menggunakan mesin padi, diikuti dengan orang yang memandu lori untuk dibawa padi tadi ke kilang padi. Di kilang padi, pekerja kilang mengendali mesin untuk memproses padi menjadi beras dan sehinggalah seseorang memasak untuk kita menjadi nasi. Bukankah ia merupakan satu proses yang panjang?
                                                        al yadu u'lia khairun minal yadu al sufla

Untuk menghasilkan nasi sebenarnya bukanlah proses yang mudah. Maka atas dasar inilah kita harus menjadi manusia yang bermanfaat. Tujuannya adalah untuk kita membalas jasa dan manfaat orang-orang yang telah bermandi peluh untuk menyediakan nasi kepada kita. Itu hanya dalam bab makan, tidak termasuk bab perlindungan, pengangkutan dan sebagainya. Menjadi orang yang bermanfaat tidak semestinya memerlukan pengorbanan wang ringgit dan harta. Mengajar orang akan ilmu yang kita miliki sudah dikira memberi manfaat kepada orang lain apatah lagi memberi sumbangan jutaan ringgit untuk membangunkan perpustakaan, rumah anak yatim, pusat bantuan dan sebagainya. Setiap sesuatu yang dapat memberi kemudahan atau kebaikan kepada orang lain dikira manfaat. Disebabkan perkara ini, kita mesti mendidik diri kita dengan sikap berkorban, empati, kasih sayang, menanamkan sifat kemanusiaan dalam diri kita dan kerjasama serta bantu membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Jika kita ikhlas membantu makhluk lain yang memerlukan bantuan, yakinlah bahawa Allah telah menyediakan ganjaran buat kita dan pada hakikatnya kebaikan kita itu akan kembali kepada kita sebagaimana firman Allah dalam Al quran:


7. jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan Yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya Yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki Masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali Yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja Yang mereka telah kuasai, Dengan sehancur-hancurnya.<17:7>

Oleh itu, marilah kita bertekad untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
p/s: teringat tagline ustaz hasrizal (saifulislam.com) “erti hidup pada memberi”.

Monday, May 17, 2010

DesTInasI PiLiHan hAti....

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan yang telah menganugerahkan segala kurniaan buat hamba-hamba Nya. Tiada nikmat yang lebih agung melainkan nikmat Iman dan Islam kerana tanpa dua nikmat ini, harta selaut emas pun tidak berguna kerana kesudahan yang baik hanyalah bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Maka, saya menyeru diri saya yang kerdil dan sahabat-sahabat sekalian agar bertaqwalah kepada Allah dan takutlah akan azab Nya yang maha pedih.
Amma ba’d.

Saya sebenarnya berasa sangat gembira memandangkan saya akan menamatkan pengajian saya di INTEC bulan depan. Setelah dua tahun di sini, banyak benda yang saya dapat (insya Allah nanti saya akan buat life’s summary in intec). Entri kali ini, saya akan menceritakan destinasi saya dalam masa tiga bulan lagi, Amerika Syarikat insyaAllah. Alhamdulillah pada hujung tahun lepas saya telah memohon 3 universiti yang kesemuanya adalah pilihan hati dan pada bulan April dan Mei ini, saya telah mendapat tawaran untuk ketiga-tiga universiti tersebut. Setelah membuat pertimbangan dengan mengambil kira pelbagai aspek, maka saya telah mengambil keputusan untuk pergi ke salah satu daripada universiti tersebut. Universiti-universiti tersebut adalah:
                                                                  Michigan State University

-Dekat dengan East Lansing airport
-Universiti yang besar (state universiti)
-Peruntukan untuk penyelidikan daripada kerajaan US $1.6 billionUSD setahun
-Mudah mencari makanan halal.
-Dekat dengan Chicago (bandar jalan-jalan)
-Elaun kadar C
                                                           Rochester Institute of Technology
-Terletak dalam negeri New York
-Dekat dengan Niagara Falls
-Elaun kadar B
-Persekitaran yang menggalakkan untuk belajar (evergreen)
-Ramai pelajar Melayu
-Boleh menghabiskan degree dalam dua tahun

                                                        State University of New York, Buffalo
-Terletak dalam negeri New York
-Dekat dengan Niagara Falls
-Elaun kadar B
-Universiti yang agak besar
-Dekat dengan pantai

Kesimpulan yang saya boleh buat adalah, ke mana saya pergi, saya memohon agar saya sentiasa diberi petunjuk oleh Allah. Pentingnya hidayah Allah kepada saya kerana tanpanya, saya akan hanyut dan sesat terutama apabila berada jauh dari persekitaran Islami seperti di Malaysia. Mengapa saya memilih universiti itu?biarlah ia menjadi rahsia diantara saya dan Allah.

Thursday, May 13, 2010

pEnGajaRan DarIPadA Al FatiHah..

Assalamualaikum buat rakan-rakan yang dikasihi kerana Allah.
Amma ba’d.

Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan bagi kita untuk menunaikan solat fardhu lima kali sehari bermula dengan subuh, zohor, asar, maghrib dan berakhir dengan isya’. Jika kita jumlahkan semua rakaat dalam sembahyang maka jumlahnya menjadi 17 rakaat semuanya. Hal ini juga bermaksud, dalam sehari, sekurang-kurangnya kita membaca al fatihah sebanyak 17 kali. Jika ditambah dengan bilangan solat sunat, witir,dan bacaan dalam majlis-majlis keilmuan, maka bertambah banyaklah al fatihah kita baca dalam sehari.
Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada surah yang pertama dalam al quran ini. Saya ada satu analogi yang menarik untuk diceritakan. Katakanlah kita hendak minta bantuan daripada wakil rakyat, apakah benda yang akan kita buat semasa berjumpa dengan beliau? Saya memikirkan bahawa kita tidak akan terus meminta bantuan yang kita perlukan tetapi kita akan bermula dengan bunga-bunga pujian. Contohnya:

“ Assalamualaikum YB, sibuk la ni no. YB sihat ka?” kita
“Waalaikumsalam, alhamdulillah saya sihat. Memang sibuk la ni” wakil rakyat
“Dengaq cerita, baru-baru ni YB dah dapat pangkat Dato’ Seri, sultan negeri  isketam batu yang bagi. Tahniah la YB no. Memang YB layakla dapat pangkat Dato’ Seri ni sebab saya tengok YB la wakil rakyat yang paling gigih berkhidmat untuk orang kawasan YB ni. YB tak macam YB-YB lain. Depa pandai cakap saja tapi tak pandai buat.” Kita
“tak dak apa aih.Saya besa-besa saja.Kita kena pegang pada amanah la sebab benda ni tuhan nak tanya nanti.” YB
“Macam ni YB. Saya mai ni sebab nak minta bantuan. Anak saya yang nombor dua tu nak masuk Universiti Kampung Pandan dan la ni kantung saya tengah kering ni.” Kita

Begitulah rasanya keadaan kita kalau nak minta bantuan. Sekarang mari kita renungi surah al fatihah.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.(1)Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam(2)Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.(3)Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).(4)Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.(5)Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.(6)Iaitu jalan orang-orang YangEngkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.(7)
<1:1-7>

Jika kita renungi surah al fatihah kita akan dapati bahawa bermula dengan ayat pertama sehinggalah ayat yang keempat kita memuji Allah. Namun pada ayat keempat juga, kita mula memohon bantuan Allah. Sewaktu sembahyang, sangat rugi jika kita tidak memohon sesuatu kepada Allah. Sepatutnya semasa membaca ayat keempat ini sangat wajarlah kita memohon kepada Allah agar kita diberi kekuatan, keyakinan, serta kemurahan rezeki hidup di dunia dan akhirat. Al fatihah mengajar kita bahawa jika kita berhajat sesuatu kepada orang yang memiliki hajat kita, ada cara yang halus untuk kita mendapatkannya sekaligus cara ini dapat meningkatkan hubungan kita dengan orang tersebut. Cuba bayangkan kalau kita berjumpa dengan wakil rakyat tadi tanpa memberi salam kita terus meminta bantuan dariapada beliau. Saya tidak pasti apakah kita akan dapat bantuan yang kita pinta tadi. Sebenarnya dalam hidup kita banyak perkara yang boleh kita aplikasikan daripada al quran namun dek kerana kelalaian kita terhadap al quran, kita seolah-olah tiada panduan. Maka menjadi suatu keharusan kita bagi membongkar rahsia-rahsia dalam al quran agar hidup kita sentiasa di atas landasan yang diredhai Allah. Rasulullah SAW bersabda:

“Aku tinggalkan kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selama mana kamu mengikuti kedua-duanya.Al quran dan As sunnah”

Semoga kita semua mendapat mafaat daripada surah al fatihah.

Sunday, May 9, 2010

MusLiM itU bErsaUdaRA.....

Salam buat rakan-rakan, semoga kalian sihat walafiat di samping orang tersayang.
Amma ba’d.

   Kita sering mendengar bahawa Islam is the way of life namun sejauh mana kita memahami kenyataan ini ataupun ia sekadar retorik. Ramai orang menyangka bahawa Islam hanyalah sekadar agama ritual yang pengikutnya sembahyang, puasa, bayar zakat, dan pergi haji. Pandangan ini kurang tepat kerana Islam ada dalam setiap perkara; Islam tidak terbatas hanya kepada rukun-rukun Islam sahaja. Apakah yang saya maksudkan dengan Islam ada dalam setiap perkara? Ia bermaksud Islam ada kaedah tersendiri  dalam tatacara kehidupan yang merangkumi sosial, politik, ekonomi, dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kehidupan kita baik di dunia mahupun di akhirat. Sebermulanya kita bangun tidur sehinggalah malam kita nak tidur, Islam mengajar kita pelbagai adab dan doa dalam membentuk kita menjadi manusia yang mempunyai nilai-nilai insaniah. Sifat kemanusiaan seperti, berkasih sayang, bertolak ansur, membantu orang lain merupakan sifat sebenar manusia yang mempunyai akal dan perasaan.

Kali ini saya ingin membicarakan tentang satu juzu’ dalam juzu’-juzu’ Islam iaitu persaudaraan islamiyyah. Persaudaraan dalam Islam atau Ukkhuwah islamiyyah merupakan satu ikatan yang terbentuk hasil daripada ikatan aqidah yang mentauhidkan Allah SWT. Melalui lafaz yang mulia “Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi nabi Muhammad itu pesuruh Allah” maka seluruh umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira bangsa, keturunan, geografi, serta budaya. Allah berfirman:

sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. <49:10>
Mengikut situasi di Malaysia kita hidup dalam negara pelbagai kaum dan berbilang bangsa. Kita tidak boleh menanamkan semangat cintakan bangsa sehingga kita merendahkan kaum-kaum lain. Ingatlah! tidak ada yang mulia disisi Allah melainkan orang yang paling bertaqwa disisi Allah.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)"<49:13>.

 Jika kita menyanyangi saudara seislam kita, apakah kita tidak boleh menyanyangi rakan-rakan non-muslim yang baik dengan kita? Mari kita renungi sebuah hadith yang disabdakan Nabi Muhammad SAW: siapa yang menyakiti az-zimmi seumpama telah menyakiti ku”.Daripada Hadith ini kita mengetahui bahawa kafir zimmi ataupun kafir yang tidak menentang islam harus dihormati. Darah dan maruahnya haram ditumpahi.
                                                                 Manisnya Ukkhuwah

Kembali kepada perbincangan asal, Ukkhuwah Islamiyah. Serendah rendah tahap dalam berukkhuwah adalah berlapang dada (husnu dhan) manakala setinggi-tinggi tahap berukkhuwah adalah itsar. Apakah itu itsar?ia adalah kita mendahului orang lain dalam perkara-perkara yang bukan Ibadah. Sebagai contoh apabila kita makan berjemaah, kita membiarkan diri kita sebagai orang terakhir yang mengambil makanan tersebut.Adapun itsar dalam hal-hal ibadah adalah makruh sebagaimana contoh, kita menyuruh orang bersedeqah dahulu sebelum kita sendiri yang melakukannya.

Akibat nilai-nilai ukkhuwah islamiyah terhapus,kita lihat umat Islam hari ini terlalu mudah diganyang. Adapun yang mengamalkan nilai-nilai Islam ini hanyalah pada ahli usrah sendiri sahaja sedangkan Islam tidak membezakan warna kulit,budaya, dan bangsa inikan pula sesama muslim walaupun dia bukanlah daripada kalangan ahli usrah kita mahupun jemaah kita. Selain itu, apabila nilai-nilai ini hilang, kebanyakan muslim langsung tidak terasa tanggungjawabnya keatas umat Islam di Palestin. Mereka hanya fikir cukup dapat hidup dengan aman di bumi Malaysia yang bertuah ini. Ya! Mereka pergi ke program-program yang dianjurkan Aman Palestin namun mereka tidak sanggup meninggalkan kelazatan KFC, McDonald, dan sebagainya yang merupakan produk Israel.

Oleh yang demikian, saya dengan rendah hati mengajak saudara saudari sekalian agar kita kembali menerapkan nilai-nilai ukkhuwah islamiyah dalam diri kita agar semua Muslim dapat bersatu padu menentang segala ideologi-ideologi yang bercanggah dengan Al quran dan As sunnah. Banyak cara yang boleh dilakukan bagi menerapkan nilai ukkhuwah islamiyah seperti sembahyang berjemaah di surau, membantu rakan-rakan yang kurang arif dalam pelajaran, keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan, serta sentiasa bersama dalam susah dan senang.Sebelum menghabiskan kalam saya pada kali ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar menghayati Hadith yang disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW:

“....Orang islam itu adalah saudara orang Islam yang lain.maka tiada boleh dia menzaliminya,tiada boleh membiarkan dia dalam kehinaan, tiada boleh mendustainya, dan tiada boleh menghinanya....”

Monday, May 3, 2010

iA leBiH beRharGA daripAda SeguNung eMas.....

Salam buat sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,semoga sihat walafiat.
Amma ba’d.

Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah tuhan yang telah mengurniakan saya pelbagai nikmat hidup terutamanya nikmat  Iman dan Islam. Walau sekaya mana kita tetapi tanpa dua nikmat yang terbesar ini, tidak ada faedahnya harta dan anak pinak kerana kedua-duanya tidak boleh melepaskan kita daripada siksaan neraka Allah. Sedar tidak sedar,rupa-rupanya perjuangan saya di INTEC hanya berbaki kurang dua bulan dan dalam masa ini saya banyak mengenang perjalanan hidup saya semenjak saya menjejak kaki ke PASTI hinggalah saya melangkah kaki ke INTEC. Terlalu unik jalan yang telah Allah rencanakan untuk saya dan setiap jalan diambil saya memohon doa kepada Allah agar hidup saya selari dengan tuntutan Nya.
                                                      Perpustakaan INTEC,2008
Setelah lama tidak menulis, saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk menulis tentang MASA. Masa adalah sesuatu yang berharga kerana masa yang berlalu tidak akan berpatah kembali. Katakan semasa kecil kita hidup penuh dengan riang ria tanpa perlu memikirkan masalah, tetapi hakikatnya sekarang kita tidak boleh lagi memiliki waktu itu. Sekarang ini, sejajar dengan peningkatan umur, maka meningkatlah tanggungjawab baik pada diri, agama, ummah dan orang sekeliling. Dalam kehidupan bermasyarakat kita tidak boleh hidup bagai enau melepaskan pucuk masing-masing. Hidup nafsi-nafsi tidak sewajarnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Berbalik kepada persoalan masa yang ingin saya rencanakan, pada semester pendek (short semester) tahun ini, saya hanya mengambil satu kelas sahaja; kelas Muamalat Islam. Jadual kelas saya hanyalah pada hari selasa dan khamis bermula pada pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari. Seminggu kelas saya hanyalah 4 jam. Terlalu banyak masa yang kosong yang mesti diisikan dengan perkara-perkara berfaedah. Allah berfirman:

Demi Masa!(1).Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian(2)-kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar(3) <103-1-3>

Benarlah firman Allah bahawasanya manusia itu sentiasa dalam kerugian melainkan mereka yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Kita hari ini banyak dilalaikan dengan program-program hiburan seperti akademi fantasia, mentor, bintang kecil yang hakikatnya tidak melahirkan generasi modal insan seperti yang dicanangkan sedangkan masa hidup kita terlalu singkat untuk menunaikan tanggungjawab kita selaku abidullah, khalifatullah, dan daieilallah. Saya teringat akan kata-kata imam Hassan al Banna bahawa “kerja kita (umat Islam) lebih banyak daripada masa yang diperuntukkan untuk kita sehari semalam”. Jadi bagi rakan-rakan yang banyak masa terluang bolehlah merancang untuk melakukan aktiviti yang berfaedah seperti menghadiri ceramah-ceramah motivasi, bermain futsal bersama rakan-rakan, menolong ibu dan ayah di rumah.

Kehidupan kita pada hakikatnya antara azan dan iqamah. Ketika lahir kita diazankan dan ketika jenazah kita hendak disembahyangkan mayat kita diiqamahkan. Rancanglah masa kita dengan baik kerana ia lebih berharga daripada segunung emas..