Salam
kepada sahabat yang saya kasihi. Semoga Allah menganugerahkan kita ketenangan
hati dan dipermudahkan segala urusan kita, di dunia dan akhirat.
Amma
ba’d.
“Kau
bile lagi?”
“Insha
Allah, sampai mase nanti aku bagitau.”
Begitulah
senario yang saya hadapi selepas bergelar graduan. Bila bertanya khabar dengan
kawan-kawan, soalan bila ingin mendirikan rumah tangga adalah perkara yang wajib
ditanya oleh mereka.
Saya
ada bertemu dengan beberapa sahabat. Alhamdulillah, ada sesetengah daripada
mereka yang sudah bertunang. Apa yang lebih menggembirakan saya, belanja
hantaran yang ditetapkan oleh bakal mertua masing-masing adalah murah dan
memudahkan mereka untuk bernikah.
Ada seorang
sahabat, bakal doktor di masa hadapan, belajar perubatan di Mesir bercerita
yang bakal mertuanya hanya menetapkan mas kahwin sebanyak RM 84.00 dan tiada
hantaran ditetapkan. Ada seorang sahabat yang belum lagi bergraduasi, bakal
mertuanya hanya menetapkan wang hantaran sebanyak RM 5000. Bagi saya ini
perkembangan menarik mutakhir ini.
Mafhum
sabda Nabi Muhammad SAW:
“Sebaik-baik
pernikahan adalah yang paling mudah” (hadith riwayat Abu Daud, dinilai sahih
oleh Albani)
“Di
antara kebaikan wanita adalah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya
(maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (hadith riwayat
Ahmad dan At Tabrani)
Saya
melihat perkembangan sosial semasa di Malaysia adalah tidak sihat dan membimbangkan.
Saban hari, berita pasangan terlanjur semakin banyak. Semoga Allah melindungi
saya, sahabat-sahabat dan seluruh remaja muslim daripada terjerumus ke lembah
zina. Saya sedikit hairan dengan sesetengah sikap ibu bapa. Mereka menghalang
anak-anak mereka daripada berkahwin dengan alasan masih belajar, tiada
pekerjaan tetap, masih muda dan pelbagai seribu satu alasan namun sekali anak
mereka terlanjur, mudah pula urusan menikahkan anak mereka kerana khuatir malu.
Jikalau mereka membenarkan dan mempermudahkan urusan pernikahan anak-anak
mereka sedari awal, bukankah itu lebih mulia? Ini antara fitnah duniawi yang
sangat saya bimbang. Allah berfirman:
“Dan
kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan
orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka
miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya
kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”
(Annur 24:32)
Bukankah
ini adalah jaminan Allah bahawa Dia akan memberi kekayaan jika kita khuatir
jatuh miskin? Perktaan siapakah yang lebih benar andai bukan janji Allah bagi
seorang yang beriman? Ramai daripada kita hari ini, terlalu ingin memenuhi
tuntutan duniawi sehingga melupakan apa itu KEBERKATAN dan RAHMAT.
Saya
dahulu belajar tentang keberkatan melalui teori yang dipelajari dalam kelas. Selepas
menempuhi beberapa fasa dalam kehidupan saya semakin memahami apa erti
keberkatan. Keberkatan itu adalah perkara yang kelihatan sedikit di mata
manusia tetapi mencukupi bagi mereka yang merasai nikmat keberkatan, sentiasa
berasa tenang walaupun diri dilanda seribu satu macam mehnah, keyakinan yang
tinggi hanya kepada Allah, serta dibuka pintu rezeki seluas-luasnya. Inilah sebahagian
hal yang berkaitan keberkatan.
Dalam
pernikahan, Allah menjanjikan ketenangan.
“Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
(berasa tenang) dan hidup mesra
dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang
dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir.” (Ar Rum 30:21)
Apakah kita hanya bertawakkal tanpa
perlu berusaha?
Tawakkal itu sendiri bermaksud
menyerahkan segala urusan kita kepada Allah SELEPAS berusaha. Tawakkal itu
merangkumi USAHA, DOA dan BERSERAH kepada Allah. Apakah tidak perlunya kepada
persediaan? Saya tidak bermaksud akan hal ini, Cuma asas kepada sebuah pernikahan
adalah KEYAKINAN dan KESETIAAN dan KEPERCAYAAN.
Saya berpendapat, ibu bapa harus
memainkan peranan penting dalam hal ini. Sesekali jangan menghalang anak-anak
mereka untuk bernikah di usia muda sebaliknya beri ruang untuk anak-anak
berfikir secara mendalam. Terangkan kepada anak-anak bahawa di sebalik
keindahan sesebuah pernikahan, wujud di sana TANGGUNGJAWAB dan CABARAN.
Menghalang hanya mebuatkan jiwa remaja semakin memberontak. Ini yang dikhuatiri
kerana mereka boleh bertindak di luar batasan.
Saya juga menyedari bahawa kadar
perceraian bagi pasangan muda membimbangkan. Pada pendapat saya punca bagi kes
ini disebabkan kurangnya pendedahan tentang alam rumah tangga oleh masyarakat
(individu, ibu bapa, dan pihak berwajib). Sejauh mana kursus perkahwinan
betul-betul mendedahkan alam rumah tangga atau mereka semata-mata mengaut
keuntungan? Sejauh manakah pasangan muda remaja ini didedahkan dengan
cabaran-cabaran semasa? Dengan wujudnya medium sosial seperti FB, Twitter dan
sebagainya, keadaan menjadi bertambah parah. Ini adalah sebahagian cabaran realiti
semasa. Saya juga percaya, perkahwinan bukanlah penyelesai kepada semua
permasalahan sosial jika ia dilakukan bukan kerana Allah. Kalau hati bulat dan
tekad ingin melaksanakan suruhan Allah, mengapa masih ragu dengan janji Allah?
Sebagai kesimpulan, permudahkan urusan
pernikahan orang muda, bantulah mereka membina rumah tangga, serta wujudkan
persekitaran yang baik untuk mereka. saya juga ingin berkongsi sebuah kisah bagi
mereka yang yakin kepada Allah dan Rasul SAW.
Sila klik di sini.
Jangan takut untuk bernikah. Wallahualam
Nota kaki: Saya mengalu-alukan kritikan
serta pandangan yang berbeza dan kontra dengan saya.