Salam buat ikhwah akhawat dan sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah atas kurniaan semula semangat yang menghilang. Kadang-kadang Allah sengaja menguji kita dengan lemah semangat supaya kita benar-benar kembali merintih kepadaNya.
Amma ba’d.
Ada satu hadith yang panjang yang menceritakan tentang kepimpinan di dunia ini. Insya Allah saya akan cuba huraikan potongan hadith ini.
Telah berkata kepada kami Sulaiman bin Dawud al-Thayaalisiy; di mana dia berkata, "Dawud bin Ibrahim al-Wasithiy telah menuturkan hadith kepadaku (Sulaiman bin Dawud al-Thayalisiy). Dan Dawud bin Ibrahim berkata, "Habib bin Salim telah meriwayatkan sebuah hadith dari Nu’man bin Basyir; dimana dia berkata, "Kami sedang duduk di dalam Masjid bersama Nabi saw, –Basyir sendiri adalah seorang laki-laki yang suka mengumpulkan hadith Nabi saw. Lalu, datanglah Abu Tsa’labah al-Khusyaniy seraya berkata, "Wahai Basyir bin Sa’ad, apakah kamu hafal hadith Nabi saw yang berbicara tentang para pemimpin? Hudzaifah menjawab, "Saya hafal khuthbah Nabi saw." Hudzaifah berkata, "Nabi saw bersabda, "Akan datang kepada kalian masa kenabian, dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya.
Waktu ini merupakan ketika Nabi memerintah Madinatul Munawwarah. Baginda membuat piagam Madinah yang dikenali sebagai Sohifatul Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal sendiri oleh Rasulullah SAW. Semasa pemerintahan Nabi, umat Islam hidup dalam dunia yang aman tanpa fitnah. Zaman ini sudah lebih 1400 tahun meninggalkan kita.
Setelah itu, akan datang masa Kekhilafahan ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah; dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Ia berkehendak menghapusnya.
Kemudian legasi pemerintahan khalifah diteruskan oleh Khulafa’ Arrasyidun Almahdiyun. Zaman ini Islam disebarkan dengan rancak dan pada zaman Saidina Umar sendiri menakluk Palestin. Pelbagai pembaharuan dilakukan zaman ini termasuk dalam bidang pentadbiran, pertanian, dan pembukuan Alquran. Bibit-bibit fitnah sudah mula timbul semasa pemerintahan Saidina Ustman dan Saidina Ali dan mereka sendiri dibunuh. Zaman ini juga telah lama meninggalkan kita namun jasa dan pengorbanan mereka mempunyai nilai yang amat tinggi untuk kita hayati serta teladani.
Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit (Mulkan ’Adhan), dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya.
Zaman ini merupakan zaman pemerintahan monarki dan tampuk pemerintahan Islam berjalan sehingga ribuan tahun bermula dengan zaman Umayyah kemudian kerajaan Abbasiyah diteruskan pula oleh kerajaan Uthmaniyyah. Zaman ini merupakan paling lama bermula dari tahun 660 M sehinggalah jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1924 M. kerajaan ini dikenali sebagai kerajaan menggigit kerana pemerintahan diwarisi kepada anak-anak atau kaum kerabat khalifah yang memerintah. Sebagai contoh Khalifah Harun Arrasyid digantikan oleh anaknya Khalifah Almakmun (Zaman Abbasiyah) dan Sultan Murad digantikan oleh anaknya Sultan Muhammad Alfateh (Zaman Uthmaniyyah). Perkembangan ilmu, tamadun, serta teknologi berlaku pada zaman ini. Perluasan wilayah takluk Islam juga berkembang dengan amat pesat semasa era Khalifah ini. Dan zaman ini sudah hampir sekurun meninggalkan kita.
Sejarah pasti berulang
Setelah itu, akan datang masa raja diktator (Mulkan Jabariyyan); dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, baginda diam".(HR. Imam Ahmad)
Kemudian datang satu pemerintahan yang mana pemimpin yang jahil lagi zalim memerintah bermula dengan Mustafa Kamal Attartuk di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir, Ben Ali di Tunisia, Muammar Ghadafi di Libya, Basyar Al Assad di Syiria dan Hosni Mubarak di Mesir. Mereka memerintah berasaskan ketenteraan dan mereka menghukum sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Lihatlah berapa ramai ahli Ikhwanul Muslimin dipenjarakan. Lihatlah juga berapa ramai pejuang IM diusir keluar dari Mesir termasuklah Prof Sheikh Dr Yusof Alqardawi. Zaman ini sedang berlaku dan di ambang kejatuhan. Kita sudah lihat Ben Ali sudah tumpas di Tunisia, Hosni Mubarak sudah tumpas di Mesir, Muammar Ghadafi sudah tumpas di Libya. Kita juga sedang menyaksikan kebangkitan beberapa parti politik Islam di dunia seperti parti An Nahda di Tunisia, Parti Hurriyah wal ‘Adalah (Freedom and Justice Party) yang merupakan sayap IM di Mesir, Parti HAMAS di Palestin, dan Parti AKP di Turki di mana Recep Tayyip Erdogan yang merupakan anak didik Dr Erbakan Necmettin (pengasas Parti Refah) mengepalai Turki sekarang ini. Di Malaysia kita juga boleh lihat parti yang memperjuangkan Islam sedang melakukan transformasi supaya masyarakat yang berbilang bangsa lebih lunak dengan Islam. Nak tahu? Sila kaji sendiri..:)
Celakanya Bashar Al Assad
Persoalan yang ingin saya timbulkan, di saat sahabat serta saudara kita berjuang bertungkus lumus memenangkan Islam, kita di mana? Nabi telah menjanjikan bahawa Rom, Parsi dan Konstantinopel akan jatuh ketangan Muslim dan semua janji Nabi telah terbukti benar. Apakah kita meragukan janji Nabi SAW yang ini?Janganlah.
wallahu'alam.