Sunday, August 28, 2011

Perutusan Aidilfitri 1432H...

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar walillahilhamdu. Marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur kepada Allah A’zza wa Jalla atas pengurniaan kesempatan buat kita untuk menajdi tetamu Ramadhan 1432H. Allah telah mengurniakan kita peluang untuk berada dalam pentarbiyahan Ramadhan dan seharusnya selaku hambaNya yang bersyukur, kita harus merebut peluang ini untuk memperbaiki amalan dan akhlaq kita. Ramadhan sepatutnya menjadi satu medium untuk kita bermuhasabah tujuan kita diciptakan dan kemana kita akan menuju selepas malaikat Izrail menyempurnakan tugasnya ke atas kita. kita wajib menginsafi kedudukan kita hanyalah bertaraf hamba di sisi Allah.

Dengan menyedari hakikat kehidupan dunia yang singkat, ayuhlah kita berhukum dengan hukum Allah dan berakhlaq dengan akhlaq baginda Nabi Muhamad SAW. Sesungguhnya, Ramadhan mengajar kita untuk kembali kepada fitrah kehidupan beragama dan kebergantungan hidup kepada Allah Jalla wa A’la. Harta yang kita miliki belum tentu menjamin kebahagiaan kita. Sejarah telah membuktikan Qarun yang kaya itu  tenggelam bersama-sama hartanya ditimbus tanah akibat kesombongannya kepada Allah. Cerita tentang Qarun telah Allah nukilkan dalam Al Quran agar kita mengambil pelajaran.

Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri." (Al Qashas:76)

“Maka Kami benamkan Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).” (Al Qashas:81)

Ramai orang menyangka, dengan kekayaan dia boleh memiliki segalanya tetapi hakikat sangkaan itu silap. Ketenangan adalah anugerah Allah buat hamba-hambaNya yang beriman dengan penuh keiklasan dan ketaqwaan. Atas sebab ini, Ramadhan merupakan masa terbaik untuk mendidik diri kita menjadi insan bertaqwa, dalam erti kata lain menjadi hamba Allah yang sedar dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Segala yang disuruh hendaklah dikerjakan dan semua yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Taqwa, bicaranya mudah tetapi menujunya memerlukan mujahadah yang tinggi.

Sambutlah Aidilfitri 1432H dengan penuh kegembiraan kerana telah berjaya menunaikan perintah Allah. Dalam kita bergembira, insaflah mengenangkan nasib saudara seaqidah kita yang menghadapi krisis kebuluran seperti di Somalia, krisis peperangan seperti di Palestin, Syiria, dan Libya, krisis kemiskinan seperti di Indonesia dan Selatan Thailand.

Semakin kita meningkat dewasa, tanggungjawab yang mengiringi peningkatan usia juga bertambah justeru, Ramadhan yang mulia ini sepatutnya berjaya mentarbiyah kita agar lebih menghargai masa. Rancanglah aktiviti dan taqwim kehidupan kita dengan bijak. Gunakanlah masa yang diberi Allah 24 jam sehari untuk hal-hal kebaikan dan bermanfaat.

Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka serta senangkanlah hati mereka. Bagi yang jauh di perantauan, hubungilah mereka dan pohonlah kemaafan serta bertekad untuk menajdi anak-anak yang baik akhlaqnya serta menyenangkan mereka. Berbaktilah kepada kedua ibu bapa kita semampu mungkin dan kenanglah jasa mereka yang telah memelihara kita dengan penuh kasih sayang serta mendidik kita sejak kecil sehingga dewasa.

Pohonlah keampunan sebanyak-banyaknya kepada Allah agar segala dosa kita diampuni Allah selepas keluar kita dari bulan Ramadhan Al Mubarak ini.

Pernah satu ketika solat Jumaat, Nabi naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?”
 Nabi bersabda, “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin!’,
 Kemudian Jibril berkata lagi, "Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin!’.
 Kemudian Nabi berkata lagi. "Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi justeru tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin!”.
 [Hadis Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah)]

Ayuh kita berdoa agar kita menjadi Muslim yang bertaqwa seperti yang telah digariskan dalam Al Quran dan As Sunnah.

Akhir kalam, saya Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib dengan rasa kerdil dan hinanya disisi Allah, menyusun jari memohon ampun dan maaf andai melakukan kekhilafan sama ada yang sengaja atau tidak sengaja, tersalah bicara, dan tersilap kata. Saya doakan agar semua amalan soleh kita di bulan Ramadhan 1432H diterima dan diredhai Allah Subhanahu wa Taa’la. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri, taqabbalallahu minni wa minkum.
                         Hanya sekeping gambar buat pengganti diri

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib,
Pelajar Bioteknologi Tahun Tiga Rochester Institute of Technology,
Rochester,New York, USA.

Thursday, August 25, 2011

Hakikat Dukacita...



"Kadang-kadang banyak perkara tak dapat dibawa insan kepada Allah,kesedihan dapat membawa kepada Allah" (Dr Asri Zainal Abidin).


"Sorrow prepares you for joy. It violently sweeps everything out of your house, so that new joy can find space to enter."(Qouted from twitter) 

Monday, August 22, 2011

Jadilah Manusia Yang Bijak...

Salam Ramadhan buat semua umat Islam baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia terutama umat Islam di Palestin, Somalia dan negara-negara teluk. Semoga Ramadhan kali ini dapat membuka mata umat Islam seluruhnya tentang apa yang berlaku kepada saudara-saudara seaqidah kita di negara-negara yang dilanda kebuluran,peperangan, dan pergolakan politik yang dahsyat.
Amma ba’d.

Pertama sekali sukalah saya mengajak diri saya dan sahabat sekalian untuk bermuhasabah kembali tentang 21 hari Ramadhan yang telah berlalu, apakah target Ramadhan kita sudah tercapai. Kita yang duduk di tempat yang tiada kacau bilau dan pergolakan seharusnya mengambil peluang untuk berdoa semaksima mungkin untuk kesejahteraan saudara-saudara kita yang tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna selain mendoakan kesejahteraan dan hajat-hajat kita. Pada entri kali ini, sukalah saya untuk meminjam analogi yang diberikan oleh Ustaz Hasrizal tentang bulan yang penuh barakah dan mulia ini.

Katakanlah ada sebuah shopping complex menawarkan diskaun semua barangannya seperti baju, langsir, dan sebagainya sehingga 70% malah ada sesetengah barangannya lebih daripada itu. Kemudian, jalan nak ke tempat tersebut dipermudahkan dengan semua lampu isyaratnya  dihijaukan untuk memudahkan kita sampai di sana ditambah pula minyak kereta sudah diisi penuh. Apa yang perlu hanyalah usaha kita untuk memandu ke shopping complex  tersebut dan memilih barangan yang kita suka pada harga yang sangat-sangat murah. Persoalannya, bodoh atau bijak kalau kita melepaskan tawaran hebat ini? Walaubagaimanapun, inilah hakikat sebahagian manusia. Kalau kita kata bodoh, melentinglah tidak tentu pasal tetapi mereka sendiri yang melepaskan tawaran hebat ini.

Tawaran yang dilakukan di shopping complex hanyalah tawaran yang dilakukan oleh manusia tetapi tawaran dalam bulan Ramadhan ditawarkan oleh Allah Jalla wa’ A’la. Bukan kita tidak tahu, buat amalan sunat digandakan seperti melakukan amalan fardhu, buat amalan wajib digandakan sehingga 70 kali ganda tetapi disebabkan KEBEBALAN dan KEMALASAN  hasil tarbiyah syaitan 11 bulan yang lalu menyebabkan kita memandang sepi tawaran demi tawaran yang dibuat Allah, tuhan pemilik segala-galanya.

“Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan” (Hadis diriwayatkan imam Bukhari, imam Muslim , imam Nasai’e, imam Ahmad dan Baihaqi)

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu” (Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibnu Majah dan Baihaqi)

Sebenarnya banyak lagi hadith-hadith mengenai fadhilat bulan Ramadhan tetapi dua hadith di atas merupakan hadith yang biasa kita dengari. Berbaki lebih kurang seminggu ini, ayuhlah kita mempertingkatkan amalan kita terutama amalan qiyamullail kerana padanya terdapat rahmat dan keberkatan yang besar. Kalau hendak dimurahkan rezeki, dipermudahkan jodoh, dikasihi manusia sekeliling dan diberi ketenangan akal dan jiwa, inilah masanya kita bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah. Ayuh buktikan kita adalah hamba Allah, bukan hamba nafsu diri sendiri.

Jadilah manusia yang bijak wahai umat Islam dengan merebut segala peluang yang ditawarkan Allah dalam bulan yang mulia ini.
Wallahua’lam.
                            Semoga dikurniakan keampunan oleh Allah

Kredit gambar kepada Syahirul.com

Sunday, August 14, 2011

Ramadhan: Separuh Masa Pertama...

Salam buat semua. Alhamdulillah sekarang ni sudah first-half Ramadhan. Bagaimana keadaan kita sekarang?mudah-mudahan semakin bersemangat untuk meneruskan amal-amal soleh di bulan penuh rahmat dan berkat ini.
Amma ba’d.

Entri kali ini akan menceritakan aktiviti sepanjang first-half Ramadhan kami di Rochester. Alhamdulillah, Ramadhan yang penuh erti pada tahun ini disulami dengan aktiviti-aktiviti menarik. Pada entri lepas, saya sudah ceritakan yang selain bertadarus, bersukan dan iftaar Jamie di masjid & rumah jiran-jiran (Province dan Park Point), kami juga mengambil peluang menziarahi sahabat-sahabat sambil iftar dan bertarawih di State University of New York, Buffalo. Di kesempatan itu juga kami yang dikunjungi seorang sahabat non-muslim dari Iowa State University, membawa beliau mengambil angin di Niagara Falls.
                   Jason Goh( berbaju hitam) dari Iowa State Univerity

Angin Niagara

                                           Iftar di Buffalo

Kelmarin (13/8/2011), saya , Izzat dan Syamir pergi shopping di Waterloo Premium Outlet. Sememangnya terdapat pelbagai baju,seluar,set corelle dan banyak lagi barangan berjenama pada harga yang sangat murah. Di bulan Ramadhan ini juga saya belajar buat karipap hasil tunjuk ajar Akmal. Inilah bulan yang penuh barakah dan hikmah.
                                               Koleksi Corelle

                                             'Termasuk' kedai ini.hehe

                     Antara hasil tangkapan di Waterloo

                               Izzat dan Syamir sibuk memilih kasut raya

Ada suatu peristiwa yang setahu saya sangat jarang berlaku di Rochester semasa Ramadhan ini iaitu hujan batu namun ia tidaklah seteruk yang pernah saya alami ketika di Ohio dua bulan yang lalu. Apa yang saya bimbangkan kalau-kalau cermin kereta saya pecah tapi Alhamdulillah semuanya selamat.
                                                       Hujan batu

Inilah sedikit sebanyak coretan untuk first-half Ramadhan kami di perantauan. Insya Allah untuk ­second-half, kami akan cuba hasilkan video sepanjang Ramadhan dan sambutan Aidilfitri di perantauan.

                           Juadah berbuka di rumah. mudah dan sedap

                                      Masa untuk satay

                                 Iftar di Islamic Center of Rochester

Wednesday, August 10, 2011

Analisa...

HADIS MUTHAHHARAH

Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu 'anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah S.A.W yang mana dia telah menyatakan tujuannya : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat. Maka baginda S.A.W telah berkata kepadanya .Tanyalah apa yang engkau kehendaki : 

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang alim 
Baginda S.A.W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim. 

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang paling kaya 
Baginda S.A.W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya . 

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang adil
Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia 


Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang paling baik
Baginda S.A.W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia 


Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi Allah
Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah 


Dia berkata : Aku mahu disempurnakan imanku
Baginda S.A.W menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya imanmu akan sempurna 


Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin ( baik ) 
Baginda S.A.W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin 

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat 
Baginda S.A.W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat 

Dia berkata : Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa 
Baginda S.A.W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa 

Dia berkata : Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya
Baginda S.A.W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya 

Dia berkata : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat 

Dia berkata : Aku mahu dihapuskan segala dosaku 
Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan( kurangkan ) segala dosamu 

Dia berkata : Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia 
Baginda S.A.W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia 

Dia berkata : Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia 
Baginda S.A.W menjawab : Sentiasa menyerah diri (ta wakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia 

Dia berkata : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah
Baginda S.A.W menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu 


Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya
Baginda S.A.W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka 

Dia berkata : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab : Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya 

Dia berkata : Aku mahu diterima segala permohonanku
Baginda S.A.W menjawab : Jauhilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya 

Dia berkata : Aku mahu agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab : Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat 

Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa? 
Baginda S.A.W menjawab : Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan,mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan 


Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah? 
Baginda S.A.W menjawab : Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian ( bala ) 

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah? 
Baginda S.A.W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit ketaatan 

Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat ?
Baginda S.A.W menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang 


Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka pada hari qiamat? 
Baginda S.A.W menjawab : sabar di dunia dengan bala dan musibah 


Telah berkata Imam Mustaghfirin: aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi
kesempurnaan agama dan bermanafaat selain hadis ini....



Sumber


Monday, August 8, 2011

Soal Jodoh...

Salam Ramadhan untuk semua. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah sama-sama kita kurangkan kontroversi sebaliknya marilah sama-sama kita lonjakan prestasi.
Amma ba’d.

أوﻟﻪ رﺣﻤﺔ ، وأوﺳﻄﻪ ﻣﻐﻔﺮة ، وﺁﺧﺮﻩ ﻋﺘﻖ ﻣﻦ اﻟﻨﺎ

“Ramadhan awalnya rahmat,pertengahannya keampunan dan pengakhirannya pelepasan dari api neraka” (Maksud Hadith Nabi Muhammad SAW)

Tajuknya berkenaan jodoh tetapi isinya Ramadhan. Insya Allah ada kaitannya; apa yang perlu adalah teruskan membaca hingga ke akhir ayat.

“kau lain la. Kau ex *sekolah agama Kampung Jawa . Memang ramai beratur. Kitorang ni,dok tunggu-tunggu tak datang-datang jugak.”

Lebih kurang begitulah perbualan yang berlaku antara saya dan beberapa orang rakan suatu masa dahulu. Saya hanya tersenyum sambil dalam hati terdetik kalau latar belakang sekolah dijadikan sandaran memilih jodoh, agak parah disitu.

Ada seorang ikhwah, nadanya berbunyi agak kecewa semasa bercerita kepada saya apabila lamarannya ditolak. Katanya, agak susah melupakan apa yang terjadi dan sangat berat baginya untuk menerima kenyataan itu. Saya hanya boleh memberi kata-kata semangat. Itupun saya tak pasti sama ada menaikkan semangatnya atau membuat hatinya bertambah parah. Hendak memberi jalan penyelesaian, saya sendiri pun belum pernah melamar apatah lagi dilamar seseorang.

Jadi saya nasihatkan kepada beliau, memang jodoh tu bukannya kita menanti sambil berdoa tetapi sesuatu yang harus diusahakan. Katakanlah kita telah berusaha tetapi lamaran kita ditolak, yakinlah Allah telah ‘menyimpan’ seseorang yang lebih baik daripada apa yang kita fikirkan. Saya harap nasihat itu kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah untuk meredakan keresahan beliau.

Terlanjur bercakap bab jodoh, sekali lagi saya hairan dengan pemikiran segelintir ibu bapa sekarang. Kalaulah anak-anak mereka minta kebenaran untuk berkahwin awal, pelbagai alasan diberikan. “kau tu belajar pun tak habis lagi, jangan mengada-ngada nak kahwin”,” kau nak bagi isteri kau makan pasir!kerja pun tak tetap lagi”,”kau ingat kahwin ni senang ke?”. Begitulah stigma-stigma ibu bapa apabila anak-anak mereka minta kahwin awal terutama ketika masih dalam pengajian. Yang bertambah hairannya, dalam mereka tidak benarkan anak mereka berkahwin awal, mereka benarkan pula anak-anak mereka keluar ke shopping complex, panggung wayang, dan keluar makan sama-sama dengan lelaki ajnabi. Kata mereka “tak pe, diorang keluar laki perempuan ramai-ramai”, “alah bukannya diorang buat ape pun, keluar pergi makan sama-sama je”.

Kepada mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik, kalau diikutkan saya bukanlah orang yang layak nak condemn sebab saya sendiri belum menjadi bapa malah belum lagi menjadi suami orang tetapi selaku pemuda yang meningkat dewasa dan melihat ini sebagai satu penyakit yang membarah dalam masyarakat, saya harus menyuarakan pendapat saya. Hak kebebasan bersuara dijamin oleh perlembagaan persekutuan (Rujuk dalam perlembagaan persekutuan, perkara 10 dalam peruntukan mengenai kebebasan asasi). Apa yang saya khuatirkan adalah natijah daripada halangan ibu bapa untuk berkahwin awal. Ya, remaja-remaja ini boleh mengambil tindakan drastik dengan berkahwin senyap-senyap di selatan Siam kerana remaja-remaja ini berdarah muda; adakalanya fikiran mereka di luar batasan rasional. Dan yang paling parah andai mereka TERLANJUR. Waliyazubillahimin zalik.

Jadi berbalik kepada soalan jodoh tadi, kaitan antara hadis mula-mula pada entri ini dengan jodoh adalah doa. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW ada bersabda:

 “ada tiga doa yang tidak ditolak: doa kedua ibu bapa, doa orang yang berpuasa dan doa musafir” (Hadith Riwayat Al-Baihaqi)

Jadi bersempena dalam fasa rahmat ini, perbanyakkan doa kepada Allah, buatlah solat istikharah serta yakinlah bahawa doa akan dimakbulkan. Doa bukan setakat memohon dikurniakan jodoh yang baik tetapi mohonlah Allah pertingkatkan ilmu, amal soleh serta perbaiki akhlaq kita. soal jodoh ini telah menjadi ketentuan sejak kita berada di alam Rahim Cuma kita perlu berusaha supaya jodoh itu benar-benar menjadi milik kita bak kata Ustaz Hasrizal dalam satu artikelnya “Apa yang penting adalah USAHA dalam lingkungan BATASAN AGAMA”; mungkin boleh menggunakan saluran orang tengah ataupun pergi berjumpa secara terus wali insan yang ingin dinikahi.
                  wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan duniawi.

Apa-apa pun barakallahulakuma saya ucapkan kepada sahabat saya Raja Alaudin bin Raja Abdullah, pelajar University of Wisconsin,Madison yang akan bernikah pada 2 September ini dengan pasangan pilihan hatinya yang merupakan seorang pelajar perubatan di Egypt. Semoga baitul muslim yang dibina berkekalan hingga ke syurga.
wallahualam

*Sekolah agama Kampung Jawa adalah sebuah sekolah agama terkenal di daerah Klang,Selangor.

Saturday, August 6, 2011

Hairan...

Salam buat semua, macam mana ramadhan kalian? Mudah-mudahan semakin hari semakin baik.
Amma ba’d.

Alhamdulillah segala puji layak untuk Allah jalla wa a’la. Hidup kita hari ini dibelenggu dengan pelbagai ideology yang menyimpang seperti sekularisme, liberalism, dan hedonism. Hari demi hari kita boleh baca daripada akhbar-akhbar harian bahawa gejala sosial semakin hari semakin teruk, institusi rumah tangga semakin hari semakin runtuh, dan agama islam dicabar dengan sangat dahsyat.

Saya sebenarnya hairan dengan sikap segelintir ibu bapa di negara kita. ada sesetengah ibu bapa terutama yang mempunyai anak-anak yang belajar di luar negara sangat bimbang kalau anak mereka join usrah dan aktiviti yang bersangkutan dengannya tetapi mereka tidak pula bimbang andai anak mereka pergi parti, bergaul dengan orang yang liar sikapnya dan TIDAK SEMBAHYANG. Saya memberi contoh ini berdasarkan realiti sama ada saya lihat dengan mata kepala sendiri atau yang saya dengar. Sesetengahnya kalau ibu bapa call dari jauh, yang mereka sibuk tanyakan adalah “dah makan ke belum?”. Bagi mereka persoalan makan lebih besar dan penting daripada segala-galanya. Kalau saya katakan  mungkin ada sesetengahnya tidak bersetuju, tetapi itulah hakikat sekarang ini. kebanyakan ibu bapa sekarang hanya pandai MENTERNAK anak bukan MENDIDIK anak. Setakat memberi cukup makan ibu ayam dalam reban pun boleh buat tetapi mendidik anak untuk menjadi manusia yang mempunyai sifat INSAN adalah tanggungjawab ibu bapa yang akan disoal Allah.

Dulu masa sampai di sini emak saya ada bertanyakan “makan kat sana macam mana?barang-barang halal dapat di mana?”. Adakala ibu bapa hari ini sangat concern pasal pelajaran dan ini sangat bagus tetapi tidak pula mengambil tahu soal anak-anaknya mengambil makanan halal atau tidak walhal makanan haram inilah yang dapat menggelapkan hati. Asal cemerlang pelajaran, yang lain tidak perlu bimbang. Inilah penyakit yang melanda masyarakat kita. mari kita lihat kesan jangka panjang jika perkara ini tidak diperbetulkan. Memang lumrah orang yang cemerlang dalam akademik akan mudah mendapat tempat dalam masyarakat baik menjadi pemimpin politik, pengarah syarikat, pengurus syarikat dan sebagainya akan tetapi jika semasa belajar mereka tidak ditarbiyah atau dididik dengan ilmu agama maka akan lahirlah individu-individu yang menyalahgunakan kuasa, tiada amanah dan mengambil rasuah. Memang bukan semua yang bersifat begini tetapi ini realiti yang dapat kita baca melalui media-media massa.

Pelajaran sangat penting tetapi PENDIDIKAN lebih penting. Inilah paradigma yang harus kita ubah dalam masyarakat kita. kepada sahabat-sahabat saya sama ada di institusi tempatan atau luar negara saya menyeru diri saya dan kalian agar, sertailah usrah kerana ini adalah tunjang untuk mewujudkan individu muslim berkualiti. Saya akui usrah ini bukan satu paksaan tetapi dalam usrah inilah kita dapat membentuk jati diri muslim dan dapat mengenal pasti matlamat dunia dan akhirat kita.

Saya mohon maaf andai terkasar bahasa atau ada individu yang terasa dengan entri ini tetapi ini untuk kebaikan bersama. Wallahua’lam

Tuesday, August 2, 2011

A Blessing Ramadhan, InsyaAllah...

Salam kepada semua, Alhamdulillah atas segala kurniaan. Syukur kepada Allah kerana masih menyampaikan  saya ke dalam Ramadhan Almubarak 1432H. Tahun depan belum menjamin saya untuk berada di dalam bulan yang mulia ini. jadi,suka saya mengingatkan diri saya dan sahabat sekalian agar menggunakan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Tingkatkan amal ibadah, perkukuhkanlah amalan wajib dan perbanyakkanlah amalan sunat. Keluarlah dari bulan Ramadhan tahun ini sebagai Muslim yang berkualiti dari segi akhlak, pemikiran dan masa.
Amma ba’d.

Saya tidak ada apa sangat untuk di blogkan, cuma entri kali ini saya ingin berceloteh serba sedikit pengalaman berpuasa di rantau orang. Tahun lepas, saya sampai di US ini pada 26 August 2010 dan saya sempat berpuasa selama dua minggu tahun lepas di sini. Tahun ini saya, jika dipanjangkan umur saya akan berpuasa sebulan penuh disini. Tahun lepas, dua minggu berpuasa di sini tidak berasa apa-apa sangat kerana hanya bertarawih di rumah, makan di rumah senior (menumpang sekejap sebelum masuk rumah sendiri), dan terpaksa menguruskan pelbagai perkara. Alhamdulilah tahun ini, dengan adanya kereta, saya dan housemates saya berpeluang mengerjakan tarawih di masjid.

Bertarawih di sini merupakan pengalaman yang indah kerana saya bertemu dengan pelbagai bangsa; dari secerah-cerah kulit manusia hingga ke kulit yang tidak putih. Ada orang Uzbekistan, Turki, Arab Saudi, India, Pakistan, Malaysia dan semestinya orang Amerika sendiri. Tahun ini, Islamic Center of Rochester menjemput imam khas dari Connecticut, seorang tahfiz. Waktu isya’ masuk pada pukul 10 lebih dan tarawih hanya bermula pada pukul 10.30 malam. Dengan keadaan masjid yang ber air-cond mewujudkan suasana yang dingin ditambah dengan bacaan merdu imam persis imam Abdul Rahman Assudais sangat menenangkan hati dan jiwa. Saya suka melihat orang yang datang sambil membawa family masing-masing.

Bercakap mengenai iftar pula, hari pertama berbuka sudah ada jemputan berbuka. Alhamdulillah tidak perlu masak untuk hari pertama. Hari kedua juga tidak perlu masak untuk iftar kerana saya dan housemates akan berbuka di masjid. Kalau tidak mahu berbuka puasa di masjid dan malas masak kemana lagi kalau tak ke International Food Market, kedai yang menjual segala makanan halal dari nasi biryani, nasi turki, pizza, sub, daging & ayam halal, rempah ratus, bahan baking dan pelbagai barang harian lain yang dijamin halal,bersih dan berkualiti. Kebanyakan barang-barang disini kalau yang makanannya diimport dari Turki,Germany dan Pakistan. Barang-barang keperluan seperti Shampoo, sabun, pencuci muka dan sebagainya diimport dari Dubai.
                                        International Food Market

                        Pizza Buffalo Chicken with sweet & sour sauce

Puasa yang melebihi 16 jam sehari disini diisi dengan aktiviti tadarus yang diadakan di rumah saya setiap lepas asar. Selain itu, di kala petang kadang-kadang kami akan pergi ambil angin di tepi tasik di Islamic Center of Rochester. Selalu juga pergi main badminton di gym (kadang-kadang workout sikit.:D) Aktiviti usrah dijalankan seperti biasa; pada hari jumaat malam sabtu.
                                                     kami di tasik

Insha Allah, saya dan rakan lain akan cuba cari masa untuk bertarawih di luar Rochester. Cadangnya akan berbuka dan bertarawih di Buffalo (lebih kurang sejam perjalanan dari Rochester ini). Insha Allah 16 August ini saya dan beberapa rakan lain akan ke West Lafayette, Indiana. Sebelum ke West Lafayette, insha Allah kami akan singgah berbuka puasa di Columbus, Ohio. Semoga perjalanan kami dipermudahkan Allah.

Apa-apa pun, peluang yang Allah kurniakan ini merupakan satu tarbiyah Allah kepada diri saya agar merasai bagaimana berpuasa di tempat yang Islam merupakan sesuatu yang asing kepada masyarakat sekelilingnya. Tiada bazaar ramadhan, tiada dentuman mercun, dan tiada moreh tidak dapat menandingi keseronokan menjalani ibadah puasa di perantauan. Taqabbalallahu minni wa minkum..:)