Salam sahabat-sahabat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian. Bagaimana persediaan kita mengahdapi ramadhan yang bakal menjengah kurang dua minggu lagi? Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini lebih baik berbanding Ramadhan tahun lepas. Bagi yang belum berganti puasa tahun lepas (khusus buat kaum hawa dan yang fly dalam bulan Ramadhan tahun lepas), sila ganti puasa anda.
Amma ba’d.
Saya tertarik dengan isi kandungan buku ‘Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah’ karangan almarhum Ustaz Fathi Yakan dan sememangnya buku ini dijadikan silibus usrah ‘kami’ di sini. Ada empat bahagian dalam buku ini yang mana bahagian pertama adalah tentang rintangan perjuangan dalam kehidupan pendakwah, kedua ialah ciri-ciri keimanan, ketiga ialah bekalan para da’I dan keempat adalah bahtera penyelamat untuk para da’i. untuk entri kali ini, sukalah saya berbincang bersama-sama sahabat sekalian bahagian yang keempat, bahtera penyelamat untuk para da’i.
Diakui bahawa dalam da’wah kadang-kadang kita diuji dengan keseronokan dan kesyukuran apabila seruan kita diterima namun adakala kita diuji dengan pandangan sinis,cercaan dan tohmahan bagi mereka yang masih belum terbuka hati untuk menerima seruan Islam yang syumul ini. Atas sebab ini, para du’at sekalian sangat memerlukan bekalan ini bagi menguatkan semangat juang dalam da’wah. Ingatlah andai dunia ini dan seluruh isinya menolak seruan kita kepada Allah dan RasulNya,yakinlah bahawa akan ada seorang yang tegar mengikuti seruan kita. siapakah orang itu? Orang itu adalah DIRI kita sendiri. Ada lapan perkara yang perlu diperhatikan oleh para du’at sekalian. Kita akan cuba huraikan sedikit sebanyak di sini.
BAHTERA MA’RIFATULLAH
Ma’rifatullah atau mengenal Allah adalah awal kepada agama. Orang yang mengenal Allah akan sentiasa berusaha untuk sampai kepadaNya. Ma’rifatullah dapat dicapai dengan mendalam dan mantap apabila seseorang itu meneliti segala makhluk ciptaan Allah, dan menghargai kebijaksanaan, qudrat, kurnia dan segala petanda kebesaranNya1. Golongan penda’wah harus sentiasa sedar bahawa setiap ujian dan nikmat datangnya dari Allah.
BAHTERA ‘IBADATULLAH
‘Ibadatullah atau melakukan ibadah-ibadah kepada Allah sama ada yang khusus atau yang umum merupakan benteng penyelamat dari kesesatan, kejahatan serta rasa futur. Sesungguhnya, dengan melakukan ibadah dapat mentaqarrubkan diri kita kepada Allah. Orang yang sentiasa berhubungan dengan Allah sebenarnya senantiasa dalam lembayung jagaan, rahmat, ‘inayah dan pertolongan Allah2. Atas sebab ini Allah mewajibkan kita solat wajib lima kali sehari agar hubungan kita selaku hamba tidak terputus dengan Allah. Bagi para du’at yang menyeru kepada Al Haq, perlulah ditambah dengan qiyamullail, berpuasa sunat, solat nawafil, serta melakukan kebajikan-kebajikan yang lain baik kepada Alkhaliq atau makhluk.
BAHTERA ZIKRULLAH
Zikrullah atau mengingati Allah adalah benteng daripada hanyut dalam arus duniawi dan perasaan tidak tenteram. Mengingati Allah bukan sahaja tertakluk kepada bertasbih,bertahmid, dan bertakbir tetapi memikirkan alam ciptaan Allah, bagaimana ingin menyeru orang kepada Allah serta sentiasa mengingati mati. Berzikir melahirkan kesan yang baik kepada jiwa seperti tenang dan sentiasa optimis dengan segala sesuatu. Orang yang berzikir kepada Allah tidak akan sesekali putus asa kerana dia meyakini bahawa segala yang terjadi sama ada yang baik dan buruk mempunyai hikmahnya tersendiri. Allah berfirman:
“Orang-orang yang beriman tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram (13:28)
Dengan berzikir dapat menghindarkan diri daripada bisikan syaitan yang sentiasa menimbulkan was-was dalam diri manusia.
BAHTERA AL KHAUFU MINALLAH
Bahtera ini menghindarkan para penda’wah dari tenggelam dalam lubuk bacul, takut kepada yang bukan-bukan, derhaka dan terbenam ke dalam kancah dosa3. Khauf minallah atau takut kepada Allah akan dapat membentuk peribadi muslim yang tidak gentar dalam menegakkan kebenaran dan takutnya hanya kepada Allah yang memberinya rezeki. Allah berfirman:
“Orang yang merasa aman dari tindak balas Allah (terhadap dosanya) ialah golongan yang merugi (diri dan masyarakatnya)” (7:99)
Rasulullah SAW pernah bersabda dengan maksud “Kalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan kurang ketawa dan banyak menangis”
BAHTERA HUBBULLAH
Hubbullah atau cinta Allah dapat menghidarkan diri daripada mabuk dengan duniawi dan sibuk memenuhi kehendak nafsu syahwat. Bagi orang yang cinta akan Allah, hartanya sekadar di badan tetapi tidak di dalam hati. Rasulullah SAW bersabda “seseorang itu tidak akan mencaoai darjat iman yang sebenar sehinggalah Allah dan rasulNya lebih dikasihi dari segala yang lain”. Rasulullah SAW ada mengajar kita satu doa tentang cinta kepada Allah ini. Doanya seperti berikut:
“Ya Allah, aku memohon kasih sayangMu. Aku memohon kasih sayang orang yang menyanyangi Mu. Aku memohon kecenderungan mengerjakan perbuatan yang mendekatkan aku pada kasih sayangMu.”
Bukti kasih sayang Allah kepada hambanya ialah, seseorang itu senang melakukan ketaatan dan merasakan manisnya beribadah kepada Allah. Dia juga merasakan senantiasa ingin bermunajat kepada Allah. Bahtera ini dapat menghidarkan kita dari penyakit riya’ syirik, kufur dan nifaq. Para du’at dalam meneruskan kegiatannya; baik berceramah, berjihad, menulis dan sebagainya amat perlu ikhlas4. Ikhlas dapat memelihara daripada kehilangan pahala amalan kebajikan yang dilakukan. Bagi yang tidak ikhlas, Allah firmankan dalam al quran:
“Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan,lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan(tidak berguna).” (25:23)
BAHTERA REDHA
Bahtera redha yakni rela dengan segala taqdir ketentuan adalah kunci untuk seseorang keluar daripada belenggu keluh kesah, pesimis dan tamak haloba. Kita harus bersyukur dengan segala rezeki pemberian Allah. Perkara paling penting adalah menumpukan pada aspek bagaimana mencari keredhaan Allah; bukan memikirkan sedikit atau banyak rezeki yang kita terima. Sesungguhnya Allah tidak sesekali akan menzalimi hamba-hambaNya.
BAHTERA HUBBUR RASUL
Bahtera menicntai nabi dapat mengelakkan kita daripada tersesat dari kehidupan. Dengan mencintai Rasulullah SAW, kita akan sedaya upaya mencontohi baginda dengan mengamalkan sunnah-sunnah baginda yang diketahui terbaik sepanjang zaman baik dari segi pertuturan, pemakanan, pergaulan, perbuatan dan tingkah laku. Allah berfirman:
“….Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”(59:7)
Kecintaan kepada Rasul melahirkan generasi rabbani yang sentiasa menjaga tatasusila dalam segenap perkara. Mereka tidak sesekali mengikuti langkah-langkah orang yang kufur dan mereka berkasih sayang sesama mereka seperti yang dijelaskan Allah dalam firmanNya:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.”(48:29)
KEMANA DAKWAH KITA?
Persoalan ini sepatutnya bermain di fikiran penda’wah dan jawapannya sudah tentu da’wah ini kita bawa diri kita dan orang-orang sekeliling kita kepada Allah dan RasulNya.
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”(66:6)
Jadi persiapkanlah diri kita demi jalan yang mulia lagi diredhai Allah ini. Islah nafsak wad’u ghairak (perbaiki dirimu dan serulah yang lain).
Rujukan:Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Penda’wah karangan Almarhum Ustaz Fathi Yakan
1) muka surat 208
2)muka surat 211
3)muka surat 215
4) muka surat 223
Wallahua'lam.
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan kareem.
Tentang Kami. credit to Suhaimi
No comments:
Post a Comment