Thursday, July 8, 2010

ApaBila HamBa mEnGugUT TuHAnNya...


“Kalau aku dapat A+ untuk subjek Biologi ni, aku nak puasa seminggu lah”. Inilah salah satu contoh daripada banyak-banyak contoh harapan kita. Dalam kehidupan, kita banyak mempunyai hajat-hajat yang ingin kita gapai. Sebagai contoh, untuk masa terdekat ini saya sedang membuat persiapan untuk ke Amerika Syarikat dan sudah pasti saya berharap agar semuanya berjalan lancar. Untuk jangka masa sederhana pula, saya berharap supaya dapat menggemgam ijazah kelas pertama dan begitulah seterusnya; kerja, kahwin, beranak-pinak, melabur, menghadapi hari tua dan seterusnya. Dalam kita ingin menggapai semua perkara ini, ada sesetengah daripada kita sering bernazar.
Topik yang ingin saya kongsikan bersama sahabat hari ini adalah tentang NAZAR. Apa pendapat sahabat-sahabat mengenai nazar? Sebelum saya teruskan, eloklah saya terangkan secara ringkas maksud nazar. Nazar ini dalam erti kata yang mudah adalah berjanji untuk melakukan sesuatu selepas hajat tertunai. Seperti contoh “Kalau aku dapat anugerah pelajar cemerlang, aku nak puasa seminggu berturut-turut”, “kalau aku berjaya dalam pertandingan ini, aku nak sedekah RM 300 kepada rumah anak-anak yatim”, “kalau aku menang dalam perlumbaan ini, aku nak belanja kawan-kawan aku makan”. Inilah kebiasaan yang sering kita dengar; sama ada kita sendiri yang bernazar atau kawan-kawan kita yang melakukan demikian. Alhamdulillah saya diberi cuti oleh Allah dalam tempoh sebulan lebih sebelum bersambung kembali meneruskan misi ‘kembara ilmu’ saya. Jadi jika sebelum ini ada alasan sibuk untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid tetapi sekarang tiada lagi alasan yang boleh diberikan. Semoga sahabat-sahabat yang masih dalam percutian ini dapat memanfaat cuti ini dengan sebaiknya. Buatlah apa sahaja asalkan perkara tersebut memberi manfaat kepada kita.
Baiklah, kembali kepada topik asal NAZAR. Jadi, dek kerana cuti ini saya ada banyak masa untuk mendengar kuliah-kuliah agama. Perbincangan yang paling akhir saya dengar adalah tentang nazar di radio Mutiara fm (Radio Pulau Pinang). Ustaz Idris Zakaria yang mengupas tajuk ini menjelaskan perkara ini (nazar) dengan sangat jelas. Beliau membaca sepotong hadith yang disabdakan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi begini Nazar tidak datang melainkan daripada orang yang bakhil” (riwayat Abu Hurairah). Martabat hadith ini adalah Hasan Sahih menunjukkan ianya boleh dijadikan sumber rujukan dan dijadikan hujah. Mengikut ulama’, bernazar ini hukum sebenarnya makruh tetapi ada sesetengah ulama’ yang ‘keras’ pandangannya mengatakan bahawa bernazar ini hukumnya haram.
Logiknya, jika kita bernazar, keikhlasan kita boleh dipersoalkan. Adalah layak kita sebagai hamba melakukan sesuatu untuk Allah hanya apabila hajat kita tertunai? Kita selaku hamba sepatutnya tawakkal dan redha dengan segala pemberian Allah selepas kita berusaha bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh ‘mengugut’ tuhan supaya menunaikan hajat kita. Kalau kita bernazar dan kemudian perkara yang kita harapkan itu tidak menyebelahi kita, saya yakin ramai yang tidak akan menunaikan nazar tadi dengan alasan “ aku tak dapat benda yang aku nak, so tak perlulah la tunaikan nazar aku”. Kelihatannya seolah-olah kita protes dan merajuk terhadap Allah. Sekali lagi, siapakah kita untuk  protes terhadap ketentuan tuhan yang maha menegtahui segala baik buruk hidup kita?  Ada sesetengah daripada kita beranggapan bahawa “jika aku tak nazar, tuhan tak akan bagi”. Ulama’ berpendapat bahawa jika perkara ini yang terlintas di fikiran kita maka jatuh hukum haram nazar tadi dan pelaku tadi harus bertaubat. Ingatlah wahai sahabat sekalian! Allah adalah tuhan yang maha kaya; segala yang ada di langit dan bumi ini adalah kepunyaan Allah dan Allah maha pemurah. Dia boleh memberi apa sahaja kepada kita asalkan kita berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya. Tidak perlulah kita ‘mengugut’ Allah kalau kita berhajatkan sesuatu.
Saya sendiri mempunyai banyak hajat; ada sesetengahnya telah tertunai dan ada sesetengahnya tidak tertunai tetapi saya akui segala yang Allah aturkan untuk saya sangat cantik ‘jalannya’. Jadi, saya ingin mengingatkan diri saya dan para sahabat sekalian, jika kita mempunyai hajat, tidak perlulah kita bernazar tetapi kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh ke arah hajat tersebut seterusnya tawakkal dan optimis bahawa Allah akan menunaikan hajat kita. Jika hajat kita tidak tertunai, yakinlah bahawa perkara itu mungkin tidak baik untuk kita ataupun Allah tangguhkan untuk suatu masa yang tidak ditentukan.
Wallahualam...

No comments: