Sunday, March 21, 2010

KesEMpiTan.....

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat yang dikasihi, semoga kalian sihat walafiat hendaknya.
Sebenarnya, tidak ada apa yang ingin direncanakan untuk kali ini Cuma sekadar pemberitahuan dan sedikit perkongsian. Blog ini sudah lama tidak diupdate disebabkan kekangan masa dan tidak ada isu menarik yang berlaku di Malaysia melainkan isu lompat parti beberapa ahli parlimen (MP) PKR ke dalam UMNO.
Saya teringat akan sepotong hadis yang disabdakan Baginda Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya:
“Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tuamu, masa kayamu sebelum kepapaanmu (faqir), masa lapangmu sebelum masa sempitmu, masa sihatmu sebelum sakitmu dan masa hidupmu sebelum matimu.” (rujukan:kitab Durratun Nasihin m/s 447)

Saya yakin bahawa sahabat-sahabat sekalian pernah mendengar hadis ini. Namun kali ini saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian merenung ‘point’ yang ke tiga yang diutarakan Rasulallah SAW; masa lapangmu sebelum masa sempitmu. Kita tahu semakin hari umur kita semakin meningkat dan tanggungjawab semakin hari semakin bertambah. Namun, baik yang bekerja dengan kerajaan mahupun swasta, suatu masa nanti dia pasti bersara. Selepas bersara pasti dia mendapat duit pencen dan KWSP (kerajaan). Masa yang ada selepas pencen boleh lah digunakan menambahkan amal (bagi yang beringat) selain bermain dengan anak cucu. Dia boleh melepak di kedai kopi menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Persoalannya, dimana sempitnya waktu dia? Bukankah waktu itu masih lapang bahkan bertambah lapang kerana tidak perlu memikirkan soal kerja,soal traffic jam,soal nak jumpa clients dan sebagainya?

Sempit yang dimaksudkan Rasulallah SAW dalam hadis ini adalah, ketika datangnya malaikat maut untuk mencabut nyawa kita. Ketika itu, malaikat akan membentangkan segala amal baik dan buruk serta menunjukkan ke mana destinasi kita selepas ini sama ada ke syurga atau neraka. Ketika dipaparkan amalan kita, masa itulah kita merasakan betapa sempitnya hidup apabila tidak ada ruang lagi bagi bersedekah, tidak sempat lagi untuk menunaikan haji, dan tidak berpeluang lagi menziarahi sanak saudara bagi menyambungkan silaturrahim.

Masa itu, apa yang dirasakan adalah penyesalan semata-mata kerana hidupnya selama di dunia ,dia tidak melakukan amal kebajikan tersebut  sama ada terlupa atau sengaja terlupa. Hidup kita tidak lama di atas dunia ini. Maha suci Allah yang memperjalankan masa dengan cepat.
Saya dengan rendah hatinya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian agar meninggalkan perkara-perkara maksiat dan marilah kita beramal untuk kebaikan dunia dan akhirat kita. Sesungguhnya setiap yang kita lakukan tidak ada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah.

REBUTLAH MASA LAPANGMU SEBELUM TIBA MASA SEMPITMU.


2 comments:

abid™ said...

salam~

btol2..bila dh sakit bru rase hargai rase sihat tue..tyme sihat x pernah nk ingat bnd2 yg perlu dibuat..(tazkiyatun nafs)..

pastue bila dh bz bru sedar yg tyme kita lapang bnyk buat bnd x berfaedah..

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

kerana kita manusia...sering lalai dan terlupa...sebab itu;ah pentingnya ingat mengingati...<51:56>