Bismillahirrahmanirrahim,
Kehadapan
bakal zaujahku yang diharapkan senantiasa dalam pemeliharaan Allah. Aku mulakan
warkah ini dengan memetik kalam Allah dari surah Rum ayat 21 yang bermaksud:
“Dan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar Rum 30:21)
Alhamdulillah
segala puji hanya bagi Allah yang memutikkan rasa cinta di antara kita sehingga
membawa kepada tautan hati. Ketahuilah bahawa Allah lah yang mencampakkan rasa
tenang dan tenteram di dalam jiwa hamba-hambaNya. Maka janganlah ada di antara
kita yang ragu akan anugerah Allah yang agung ini.
Sebelum
bernikah, aku tidak mahu terlalu menjanjikan itu dan ini, cuma satu janjiku
yang pasti, aku ingin menghidupkan rumah tangga kita dengan sakinah, mawaddah
dan rahmah. Aku sentiasa mengharapkan kehadiranmu dalam hidupku bukan sekadar
memenuhi ruang hatiku yang sepi namun yang akan sentiasa bersama aku di saat
susah dan senang tatkala aku diuji dalam perjuangan. Aku bukanlah insan
sesempurna Nabi Muhammad SAW yang telah menawan hati Saidatina Khadijah
radiyallahu a’nha. Aku cumalah seorang insan yang lemah dan banyak khilaf.
Harapanku untuk bersamamu supaya terus beriltizam untuk memberi manfaat kepada
insan-insan, menegur kesilapanku, menjadi pelebur egoku yang tinggi dan menjaga
maruah serta kehormatanku.
Aku
berharap agar lahir zuriat yang soleh solehah daripada sulbimu yang akan
mewarisi perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam gerakan Islam. Aku inginkan sebuah
rumah tangga yang benar-benar harmoni dipenuhi kasih sayang dan sentiasa dalam
keredhaan Allah. Aku telah berjanji kepada Allah bahawa aku akan memeliharamu
dan memberi kelengkapanmu sekadar yang aku mampu.
Sesungguhnya
kehidupan ini penuh ranjau berliku yang adakalanya tak terduga dek akal. Oleh itu,
aku sentiasa berharap dirimu sentiasa disisiku dengan penuh kelembutan dalam
susah dan senang. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Maka marilah sama-sama
meningkatkan ketaqwaan, kuatkan tekad dan lengkapkan diri kita dengan ilmu yang
bermanfaat agar kita dapat melayari bahtera rumah tangga hingga ke syurga
Allah.
Apa
yang akan terjadi, aku serahkan segala urusan kepada Allah kerana Dia adalah
tuhan yang maha mengetahui segala yang terbaik untuk setiap hambaNya.
Aku
akhiri bicara ini dengan menyingkap firman Allah dari surah At Talaq ayat dua
dan tiga:
“..dan
sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada
Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah
telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At Talaq
65:2-3)
Sesungguhnya
rezeki dijamin Allah bagi hamba-hambaNya yang bertaqwa. Jadi, marilah berazam
untuk menjadi insan yang sentiasa memperbaiki diri dan membawa kebaikan kepada
orang lain.
Yang benar
Bakal suamimu
1 comment:
uhuk2..
Post a Comment