Salam
kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga semuanya dalam lindungan
rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma
ba’d.
Menjadi
hamba Allah, pasti kita melalui liku-liku kehidupan yang rencam. Terkadang berduka,
adakala suka. Itulah lumrah kehidupan seorang insan bergelar hamba. Mana mungkin
seorang hamba hidup tanpa diuji imannya. Sehari-hari kita melalui tingkatan
demi tingkatan dalam kehidupan dan setiap tahapan kehidupan semakin mencabar.
Kepada Allah sahajalah diserahkan segala urusan kehidupan.
Sepanjang
kelana saya di bumi Uncle Sam, banyak perkara dan peristiwa telah merubah
persepsi saya. Program demi program dihadiri, daurah demi daurah disertai,
rehlah demi rehlah diikuti. Apakah ia telah menjadikan diri ini mengenali
hakikat kehidupan? Allah lebih mengetahui.
Mengenali
masyarakat Amerika, saya menyedari bahawa pembangunan material tanpa
dibangunkan jiwa-jiwa insan lebih membawa kepada kerosakan kepada ketamadunan
sesuatu masyarakat. Di sini, mereka punyai segala kelengkapan dan prasarana,
tetapi moral masyarakatnya sangat rendah. Lelaki dan perempuan menyewa satu
rumah tanpa ikatan yang sah, parti liar pada malam minggu, anak-anak lari
meninggalkan rumah ibu bapa, kes perceraian yang tinggi, dan penindasan kaum
kapitalis merupakan masalah yang sangat kritikal di Amerika. Namun, saya harus
bersifat adil. DI sudut baiknya, warga Amerika mereka mudah bertolak ansur,
boleh menghormati hak jiran-jiran, suka menghulurkan bantuan dan mesra dengan
orang asing.
Di
sini juga mendidik saya menjadi seorang dewasa. Saya bergaul dengan kalangan
mereka yang professional; doktor, jurutera, professor, dan ahli perniagaan dalam
kalangan warga masjid Rochester (Islamic Center of Rochester). Saya dapati
warga Muslim di Rochester, mereka sangat tawadhuk walaupun mereka golongan
bekerjaya yang hebat. Inilah ciri-ciri muslim yang sejati. Saya juga mendapat
kawan-kawan dari negara Islam seperti Arab Saudi, Yaman, Libya, Turki,
Pakistan, Afghanistan dan Indonesia. Inilah Islam yang dikatakan rahmatan lil a’lamin.
Menuju puncak
Berbalik
kepada situasi di Malaysia, apabila menggula-gulakan rakyat dengan BR1M,
pelbagai projek pembangunan, dan konsert hiburan melampau (hedonism), saya kira
ia akan jadi seperti di Amerika. Warganya hidup dalam tekanan, lalu mereka ke
pub dan parti untuk mencari keseronokan sementara. Apabila remaja-remaja tidak
dibangunkan jiwa mereka, maka jahiliyah akan menyelubungi hidup mereka. Mereka
hilang pedoman dan arah tuju. Saya yang sedang meniti usia dewasa, merasa
bimbang dengan kes buang bayi, remaja lari meninggalkan rumah, anak memukul ibu
bapa, dan pelbagai lagi gejala sosial yang berlaku di negara kita. Ia terlalu
menyesakkan dada. Insha Allah, satu hari saya akan mempunyai isteri dan
anak-anak. Saya tidak mahu keluarga saya tinggal dalam keadaan masyarakat yang
sebegini. Saya inginkan sebuah kehidupan yang dalamnya tertegak amar maaruf
nahi mungkar, saling bertegur sapa serta saling bantu membantu.
Menjadi
tanggungjawab kita yang cintakan keamanan negara, rindu untuk melihat
kebangkitan Islam serta inginkan pembangunan sebuah tamadunan yang berakhlaq
mulia di muka bumi kita, tidak boleh berpeluk tubuh mengharapkan kemenangan
percuma. Kita harus bangun bekerja merealisasikan impian yang murni ini. Marilah
sama-sama berada dalam gerabak gerakan Islam di Malaysia untuk melihat sebuah
institusi negara yang mendapat keberkatan Allah. Inilah harapan kita. Semoga Allah membantu kita dalam setiap langkah.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment