Allahu akbar! Allahu akbar!
Allahu akbar wa lillahil hamd. Segala puji hanya layak bagi Allah tuhan semesta
alam yang telah menjadikan serta mencukupkan rezeqiNya ke atas kita hamba dan
makhluqNya.
Alhamdulillah atas segala nikmat
yang dipanjangkan Allah, pada tahun ini kita masih dipanjangkan usia, diberi
peluang untuk masuk ke dalam medan tarbiyah ramadhan. Satu bulan yang telah
dijanjikan Allah dengan pelbagai kenikmatan dan keberkatan; terpulang kepada
kita ingin merebut atau membiarkan ia berlalu sepi.
Saya secara peribadi, merasakan
ramadhan tahun ini membawa kelainan dalam hidup saya di mana diberi peluang
oleh Allah untuk bertarawih di belakang imam-imam dari Gaza serta mendengar
luahan mereka secara langsung tentang keadaan di Gaza, dapat beriftar,berusrah,
dan bertarawih bersama murabbi di sekitar lembah Klang, dapat beriftar dengan
sebahagian asatizah yang kita kenali melalui TV serta dapat beriftar juga
dengan rakan-rakan yang lebih dua tahun tidak bersua muka. Semuanya merupakan
nikmat Allah yang menyambungkan silaturrahim antara kami hamba-hambaNya.
Namun, dalam keadaan nikmat yang
terlalu banyak ini, marilah sama-sama kita menginsafi keadaan umat Islam di
seluruh dunia. Di Malaysia begitu ramai walaupun uban sudah memutih di kepala
tetapi masih ponteng puasa. Di Arakan, muslim Rohingya dibantai dengan kejam
oleh puak rakhine Buddha. Di Palestin, selain zionis laknatullah membedil
rumah-rumah rakyat Palestin, mereka juga sering terputus bekalan elektrik serta
petrol, menyebabkan mobilisasi mereka terbantut. Di Syria, Bashar Alassad
laknatullah tidak mengendahkan bulan ramadhan yang mulia, terus menerus
membunuh jiwa-jiwa umat Islam yang tidak bersalah. Tidak dilupakan juga bagi
masyarakat muslim di negara barat yang tinggal di hemisfera utara, mereka
berpuasa lebih 17 jam sehari. Inilah antara ujian-ujian massa yang melanda umat
Islam.
Namun, saya sentiasa percaya
ujian ini mengajar kita menjadi matang serta mendidik kita supaya sedar sudah
tiba masanya umat Islam untuk bersatu menentang kezaliman yang melata,
mengenepikan segala perbezaan mazhab dan ideologi politik, memperkasa jati diri
dengan ilmu agama dan akademik, membangkitkan hamasah untuk keluar daripada
belenggu kemiskinan dan penindasan serta berdaya saing di peringkat global.
Harapan Allah kepada kita kepada
hambaNya melalui tarbiyah ramadhan adalah mendidik kita untuk menjadi insan
bertaqwa dalam erti kata kita sentiasa menyedari kewujudan Allah dalam setiap
tindakan dan bual bicara. Kenal apa itu dosa pahala, tahu membezakan yang haq
dan batil, sentiasa takut dan mengharapkan kepada Allah, serta menjadi insan
yang senantiasa menegakkan keadilan dalam kehidupan. Taqwa mengajar kita untuk
bersungguh bekerja dalam meninggikan kalimah tauhid di muka bumi ini. Kesan
taqwa dapat dilihat jika kita masih mampu lagi untuk beristiqamah dengan segala
amal soleh dan kebajikan apabila kita keluar daripada bulan ramadhan kelak.
Sambutlah aidilfitri dengan penuh
kegembiraan dan kesederhanaan, insafilah kelemahan diri serta kenanglah
orang-orang terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita. Bertaqwalah kepada
Allah walau di mana sahaja kita berada kerana itu sebaik-baik benteng dan
bekalan.
Mana mungkin insan selain Nabi
Muhammad SAW terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Selagi bernama
insan, terutama yang hidup di akhir zaman yang begitu hebat cabrannya, lebih
lagilah terdedah kepada pelbagai maksiat dan kesalahan. Apa yang tinggal
hanyalah, insan sentiasa diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah dan
memohon maaf sesama kita.
Dengan itu, saya insan biasa dan
kerdil yang bergelandangan di atas muka bumi Allah memohon ampun dan maaf kepada
seluruh sahabat dan insan yang mengenali diri saya, jika selama ini saya
terkasar bahasa, tersilap bicara, tersalah memberi harapan, terambil sesuatu
yang bukan hak, terabai tugas serta tanggungjawab dan pernah mengecilkan hati
mana-mana pihak. Harapan saya, sahabat-sahabat semua sudilah memaafkan
kesalahan dan kesilapan saya. Saya juga tidak berdendam dengan mana-mana
sahabat serta telah memaafkan kesemua orang-orang disekeliling saya. Marilah
kita jalinkan ukhuwah, bentuk sahsiah dan sama-sama berganding bahu
mendaulatkan Islam di tanah air kita.
Wallahua’lam.
Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul
Mutalib
Senior year, biotechnology
Rochester Institute of Technology
New York, USA