Saturday, August 22, 2009

BerTaHanLah.........

Assalamualaikum buat rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Diharapkan saudara semua berada dalam keadaan sihat walafiat.

Di dalam bulan yang mulia ini, memang kita tidak akan putus-putus mendengar ayat suci al-quran dari surah al-baqarah yang berbunyi:

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Jika kita memerhati ayat ini, kita akan dapati bahawa tujuan utama disyariatkan puasa ini adalah supaya kita mencapai tahap taqwa. Apakah itu taqwa? Secara ringkas yang dapat saya berikan maksudnya adalah melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Apakah semudah itu untuk mencapai tahap taqwa?apakah hasil daripada sifat taqwa itu keatas individu? Persoalan ini akan kita rungkaikan supaya kita mencapai matlamat dalam melakukan ibadah puasa ini.

Hakikatnya tidak mudah untuk seseorang itu mencapai tahap taqwa. Jika setakat puasa dalam erti hanya berlapar dan dahaga sahaja, kita belum lagi mencapai tahap taqwa. Kita hendaklah berpuasa mulut, berpuasa hati, berpuasa anggota badan, berpuasa mata. Puasa mulut bermaksud kita hendaklah meninggalkan segala percakapan keji dan nista manakala puasa hati pula adalah kita mesti meninggalkan sangkaan buruk ataupun berniat jahat terhadap orang sekeliling kita. Adapun puasa anggota badan pula adalah menjauhi tempat-tempat yang mengundang fitnah dan tempat-tempat maksiat. Jauhkan mata kita daripada memandang perkara-perkara yang haram dan hindarkan telinga daripada mendengar umpatan ataupun perkara-perkara fitnah.

Dalam bulan ramadhan ini juga, kita mestilah cuba merajinkan diri melakukan segala amal-amal yang dapat menghampiri tahap taqwa tersebut. Banyakkan berzikir,bersedekah,qiamullail,belajar dengan lebih tekun dan jika boleh jangan tinggalkan terawih berjemaah di masjid. Selain itu, bulan ini patut dijadikan bulan muhasabah diri dan bulan membaiki kesilapan diri agar kita menjadi generasi ulul albab ataupun modal insan yang dikehendaki Allah. Terdapat banyak lagi kebajikan yang dapat kita lakukan di bulan yang mulia ini yang saya rasa anda semua lebih tahu.

Kesan ataupun implikasi semua amalan tadi apabila dilakukan dengan ikhlas dan mengikut syariat, maka terhasillah sifat taqwa. Inilah tahap yang dikehendaki oleh semua yang bergelar mukmin. Dengan adanya taqwa dalam sanubari manusia, dia akan takut melakukan perbuatan keji seperti mengambil rasuah, mengambil hak orang lain, dan memakan riba. Dirinya pula akan sentiasa dilindungi Allah daripada segala kebahayaan hidup dan dia juga akan menjadi orang yang sentiasa optimis dalam kehidupan. Selain itu, hidupnya akan menjadi lebih tersusun kerana sentiasa mengutamakan prioriti. Adapun taqwa ini hanyalah sifat yang wujud dalam hati dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar namun impaknya dapat dilihat dengan mata kasar seperti riak muka yang tenang, lembut dalam berbicara, hikmah dalam memberi nasihat dan beradab dalam setiap majlis. Jika ciri ini didapati, maka orang ini sudah menghampiri tahaq taqwa.

Akhir kalam, diharapkan perkongsian yang serba ringkas ini membuahkan anjakan paradigma dalam diri kita agar menjadi insan Rabbani yang sentiasa mencari peluang untuk mentaqarrubkan diri kita kepada Rabbul I’zzati. Saya mengucapkan salam Ramadhan dan ucapan maaf atas segala khilaf yang pernah saya lakukan terhadap rakan-rakan. Jika ada yang terasa hati atas percakapan saya sebelum ini, saya sebagai manusia biasa mengakui diri ini tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan.

Wallahualam.



p/s: Selamat menyambut Ramadhan di perantauan buat rakan-rakan MARA yang telah berlepas dengan selamatnya ke Amerika.

2 comments:

fiQ said...

Semoga meningkat darjat taqwa kita
Stabil untuk ke tahun-tahun berikutnya

Happy Ramadan

Nazrul Fazli said...

Insya Allah.moga doa sahabat ana di makbulkan aminn.....