Salam kepada sahabat semua,
semoga Allah menganugerahkan as sakinah (ketenangan) dalam diri kita.
Amma ba’d.
Antara tulisan travelog yang saya
sentiasa nanti-nantikan adalah travelog tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Tiga
travelog beliau yang sudah saya miliki adalah Secangkir Teh Pengubat Letih
(Turki), Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu (Ireland), dan Rindu Bau Pohon Tin(Jordan).
Dalam minggu ini, sudah ada beberapa artikel ustaz yang menceritakan pengalaman
beliau di Turki tahun lepas dalam usaha untuk menyiapkan pengajian sarjananya
tentang Imam Birgivi. Pengkajian ini membawanya untuk ke Istanbul bagi mendapat
sumber maklumat primer tentang Imam Birgivi.
Saya tertarik dengan artikel
ini
(klik untuk membaca).
Dalam artikel ini, ada beberapa
perkara yang menarik perhatian saya kerana saya sendiri mengalaminya semasa
belajar di bumi Uncle Sam dahulu dan ketika berkunjung ke Turki tahun lepas.
“...Tentang adat, tentang
kebiasaan, tentang ukhuwwah, tentang kita. Contohnya, semasa kita makan di Gaye
Vakfı, saya memerhatikan cara kalian makan. Mengutip serpihan roti yang jatuh
ke lapik semasa ia dipatahkan, adalah sesuatu yang unik bagi saya. Ia adalah
interpretasi semasa kepada hadith Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang
memberitahu sahabat agar tidak membazir air semasa berwudhu’, walaupun duduk di
sungai” saya menyambung cerita.
Semasa saya di Rochester dahulu,
saya selalu memerhati seorang sahabat saya, Ahmed Topal ketika dia makan. Dia kini sedang melanjutkan pelajaran sarjana (master) di Yale University, Connecticut. Sememangnya
dia mengutip serbuk-serbuk roti dan sisa makanan yang tumpah, dan memakannya. Bila
ditanya sebab dia melakukannya, dijawab yang kita tak tahu makanan manakah yang
ada keberkatan, jadi kutiplah sisa makanan yang tumpah itu dan makan.Dia juga
pasti menghabiskan makanan yang ada dalam pinggan tanpa bersisa. Ia begitu
berbeza dengan kebanyakkan rakyat Malaysia yang tidak menghabiskan makanan
terutama mereka yang makan di restoran mewah.
“Hasrizal, apa yang membentuk
sifat sensitif dengan mengutip butiran simit yang bertabur di meja ialah
tarbiyah jemaah dan elemen tasawwuf. Generasi muda sekarang pandai. Mereka
mampu membaca sendiri. Tetapi tanpa tarbiyah jemaah, benda yang mereka tahu
hanya menjadikan mereka pandai berhujah. Tetapi mereka akan minum dengan cawan
tangan kiri, pakai baju tidak dahulukan tangan kanan, tidak hormat kepada orang
tua… Islam mereka hanya pada kepetahan berhujah. Jika kuat sikit, mereka simpan
janggut dan berpakaian tertentu. Akhlaq, bukan akhlaq Islam. Tiada jemaah,
tiada latihan, membid’ahkan tarekat hingga membuang tasawwuf” jelas Fatih.
Ya! Ini juga saya perhatikan
sebahagian sikap ahli muda jemaah tertentu di Malaysia. Konon mereka berminda
progresif, mahukan perubahan dalam jemaah mereka dan mereka mungkin banyak
membaca tentang pelbagai buku terutama buku pemikiran tokoh dan juga falsafah.
Namun, kebijaksanaan mereka tidak disulami dengan akhlaq yang baik. Mencarut,
menyindir, maki hamun, melabel serta tidak kurang juga menghukum sudah menjadi
kebiasaan bagi mereka. Saya cukup bimbang dengan perkembangan sikap anak muda
walaupun saya memuji sikap suka membaca serta berfikir mereka.
” Di Turki, pemain utama
politik dari era Adnan Menderes ke Necmettin Erbakan, Turgut Ozal hingga ke
Recep Tayyib Erdogan, hampir tiada yang merupakan seorang ulama’, walaupun
insan seperti Erbakan dan Erdoğan pada latar belakangnya di Sekolah Imam Hatip
melayakkan dirinya untuk digelar ‘ustaz’ seandainya beliau di Malaysia.
Apa yang berlaku ialah, alim
ulama, tuan guru, para masyaikh memegang agenda Tarbiyah. Mereka memimpin
jemaah-jemaah Tarbiyah, khususnya yang berorientasikan tasawwuf, tanpa
semestinya sebagai sebuah tarekat. Namun ulama’ ini menggalakkan anak muridnya
menyertai politik dengan kualiti rujukan akhlaq peribadi yang kukuh dan tinggi.”
Murabbi saya di Rochester, salah
seorangnya adalah Imam Ismet Husny Akcin, Imam di Islamic Center of Rochester.
Beliau sangat menggalakkan saya menyertai politik. Saya bukanlah daripada
mereka yang berlatar belakang agama. Kata beliau, “You are good,you should
be the leader in your country”. Memang kuliah Imam Ismet banyak juga yang
berkaitan dengan dunia politik Islam. Saya sering sahaja terkenang-kenang saat
ketika mendengar kuliahnya usai solat subuh dan maghrib di ICR. Basah,
bersahaja, dan sesuatu.
“Walaupun ada gelisah di hati,
jika selama ini mereka melayan saya dengan begitu sempurna setiap kali
berkunjung ke Turki, mampukah saya melakukan perkara yang sama jika mereka ke Malaysia
nanti?”
Jika saya berziarah ke rumah
sahabat-sahabat Turki saya di US dahulu, layanan mereka dirasakan sungguh
hangat (cordial welcome). Dengan makanannya, minumannya dan
kesantunannya, membuatkan saya sentiasa terkenang akan mereka.
Saya berharap Ustaz Hasrizal
dapat menulis travelog tentang perjalanan beliau di Turki dalam usaha menjejak
peribadi Imam Birgivi.
Yang berharap.
Ihsan Google