Monday, October 29, 2012

Dia Di Mata Dunia...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memandu kita dengan hidayah dan taufiqNya.
Amma ba’d.

Sejarah manusia telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan manusia yang memerintah dengan penuh keadilan pastilah semua rakyat dibawahnya hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta pemimpin yang adil tersebut pasti dikenang sepanjang zaman. Singkaplah zaman khalifah Umar Abdul Aziz yang diakatakan sehingga serigala dan kambing boleh duduk sekali. Kenanglah juga di zaman khalifah Umar Alkhattab di mana setiap orang mendapat hak mereka.

Tidak seperti di Malaysia, setiap waktu solat boleh berjemaah di masjid, tetapi di sini saya  berkesempatan untuk berjemaah sesekali di masjid hanya waktu subuh, maghrib atau isya’. Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan imam masjid (Islamic Center of Rochester), beliau berkata:

“once I had been in Kelantan. I have stayed there about four months. The Emir (leader) is very a’lim (knowledgeable) but I forgot his name”

“is it Nik Aziz?”

“Yes! He is. But I guess he must be very old now”
Bersama Imam Sheikh Ismet Husny Akcin

Kemudian saya bertemu bekas perdana menteri Libya, Dr Mustafa Abushagur.Beliau betanya kepada saya:

“You must be from Indonesia right?”

“No, I am from Malaysia.”

“Which state are you?”

“I am from penang”

“Oh, I don’t know”
Bersama Dr Mustafa Abushagur, Ex PM Libya

Kemudian beliau bertanya kepada sahabat saya:

“Where are you from?”

“I am from Malaysia too. From Kelantan”

“From Kelantan? The Islamic State.”

Kemudian sahabat saya bertemu dengan orang Bangladesh. Kata orang Bangladesh itu:

“There is one Islamic state in Malaysia, the leader is very good. What is his name?
“Nik Aziz?”

“Yes he is! You have been blessed by having such this people brother.Masha Allah”

Ramai lagi sebenarnya saya jumpa antaranya orang Libya, Pakistan, Turki dan banyak lagi. Semuanya memuji Kelantan sebagai negeri Islam. Subhanallah.

Apa yang saya cuba bawa di sini? Saya cuma mengajak kita semua berlaku adil dalam hal ini. Di saat orang luar mengambil berat hal ehwal Negara kita dan memuji negeri Kelantan, tetapi di dalam Negara kita dimomokkan Kelantan sebagai negeri termiskin, Kelantan mundur, Kelantan tiada pembangunan dan rakyat Kelantan tidak bijak memilih pemimpin. Saya tiada kepentingan dengan Kelantan kerana saya orang Pulau Pinang, cuma yang menyebabkan saya terkilan ialah sebahagian sahabat-sahabat walaupun belajar di luar Negara masih tiada kemampuan untuk menilai mana satu kerajaan yang baik dan mana kerajaan yang korup. Menilailah dengan neraca Alquran bukan melalui sumber-sumber media yang berkepentingan.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (An Nisa’ 4:58)

Jika tidak mampu melihat di antara dua yang mana lebih baik, lihatlah yang mana lebih kurang korupnya. Saya membela Tuan Guru NIk Aziz bukan kerana jawatan menteri besar yang beliau sandang atau parti yang beliau wakili, tetapi saya menyanjungnya sebagai ulama’ yang gigih berdakwah sama ada kepada umat Islam atau yang bukan Islam. Lihatlah kuliah hari Jumaat yang diadakan pada setiap hari Jumaat di tengah-tengah bandaraya Islam Kota Bharu, ia turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Walaupun sudah tua, namun semangat dakwahnya bagaikan seorang pemuda yang tidak kenal apa itu letih.

Satu muhasabah buat kita semua, jadilah adil dalam menilai. Jangan berjuang atas sentiment kaum dan kebangsaan, berjuanglah untuk umat Islam sejagat supaya Islam benar-benar kelihatan rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi sekelian alam).

Wallahualam.

Friday, October 26, 2012

Mencari Kebahagiaan...


Salam kepada sahabat ikhwah akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah menerima segala amal soleh dan amal kebajikan kita. Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar walillahil hamd.
Amma ba’d.

Terlalu banyak kemungkinan dalam kehidupan sehingga adakalanya menyesakkan minda dan jiwa. Hanya satu menjadi kepastian, itulah kematian. Menyedari hakikat bahawa kita wajib mati, apakah kehidupan di dunia ini masih menjadi buruan? Saya sering terfikir, di hadapan Allah, apa jawapan yang akan saya berikan jika saya didakwa.

Solat yang masih belum sampai tahap kekhusyukan sebenar, puasa yang tidak benar-benar membentengi diri, dakwah yang adakala masih sambil lewa, di tambah dengan dosa-dosa yang sengaja dan tidak sengaja, pelbagai amanah yang tidak disempuranakan dengan baik, semua ini sering menjadikan saya termenung. Untuk menyesali hakikat kehidupan bukanlah sifat mukmin sejati kerana telah banyak nikmat  Allah berikan kepada kita.

Hidup kita ini hanya menumpang kasih dan simpati Allah, andai hilang rahmat Allah, kehidupan yang senang lenang, harta yang melimpah ruah, dan pengaruh yang kuat tidak langsung akan memberi makna. Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Sahih Muslim)

Mati satu kepastian. Mati bukanlah perkara besar andai kita faham namun perkara yang  besar adalah kehidupan selepas mati yang kita imani. Adanya soalan munkar dan nakir di dalam kubur, adanya hisab di hari al mahshar, adanya syurga dan neraka.
Saya terfikir, apakah bekalan yang ingin saya persembahkan di hadapan Rabbul Jalil kelak? Saya berharap supaya saya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku yang dapat memberi manfaat buat saya di alam barzakh dan alam akhirat kelak. Bayangkan, buku-buku jika saya dapat hasilkan, masih di baca dan dirujuk selepas seratus tahun yang akan datang, sudah pasti membahagiakan saya di alam sana. Saya sentiasa berharap, apa sahaja ilmu dan kebaikan yang didapati di blog saya disebar luaskan. Mudah-mudahan Allah merahmati saya dan orang yang menyebarkan ilmu di blog ini dengan rahmat yang banyak dan berpanjangan. Segala kesilapan dan kesalahan harap diperbetul dan ditegur. Saya juga insan biasa yang tidak maksum. Boleh jadi saya benar, boleh jadi saya salah.

Kehidupan terlalu singkat untuk kita bersuka ria, sedangkan amanah Allah kepada kita agar mentaati perintahnya serta menyebarkan Islam masih belum tertunai. Satu muhasabah buat diri saya dan semua sahabat, ambillah dunia seadanya. Fikirkanlah tentang kehidupan kita di alam sana, hiduplah dengan berlandaskan Alquran dan Assunnah, dan jadilah insan yang bermanfaat kepada alam sarwajagat.
Wallahualam

Selamat hari raya aidiladha, kullu ‘am wa antum bikhair.



Sunday, October 21, 2012

Arus Cinta...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengampunkan semua dosa kita yang telah lepas.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak menulis, mungkin semangat menulis yang sudah meluntur (semangat bercakap membuak-buak mungkin). Antara perkara yang saya suka bercakap tentangnya adalah perkara berkenaan pernikahan, baitul muslim dan terminologi yang seangkatan dengannya. Saya akui, memang jarang saya perkongsikan berkenaan hal ini di facebook dan blog tetapi dalam percakapan seharian dengan sahabat-sahabat di sini dan juga dalam usrah, memang topik ini selalu diselitkan. Saya yakin dan pasti, bagi mereka yang berumur sebaya dengan saya (20-an) pasti topik ini antara topik yang sering menjadi bahan bual bicara.
Berbicara mengenai cinta tidaklah salah dalam Islam bahkan Islam sangat meraikan fitrah insani yang satu ini. Atas sebab ini, ditunjukkan jalan pernikahan.

Uniknya penciptaan manusia selain dijadikan roh dan jasad, insan dianugerahkan perasaan yang pelbagai. Antaranya ialah perasaan cinta. Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Namun, antara tafsiran yang paling saya tertarik mengenai cinta adalah, ia satu arus yang mengalir dalam hati dan sanubari insan tanpa mampu disekat. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah jatuh cinta kepada seseorang. Kita boleh menafikan kepada teman sekeliling, hakikatnya hati kita tidak dapat dibohongi. Apakah salah untuk kita jatuh cinta sebelum bernikah? Insan bukanlah mesin atau robot yang tidak mempunyai perasaan. Menghalang cinta bermaksud membunuh fitrah insan itu sendiri yang akan membawa kepada keburukan yang lebih parah; kekecewaan,kemurungan,kesedihan melampau dan sebagainya. Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih)

Melalui hadith ini, jelas nabi memperakui bahawa pernikahan adalah manifestasi bagi dua insan yang berlainan jenis bercinta. Dimana tercipta cinta, disitu rindu bermula. Api kerinduan tidak dapat dipadamkan melainkan setelah melangkah ke gerbang pernikahan. Timbul persoalan lain, sebelum bernikah, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga sebelum sentuhan antara dua insan ini menjadi halal?

Saya akui, saya memang mengetahui beberapa kisah sahabat-sahabat yang bercinta sebelum bernikah, dan Alhamdulillah sekarang sebahagian mereka telah halal untuk saling bersentuhan. Ada yang pertunangannya memakan masa empat tahun, ada yang dua tahun, dan ada yang hanya beberapa bulan sahaja.

Laman sosial seperti facebook dan twitter terutamanya, merupakan medium terpantas untuk tersebarnya berita-berita mengenai pernikahan rakan-rakan. Di kesempatan ini, saya menasihati diri saya dan rakan-rakan, agar menjaga batasan pergaulan dengan teman berlainan jantina. Berbincang hanya sekadar perkara yang perlu, tidak perlu hanyut ke lembah gossip yang pasti mengundang dosa dan kemurkaan Allah. Di laman sosial, selain Allah dan malaikat, ada lagi mata-mata yang memerhati. Kita tidak tahu, apa yang tersembunyi di hati insan. Andai dia insan yang baik, pasti dia akan mendoakan kebahagiaan kita, namun jika dia insan sebaliknya, berkemungkinan untuk dia mencetuskan sesuatu yang akan membawa kebinasaan dalam perhubungan kita. Jika bakal pasangan kita itu soleh dan solehah, sudah pasti diri ini terasa zalim andai mengkhianatinya dengan tidak menjaga batas-batas ikhtilat sedangkan dia sangat menjaga batasan pergaulan demi kita.

Persediaan dari segi ilmu dan material amat penting dalam tempoh menghitung hari menuju ke alam pernikahan. Tanpa persediaan yang rapi, impian inginkan sebuah rumah tangga muslim, hanyalah angan-angan tanpa makna. Jangan hanya dipandang manisnya pasangan itu dan ini, tetapi lihatlah segala kesukaran yang mereka tempuhi sebelum mengungkapkan lafaz sakinah di hadapan wali si muslimah. Saya akui, saya masih dalam tempoh persediaan dan saya merasai sukarnya untuk menjaga batasan-batasan ini terutama apabila kita menjadi titik rujukan sebahagian teman-teman. Namun, saya sentiasa bersitighfar agar Allah menjauhi saya dan orang yang berurusan dengan saya daripada bisikan syaitan ke arah kejahatan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kaum mukminin.

Sebagai penggulungan, saya juga ingin menyedarkan diri saya dan sahabat semua, bahawa pernikahan yang ingin kita melangkah ke dalamnya, biarlah dengan kesedaran bahawa tanggungjawab selepas akad itu adalah berat. Tambahan pula, kita adalah orang yang diberi kefahaman lebih sedikit berbanding orang lain, perlu menyedari dan beriman kepada kewajipan berdakwah dan menyeru orang agar kembali kepada Islam. Kepada muslimah, sila mudahkan bakal suami kalian dengan menguasai dan memahami ilmu-ilmu fiqh kewanitaan seperti haidh,nifas, dan wiladah. Didiklah diri menjadi insan yang matang dan mampu berdikari serta pupuklah sifat keibuan sebelum bernikah. Kepada bakal-bakal suami, sila fahami bahawa pernikahan bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah dan batin, namun penting untuk mengembeleng gerakan dakwah islamiyah.

Saya doakan semoga Allah mengurniakan saya dan semua sahabat yang membaca entri ini agar dikurniakan pasangan hidup yang soleh dan solehah, menjadi penyejuk mata hati seperti mana firman Allah:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al Furqan 25:74)

Wallahua’lam.

Kredit Gambar: Syabab Musafir Kasih

Thursday, October 4, 2012

7 Habits of Daie...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah mengurniakan kepada kita rahmatNya yang maha luas.
Amma ba’d.

Sejauh mana kita beriman bahawa berdakwah menyampaikan kebenaran (Al Haq) adalah wajib? Jika kita mengakui bahawa berdakwah itu adalah fardhu a’in ke atas setiap muslim, maka kita harus mempertimbangkan beberapa perkara. Kenapa perlu berdakwah? Apa yang akan terjadi kalau kita tidak berdakwah? Bagaimana perlu kita berdakwah? Kepada siapa harus kita tujukan dakwah ini?

Jadi persoalan ini mungkin bermain di benak kepala kita. Saya tidak mahu membincangkan bagaimana harus berdakwah, kepada siapa harus berdakwah, apa kepentingan berdakwah. Cuma selaku muslim, saya beriman bahawa berdakwah itu wajib demi memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku hamba Allah di muka bumi. Atas sebab ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang harus kita selaku penyeru kepada jalan Allah lakukan.

Pertama sekali, kita harus taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Banyak amalan seharian kita perlu diteliti semula. Bagi lelaki, solat berjemaah itu adalah WAJIB dan jadikan ia sebagai amalan harian. Selain solat fardhu, ada beberapa solat sunat yang harus diberi penekanan; solat sunat qiyamullail, solat sunat dhuha, solat sunat witir dan solat sunat rawatib. Solat adalah penghubung antara hamba dan tuhan, solat juga merupakan terapi yang ampuh apabila kita menghadapi kesulitan.

Selain amalan solat, amalan bersedekah dan membantu insan adalah amalan terpuji. Membantu insan termasuklah berkorban harta, wang dan tenaga untuk memudahkan urusan insan yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Selaku penyeru di jalan Allah, berkorban itu adalah sunnahnya. Puasa selain puasa fardhu di bulan ramadhan, amat-amat dituntut untuk berpuasa sunat isnin dan khamis, paling kurang sekali seminggu. Puasa juga merupakan benteng kepada iman untuk menundukkan nafsu yang tak pernah surut.

Membaca Alquran adalah wajib setiap hari bagi penyeru kebenaran di jalan Allah. Alquran merupakan hujah dalam kita berdakwah menerangkan Islam yang benar. Pastikan seharian hidup kita tidak sunyi daripada Alquran. Andai daie itu, jaraknya dengan Alquran bagaikan langit dan bumi, kepada siapa dakwah ini diserukan?.

Kebersihan jasmani, pakaian dan persekitaran seorang daie harus diambil berat sepenuhnya. Bagaimana kita mahu berbicara perkara yang berat sedangkan perkara berkaitan hal kebersihan diri pun masih tidak terjaga dengan baik?

Di sebalik semua ini, sama penting bagi seorang daie memelihara hati dan diri daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat. Dosa boleh datang dalam pelbagai bentuk yang terkadang kita tidak menyedarinya. Oleh yang demikian, sentiasalah membasahi lidah kita dengan beristighfar kepada Allah. Wajib bagi daie memelihara kebersihan dan kesucian hati dengan menghindari segala sifat riya’ dan mazmumah, berburuk sangka serta sifat tidak ikhlas. Hal ini, andai dapat dijaga dengan baik, ia menjamin kualiti dan keberhasilan dakwah. Berbicara perkara teoretikal amat mudah, namun praktikalnya memerlukan satu mujahadah yang tinggi untuk melakukan semua ini.

Sebelum menutup bicara pada kali ini, suka saya mengingatkan diri saya dan kalian semua, jalan ini tidak dihampar dengan karpet merah, jalan ini tidak dijanjikan habuan dan pangkat duniawi, jalan ini sangat rencam dan penuh tipu daya di sekeliling, jalan ini adalah jalan Rasulullah SAW dan jalan para salafus soleh. Jalan ini penuh tapisan. Telah ramai orang sebelum kita gugur sama ada kerana kematian ataupun tarikan duniawi yang lain. Saya berdoa buat diri saya dan kalian, barangsiapa yang tidak hidup melainkan mencari redha Allah, semoga Allah meneguhkan kedudukan kita di atas manhaj nubuwwah ini dan semoga Allah membantu kita untuk terus menyampaikan kalimah Al Haq di muka bumiNya. Jalan ini, di penghujungnya dijanjikan syurga Allah.

Wallahualam.

Monday, October 1, 2012

Mari Merancang Kehidupan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak mencoret di sini. Hendak dikatakan saya sibuk, saya malu kerana lebih ramai para asatizah di luar sana lebih sibuk jadual dan masa namun masih sempat mencoretkan sesuatu di laman maya buat tatapan pembaca. Namun, itulah hakikat hidup; semakin meningkat dewasa tugas dan tanggungjawab tidak pernah berkurang. Semoga Allah membantu hambaNya yang penuh kedahifan ini.

Alhamdulillah sebulan telah berlalu saya di US ini dalam tahun akhir. Sehingga sekarang, semuanya masih berjalan mengikut perancangan yang saya rancang sejak di Malaysia semasa cuti summer lepas. Semoga Allah membantu dan mempermudahkan segala urusan saya dan sahabat semua.

Rancanglah demi kebaikan masa depan kita. Sesungguhnya orang yang gagal merancang adalah mereka yang merancang untuk gagal.

Kak long tiada dalam gambar
P/S: Kak long saya dijangka melahirkan anak sulongnya pada hujung bulan ini. Semoga Allah memudahkan urusan kak long saya.

Sunday, September 16, 2012

Memaknakan Kehidupan Sebagai Insan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengurniakan keberkatan dalam hidup.
Amma ba’d.

Apa beza antara kita dan binatang yang melata di atas muka bumi Allah, andai hidup hanya memikirkan bagaimana hendak isi perut? Kita selaku khalifah Allah di atas muka bumi harus tunduk dan patuh hanya kepada Allah dan sebarkan mesej kebenaran Islam yang Allah turunkan melalui lisan Rasulullah SAW kepada makhluq sekalian alam.

Cuma sedikit perkongsian, Alhamdulillah sekarang saya semakin nampak kenapa saya dicampakkan di RIT ini yang pada mulanya bukanlah pilihan di hati. Semakin hari Allah menunjukkan mutiara-mutiara hikmah kehidupan di sini. Di sini, saya ditarbiyah dan mentarbiyah, di sini Allah juga menyingkap rahsia dan menyuluh jalan kehidupan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sehati dan sefikrah. Kami mungkin berbeza manhaj pemikiran, tetapi kami meraikan perbezaan yang wujud di antara kami yang membuahkan kebahagiaan dalam berukhuwah.

Seperti saya maklumkan entri sebelum ini, kita mesti menjadi manusia bermanfaat kepada manusia lain. Atas dasar ini, kami ikhwah dan akhawat di RIT mengambil kata sepakat untuk membincangkan Usul 20  Assyahid Imam Hassan Albanna setiap minggu. Apa yang kami harapkan dari perbincangan ini adalah dapat menghasilkan dai’e yang kritikal serta memahami waqi’ (situasi) semasa dalam  kita ingin membawa seruan dakwah. Melalui perbincangan ini juga, kami bebas mengemukakan pandangan dan idea dalam mencari kaedah yang relevan untuk bergerak di medan. Insha Allah, mudah-mudahan Allah memberkati usaha ini.

Cuti summer lepas, saya ada membeli sebuah buku hadith, Syamail Muhammadiyah. Apa yang saya fikir, apa guna kita mengaku umat Rasulullah SAW andai kita tidak betul-betul mengenali susuk tubuh, manhaj dan kehidupan Rasulullah SAW. Dalam buku ini, diceritakan sifat fizikal, cara Rasulullah SAW bergaul, makan, minum, bergurau dan banyak lagi urusan kehidupan Rasulullah SAW dalam seharian.Jadi, saya dan ahli rumah saya mengambil inisiatif untuk membaca satu hadith satu hari selepas setiap kali solat maghrib berjemaah di rumah. Mudah-mudahan usaha ini juga menambah kecintaan kami kepada Rasulullah SAW dan menjadikan hidup kami lebih menepati sunnah baginda.

Berada di Rochester yang kaya dengan tempat-tempat semula jadi yang menarik, menggamit hati kami untuk mengambil peluang mengadakan rehlah dan tadabbur alam. Setiap quarter, kami sentiasa pastikan adanya satu rehlah di tempat-tempat menarik di sini seperti di Mendon Park, Ontario Lake, Letchworth State Park dan juga Seneca Lake. Mendampingi alam menyedarkan kami keagungan dan kebesaran Allah lantas diri menjadi insaf atas kekerdilan diri.


Kenangan untuk diuntai: rehlah di Seneca Lake

Petang hari kami sama-sama beriadah bermain volley ball, pocket billiard dan bola sepak. Semuanya dilakukan demi merapatkan ukhuwah. Kalau ada majlis-majlis di sini, kami adakan persembahan nasyid dan sebagainya, sehinggakan kami dijemput untuk membuat persembahan di University of Rochester semasa program bersama Baba Ali bulan depan. Semoga Allah permudahkan urusan kami.


Anak muda kreatif: Anak Kampung versi hari raya

Dalam hidup, Allah dengan sifat lemah lembutnya memberi kita ujian namun hikmah disebaliknya amat besar jika kita bersabar dan terus memohon kepadaNya agar diberi jalan keluar atas setiap mehnah. Kunci kehidupan, jangan pernah lelah mencari hikmah. Gunakanlah masa kita dengan perkara-perkara bermanfaat agar kita ada jawapan depan Allah.
Wallahualam.

Thursday, September 13, 2012

Apa Kata Mereka...


Salam kepada semua sahabat yang saya muliakan kerana Allah, semoga kita semua dalam lingkungan rahmatNya.
Amma ba’d.

Syariah Islam datang dengan maqasid syariah (objektif syariah), dengan tujuan memelihara agama, darah, akal, harta dan maruah. Begitulah tujuan diutuskan Rasululullah SAW demi menyempurnakan syariat Allah. Jadi dalam entri kali ini, saya suka untuk menaqalkan (quote) kata-kata cendekiawan barat mengenai perundangan Islam yang diambil dari buku Islam Holistik; Praktikal, Sesuai Di Tempat dan Masa tulisan Prof Dr. Yusof Al Qaradawi.

Dr Ezco Ensabato:

“Syariat Islam mengatasi perundangan-perundangan barat dalam berbagai penganalisaannya bahkan ia memberikan kepada dunia, perundangan yang paling kukuh dan kekal.”

Professor Chabrl, dekan fakulti undang-undang, University Vienna berkata:

“Sesungguhnya kemanusiaan berbangga kerana lelaki seperti Muhammad SAW adalah daripada kalangan mereka, kerana walaupun dia seorang yang buta huruf, beliau mampu semenjak beberapa belas kurun yang lalu membawakan perundangan yang akan menjadikan kami orang-orang Eropah lebih bahagia daripada keadaan sekarang walaupun kami akan mencapai kepada kemuncaknya selepas dua ribu tahun.”

Tokoh falsafah dan satera dunia terkenal, Bernard Shaw berkata:

“Sesungguhnya saya sentiasa amat menghormati agama Islam kerana ada padanya kekuatan dan keberkesanan, Ia sahajalah agama yang jelas kepada saya. Islam ialah agama yang jelas kepada saya. Islam adalah agama yang memiliki kekuatan perubahan berjalan seiring dengan kepentingan manusia pada setiap zaman.”

Tokoh sejarah Inggeris, Wales berkata:

“Sesungguhnya Eropah berhutang dengan Islam dalam bidang yang amat besar dalam perundangan pentadbiran dan system perniagaannya.”

Tokoh sejarawan Perancis, Sidio menegaskan:

“Sesungguhnya undang-undang Napoleon adalah dinukilkan daripada kitab fiqh mazhab imam Malik iaitu syarah al Dardir ‘ala Matan Khalil”

Syariah Islam jelas diperakukan oleh mereka sarjana-sarjana barat yang bukan beragama Islam. Namun, malang buat umat Islam didunia khususnya di Malaysia apabila agama tidak lebih daripada amalan-amalan harian. Perbincangan fiqh hanya sekadar rukun Islam yang lima. Pemerintah sedaya upaya menghalang wacana iIlmu di university-universiti kerana bimbang mahasiswa mendapat pencerahan sebenar mengenai undang-undang pentadbiran Islam yang sebenar. Wahai mahasiswa sekalian, Celik dan bangkitlah.

Wallahua’lam.

Saturday, September 8, 2012

Fasa Transisi...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga terus diberi kekuatan untuk istiqamah dengan segala amal-amal soleh yang dilakukan di bulan Ramadhan lepas.
Amma ba’d.

Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat dan rahmatNya, saya masih lagi berada di atas muka bumiNya ini. Masih lagi kiranya diberi peluang untuk bertaubat atas dosa-dosa yang menggunung tinggi. Sesungguhnya kita manusia selalu melakukan dosa, namun Allah dengan sifat Ar Rahman, Ar Rahim dan Al Latif, membuka ruang taubat dan kemapunan melebihi luas langit dan bumi. Terpulang kepada kita untuk merebut peluang ini.

Saya menyedari hakikat yang saya bakal menamatkan undergraduate studies saya kurang dari setahun (biidznillah.mohon doa sahabat semua buat kebaikan saya). Apa yang berada dalam kotak pemikiran saya adalah, “Apa arah tuju aku selepas ini?”

Semalam dalam usrah disini, saya bertanyakan hal ini kepada anak-anak buah saya, apa yang mereka akan lakukan selepas habis degree. Masing-masing dengan jawapan tersendiri. Saya tidak mahu bincang sangat arah tuju masing-masing selepas ini. Apa yang saya terfikir adalah, fasa berbaki Sembilan bulan ini adalah fasa memikirkan arah tuju hidup, dakwah, kerjaya, keluarga, dan sebagainya.

Makanya, Sembilan bulan ini selain berusaha untuk mempertingkatkan prestasi akademik, adalah seiring juga kita kena fikirkan bagaimana kita boleh menyumbang kepada masyarakat selepas tamat belajar nanti.

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain” (Maksud Hadith)

Apa sahaja yang kita ingin lakukan selepas ini, kita tidak lari daripada tanggungjawab sebenar kita yang telah diamanahkan oleh Allah jalla wa a’la selaku hamba dan khalifah di muka bumi.  Kita mungkin ingin menjadi saintis, ahli perniagaan, cendekiawan, dan teknokrat namun jangan lupa untuk berbakti kepada insan lain. Lantaran itu, segala budaya jahiliyah dan lagha wajiblah kita kikis sedikit demi sedikit dengan menyedari kita akan memasuki satu lagi fasa kehidupan yang lebih mencabar di luar alam kampus. Sikap melambatkan solat, suka baca anime, membuang masa berborak berita-berita gossip, banyak tidur, dan sikap kurang berhemah dalam berbelanja wajiblah dikikis dalam membentuk diri menjadi insan yang bertaqwa dan berkualiti.

Menjadi pelajar tahun akhir merupakan masa transisi dari satu fasa kehidupan ke fasa kehidupan yang lebih mencabar selepas ini, atas sebab ini, persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat yang rencam harus dilakukan sebaik mungkin. Di luar sana, pasti kita tidak terjangka untuk bertemu dengan manusia yang berbagai ragam.

“Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (dalam kehidupan sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)” (Al Insyiqaq:19)

Mengakhiri entri ini, saya mengingatkan agar peningkatan umur biarlah seiring dengan meningkatnya kematangan dan amalan soleh. Selamat merancang dan berfikir untuk kebaikan sesama insan.
Wallahu’alam.

Kenangan cuti summer di Batu Ferringhi

Wednesday, August 15, 2012

Salam Aidilfitri 1433H...


Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar wa lillahil hamd. Segala puji hanya layak bagi Allah tuhan semesta alam yang telah menjadikan serta mencukupkan rezeqiNya ke atas kita hamba dan makhluqNya.

Alhamdulillah atas segala nikmat yang dipanjangkan Allah, pada tahun ini kita masih dipanjangkan usia, diberi peluang untuk masuk ke dalam medan tarbiyah ramadhan. Satu bulan yang telah dijanjikan Allah dengan pelbagai kenikmatan dan keberkatan; terpulang kepada kita ingin merebut atau membiarkan ia berlalu sepi.

Saya secara peribadi, merasakan ramadhan tahun ini membawa kelainan dalam hidup saya di mana diberi peluang oleh Allah untuk bertarawih di belakang imam-imam dari Gaza serta mendengar luahan mereka secara langsung tentang keadaan di Gaza, dapat beriftar,berusrah, dan bertarawih bersama murabbi di sekitar lembah Klang, dapat beriftar dengan sebahagian asatizah yang kita kenali melalui TV serta dapat beriftar juga dengan rakan-rakan yang lebih dua tahun tidak bersua muka. Semuanya merupakan nikmat Allah yang menyambungkan silaturrahim antara kami hamba-hambaNya.

Namun, dalam keadaan nikmat yang terlalu banyak ini, marilah sama-sama kita menginsafi keadaan umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia begitu ramai walaupun uban sudah memutih di kepala tetapi masih ponteng puasa. Di Arakan, muslim Rohingya dibantai dengan kejam oleh puak rakhine Buddha. Di Palestin, selain zionis laknatullah membedil rumah-rumah rakyat Palestin, mereka juga sering terputus bekalan elektrik serta petrol, menyebabkan mobilisasi mereka terbantut. Di Syria, Bashar Alassad laknatullah tidak mengendahkan bulan ramadhan yang mulia, terus menerus membunuh jiwa-jiwa umat Islam yang tidak bersalah. Tidak dilupakan juga bagi masyarakat muslim di negara barat yang tinggal di hemisfera utara, mereka berpuasa lebih 17 jam sehari. Inilah antara ujian-ujian massa yang melanda umat Islam.

Namun, saya sentiasa percaya ujian ini mengajar kita menjadi matang serta mendidik kita supaya sedar sudah tiba masanya umat Islam untuk bersatu menentang kezaliman yang melata, mengenepikan segala perbezaan mazhab dan ideologi politik, memperkasa jati diri dengan ilmu agama dan akademik, membangkitkan hamasah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta berdaya saing di peringkat global.

Harapan Allah kepada kita kepada hambaNya melalui tarbiyah ramadhan adalah mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa dalam erti kata kita sentiasa menyedari kewujudan Allah dalam setiap tindakan dan bual bicara. Kenal apa itu dosa pahala, tahu membezakan yang haq dan batil, sentiasa takut dan mengharapkan kepada Allah, serta menjadi insan yang senantiasa menegakkan keadilan dalam kehidupan. Taqwa mengajar kita untuk bersungguh bekerja dalam meninggikan kalimah tauhid di muka bumi ini. Kesan taqwa dapat dilihat jika kita masih mampu lagi untuk beristiqamah dengan segala amal soleh dan kebajikan apabila kita keluar daripada bulan ramadhan kelak.

Sambutlah aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesederhanaan, insafilah kelemahan diri serta kenanglah orang-orang terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita. Bertaqwalah kepada Allah walau di mana sahaja kita berada kerana itu sebaik-baik benteng dan bekalan.

Mana mungkin insan selain Nabi Muhammad SAW terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Selagi bernama insan, terutama yang hidup di akhir zaman yang begitu hebat cabrannya, lebih lagilah terdedah kepada pelbagai maksiat dan kesalahan. Apa yang tinggal hanyalah, insan sentiasa diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah dan memohon maaf sesama kita.

Dengan itu, saya insan biasa dan kerdil yang bergelandangan di atas muka bumi Allah memohon ampun dan maaf kepada seluruh sahabat dan insan yang mengenali diri saya, jika selama ini saya terkasar bahasa, tersilap bicara, tersalah memberi harapan, terambil sesuatu yang bukan hak, terabai tugas serta tanggungjawab dan pernah mengecilkan hati mana-mana pihak. Harapan saya, sahabat-sahabat semua sudilah memaafkan kesalahan dan kesilapan saya. Saya juga tidak berdendam dengan mana-mana sahabat serta telah memaafkan kesemua orang-orang disekeliling saya. Marilah kita jalinkan ukhuwah, bentuk sahsiah dan sama-sama berganding bahu mendaulatkan Islam di tanah air kita.
Wallahua’lam.

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib
Senior year, biotechnology
Rochester Institute of Technology
New York, USA

Wednesday, August 8, 2012

Orang Agama...


Salam ramadhan kepada sahabat semua yang saya kasihi kerana Allah. Tanpa kita sedari, ramadhan hanya berbaki lagi 10 hari. Apakah hari-hari dalam ramadhan yang telah berlalu sudah diisi sebaiknya? Jika masih ada kelompongan, maka hadirnya 10 hari terakhir di bulan ramadhan ini adalah untuk membuat pecutan akhir. Munajat, doa, qiyam, tadarus, infaq, serta amal kebajikan lain haruslah digandakan.
Amma ba’d.

Sebelum meneruskan bacaan entri kali ini, sila baca berita-berita di bawah terlebih dahulu.


Sudah baca? Ya! Inilah realiti yang berlaku di Malaysia walaupun bulan ini adalah bulan yang mulia, masih ada yang tergamak melakukan perkara-perkara terkutuk ini. Membaca berita-berita sebegini sudah membuatkan saya cemas memikirkan, di mana tempat harus saya besarkan anak-anak saya kelak agar mereka tidak terdedah dengan perkara-perkara ini? Membaca berita sebegini juga sudah pasti mengundang perasaan belas ihsan kepada mangsa-mangsa berkenaan. Namun, sebelum itu saya ingin mengajak kepada sahabat semua agar menilainya dari dua-dua belah pihak; mangsa dan suspek.

Seluruh suspek dalam berita ini bolehlah kita hukum jahat atas perbuatannya (peringatan: bukan jahat atas batang tubuhnya). Mereka seolah-olah tiada perikemanusiaan apabila tergamak merogol golongan-golongan wanita yang lemah. Fikiran mereka apabila sudah dikuasai nafsu, terlupa bahawa semua mangsa mempunyai harga diri, maruah, bahkan mempunyai anak-anak. Lebih rakus, seluruh suspek melakukan keganasan terlebih dahulu sebelum menodai mangsa-mangsa.

Bagi mangsa pula, persoalan yang ingin ditimbulkan adalah, bagaimana pakaian mangsa ketika kejadian. Apakah dalam keadaan menutup aurat yang sempurna ataupun menjolok mata? Kenapa saya timbulkan persoalan ini? Saya pernah bersembang dengan beberapa sahabat sebelum ini:

“Yun, kau rasa si fulanah ni cantik tak?”

“Cantik tu subjektif. Bagi aku bolehla. Kenapa? Kau berkenan ke?

“Ish kau ni, dia tu pakai tudung labuh kot. Cakap pun tak pandang muka laki. Aku nak cakap dengan dia pun segan tau tak. Kalau aku berselisih degan dia, mesti aku tunduk. Segan la dengan dia.”

Ikan yang terbuka senang diratah kucing liar. Saya amat yakin, kalau mangsa berpakaian dengan sempurna, pasti mereka tidak akan diganggu.

Bagi persoalan suspek dan mangsa, sudah pasti kerana kurangnya pendidikan dan pengahayatan agama menyebabkan mereka terlibat dalam kancah gejala sosial yang pada hakikatnya, mereka sendiri tidak mahu. Tetapi kepada siapa harus mereka rujuk?

Atas sebab ni,persoalan berbalik kepada kita, aktivis dakwah dan tarbiyah. Apakah sudah kita menyantuni mereka? Untuk mengharapakan mereka datang mencari kita, itu bukanlah harapan yang baik kerana sudah pasti, mereka-mereka itu merasakan diri mereka, jahat dan tidak layak berkawan dengan ‘orang agama’. Lantaran itu, KITALAH yang seharusnya turun ke gelandangan, menyantuni mereka-mereka yang tercicir dalam agama. Tanpa kita sedari, selama ini kita hanya bergerak dalam kerangka KEKITAAN. Kita merasa penat dengan menghadiri program dan usrah, padahal hakikatnya urusan umat masih banyak. Saya menyeru diri saya dan sahabat semua, untuk keluar dari kerangka kekitaan dan berdakwah dalam medan yang lebih luas. Semoga Allah membantu kita semua. Apakah kita rasa sudah selamat. Harus difikirkan semula. Salam ramadhan semua.

wallahualam

Wednesday, July 25, 2012

Kerana Sayang...


Salam kepada sahabat semua yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan mengurniakan rahmatNya yang maha luas.
Amma ba’d.

Sudah agak lama blog ini ditinggalkan. Hajat di hati ingin mewarkahkan sebanyak mungkin perkongsian dan pandangan namun masa saya banyak dihabiskan membaca buku-buku yang saya beli, berprogram di sekitar KL dan Shah Alam, serta merangka gerak kerja dan hala tuju perkara ‘tertentu’. Namun kali ini, saya gagahi untuk menulis . Sebelum itu, bagaimana puasa kita? Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus beramal dengan amalan-amalan soleh. Jangan ada dalam kalangan kita yang melepaskan peluang merebut pahala yang begitu banyak di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat Allah ini.
Dalam minggu ini tersebar berita yang seorang remaja berumur 16 tahun bernama Syafiq bernikah dengan pasangannya, Yana berumur 14 tahun. Pernikahan mereka dianggap terlalu muda. Untuk berita lanjut boleh baca di sini.

Pandangan saya, banyak isu yang mungkin boleh kita bincangkan berbanding isu terpencil ini. Kalau kita Tanya datuk dan nenek kita pun, mereka berkahwin pada usia yang muda. Mungkin orang akan berkata, itu dulu sekarang lain. Namun, apabila seseorang itu sudah mampu memikul tanggungjawab apa salahnya.tahap kematangan seseorang itu sangat subjektif.  Mustahil mereka yang mengambil langkah untuk berkahwin pada usia muda itu tidak memikirkan soal tanggungjawab selepas berkahwin nanti. Apa yang saya bimbang ialah, jika hal ini diperpanjangkan, ia boleh membawa kepada umpatan dan gossip.

“Biar betul diorang ni, umur 16 tahun dah kawen. Aku yang umur 20 tahun lebih pun tak kawen lagi”

“ala jodoh diorang dah sampai. Kite pun nanti-nanti sampai lah tu. Tapi tula, muda sangat. SPM pun tak habis lagi, macam mana nak sara isteri dia.”

“aah kan. Aku pun terfikir macam mana la si laki ni nak sara isteri dia”

Nampak tak? Ia melarat kepada umpatan yang dicela dalam agama. Memang ada umpatan yang dibenarkan dalam Islam. Klik di sini untuk mengetahui jenis umpatan yang dibenarkan dalam Islam (mode: malas nak tulis panjang-panjang). Tidak ada satu sebab pun, gossip tentang perkahwinan mereka dibolehkan dalam Islam. Mereka tidak berzina, mereka tidak makan di layak ramai dalam bulan ramadhan, bahkan mereka melengkapkan separuh agama mereka; sesuatu yang dituntut dan digalakkan dalam agama.
Di zaman kita hidup dengan dihidangkan dengan hiburan lucah yang melampau, baik di TV mahupun akhbar, tiba-tiba apabila ada orang yang cuba menghidupkan syariat, kita terkejut dan mempertikaikan tindakan itu. Apa rasionalnya?

Saya menegur perkara ini apabila dua tiga hari saya tengok di laman twitter orang sibuk bercerita tentang perihal mereka berdua. Banyak lagi isu-isu awam termasuk siyasah, ekonomi dan sosial yang kesannya melibatkan orang ramai patut kita bincangkan. Bila saya menegur bukan kerana saya orang yang baik ataupun terbaik, tetapi kerana sayang.

Ingatlah, mahasiswa adalah tenaga pemikir dan penggerak kemajuan negara di masa hadapan tetapi jika sibuk dengan hal remeh temeh, yang tidak melibatkan kepentingan awam, apa yang kita dapat? Cara fikir yang salah membuahkan tindakan yang salah.

Wallahua’lam

Friday, July 13, 2012

Hosgeldiniz Ramadhan...


Salam kepada sahabat, ikhwah dan akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memelihara kita dalam iman dan amal  soleh.
Amma ba’d.

Ramadhan mejelma lagi. Bagaimana persediaan kita menyambut ramadhan? Bila ditanya apa harapan Ramadhan kali ini, ada yang menjawab akan bangun qiam pada 10 malam terakhir, ada yang ingin melakukan amal ibadah secara berjemaah, dan ada yang berharap akan istiqamah dengan amal-amal soleh selepas berakhirnya Ramadhan. Merenung firman Allah dalam kitabNya yang agung:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang dahulu sebelum kamu supaya berpuasa,  mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Al Baqarah 2:183)

Output  bulan Ramadhan adalah melahirkan insan-insan yang bertaqwa dengan melalui proses tarbiyah ketika dalam bulan Ramadhan. Bertaqwa dalam erti kata, sentiasa sedar dan merasai kehadiran Allah dalam hidup, tahu halal dan haram, kenal dosa dan pahala, mempertimbangkan antara syurga dan neraka dalam setiap tindakan.

Banyak amalan yang digalakkan ke atas diri insan tatkala Ramadhan menjelma. Bertadarus, bertilawah, infaq, menjamu orang berbuka puasa, berzikir, bermunajat, menunaikan solat sunat tarawih, berqiyamullail, dan memperbanyakkan doa serta berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Ini semua adalah amalan zahir yang boleh kita buat dan gandakan dalam bulan Ramadhan.

Adapun amalan batin atau amalan hati adalah sama wajarnya untuk kita perhatikan. Menjaga pandangan, menjaga pertuturan dan perbuatan, tidak membuang masa, berbaik sangka serta sabar dan syukur dengan lapar dan dahaga berpuasa.

Dengan izin Allah, jika kita semampu mungkin mengoptimumkan masa kita untuk beribadah kepada Allah, semoga kita selangkah menuju taqwa. Ingatlah, insan yang bertaqwa dimurahkan rezeqinya daam kehidupan sebagaimana firman Allah:

“ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari pelbagai masalah) serta menganugerahkannya rezeqi dari sumber yang tidak di sangka-sangka” (At Talaq 65:2-3)

Demikianlah kelebihan insan bertaqwa. Semoga ramadhan tahun ini lebih baik daripada ramadhan tahun lepas. Allahumma balighna Ramadhan.

Holgeldiniz Ramadhan (selamat datang Ramdhan)

Mengharapkan sinar Ramadhan yang gemilang

Wednesday, July 11, 2012

Aku Di Mana...


”Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil, pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT, seseorang yang hatinya terpaut pada masjid, 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya, dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” ( Riwayat Imam Muslim)


Sunday, July 1, 2012

Tarbiyah Memungkinkan Segala-Galanya...


Salam kepada semua sahabat, semoga Allah mengurniakan kita hikmah dalam setiap detik kehidupan yang kita lalui.
Amma ba’d.

Saya tidak pasti bagaimana harus saya mulakan kali ini, tetapi moleklah jika saya mulakan mengikut kronologi perjalanan kembara saya selama seminggu bermula Ahad lepas (24 June 2012). Saya bertolak ke KL menaiki tren intercity waktu pagi dan sampai di KL pada pukul tiga petang. Sampainya saya di KL Sentral, saya terus ke surau bagi menunaikan solat jamak dan qasar zohor dan asar. Selepas itu, saya pergi makan di food court  di tingkat tiga. Selesai makan, saya pergi menunggu sahabat saya Akmal, di ruang legar di tingkat dua.sementara menunggu, saya memulakan membaca buku Travelog Minda Tajdid oleh Dr MAZA. Sesekali saya memandang sekeliling. Pelbagai ragam manusia saya lihat, tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah berselang dua meja dengan saya ada sepasang suami isteri muda duduk di situ. Kelihatannya, mereka pasangan solehah; si suami ada janggut sejemput dan memakai kopiah putih manakala si isteri berjubah labuh dan berpurdah. Alhamdulillah bagus namun selepas itu si isteri membawa keluar bungkusan makanan. Saya memerhati gelagat mereka dari jauh, bungkusan makanan yang dikeluarkan adalah bungkusan McDonald. Mungkin isu ini kecil, Cuma saya terfikir di zaman facebook ini, pelbagai maklumat kita dapat yang mengatakan McDonald memang membantu gerakan zionis sedunia, tiba-tiba golongan Islamis ini masih tidak memboikot syarikat yang ada hubung kait dengan zionis. Adakah mereka ada sumber mengatakan McDonald itu tidak menyumbang kepada gerakan zionis? Atau mereka tidak tahu tentang perkara itu?

“Ya Allah, jauhilah aku daripada persepsi buruk terhadap mereka”

Saya juga melihat di dalam restoran McDonald, ramai melayu muslim yang makan di situ, tetapi mata saya sekali lagi terpaku kepada dua orang yang saya kira sebaya memakai pakaian berjubah dan bertudung labuh melepasi paras pinggang makan di situ. Persoalannya yang sama muncul di benak saya. Sesekali meneruskan pembacaan dan sekali sekala memandang sekeliling; ada orang kita lihat sejuk mata memandang, ada juga yang kita kurang senang dengan gelagat mereka.  Akmal dikhabarkan tidak dapat serta untuk program kali ini kerana dia mendapat panggilan kecemasan yang neneknya jatuh sakit.

Selepas sembahyang maghrib dan isya’, malam itu saya bertolak ke Shah Alam dan setibanya saya di sana saya di jemput oleh Ainuddin dan saya terus dibawa ke kedai mamak untuk makan di sana. Selepas berbual dan menjamah makanan, saya di hantar oleh Ainuddin ke tempat daurah di pejabat IKRAM shah alam di seksyen 15. Di sana saya bertemu dengan ikhwah-ikhwah US yang balik bercuti, banyak cerita yang dicelotehkan. Ada yang dahulunya single tetapi kini sudah berdua, ada yang baru grad dari US tetapi bulan ini akan menyambung pengajian di Mesir dalam bahasa Arab, ada yang masih ‘mencari-cari’, pendek kata suatu keadaan yang damai dan tenang apabila kita berada dalam zone ukhuwah islamiyah. Pengisian di sampaikan oleh akh Khusyairi yang merupakan seorang lulusan PhD dari Jepun. Daurah habis pada hari selasa petang, saya dan Izzat mengambil komuter untuk ke KL Sentral. Hajat kami ingin mencari buku di Jalan Masjid India. Alhamdulillah di situ, saya membeli lagi tiga buku; Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat oleh Dr. Abdul Rahman Ra’fat Al-Basha, dan Usrah Dan Harakah oleh Ya’qub Muhammad Hussin. Selepas membeli buku, kami berjalan sekitar Jalan Masjid India. Banyak baju melayu dan jubah di situ cantik dan kemas, hajat di hati ingin beli satu tetapi memikirkan banyak barang yang nak di bawa,  hasrat itu dipadamkan. Mungkin bulan puasa ini, boleh datang lagi. Selepas makan di KL Sentral, kami bertolak semula ke Shah Alam. Alhamdulillah, hajat saya untuk menunaikan solat di Masjid Negeri Sultan Salahuddin tercapai, terasa begitu tenang selepas dua tahun tidak menjejakkan kaki di situ. 

Malam itu selepas solat, kami bergerak ke Serdang dengan kereta Izzat untuk menginap di pejabat AIMS kerana awal pagi esok kami akan mendaki bukit Broga. Selepas sesat sedikit, kami tiba di pejabat AIMS pada pukul lebih kurang 11.45 malam. Badan sudah letih, selepas berkemas saya dan ikhwah yang lain terus tidur. Seawall 3.30 pagi keesokannya, kami bangun qiam dan bersiap untuk ke Semenyih untuk mendaki Bukit Broga. Kami bertolak dengan lima biji kereta pada pukul 4 pagi dan sampai di sana lebih kurang 4.40 pagi. Dalam keadaan gelap, kami seramai 23 orang mendaki bukit Broga. Salahuddin(Salad) melaungkan azan subuh di salah satu pit stop apabila masuk waktu. Selepas berjemaah subuh, kami meneruskan pendakian ke puncak Broga. Kami tiba di puncak Broga lebih kurang pukul 6.30 pagi. Di sana, kami mendapat sedikit pengisian dari Faris, dan tadabbur alam. Lebih kurang pukul 7.15 pagi kami bergegas turun. Semasa hendak bergerak, salah satu kereta tayarnya pancit. Kami sama-sama membantu menukar tayar tersebut. Selepas itu kami bergerak ke kedai makan. Selesai makan, kami bergerak pula ke Sungai Tekala yang terletak dalam daerah Hulu Langat. Hajat saya untuk berendam dalam air terjun yang sejuk tercapai, Alhamdulillah. Lebih kurang pukul 1 tengah hari kami bersiap untuk sudah dan bergerak ke masjid. Selepas solat jamak di masjid, kami bergerak ke Bandar Baru Bangi untuk makan tengah hari di sana. Selepas makan kami pulang semula ke pejabat AIMS untuk berehat. Pada hari Rabu tersebut, tamatlah rehlah kami. Hari Khamis pagi kami dijadualkan untuk ziarah murabbi, Ustaz Hasanuddin Yunus tetapi dikhabarkan pagi itu ustaz sibuk dengan urusan kerja lalu kami menyertai ikhwah-ikhwah UK yang juga berprogram di situ (WAMY). 
Dari puncak Broga

Sunrise

Tamat program pukul 12 tengah hari, saya mengambil peluang dengan izzat berjalan-jalan di sekitar Mines City. Petangnya pukul 3.30 petang kami bertolak ke Taman Melati di Gombak bagi menziarahi Ustaz Fadzil Saleh yang baru sahaja pulang menunaikan umrah. Rumah ustaz Fadzil teramat besar dilengkapi dengan kolam mandi. Ustaz memiliki dua buah Mercedes Benz dan sebuah Honda CRV namun apa yang lebih penting adalah, taujihat ustaz pada petang itu sangat basah dan terkesan di hati.
Usrah dalam air

The Mines City, Serdang

Di halaman rumah ustaz Fadzil

“Tarbiyah memungkinkan segala-galanya” pesanan ustaz yang ini paling saya ingati sampai ke saat ini. Selepas berjemaah maghrib dan isya’ di rumah ustaz, kami dihidangkan dengan Kueow tieow goreng udang dan jus oren yang sangat menyegarkan. Malam itu sepatutnya ada lagi jemputan makan untuk dipenuhi, namun saya sudah berjanji dengan senior saya untuk menginap di rumahnya di Sentul. Jadi saya berpisah dengan ikhwah-ikhwah US malam itu dan bergerak ke Sentul bagi bermalam di sana. Senior saya menceritakan kehidupan di alam pekerjaan tidak seindah seperti zaman belajar. Walaupun ada rumah, kereta, gaji bulanan namun itu semua tidak dapat mengatasi keseronokan zaman belajar mereka di US suatu ketika dahulu.

Pagi keesokan harinya, seawal pagi senior saya keluar ke tempat kerja saya juga ikut sekali keluar ke KL Sentral kerana di sana saya akan menunggu Ainuddin dan kami akan bergerak sekali ke Putrajaya menaiki ERL. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, Ainuddin tiba di KL Sentral dan kami bergegas ke Putrajaya menaiki ERL. Sangat laju dan selesa menaiki ERL. Setibanya kami di Putrajaya, kami dijemput oleh Abang Ali yang merupakan pegawai Jemaah nazir di kementerian pelajaran Malaysia. Di sana, kami dibawa ke pejabat Abang Ali dan bercerita tentang kehidupan di pejabat yang sungguh sibuk. Pukul 12 tengah hari, abang Ali belanja kami makan tengah hari dan selepas itu kami bergegas menunaikan solat Jumaat di Masjid Besi, Putrajaya. Selepas itu, saya dan Ainuddin pergi ke Alamanda untuk menunggu abang Ali habis kerja pukul 5.30 petang.  Pukul 5.30 petang kami bertolak ke Tampin,Negeri Sembilan ke rumah abang Ali. Sampai di Tampin lebih kurang pukul 7.30 malam, kami berehat-rehat, dan bersiap untuk solat maghrib. Malam itu, kami diimamkan oleh imam muda dari Pulau Pinang di rumah abang Ali. 
Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya

Makan tengah hari

Masjid Besi, Putrajaya

Selepas solat kami keluar makan di restoran di Tampin; semuanya dibelanja oleh abang Ali, Alhamdulillah. Bagi saya, pekan Tampin merupakan sebuah pekan yang aman dan ada segala-galanya. Keesokan paginya selepas subuh berjemaah, kami berehat-rehat di rumah abang Ali. Sarapan pagi itu nasi lemak dan roti canai telah tersedia di atas meja, bagaikan raja kami makan. Pukul 11 pagi kami dibawa ke rumah kakak sulong abang Ali berdekatan Gunung Tampin dan selepas itu kami terus ke Melaka. Banyaklah tempat-tempat yang kami lawati antaranya menara keris taming sari, dataran pahlawan mall, dan Bandar hilir. Pukul 2.30 petang, kami bergerak ke Masjid Al Azim, masjid negeri Melaka. Usai solat, abang Ali membawa kami Seremban untuk saya membeli tiket bas balik ke Pulau Pinang. Selepas membeli tiket bas, kami pulang semula ke Tampin melalui jalan lama. Negeri Sembilan bagi saya sebuah negeri yang kaya dengan khazanah alam dan ia sungguh menenangkan.
Gunung Tampin, Negeri Sembilan

Bandar Hilir, Melaka

Menara Taming Sari, melaka

Dataran Pahlawan, Melaka

Malam itu kami ke pasar malam Tampin. Selepas dua tahun inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pasar malam, terasa meriahnya di situ. Malam itu, selepas membeli makanan, kami memakannya di rumah adik abang Ali yang tinggal berhampiran di Tampin. Selepas makan dan berbual, kami pulang semula ke rumah abang Ali dan kami yang keletihan terus tidur. Keesokan paginya, selepas subuh kami bersiap-siap berkemas untuk pulang. Pukul 10 pagi selepas sarapan, abang Ali mebawa saya dan Ainuddin ke Seremban dan Izzat pulang ke Batu Pahat, Johor dengan keretanya. Pukul 11.30 pagi, bas mula meninggalkan perkarangan terminal 1 di Seremban. Dalam bas, saya meneruskan membaca buku Secangkir The Pengubat Letih oleh ustaz Hasrizal yang saya beli di MPH Alamanda, Putrajaya.
Pasar Malam Tampin

Di hadapan rumah abang Ali

Sepanjang kembara saya selama seminggu ini, saya dapat melihat gambaran kehidupan rakyat Malaysia.  Kalau membaca Berita Harian dan Harian Metro, pelbagai kes jenayah yang dapat kita temui tetapi tempat-tempat yang saya pergi tidak pula saya lihat jenayah. Mungkin saya pergi bukan waktu kebiasaan jenayah berlaku. Namun apapun sebagai rakyat Malaysia, saya ingin melihat semua rakyat Malaysia hidup dalam keadaan baik dan aman. Formulanya mudah, di mana sahaja kaki kita jejaki, sebarkan kebaikan. Fastabiqul Khairat!.

Saturday, June 23, 2012

Dua Minggu Di Malaysia...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga sentiasa dalam perlindungan Allah.
Amma ba’d.

Sedar tidak sedar, sudah dua minggu saya berada di Malaysia. Dari segi pembangunan, saya tidak nampak banyak perubahan tetapi semasa memandu di jalan raya, kereta-kereta mewah seperti BMW, Toyota Camry, Nissan Teana dan banyak lagi sudah banyak kelihatan. Apakah taraf hidup rakyat sudah meningkat? Mungkin ya. Memang perubahan sebegini yang kita harapkan namun cukupkah sekadar meningkatnya taraf hidup sedangkan sikap dan mentality masih di takuk lama. Saya akui memandu di Malaysia memaksa saya menjadi defensive driver; sentiasa lebih berhati-hati daripada biasa. Penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat, pemandu kereta yang tidak bertimbang rasa, dan banyak lagi perkara-perkara bahaya yang dilakukan oleh pemandu di Malaysia. Mentality yang suka berada di zon selesa, takut melakukan perubahan adalah gejala yang melanda masyarakat Malaysia khususnya golongan warga emas. Namun gelombang yang berlaku saya lihat positif apabila semakin ramai artis dan bekas-bekas pegawai tertinggi kerajaan sudah mula bersama gerakan politik Islam. Ini dilihat sebagai perkembangan positif kerana mereka mempunyai pengaruh tersendiri.

Pasal makanan di Malaysia, saya tidaklah terlalu teruja sebab saya bukan gourmet. Namun setiap pagi, apabila ayah pergi kerja, dan adik bongsu saya pergi sekolah, saya dan emak pergi pasar dan makan roti canai. Inilah rutin harian saya. Buat masa sekarang, hajat ingin berendam dalam air terjun yang sejuk belum lagi kesampaian.

Dalam dua minggu pertama ini, saya merancang untuk ziarah sanak saudara dan guru-guru sekolah rendah saya. Alhamdulillah Allah izinkan bertemu sanak saudara dan guru-guru sekolah rendah saya. Apa yang menariknya, semasa saya bertemu guru-guru saya pada hari selasa lepas, topik saya bakal berkahwin juga hangat diperkatakan oleh guru-guru sekolah rendah saya. Walaupun hampir 10 tahun saya sudah meninggalkan sekolah rendah namun, semua cikgu masih mengenali diri saya; mungkin sebab saya dahulunya ketua murid sewaktu darjah 6 dan juga hanya satu-satunya anak murid mereka yang belajar di luar negara dalam batch saya.

“Teacher dengaq kamu nak kawen. Betoi ka? Sebab teacher tengok fb Nazrul, ramai sangat kawan-kawan dok komen Nazrul nak kawen”

Soalan teacher Farah tengah hari itu menyebabkan saya berfikir bagaimana saya harus menjawabnya. Selama dua jam setengah bersama guru-guru sekolah rendah pagi itu, menyebabkan saya terfikir betapa jasa seorang guru sangat besar.

“Dari kakak kamu, kamu, adik-adik kamu, semua cikgu yang ajar. Cikgu duk tang ni ja, kamu dah melepas ke Amerika”

Begitulah cerita guru-guru sekolah rendah saya. Kebanyakannya sudah berkhidmat di sekolah rendah saya itu lebih 15 tahun. Ya Allah Engkau berkatilah guru-guruku, sesungguhnya jasa mereka kepadaku cukup besar.

Bermula minggu hadapan, ada daurah di Shah Alam dan saya akan bertolak ke KL pada hari ahad pagi. Semoga Allah permudahkan. Bulan Julai pula semakin banyak daurah, ijtima’, meeting dan kenduri kahwin sahabat-sahabat saya dari KISAS. Barakallahulahum.

Dua minggu yang pertama ini, terasa begitu cepat masa berlalu. Saya sedar saya dan sahabat-sahabat semakin membesar, oleh itu peranan dan tanggungjawab juga semakin mencabar.Penting bagi saya untuk sentiasa berwaspada dan sensitif dengan persekitaran saya.

Wallahua’lam.
Makan pasembor dengan mak dan adik di Padang Kota Lama