Wednesday, August 15, 2012

Salam Aidilfitri 1433H...


Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar wa lillahil hamd. Segala puji hanya layak bagi Allah tuhan semesta alam yang telah menjadikan serta mencukupkan rezeqiNya ke atas kita hamba dan makhluqNya.

Alhamdulillah atas segala nikmat yang dipanjangkan Allah, pada tahun ini kita masih dipanjangkan usia, diberi peluang untuk masuk ke dalam medan tarbiyah ramadhan. Satu bulan yang telah dijanjikan Allah dengan pelbagai kenikmatan dan keberkatan; terpulang kepada kita ingin merebut atau membiarkan ia berlalu sepi.

Saya secara peribadi, merasakan ramadhan tahun ini membawa kelainan dalam hidup saya di mana diberi peluang oleh Allah untuk bertarawih di belakang imam-imam dari Gaza serta mendengar luahan mereka secara langsung tentang keadaan di Gaza, dapat beriftar,berusrah, dan bertarawih bersama murabbi di sekitar lembah Klang, dapat beriftar dengan sebahagian asatizah yang kita kenali melalui TV serta dapat beriftar juga dengan rakan-rakan yang lebih dua tahun tidak bersua muka. Semuanya merupakan nikmat Allah yang menyambungkan silaturrahim antara kami hamba-hambaNya.

Namun, dalam keadaan nikmat yang terlalu banyak ini, marilah sama-sama kita menginsafi keadaan umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia begitu ramai walaupun uban sudah memutih di kepala tetapi masih ponteng puasa. Di Arakan, muslim Rohingya dibantai dengan kejam oleh puak rakhine Buddha. Di Palestin, selain zionis laknatullah membedil rumah-rumah rakyat Palestin, mereka juga sering terputus bekalan elektrik serta petrol, menyebabkan mobilisasi mereka terbantut. Di Syria, Bashar Alassad laknatullah tidak mengendahkan bulan ramadhan yang mulia, terus menerus membunuh jiwa-jiwa umat Islam yang tidak bersalah. Tidak dilupakan juga bagi masyarakat muslim di negara barat yang tinggal di hemisfera utara, mereka berpuasa lebih 17 jam sehari. Inilah antara ujian-ujian massa yang melanda umat Islam.

Namun, saya sentiasa percaya ujian ini mengajar kita menjadi matang serta mendidik kita supaya sedar sudah tiba masanya umat Islam untuk bersatu menentang kezaliman yang melata, mengenepikan segala perbezaan mazhab dan ideologi politik, memperkasa jati diri dengan ilmu agama dan akademik, membangkitkan hamasah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta berdaya saing di peringkat global.

Harapan Allah kepada kita kepada hambaNya melalui tarbiyah ramadhan adalah mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa dalam erti kata kita sentiasa menyedari kewujudan Allah dalam setiap tindakan dan bual bicara. Kenal apa itu dosa pahala, tahu membezakan yang haq dan batil, sentiasa takut dan mengharapkan kepada Allah, serta menjadi insan yang senantiasa menegakkan keadilan dalam kehidupan. Taqwa mengajar kita untuk bersungguh bekerja dalam meninggikan kalimah tauhid di muka bumi ini. Kesan taqwa dapat dilihat jika kita masih mampu lagi untuk beristiqamah dengan segala amal soleh dan kebajikan apabila kita keluar daripada bulan ramadhan kelak.

Sambutlah aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesederhanaan, insafilah kelemahan diri serta kenanglah orang-orang terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita. Bertaqwalah kepada Allah walau di mana sahaja kita berada kerana itu sebaik-baik benteng dan bekalan.

Mana mungkin insan selain Nabi Muhammad SAW terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Selagi bernama insan, terutama yang hidup di akhir zaman yang begitu hebat cabrannya, lebih lagilah terdedah kepada pelbagai maksiat dan kesalahan. Apa yang tinggal hanyalah, insan sentiasa diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah dan memohon maaf sesama kita.

Dengan itu, saya insan biasa dan kerdil yang bergelandangan di atas muka bumi Allah memohon ampun dan maaf kepada seluruh sahabat dan insan yang mengenali diri saya, jika selama ini saya terkasar bahasa, tersilap bicara, tersalah memberi harapan, terambil sesuatu yang bukan hak, terabai tugas serta tanggungjawab dan pernah mengecilkan hati mana-mana pihak. Harapan saya, sahabat-sahabat semua sudilah memaafkan kesalahan dan kesilapan saya. Saya juga tidak berdendam dengan mana-mana sahabat serta telah memaafkan kesemua orang-orang disekeliling saya. Marilah kita jalinkan ukhuwah, bentuk sahsiah dan sama-sama berganding bahu mendaulatkan Islam di tanah air kita.
Wallahua’lam.

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib
Senior year, biotechnology
Rochester Institute of Technology
New York, USA

Wednesday, August 8, 2012

Orang Agama...


Salam ramadhan kepada sahabat semua yang saya kasihi kerana Allah. Tanpa kita sedari, ramadhan hanya berbaki lagi 10 hari. Apakah hari-hari dalam ramadhan yang telah berlalu sudah diisi sebaiknya? Jika masih ada kelompongan, maka hadirnya 10 hari terakhir di bulan ramadhan ini adalah untuk membuat pecutan akhir. Munajat, doa, qiyam, tadarus, infaq, serta amal kebajikan lain haruslah digandakan.
Amma ba’d.

Sebelum meneruskan bacaan entri kali ini, sila baca berita-berita di bawah terlebih dahulu.


Sudah baca? Ya! Inilah realiti yang berlaku di Malaysia walaupun bulan ini adalah bulan yang mulia, masih ada yang tergamak melakukan perkara-perkara terkutuk ini. Membaca berita-berita sebegini sudah membuatkan saya cemas memikirkan, di mana tempat harus saya besarkan anak-anak saya kelak agar mereka tidak terdedah dengan perkara-perkara ini? Membaca berita sebegini juga sudah pasti mengundang perasaan belas ihsan kepada mangsa-mangsa berkenaan. Namun, sebelum itu saya ingin mengajak kepada sahabat semua agar menilainya dari dua-dua belah pihak; mangsa dan suspek.

Seluruh suspek dalam berita ini bolehlah kita hukum jahat atas perbuatannya (peringatan: bukan jahat atas batang tubuhnya). Mereka seolah-olah tiada perikemanusiaan apabila tergamak merogol golongan-golongan wanita yang lemah. Fikiran mereka apabila sudah dikuasai nafsu, terlupa bahawa semua mangsa mempunyai harga diri, maruah, bahkan mempunyai anak-anak. Lebih rakus, seluruh suspek melakukan keganasan terlebih dahulu sebelum menodai mangsa-mangsa.

Bagi mangsa pula, persoalan yang ingin ditimbulkan adalah, bagaimana pakaian mangsa ketika kejadian. Apakah dalam keadaan menutup aurat yang sempurna ataupun menjolok mata? Kenapa saya timbulkan persoalan ini? Saya pernah bersembang dengan beberapa sahabat sebelum ini:

“Yun, kau rasa si fulanah ni cantik tak?”

“Cantik tu subjektif. Bagi aku bolehla. Kenapa? Kau berkenan ke?

“Ish kau ni, dia tu pakai tudung labuh kot. Cakap pun tak pandang muka laki. Aku nak cakap dengan dia pun segan tau tak. Kalau aku berselisih degan dia, mesti aku tunduk. Segan la dengan dia.”

Ikan yang terbuka senang diratah kucing liar. Saya amat yakin, kalau mangsa berpakaian dengan sempurna, pasti mereka tidak akan diganggu.

Bagi persoalan suspek dan mangsa, sudah pasti kerana kurangnya pendidikan dan pengahayatan agama menyebabkan mereka terlibat dalam kancah gejala sosial yang pada hakikatnya, mereka sendiri tidak mahu. Tetapi kepada siapa harus mereka rujuk?

Atas sebab ni,persoalan berbalik kepada kita, aktivis dakwah dan tarbiyah. Apakah sudah kita menyantuni mereka? Untuk mengharapakan mereka datang mencari kita, itu bukanlah harapan yang baik kerana sudah pasti, mereka-mereka itu merasakan diri mereka, jahat dan tidak layak berkawan dengan ‘orang agama’. Lantaran itu, KITALAH yang seharusnya turun ke gelandangan, menyantuni mereka-mereka yang tercicir dalam agama. Tanpa kita sedari, selama ini kita hanya bergerak dalam kerangka KEKITAAN. Kita merasa penat dengan menghadiri program dan usrah, padahal hakikatnya urusan umat masih banyak. Saya menyeru diri saya dan sahabat semua, untuk keluar dari kerangka kekitaan dan berdakwah dalam medan yang lebih luas. Semoga Allah membantu kita semua. Apakah kita rasa sudah selamat. Harus difikirkan semula. Salam ramadhan semua.

wallahualam

Wednesday, July 25, 2012

Kerana Sayang...


Salam kepada sahabat semua yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan mengurniakan rahmatNya yang maha luas.
Amma ba’d.

Sudah agak lama blog ini ditinggalkan. Hajat di hati ingin mewarkahkan sebanyak mungkin perkongsian dan pandangan namun masa saya banyak dihabiskan membaca buku-buku yang saya beli, berprogram di sekitar KL dan Shah Alam, serta merangka gerak kerja dan hala tuju perkara ‘tertentu’. Namun kali ini, saya gagahi untuk menulis . Sebelum itu, bagaimana puasa kita? Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus beramal dengan amalan-amalan soleh. Jangan ada dalam kalangan kita yang melepaskan peluang merebut pahala yang begitu banyak di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat Allah ini.
Dalam minggu ini tersebar berita yang seorang remaja berumur 16 tahun bernama Syafiq bernikah dengan pasangannya, Yana berumur 14 tahun. Pernikahan mereka dianggap terlalu muda. Untuk berita lanjut boleh baca di sini.

Pandangan saya, banyak isu yang mungkin boleh kita bincangkan berbanding isu terpencil ini. Kalau kita Tanya datuk dan nenek kita pun, mereka berkahwin pada usia yang muda. Mungkin orang akan berkata, itu dulu sekarang lain. Namun, apabila seseorang itu sudah mampu memikul tanggungjawab apa salahnya.tahap kematangan seseorang itu sangat subjektif.  Mustahil mereka yang mengambil langkah untuk berkahwin pada usia muda itu tidak memikirkan soal tanggungjawab selepas berkahwin nanti. Apa yang saya bimbang ialah, jika hal ini diperpanjangkan, ia boleh membawa kepada umpatan dan gossip.

“Biar betul diorang ni, umur 16 tahun dah kawen. Aku yang umur 20 tahun lebih pun tak kawen lagi”

“ala jodoh diorang dah sampai. Kite pun nanti-nanti sampai lah tu. Tapi tula, muda sangat. SPM pun tak habis lagi, macam mana nak sara isteri dia.”

“aah kan. Aku pun terfikir macam mana la si laki ni nak sara isteri dia”

Nampak tak? Ia melarat kepada umpatan yang dicela dalam agama. Memang ada umpatan yang dibenarkan dalam Islam. Klik di sini untuk mengetahui jenis umpatan yang dibenarkan dalam Islam (mode: malas nak tulis panjang-panjang). Tidak ada satu sebab pun, gossip tentang perkahwinan mereka dibolehkan dalam Islam. Mereka tidak berzina, mereka tidak makan di layak ramai dalam bulan ramadhan, bahkan mereka melengkapkan separuh agama mereka; sesuatu yang dituntut dan digalakkan dalam agama.
Di zaman kita hidup dengan dihidangkan dengan hiburan lucah yang melampau, baik di TV mahupun akhbar, tiba-tiba apabila ada orang yang cuba menghidupkan syariat, kita terkejut dan mempertikaikan tindakan itu. Apa rasionalnya?

Saya menegur perkara ini apabila dua tiga hari saya tengok di laman twitter orang sibuk bercerita tentang perihal mereka berdua. Banyak lagi isu-isu awam termasuk siyasah, ekonomi dan sosial yang kesannya melibatkan orang ramai patut kita bincangkan. Bila saya menegur bukan kerana saya orang yang baik ataupun terbaik, tetapi kerana sayang.

Ingatlah, mahasiswa adalah tenaga pemikir dan penggerak kemajuan negara di masa hadapan tetapi jika sibuk dengan hal remeh temeh, yang tidak melibatkan kepentingan awam, apa yang kita dapat? Cara fikir yang salah membuahkan tindakan yang salah.

Wallahua’lam

Friday, July 13, 2012

Hosgeldiniz Ramadhan...


Salam kepada sahabat, ikhwah dan akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memelihara kita dalam iman dan amal  soleh.
Amma ba’d.

Ramadhan mejelma lagi. Bagaimana persediaan kita menyambut ramadhan? Bila ditanya apa harapan Ramadhan kali ini, ada yang menjawab akan bangun qiam pada 10 malam terakhir, ada yang ingin melakukan amal ibadah secara berjemaah, dan ada yang berharap akan istiqamah dengan amal-amal soleh selepas berakhirnya Ramadhan. Merenung firman Allah dalam kitabNya yang agung:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang dahulu sebelum kamu supaya berpuasa,  mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Al Baqarah 2:183)

Output  bulan Ramadhan adalah melahirkan insan-insan yang bertaqwa dengan melalui proses tarbiyah ketika dalam bulan Ramadhan. Bertaqwa dalam erti kata, sentiasa sedar dan merasai kehadiran Allah dalam hidup, tahu halal dan haram, kenal dosa dan pahala, mempertimbangkan antara syurga dan neraka dalam setiap tindakan.

Banyak amalan yang digalakkan ke atas diri insan tatkala Ramadhan menjelma. Bertadarus, bertilawah, infaq, menjamu orang berbuka puasa, berzikir, bermunajat, menunaikan solat sunat tarawih, berqiyamullail, dan memperbanyakkan doa serta berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Ini semua adalah amalan zahir yang boleh kita buat dan gandakan dalam bulan Ramadhan.

Adapun amalan batin atau amalan hati adalah sama wajarnya untuk kita perhatikan. Menjaga pandangan, menjaga pertuturan dan perbuatan, tidak membuang masa, berbaik sangka serta sabar dan syukur dengan lapar dan dahaga berpuasa.

Dengan izin Allah, jika kita semampu mungkin mengoptimumkan masa kita untuk beribadah kepada Allah, semoga kita selangkah menuju taqwa. Ingatlah, insan yang bertaqwa dimurahkan rezeqinya daam kehidupan sebagaimana firman Allah:

“ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari pelbagai masalah) serta menganugerahkannya rezeqi dari sumber yang tidak di sangka-sangka” (At Talaq 65:2-3)

Demikianlah kelebihan insan bertaqwa. Semoga ramadhan tahun ini lebih baik daripada ramadhan tahun lepas. Allahumma balighna Ramadhan.

Holgeldiniz Ramadhan (selamat datang Ramdhan)

Mengharapkan sinar Ramadhan yang gemilang

Wednesday, July 11, 2012

Aku Di Mana...


”Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil, pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT, seseorang yang hatinya terpaut pada masjid, 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya, dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” ( Riwayat Imam Muslim)


Sunday, July 1, 2012

Tarbiyah Memungkinkan Segala-Galanya...


Salam kepada semua sahabat, semoga Allah mengurniakan kita hikmah dalam setiap detik kehidupan yang kita lalui.
Amma ba’d.

Saya tidak pasti bagaimana harus saya mulakan kali ini, tetapi moleklah jika saya mulakan mengikut kronologi perjalanan kembara saya selama seminggu bermula Ahad lepas (24 June 2012). Saya bertolak ke KL menaiki tren intercity waktu pagi dan sampai di KL pada pukul tiga petang. Sampainya saya di KL Sentral, saya terus ke surau bagi menunaikan solat jamak dan qasar zohor dan asar. Selepas itu, saya pergi makan di food court  di tingkat tiga. Selesai makan, saya pergi menunggu sahabat saya Akmal, di ruang legar di tingkat dua.sementara menunggu, saya memulakan membaca buku Travelog Minda Tajdid oleh Dr MAZA. Sesekali saya memandang sekeliling. Pelbagai ragam manusia saya lihat, tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah berselang dua meja dengan saya ada sepasang suami isteri muda duduk di situ. Kelihatannya, mereka pasangan solehah; si suami ada janggut sejemput dan memakai kopiah putih manakala si isteri berjubah labuh dan berpurdah. Alhamdulillah bagus namun selepas itu si isteri membawa keluar bungkusan makanan. Saya memerhati gelagat mereka dari jauh, bungkusan makanan yang dikeluarkan adalah bungkusan McDonald. Mungkin isu ini kecil, Cuma saya terfikir di zaman facebook ini, pelbagai maklumat kita dapat yang mengatakan McDonald memang membantu gerakan zionis sedunia, tiba-tiba golongan Islamis ini masih tidak memboikot syarikat yang ada hubung kait dengan zionis. Adakah mereka ada sumber mengatakan McDonald itu tidak menyumbang kepada gerakan zionis? Atau mereka tidak tahu tentang perkara itu?

“Ya Allah, jauhilah aku daripada persepsi buruk terhadap mereka”

Saya juga melihat di dalam restoran McDonald, ramai melayu muslim yang makan di situ, tetapi mata saya sekali lagi terpaku kepada dua orang yang saya kira sebaya memakai pakaian berjubah dan bertudung labuh melepasi paras pinggang makan di situ. Persoalannya yang sama muncul di benak saya. Sesekali meneruskan pembacaan dan sekali sekala memandang sekeliling; ada orang kita lihat sejuk mata memandang, ada juga yang kita kurang senang dengan gelagat mereka.  Akmal dikhabarkan tidak dapat serta untuk program kali ini kerana dia mendapat panggilan kecemasan yang neneknya jatuh sakit.

Selepas sembahyang maghrib dan isya’, malam itu saya bertolak ke Shah Alam dan setibanya saya di sana saya di jemput oleh Ainuddin dan saya terus dibawa ke kedai mamak untuk makan di sana. Selepas berbual dan menjamah makanan, saya di hantar oleh Ainuddin ke tempat daurah di pejabat IKRAM shah alam di seksyen 15. Di sana saya bertemu dengan ikhwah-ikhwah US yang balik bercuti, banyak cerita yang dicelotehkan. Ada yang dahulunya single tetapi kini sudah berdua, ada yang baru grad dari US tetapi bulan ini akan menyambung pengajian di Mesir dalam bahasa Arab, ada yang masih ‘mencari-cari’, pendek kata suatu keadaan yang damai dan tenang apabila kita berada dalam zone ukhuwah islamiyah. Pengisian di sampaikan oleh akh Khusyairi yang merupakan seorang lulusan PhD dari Jepun. Daurah habis pada hari selasa petang, saya dan Izzat mengambil komuter untuk ke KL Sentral. Hajat kami ingin mencari buku di Jalan Masjid India. Alhamdulillah di situ, saya membeli lagi tiga buku; Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat oleh Dr. Abdul Rahman Ra’fat Al-Basha, dan Usrah Dan Harakah oleh Ya’qub Muhammad Hussin. Selepas membeli buku, kami berjalan sekitar Jalan Masjid India. Banyak baju melayu dan jubah di situ cantik dan kemas, hajat di hati ingin beli satu tetapi memikirkan banyak barang yang nak di bawa,  hasrat itu dipadamkan. Mungkin bulan puasa ini, boleh datang lagi. Selepas makan di KL Sentral, kami bertolak semula ke Shah Alam. Alhamdulillah, hajat saya untuk menunaikan solat di Masjid Negeri Sultan Salahuddin tercapai, terasa begitu tenang selepas dua tahun tidak menjejakkan kaki di situ. 

Malam itu selepas solat, kami bergerak ke Serdang dengan kereta Izzat untuk menginap di pejabat AIMS kerana awal pagi esok kami akan mendaki bukit Broga. Selepas sesat sedikit, kami tiba di pejabat AIMS pada pukul lebih kurang 11.45 malam. Badan sudah letih, selepas berkemas saya dan ikhwah yang lain terus tidur. Seawall 3.30 pagi keesokannya, kami bangun qiam dan bersiap untuk ke Semenyih untuk mendaki Bukit Broga. Kami bertolak dengan lima biji kereta pada pukul 4 pagi dan sampai di sana lebih kurang 4.40 pagi. Dalam keadaan gelap, kami seramai 23 orang mendaki bukit Broga. Salahuddin(Salad) melaungkan azan subuh di salah satu pit stop apabila masuk waktu. Selepas berjemaah subuh, kami meneruskan pendakian ke puncak Broga. Kami tiba di puncak Broga lebih kurang pukul 6.30 pagi. Di sana, kami mendapat sedikit pengisian dari Faris, dan tadabbur alam. Lebih kurang pukul 7.15 pagi kami bergegas turun. Semasa hendak bergerak, salah satu kereta tayarnya pancit. Kami sama-sama membantu menukar tayar tersebut. Selepas itu kami bergerak ke kedai makan. Selesai makan, kami bergerak pula ke Sungai Tekala yang terletak dalam daerah Hulu Langat. Hajat saya untuk berendam dalam air terjun yang sejuk tercapai, Alhamdulillah. Lebih kurang pukul 1 tengah hari kami bersiap untuk sudah dan bergerak ke masjid. Selepas solat jamak di masjid, kami bergerak ke Bandar Baru Bangi untuk makan tengah hari di sana. Selepas makan kami pulang semula ke pejabat AIMS untuk berehat. Pada hari Rabu tersebut, tamatlah rehlah kami. Hari Khamis pagi kami dijadualkan untuk ziarah murabbi, Ustaz Hasanuddin Yunus tetapi dikhabarkan pagi itu ustaz sibuk dengan urusan kerja lalu kami menyertai ikhwah-ikhwah UK yang juga berprogram di situ (WAMY). 
Dari puncak Broga

Sunrise

Tamat program pukul 12 tengah hari, saya mengambil peluang dengan izzat berjalan-jalan di sekitar Mines City. Petangnya pukul 3.30 petang kami bertolak ke Taman Melati di Gombak bagi menziarahi Ustaz Fadzil Saleh yang baru sahaja pulang menunaikan umrah. Rumah ustaz Fadzil teramat besar dilengkapi dengan kolam mandi. Ustaz memiliki dua buah Mercedes Benz dan sebuah Honda CRV namun apa yang lebih penting adalah, taujihat ustaz pada petang itu sangat basah dan terkesan di hati.
Usrah dalam air

The Mines City, Serdang

Di halaman rumah ustaz Fadzil

“Tarbiyah memungkinkan segala-galanya” pesanan ustaz yang ini paling saya ingati sampai ke saat ini. Selepas berjemaah maghrib dan isya’ di rumah ustaz, kami dihidangkan dengan Kueow tieow goreng udang dan jus oren yang sangat menyegarkan. Malam itu sepatutnya ada lagi jemputan makan untuk dipenuhi, namun saya sudah berjanji dengan senior saya untuk menginap di rumahnya di Sentul. Jadi saya berpisah dengan ikhwah-ikhwah US malam itu dan bergerak ke Sentul bagi bermalam di sana. Senior saya menceritakan kehidupan di alam pekerjaan tidak seindah seperti zaman belajar. Walaupun ada rumah, kereta, gaji bulanan namun itu semua tidak dapat mengatasi keseronokan zaman belajar mereka di US suatu ketika dahulu.

Pagi keesokan harinya, seawal pagi senior saya keluar ke tempat kerja saya juga ikut sekali keluar ke KL Sentral kerana di sana saya akan menunggu Ainuddin dan kami akan bergerak sekali ke Putrajaya menaiki ERL. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, Ainuddin tiba di KL Sentral dan kami bergegas ke Putrajaya menaiki ERL. Sangat laju dan selesa menaiki ERL. Setibanya kami di Putrajaya, kami dijemput oleh Abang Ali yang merupakan pegawai Jemaah nazir di kementerian pelajaran Malaysia. Di sana, kami dibawa ke pejabat Abang Ali dan bercerita tentang kehidupan di pejabat yang sungguh sibuk. Pukul 12 tengah hari, abang Ali belanja kami makan tengah hari dan selepas itu kami bergegas menunaikan solat Jumaat di Masjid Besi, Putrajaya. Selepas itu, saya dan Ainuddin pergi ke Alamanda untuk menunggu abang Ali habis kerja pukul 5.30 petang.  Pukul 5.30 petang kami bertolak ke Tampin,Negeri Sembilan ke rumah abang Ali. Sampai di Tampin lebih kurang pukul 7.30 malam, kami berehat-rehat, dan bersiap untuk solat maghrib. Malam itu, kami diimamkan oleh imam muda dari Pulau Pinang di rumah abang Ali. 
Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya

Makan tengah hari

Masjid Besi, Putrajaya

Selepas solat kami keluar makan di restoran di Tampin; semuanya dibelanja oleh abang Ali, Alhamdulillah. Bagi saya, pekan Tampin merupakan sebuah pekan yang aman dan ada segala-galanya. Keesokan paginya selepas subuh berjemaah, kami berehat-rehat di rumah abang Ali. Sarapan pagi itu nasi lemak dan roti canai telah tersedia di atas meja, bagaikan raja kami makan. Pukul 11 pagi kami dibawa ke rumah kakak sulong abang Ali berdekatan Gunung Tampin dan selepas itu kami terus ke Melaka. Banyaklah tempat-tempat yang kami lawati antaranya menara keris taming sari, dataran pahlawan mall, dan Bandar hilir. Pukul 2.30 petang, kami bergerak ke Masjid Al Azim, masjid negeri Melaka. Usai solat, abang Ali membawa kami Seremban untuk saya membeli tiket bas balik ke Pulau Pinang. Selepas membeli tiket bas, kami pulang semula ke Tampin melalui jalan lama. Negeri Sembilan bagi saya sebuah negeri yang kaya dengan khazanah alam dan ia sungguh menenangkan.
Gunung Tampin, Negeri Sembilan

Bandar Hilir, Melaka

Menara Taming Sari, melaka

Dataran Pahlawan, Melaka

Malam itu kami ke pasar malam Tampin. Selepas dua tahun inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pasar malam, terasa meriahnya di situ. Malam itu, selepas membeli makanan, kami memakannya di rumah adik abang Ali yang tinggal berhampiran di Tampin. Selepas makan dan berbual, kami pulang semula ke rumah abang Ali dan kami yang keletihan terus tidur. Keesokan paginya, selepas subuh kami bersiap-siap berkemas untuk pulang. Pukul 10 pagi selepas sarapan, abang Ali mebawa saya dan Ainuddin ke Seremban dan Izzat pulang ke Batu Pahat, Johor dengan keretanya. Pukul 11.30 pagi, bas mula meninggalkan perkarangan terminal 1 di Seremban. Dalam bas, saya meneruskan membaca buku Secangkir The Pengubat Letih oleh ustaz Hasrizal yang saya beli di MPH Alamanda, Putrajaya.
Pasar Malam Tampin

Di hadapan rumah abang Ali

Sepanjang kembara saya selama seminggu ini, saya dapat melihat gambaran kehidupan rakyat Malaysia.  Kalau membaca Berita Harian dan Harian Metro, pelbagai kes jenayah yang dapat kita temui tetapi tempat-tempat yang saya pergi tidak pula saya lihat jenayah. Mungkin saya pergi bukan waktu kebiasaan jenayah berlaku. Namun apapun sebagai rakyat Malaysia, saya ingin melihat semua rakyat Malaysia hidup dalam keadaan baik dan aman. Formulanya mudah, di mana sahaja kaki kita jejaki, sebarkan kebaikan. Fastabiqul Khairat!.

Saturday, June 23, 2012

Dua Minggu Di Malaysia...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga sentiasa dalam perlindungan Allah.
Amma ba’d.

Sedar tidak sedar, sudah dua minggu saya berada di Malaysia. Dari segi pembangunan, saya tidak nampak banyak perubahan tetapi semasa memandu di jalan raya, kereta-kereta mewah seperti BMW, Toyota Camry, Nissan Teana dan banyak lagi sudah banyak kelihatan. Apakah taraf hidup rakyat sudah meningkat? Mungkin ya. Memang perubahan sebegini yang kita harapkan namun cukupkah sekadar meningkatnya taraf hidup sedangkan sikap dan mentality masih di takuk lama. Saya akui memandu di Malaysia memaksa saya menjadi defensive driver; sentiasa lebih berhati-hati daripada biasa. Penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat, pemandu kereta yang tidak bertimbang rasa, dan banyak lagi perkara-perkara bahaya yang dilakukan oleh pemandu di Malaysia. Mentality yang suka berada di zon selesa, takut melakukan perubahan adalah gejala yang melanda masyarakat Malaysia khususnya golongan warga emas. Namun gelombang yang berlaku saya lihat positif apabila semakin ramai artis dan bekas-bekas pegawai tertinggi kerajaan sudah mula bersama gerakan politik Islam. Ini dilihat sebagai perkembangan positif kerana mereka mempunyai pengaruh tersendiri.

Pasal makanan di Malaysia, saya tidaklah terlalu teruja sebab saya bukan gourmet. Namun setiap pagi, apabila ayah pergi kerja, dan adik bongsu saya pergi sekolah, saya dan emak pergi pasar dan makan roti canai. Inilah rutin harian saya. Buat masa sekarang, hajat ingin berendam dalam air terjun yang sejuk belum lagi kesampaian.

Dalam dua minggu pertama ini, saya merancang untuk ziarah sanak saudara dan guru-guru sekolah rendah saya. Alhamdulillah Allah izinkan bertemu sanak saudara dan guru-guru sekolah rendah saya. Apa yang menariknya, semasa saya bertemu guru-guru saya pada hari selasa lepas, topik saya bakal berkahwin juga hangat diperkatakan oleh guru-guru sekolah rendah saya. Walaupun hampir 10 tahun saya sudah meninggalkan sekolah rendah namun, semua cikgu masih mengenali diri saya; mungkin sebab saya dahulunya ketua murid sewaktu darjah 6 dan juga hanya satu-satunya anak murid mereka yang belajar di luar negara dalam batch saya.

“Teacher dengaq kamu nak kawen. Betoi ka? Sebab teacher tengok fb Nazrul, ramai sangat kawan-kawan dok komen Nazrul nak kawen”

Soalan teacher Farah tengah hari itu menyebabkan saya berfikir bagaimana saya harus menjawabnya. Selama dua jam setengah bersama guru-guru sekolah rendah pagi itu, menyebabkan saya terfikir betapa jasa seorang guru sangat besar.

“Dari kakak kamu, kamu, adik-adik kamu, semua cikgu yang ajar. Cikgu duk tang ni ja, kamu dah melepas ke Amerika”

Begitulah cerita guru-guru sekolah rendah saya. Kebanyakannya sudah berkhidmat di sekolah rendah saya itu lebih 15 tahun. Ya Allah Engkau berkatilah guru-guruku, sesungguhnya jasa mereka kepadaku cukup besar.

Bermula minggu hadapan, ada daurah di Shah Alam dan saya akan bertolak ke KL pada hari ahad pagi. Semoga Allah permudahkan. Bulan Julai pula semakin banyak daurah, ijtima’, meeting dan kenduri kahwin sahabat-sahabat saya dari KISAS. Barakallahulahum.

Dua minggu yang pertama ini, terasa begitu cepat masa berlalu. Saya sedar saya dan sahabat-sahabat semakin membesar, oleh itu peranan dan tanggungjawab juga semakin mencabar.Penting bagi saya untuk sentiasa berwaspada dan sensitif dengan persekitaran saya.

Wallahua’lam.
Makan pasembor dengan mak dan adik di Padang Kota Lama

Thursday, June 14, 2012

Bertunang?...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memberkati kehidupan seharian kita dengan cahaya kasihNya.
Amma ba’d.

Di usia yang sudah menjengah 22 tahun ini, topik perkahwinan, baitul muslim atau apa sahaja terminologi yang sama dengannya adalah topik yang sering diperbicangkan. Perasaan untuk saling menyayangi diantara makhluq berlainan jantina adalah lumrah setiap manusia yang normal.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” ( Ar Rum 30:21)

Begitulah keterangan Allah berkenaan fitrah manusia yang diciptakan berpasangan. Dalam kita ingin bergerak dalam kerangka dakwah, keperluan untuk berkomunikasi kepada insan berlainan jantina adalah amat mendesak. Dakwah ini untuk manusia yang merangkumi lelaki dan perempuan, ada perkara memang kepakarannya milik lelaki dan ada perkara yang kepakarannya hanya mampu dilakukan oleh perempuan.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At Taubah 9:71)

Di sini Allah jelas menyatakan bahawa orang mukmin dan mukminah memerlukan antara satu sama lain dalam banyak urusan kehidupan. Misalnya, jika kita ingin menganjurkan sebuah program, perlunya kepada lelaki dan perempuan untuk saling berkomunikasi untuk menjayakan program ini. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh nafikan diciptakan manusia juga dengan hati dan perasaan. Apabila berinteraksi dengan lelaki dan perempuan kadang-kadang, mungkin timbul perasaan suka atau cinta.

Menyedari hakikat ini, demi menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan, jalan penyelesaian yang dianjurkan dalam islam amat indah iaitu pernikahan. Persoalannya di sini, kenapa saya membangkitkan isu pernikahan?

Batch saya sendiri di KISAS, sudah ada tiga pasangan yang sudah dan akan mendirikan baitul muslim bulan Julai nanti. Dua daripadanya mengikut tradisi, kahwin KISAS sama KISAS. Bagaimana mereka bertemu sedangkan di KISAS dahulunya hubungan antara jantina sangat terjaga, saya pun tidak pasti. Namun, ini bukan persoalannya; apa yang paling penting adalah mereka sudah ingin menyempurnakan separuh daripada agama mereka.

Sebab saya membangkitkan isu ini kerana banyak sangat spekulasi yang mengatakan saya akan menamatkan zaman bujang cuti summer ini sehinggakan guru sekolah rendah saya juga ada bertanyakan perkara serupa sama ada saya balik summer ni untuk bertunang atau sekadar balik bercuti. Tidak semudah yang diperkatakan untuk menamatkan zaman bujang ini, pelbagai persediaan harus dilakukan. Jika ada jodoh dan rezeki di waktu summer ini, siapalah hamba yang mampu menolaknya. Cuma pada pemikiran saya, cuti summer ini biarlah saya semampu mungkin berada bersama keluarga, menolong emak dan ayah, berjalan-jalan dengan keluarga kerana berkemungkinan besar apabila grad tahun depan, insya Allah saya mungkin akan menetap di kawasan Selangor atau Lembah Kelang. Jadi tahun ini, saya mesti banyak meluangkan  masa bersama keluarga, sesekali berprogram bersama sahabat-sahabat, menziarahi guru-guru dan banyak lagi aktiviti lainnya.

Masakan pokok bergoyang jika tiada angin. Mungkin kerana saya banyak berbicara perkara ini secara terbuka. Ada juga yang bertanya, adakah saya sudah mempunyai calon? Saya mengambil pendirian untuk berdiam diri. Akhir sekali, apa yang mampu saya lakukan hanyalah berdoa semoga dikurniakan yang terbaik buat saya dan kepada Allah jugalah saya bertawakkal dan menyandarkan segala harapan.
Klik untuk pembesaran
Wallahualam.

Tuesday, June 12, 2012

Sebarkanlah Kebaikan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga semuanya dirahmati Allah.
Amma ba’d.

Alhamdulillah di pagi yang penuh rahmat ini, Allah memberikan kesempatan buat saya untuk mencoretkan kembali sedikit perkongsian di blog ini. Sebelum ini, sibuk mengemas barang dan sebagainya, kini di rumah segala-galanya sudah tersedia; baju dibasuh oleh emak, makanan dimasak oleh emak, pendek kata hidup begitu mudah.

Saya ingin berkongsi sedikit mengenai perkataan yang baik dalam sepotong hadith:

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabis S.A.W. bersabda.
“Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah.”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kehidupan seharian kita, begitu banyak peluang yang boleh kita gunakan untuk bersedekah. Sebelum ini kita mungkin sempitkan definisi sedekah kepada memberi sesuatu berbentuk material kepada orang yang memerlukan, tetapi maksud sebenar sedekah ini terlalu luas sehinggakan suami melunaskan tuntutan batin ke atas isterinya juga dikira sebagai sedekah.

Fokus sedekah yang ingin saya ketengahkan adalah kalimah yang baik.

“Good morning sir”

“How are you doing buddy”

“Have a good day”

Inilah perkataan-perkataan yang sering diungkapkan oleh masyarakat di Amerika jika kita berurusan dengan mereka, andailah kesemua mereka beriman, maka berkat dan rahmat Allah pasti turun mencurah-curah. Perkataan yang baik tidak saja kata-kata berunsur nasihat tetapi ucapan salam dan kata-kata yang menaikkan semangat juga dikira sedekah. Katakanlah kita melawat sahabat yang sedang sakit, ucapkanlah kepadanya dengan kata-kata yang menaikkan semangat.

“insya Allah, dua tiga hari lagi baiklah tu.”

“semoga kamu cepat sembuh”

Selain itu, percakapan harian yang biasa kita ungkap jika diniatkan kerana Allah juga dikira sedekah.

“Aiman, nak pergi mana tu?”

“Abang, pandu kereta elok-elok ye ke pejabat tu”

Subhanallah, betapa luasnya konsep sedekah  yang dianjurkan  oleh Islam. Benarlah Islam itu Addeen rahmatan lil a’lamin. Salah satu ciri mukmin yang Berjaya juga adalah, dia menghindari dari berkata-kata sesuatu yang buruk dan sia-sia:

“Dan mereka menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” (Al Mukminun 23:3)

Perkataan yang baik ini juga perlu diungkapkan kepada semua tanpa harus memilih-milih terutamanya kepada ibu bapa sebagaimana firman Allah:

“maka janganlah kamu berkata kepada mereka dengan perkataan yang kasar sekalipun ‘uh’ dan janganlah kamu menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia” (Al Isra’ 17:23)

Begitulah Islam mendidik umatnya agar berakhlaq mulia dalam bertutur. Ingatlah sebarang yang kita cakap, dan ungkapkan dilihat Allah. Begitu juga dengan apa yang kita tulis di facebook, twitter, dan blog semuanya dinilai Allah. Ungkapan yang baik mampu mengubah dunia menjadi lebih baik.

Wallahua’lam.

Friday, June 1, 2012

Manifestasi Syukur...


Salam kepada sahabat yang diredhai Allah. Semoga Kasih sayang Allah kekal berpanjangan buat kita.
Amma ba’d.

Bersyukur bukan hanya sekadar melafaz kata-kata syukur seperti Alhamdulillah tetapi apa yang lebih penting adalah kita melakukan perbuatan yang Allah redha dengan kurniaan nikmat pemberianNya. Sedar atau tidak, nikmat Allah kepada kita tidak pernah putus baik berupa nikmat harta yang banyak, jiwa yang tenang, hati yang bahagia, dihormati sahabat serta orang sekeliling serta dipermudahkan urusan dalam kehidupan. Bagi melahirkan jiwa yang sentiasa bersyukur kepada Allah, maka kita haruslah melihat orang yang kurang bernasib baik daripada kita supaya kita sedar betapa beruntungnya kita berada di atas muka bumi ini berbanding orang lain. Rasulullah SAW bersabda :

“Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Dua hari lepas, saya ada berbual dengan si H (Sahabat-sahabat RIT pasti mengenali dia). Secara ringkas, si H ini adalah orang melayu yang dilahirkan dan dibesarkan di US. Dua tahun lepas, boleh dikatakan dia langsung tidak boleh bertutur dan memahami bahasa melayu, namun setelah bergaul dengan kami di sini, dia boleh memahami dan bertutur dalam bahasa melayu walaupun agak lambat. Si H ini orang yang pemalu, dan tidak pandai bersosial. Dia menghadapi masalah dalam pelajaran dan tidak akan meneruskan pelajaran di sini lagi. Dia menceritakan bahawa dia sekarang dalam keadaan depress kerana dia akan kehilangan kawan-kawan yang sangat baik dan rapat dengan dia di RIT ini. Katanya lagi, semasa dia berada di high school, dia tidak mempunyai rakan-rakan. Hari-hari dia pergi ke sekolah dan pulang. Faktor dia tidak bergaul dengan kawan-kawan di high school adalah kerana perbezaan adat dan budaya yang ketara serta pegangan agama yang berbeza. Kerana sikap pemalu dan kurang keyakinan diri, dia menjadi mangsa buli di high school; berbeza di sini, dia dilayan dengan baik oleh kami semua.

Cuma saya tertarik dengan pandangan dia:

“H,what is your opinion about us being here?”

“You guys are so lucky. You get scholarship. Just sometimes, I scream in my heart when I see certain people like him (dirahsiakan nama) buying so many stuffs that he really doesn’t need. It’s wasting your government’s money. like me, I have to save a lot.”

Kemudian dia bertanya saya;

“What is your expectation before you came here?”

“ I think I just come and study here but after coming here I learn a lot whether in the class and outside the class. I travel a lot too. I had traveled to 16 states out of 50 states in the US. Sometimes I learn how to organize an event (merujuk kepada beberapa siri program dan rehlah yang pernah saya organize di RIT). “

“yeah, it’s good. When you go back to Malaysia,you could be a leader but me here, I don’t know. I don’t have much money to go travelling with all of you guys.”

Nada percakapannya kelihatan sedikit mengeluh. Saya rasa sudah banyak kali saya ingatkan tentang perkara ini dalam usrah saya; beli barang ikut keperluan bukan kemahuan.

Kita datang di negara orang boleh bermewah-mewah sedangkan orang di tempat mereka sendiri terpkasa berjimat cermat, jarang memakai itu dan ini, jarang memakan itu dan ini. Saya terkilan kerana di sebalik mukanya yang sentiasa ceria dan ­happy-go-lucky, tersimpan rasa sedih dan kecewa di lubuk hatinya.

Kepada sahabat-sahabat khususnya di RIT dan umumnya yang sedang berada di oversea, bersyukurlah dengan cara berjimat cermat. Ingatlah ketika kita sedang bermegah-megah boleh memakai pakaian berjenama, ada orang tidak pernah berpeluang merasainya. Saya tidak katakan salah kalau ingin berbelanja kepada baju-baju mewah, membeli  gadget-gadget elektronik dan sebagainya tetapi berpada-padalah. Ingatlah, elaun yang kita terima setiap bulan adalah hasil keringat pembayar-pembayar cukai yang menuntut amanah kita apabila pulang ke Malaysia kelak.

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al Isra’ 17:27)

Wallahualam.

Wednesday, May 23, 2012

Ada Apa Dengan Padi?...


Salam kepada  sahabat, ikhwah dan akhawat. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya yang luas kepada kita.
Amma ba’d.

Cuti tiga bulan Summer sudah bermula. Diharapkan kita semua dapat merancang cuti kita dengan baik. Pelbagai program yang akan diadakan di Malaysia bagi kita sertai antaranya WOW (Wonderful Overseas Weekend), JOM(Journey Of Muslim), PUNCAK (Pre Departure US Canada KITA), SIC (Sharing Is Caring), STC (Summer Training Camp) dan banyak lagi. Selain itu mungkin ada yang balik ingin melangsungkan pernikahan, saya ucapkan Barakallahulakuma. Saya? Biarlah taqdir jadi penentu. Tinta telah diangkat, lembaran sudah kering.

Ilmu adalah asas untuk membentuk ketamadunan. Dengan adanya ilmu kita dapat melihat wujudnya masyarakat madani (civilized society). Ada satu hadith nabi yang menyebut:

“Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap Muslim” (maksud hadith)

Saya rasa hadith ini semua orang maklum. Salah satu ciri atau sifat penuntut ilmu adalah dia seorang yang tawadduk atau merendah diri. Pepatah melayu mengatakan ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Ada perkara yang boleh kita belajar daripada padi. Hari ini kita dapat lihat, perkembangan ilmu sangat drastik. Di sana sini perbicaraan ilmu sentiasa segar dan hidup namun persoalannya, apakah ilmu itu membentuk kita menjadi manusia yang bersifat rabbani, tunduk dan tawadduk kepada Alkhaliq serta menjadikan kita semakin taqarrub kepada Allah?. Kadang-kadang kita dapati, sesetengah orang ilmu agama hanyalah seciput tetapi begitu lantang mengkritik ulama muktabar seolah-olah dialah mujtahid abad ini. Dengan banyaknya ilmu ia sepatutnya menjadikan kita semakin merendah diri tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Saya kagum dengan beberapa religious figure di RIT ini. Orang yang saya maksudkan adalah Dr Rauf Bawany. Beliau merupakan Muslim Chaplain di RIT ini. Saya rapat dengan beliau kerana beliau merupakan pemerhati (observer) dalam kelas arab saya. Biasanya selepas habis kelas arab, kami akan sama-sama berjalan ke surau (interfaith center) untuk menunaikan solat asar. Banyak perkara terutama berkaitan umat Islam di Amerika ini. Apa yang menyebabkan saya tertarik dengan beliau adalah kerendahan hati beliau sekalipun beliau bergelar Doktor. Apabila berjalan menghampiri pintu bangunan, beliau yang akan membukakan pintu dan mempersilakan saya untuk masuk dulu sebelum beliau masuk. Bagi menghormati beliau saya akan menyuruhnya masuk dahulu, tetapi beliau bertegas menyuruh saya memasukinya dahulu. Siapalah saya hendak dimuliakan sebegitu rupa. Lebih mengkagumkan saya, beliau memanggil saya “Sheikh Nazrul”. Sedangkan nak dibandingkan ketinggian ilmu, beliau dengan saya bagaikan langit dan bumi. Begitu sedikitnya ilmu saya berbanding ilmu beliau. Jika saya mengemukan pendapat saya tentang sesuatu perkara, beliau sangat menghargainya. Berkali-kali diulangnya “jazakallahu khair”. Kadang-kadang beliau meminta pendapat saya, bagaimana beliau boleh memperbaiki khutbahnya pada hari jumaat. Subhanallah, betapa tawadduknya beliau walaupun beliau berbicara dengan anak muda yang naïf seperti saya.

Antara figure yang lain adalah Dr Shaqeel. Beliau merupakan guru tafsir bagi kami pelajar-pelajar RIT. Walaupun beliau sangat hebat dalam ilmu tafsir namun sifat rendah dirinya terbukti. Saya teringat minggu lepas semasa banquet MSA (Muslim Student Association), saya makan di satu meja dengan beberapa orang sahabat. Tiba-tiba beliau menghampiri meja kami dan bertanya khabar. Selepas bertanya khabar dan bersembang hal itu dan ini, beliau meminta pendapat bagaimana penyampaian dalam kelas tafsir boleh dipertingkatkan lagi. Subhanallah, seorang pakar sakit mata yang juga faqih dalam bidang tafsir Alquran, tidak segan silu untuk meminta pendapat daripada anak muda seperti saya. Inilah tauladan dan contoh buat kita penuntut ilmu.

Adakah bila mereka merendah diri, ilmu dan maruah diri mereka berkurang? Tidak! bahkan mereka semakin dihormati. Atas sebab ini, janganlah kita yang diberi sedikit kelebihan dalam ilmu sudah ingin bongkak dan mendabik dada. Adat orang berilmu, semakin bertambah ilmu, semakin mereka merendah diri. Mereka takut kepada Allah. Saya berpesan kepada diri saya dan sahabat ikhwah dan akhawat, tawadduklah apabila kita berilmu. Semoga makin bertambah ilmu kita dan semakin berkat. Sesuatu ilmu itu berkat jika diamalkan.

“Sesungguhnya orang-orang yang takut dalam kalangan hamba Allah hanyalah Ulama’ (orang-orang yang berilmu)” (Fatir 35:28)

Wallahualam.

P/S: Kadang-kadang saya ada idea, tetapi motivasi nak menulis hilang sedikit. Hanya jasad disini, hati dan fikiran sudah di Malaysia.

Thursday, May 17, 2012

Perubahan...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga semuanya sihat, selamat serta dalam naungan Allah.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak update  blog ini kerana beberapa kekangan masa dan kerja. Hari ini, secara tidak rasminya saya sudah boleh tersenyum gembira kerana sudah habis peperiksaan yang agak kritikal, Bio Separation dan Chemical Separation. Minggu depan saya hanya ada dua subjek lagi untuk peperiksaan akhir, College Algebra dan Arabic III. Mohon doa sahabat sekalian.

Pertama-tama sekali saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat senior yang sudah grad atau bakal grad bulan ini. Pengorbanan kalian selama tiga atau empat tahun terasa sangat indah dengan segala susah payah diharungi dalam tempoh ini. Cuaca yang ekstrim, kelas yang padat, lab report dan assignment yang bertindih, serta sedikit masalah mungkin dengan persekitaran , segalanya jelas berbaloi. Namun, menjadi harapan mereka-mereka yang di Malaysia agar kalian semua pulang dan berkhidmat untuk kemajuan Negara selepas banyak  wang pembayar  cukai kita guna bagi membiayai kita di sini.

Manusia itu sentiasa berubah. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya memang akan berubah baik secara fizikal ataupun mental. Kalau dulu secara fizikal tidak ada janggut dan misai, tetapi sekarang lebat kelihatan janggut dan misai bagi lelaki. Kalau dahulu cara berfikiran masih lagi keanak-anakan tetapi sekarang sudah matang sedikit bicaranya. Itulah hakikat kehidupan kita. Cuma yang menjadi persoalannya adalah , apakah kita berubah kearah kebaikan ataupun sebaliknya?

Perubahan yang kita inginkan sudah tentulah kearah kebaikan. Selepas kita dahulunya pernah hanyut dengan arus pemikiran yang tidak islamik, apakah kita masih lagi mahu duduk dalam lingkungan jahiliyah selepas kita terasa sesaknya jiwa tanpa panduan Alquran dan Assunnah? Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah kerana mengurniakan sahabat-sahabat yang dahulunya memandang sepi kepada tarbiyah tetapi sekarang dialah orang yang begitu bersemangat untuk mentarbiyah diri dan sahabat-sahabatnya. Dia sentiasa bertanya kepada saya, apa lagi kita patut buat untuk ajak orang join  usrah, bila lagi daurah kita, bila nak buat program lagi. Saya sangat meraikan semangat sahabat-sahabat saya yang sebegini. Rasa terharu dan ingin menangis ada kerana saya kenal bagaimana mereka sebelumnya. Tarbiyah Islam benar-benar menyentuh hati mereka sehingga ada yang mencadangkan bahawa apabila sudah pulang ke Malaysia kelak, sudah bekerjaya dan berkeluarga, ingin diwujudkan penempatan tarbiyah. Taman tarbiyah, kampong tarbiyah atau apa sahaja residential. Nampak macam terlalu ideal tetapi tidak mustahil untuk dilaksanankan.

Inilah perubahan yang kita inginkan. Semuanya harus bermula dengan kesedaran, “aku adalah muslim, sudah terlunaskah tanggungjawab aku kepada Islam?”.  Meminjam kata-kata ustaz Hasrizal “memaksa diri untuk berubah adalah orang yang Berjaya, berubah kerana terpaksa itu adalah mangsa”. Masih belum terlambat untuk kita membuat perubahan dalam diri kita. Selagi nyawa dikandung badan, peluang sentiasa terbuka. Rahmat Allah terlalu luas untuk kita berubah kearah kebaikan dan yakinlah, bantuan Allah sentiasa luas untuk kita menuju kebaikan.

Berubahlah kea rah kebaikan, kita akan dapati betapa indahnya kehidupan.

P/S: Masih teringat kempen Barack Obama semasa tahun 2008 "The Change We Need"

Sunday, May 6, 2012

Pemutus Kelazatan...


Salam kepada semua sahabat, ikhwah dan akhawat fillah. Perjalanan hidup kita penuh ranjau dan onak duri. Adakala kita berasa duka, adakala kita gembira. Hidup sesekali tidak lari dari ujian serta tribulasi. Kuasa kita terhad kepada usaha, doa dan tawakkal.
Amma ba’d.

Kematian itu bukanlah penamat kepada kehidupan insan tetapi adalah peralihan alam kehidupan dari dunia menuju ke kampong akhirat. Allah berfirman:

“Dan bagi tiap-tiap umat itu ada tempoh (ajal yang telah ditetapkan); apabila tiba tempoh itu, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat dan tidak dapat pula dipercepatkan” (Al A’raf 7:34)

Semalam saya pulang dari Pennstate University selepas menghadiri short daurah di sana bersama sahabat-sahabat dari Pennstate university dan University of Buffalo (UB). Kami bertolak pulang selepas solat jama’ taqdim maghrib-isya’ di sana lebih kurang pukul 9.15 malam. Di US ini, highwaynya sangat gelap kerana dikelilingi hutan dan tiada lampu jalan di tepinya. Lagu playlist nasyid di Iphone sahabat saya dimainkan bagi menghilangkan kesunyian memandu. Mereka yang lain termasuk co-pilot turut mengembara kea lam mimpi. Saya tidak kisah kerana semalam seolah-olah perjalanan terasa amat indah ditemani cahaya rembulan purnama. Sangat cerah. Biasalah, bila memandu seorang diri fikiran melayang memikirkan itu dan ini. Lagu demi lagu dimainkan. Tiba-tiba terdengar lagu ini.
Mendengar lagu ini, teringat saya akan dua orang rakan yang meninggal semasa usia masih muda. Seorang meninggal semasa berumur Sembilan tahun akibat ketumbuhan dan seorang lagi meninggal semasa berumur 12 tahun akibat gangguan makhluk halus. Bila teringat akan kematian mereka yang masih muda, jiwa saya sebak, air mata terembes keluar mengenangkan bila pula giliran saya akan menyusul. Sekurang-kurangnya mereka meninggal dalam keadaan belum baligh; jaminan syurga itu adalah pasti. Saya bermuhasabah; “andai aku mati waktu sekarang, apakah aku akan ke syurga? Apakah Allah redha kepadaku? Apakah nabi akan memberi syafaat kepadaku?”

Dalam masa itu, saya insaf betapa kerdilnya saya. Nafas yang saya hela bukan milik saya, segala yang saya ada akan dipertanggungjawabkan, dan tanggungjawab yang saya pegang juga kadang-kadang tidak disempurnakan dengan baik. Astaghfirullahal adhim. Mengenangkan semua ini, saya semakin insaf dengan keadaan umat yang masih lalai, yang masih jauh dari pimpinan Alquran dan Assunnah serta yang semakin rakus mengejar duniawi. Tidakkah mereka tahu bahawa mati itu adalah pemutus kelazatan?

” Perbanyaklah kalian mengingati pemutus kelazatan (yakni kematian).” (HR. At-Tirmidzi )

Berpada-padalah dengan duniawi serta perbanyakkanlah amal demi kebahagiaan ukhrawi. Saya mengajak diri saya serta sahabat sekalian agar perbanyakkan istighfar kepada Allah. Hidup kita bukan untuk menongkat langit. Astaghfirullah.

Saturday, April 28, 2012

Persahabatan...


Salam kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memberi hidayah dan taufiq kepada kita agar kekal di atas landasanNya.
Amma ba’d.

Demonstrasi BERSIH 3.0 telah tamat saya kira, namun kesan yang dihrapkan biarlah positif. Seiring tamatnya Demonstrasi ini, maka entri kali ini juga merupakan cooling down kepada artikel-artikel, berita-berita, status-status FB,Twitter yang mungkin tegang sebelum ini.

Ada yang memandang BERSIH 3.0 sebagai positif dan ada memandangnya dengan penuh stigma. Apa pun pandangan kalian, diharapkan ianya bersumberkan dalil Alquran dan Assunnah. Jangan memandang sesuatu perkara atas semangat dan fahaman assabiah. Jangan pula yang semangat menyokong dan mengkritik sesuatu perkara atas dasar kepentingan-kepentingan nafsu.

Kita sebagai rakyat Malaysia memang cintakan tanah air. Saya sejujurnya, sangat rindu dan ingin segera pulang berbakti kepada Negara. Setelah hampir dua tahun merantau di Negara orang, saya sampai kepada konklusi bahawa buruk baik Negara, saya adalah rakyatnya dan menjadi tanggungjawab saya untuk membawa dan memelihara kemakmuran bumi Malaysia. Di situlah saya dilahirkan, di situ saya dibesarkan, di situ saya mempunyai keluarga, saudara dan sahabat handai, di situ lah saya akan pulang berbakti, Insha Allah.

Saya ingin berkongsi satu ayat Alquran yang kita ketahui:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan ketaqwaan” (Al Zukhruf 43:67)

Saya terbaca satu status FB, “Kawan jadi lawan kerana politik”. Saya cukup tidak bersetuju, kerana perbezaan ideology politik, kita bermasam muka, hubungan kita renggang, dan kita tidak bertegur sapa. Baik, berbeza keadaan di US ini misalnya; hanya ada dua parti politik yang akan bertanding iaitu Democrat dan Republican. Semasa mereka berkempen, mereka membentangkan idea dan agenda serta hala tuju Negara tetapi setelah berlangsungnya pilihan raya, parti yang menang boleh duduk semeja dan sama-sama berbincang melaksanakan agenda Negara.

Kalau ideology politik itu bertentangan dengan dasar Alquran dan Assunnah, apakah kita umat Islam yang beriman kepada Alquran dan para rasul boleh menerimanya. Nah, atas dasar ini, sudah saya perjelaskan dalam entri-entri sebelum ini bahawa neraca pertimbangan kita hanyalah Alquran dan Assunnah. Satu membawa kepada prinsip-prinsip Islam; keadilan, kebajikan, kebaikan dan satu lagi membawa kepada prinsip-prinsip taghut; sekularisme, hedonism, kapitalsime.

Atas dasar ini, perlunya kepada akhlaq yang mahmudah dalam mengahadapi perbezaan ideology politik. Kepada yang membawa ideology politik Islam, kita harus berakhlaq dalam menerangkan kebenaran dan kepada yang tidak tahu serta masih bergelumang dengan system sekularisme, janganlah menyombongkan diri kepada kebenaran kerana kesombongan tersebut tetap juga akan menyampaikan kita ke kubur dan bertemu Mungkar dan Nakir.

Melalui ayat ini, Allah mengingatkan kita agar sampaikan kebenaran walaupun natijahnya kita mungkin dipulaukan, dicaci, ditohmah dan sebagainya kerana bermusuhan di akhirat itu lebih teruk akibatnya berbanding tidak bertegur sapa di dunia kerana seruan kebenaran kita tidak diendahkan. Kalau kita berkawan baik di dunia, tetapi berkawan atas dasar kebatilan, maka di akhirat kita akan bermusuh-musuhan. Namun andai persahabatan kita di atas dasar kebenaran; saling tegur menegur, saling nasihat-menasihati antara satu sama lain, semoga Allah redha akan persahabatan ini dan kita akan kekal bersahabat di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.


"..dan hendaklah kamu bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan taqwa dan jangan pula kamu bertolong-tolong dalam melakukan maksiat dan pencerobohan kepada Allah, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksaNya” (Al Maidah 5:2)

Wednesday, April 25, 2012

Perkaitan...


Salam kepada sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, semoga Allah melimpahkan rahmatNya buat kita hamba-hambaNya.
Amma ba’d.

Trend facebook, twitter, blog dan pelbagai medium sosial yang lain memberi impak yang besar dalam penyebaran maklumat masa kini. Namun, dalam pelbagai maklumat yang kita terima haruslah kita bijak menapis, kerana ada sesetengah maklumat berbaur fitnah serta tidak betul. Baik, mengenai sebar berita fitnah mendapat balasan neraka dan azab yang pedih, tidak perlu lagi diberitahu kerana saya yakin semua sedia maklum akan ancaman Allah yang maha dahsyat ini.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasiq membawa berita, maka siasatlah tentang kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan” (Alhujurat 49:6)

Apa yang saya perhatikan, ada sesetengah rakan berkongsi tentang jodoh,nikah khitbah, perihal cinta dalam Islam dan banyak lagi yang mempunyai tajuk seangkatan dengannya. Ada pula yang berkongsi tentang politik, isu-isu kenegaraan, perihal parlimen dan salah laku ahli politik. Banyak juga yang berkongsi tentang dakwah dan tarbiyah, isu-isu Palestin, Syiria dan perihal umat Islam sejagat. Namun, tidak kurang juga yang berkongsi tentang penemuan-penemuan sains terbaru yang lebih bersifat akademik.jadi, setiap daripada kita mempunyai minat masing-masing (own interest).

Namun, menjadi sedikit masalah jika kita gagal menghubung kaitkan perkongsian-perkongsian di atas di antara satu sama lain. Sebagai contoh bagi yang gemar berkongsi perihal politik, ada sesetengahnya menganggap tidak ada kaitan dengan dakwah dan tarbiyah. Ada pula hidupnya hanya berkisar perihal dakwah dan tarbiyah dan menganggap agenda politik adalah kotor dan tiada mengena dengan dakwah dan tarbiyah. Begitu juga yang berkongsi tentang jodoh dan nikah gagal menghubung kaitkan dengan politik. Ada juga yang berbicara tentang politik tetapi tidak nampak perkaitannya dengan jodoh dan pernikahan.

Apa yang saya percaya, kesemua minat kita mempunyai hubung kait di antara satu sama lain. Bagaimana hubung kait tersebut? Begini, jika kita bercakap soal politik tetapi mengketepikan aspek dakwah dan tarbiyah, kita akan melihat lahirnya politikus yang tidak berakhlaq dalam parlimen, memakan rasuah, melakukan salah laku kuasa serta menyeleweng dana rakyat. Begitu juga jika kita hanya mementingkan aspek dakwah dan tarbiyah dan mengabaikan hal politik, yakinlah kuasa tidak menjadi milik umat Islam. Segala idea-idea Islamik kita hanyalah bersifat idealistik tanpa mampu diterjemahkan dalam bentuk realistik. Jika kita hanya memikirkan soal jodoh soleh/solehah dan mengabaikan aspek politik (biasanya soal jodoh ini jarang dipisahkan dengan soal tarbiyah dan dakwah), ini bermaksud kita gagal memikirkan kebaikan untuk zuriat yang bakal lahir daripada sulbi kita. 
Menuju Malaysia yang sejahtera

Kita tahu, bahawa golongan politikus adalah entiti yang diberi mandat kuasa untuk menentukan hala tuju negara; baik dari dasar ekonomi, pendidikan, sosial serta pembangunan negara. Saya amat mengambil berat soal pendidikan kerana realiti hari ini, walaupun negara kita diishtihar sebagai negara Islam, tetapi agenda islamisasi tidak nampak pesat berkembang kerana anak-anak muda kita, mahasiswa negara kita tidak terdedah kepada pendidikan yang mampu menjadikan mereka berfikiran kritikal serta berbalas hujah dengan non-muslim. Pendidikan sedia ada sekarang yang bersifat exam-oriented­ menjadikan pelajar-pelajar kita hanya tahu menghafal kemudian memuntahkannya semula semasa menjawab exam. Apabila tamat belajar dan turun dalam lapangan, mereka tidak mampu melakukan kerja dalam lapangan kerja yang semakin meluas dengan efektif. kita tidak boleh nafikan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tetapi realiti hari ini kita dapati masa kebersamaan ibu bapa dan anak-anak sangat kurang. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya, anak-anak pula sibuk dengan aktiviti di sekolah. Ibu bapa tidak punya banyak masa untuk memerhati anak-anak; sebahagian tanggungjawab ‘terpaksa’ diserahkan kepada para guru. Jika sistem pendidikan tidak dapat diperbetulkan, hasrat untuk melahirkan human capital hanyalah angan-angan kosong.

Tambahan lagi, perkaitan antara pernikahan dan politik ini adalah, kita sedia maklum semua pasangan yang berkahwin menginginkan zuriat. Baik, di atas saya telah bincangkan soal kepentingan pendidikan buat generasi masa hadapan. Soal kedua adalah soal keselamatan, apakah kita tidak bimbang dengan meningkatnya kadar zina, buang bayi, pecah rumah, rompakan, gangsterism serta vandalisme? Dimana kewajaran untuk ibu bapa melepaskan anak-anak keluar ke sekolah, bermain-main di laman dengan anak jiran sebelah, keluar untuk beraktiviti di sekolah jika soal keselamatan diabaikan? Kalau menunggu di hadapan pagar sekolah pun mempunyai kemungkinan yang besar untuk diculik, apakah jaminan keselamatan berada di tempat-tempat lain seperti padang permainan?
Kita ingin terbang lebih jauh

Pentingnya disini, selain memilih pasangan hidup yang terbaik, penting juga untuk memilih bakal pemimpin negara yang dapat menjamin keberkesanan serta kualiti pendidikan dalam mencapai objektif melahirkan modal insan ataupun memetik istilah Alquran disebut sebagai ulul albab. Pemimpin yang baik juga akan memastikan soal keselamatan, ketenteraman serta keamanan negara berada dalam tahap yang paling baik.
Khulasahnya, setiap satunya mempunyai perkaitan antara satu sama lain cuma dalam membuat pertimbangan, kita harus mempunyai neraca. Apakah neraca kita? kita mempunyai neraca pertimbangan Alquran dan Assunnah dalam kehidupan. Jadi, gunakanlah neraca ini untuk melakukan perkaitan dan timbang tara dalam melakukan hal berkaitan duniawi serta ukhrawi kita. Kita mampu hidup dengan lebih baik. Peace.

Wallahua’lam.