Saturday, November 12, 2011

Dimana Cacatnya?...

Salam buat semua, semoga rahmat dan redha Allah sentiasa bersama kita.
Amma ba’d.

Dengan munculnya pelbagai disiplin ilmu, menunjukkan tahap pemikiran kita selaku manusia bercambah. Hanya dalam satu hal atau masalah sahaja, pelbagai pandangan dan pemikiran dibentangkan. Inilah rahmat Allah yang menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk yang hidup di atas bumi. Kita boleh lihat, kalau di zaman Rasulullah SAW, Alquran itu wujud tanpa baris dan titik, namun setelah Islam saban hari makin berkembang kepada banyak bangsa dan manusia, maka muncul disiplin ilmu seperti taranum Al Quran, tajwid Al Quran, nasakh wa mansukh Al Quran, balaghatul Quran serta banyak lagi disiplin ilmu yang berkaitan dengan Alquran. Itu salah satu contoh, disiplin ilmu yang muncul setelah tersebarnya Islam ke seluruh bangsa di dunia ini. Dalam bidang biologi pula, muncul disiplin ilmu immunologi, mikrobiologi, genetik, dan pelbagai cabang lagi ilmu yang berkaitan dengan biologi.

Perkembangan ilmu ini seharusnya dilihat sebagai suatu yang positif buat kita kerana ia menyedarkan kita bahawa di dunia ini wujudnya pelbagai manusia dengan pelbagai pandangan. Ada sesetengah pandangan berguna untuk sesuatu populasi manusia, ada sesetengahnya tidak sesuai untuk populasi manusia di tempat lain. Atas dasar ini perlunya kita berminda terbuka untuk menerima dan mendengar sesuatu pandangan walaupun kita tidak bersetuju. Sebagai contoh, di Alaska ada pendapat mengatakan kita boleh menjama’kan solat maghrib dan isya’ walaupun tidak bermusafir kerana tidak ada tanda-tanda masuknya waktu maghrib (terbenamnya matahari keseluruhannya); sedar-sedar hari terus gelap. Namun, pandangan ini tidak boleh diaplikasikan di Malaysia yang mengalami siang dan malam sama panjang; setiap peredaran matahari dapat diketahui.

Apa yang cuba saya ketengahkan adalah, percanggahan pendapat dalam kalangan kita memang tidak boleh dielak. Namun sikap husnu dhan dan berlapang dada perlu diterapkan dalam diri kita ketika menghadapi percanggahan pendapat. Allah berfirman dalam Al Quran:

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An Nisa’:59)

Selepas banyak percanggahan namun solusinya tidak juga ditemui, maka baliklah untuk merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Inilah akhlak kita selaku muslim. Namun, apa yang dikesali hari ini, sesetengah kita yang tidak berakhlak dalam isu percanggahan pendapat dengan mengeluarkan kata-kata kesat, sindiran dan caci mencaci kepada orang yang tidak sependapat dengannya. Kerana perbezaan mazhab kita bergaduh, kerana berbeza Jemaah kita berkelahi, kerana berbeza pemikiran dan idea kita menohmah pihak lain. Semua ini menunjukkan betapa jelas krisis perpecahan sesama umat Islam.

Apa yang saya Nampak, presenting problem ialah perpecahan umat Islam dan real problem adalah krisis AKHLAQ. Ya! Akhlaq yang merupakan ajaran Rasulullah SAW yang agung semakin pudar dalam diri kita. Saya fikir, ilmu yang ada hari ini untuk seorang manusia survive dalam kehidupan pada hari ini sudah cukup namun dek tandusnya akhlaq dalam diri kita, kita membentuk sikap prejudis dalam diri kita kepada orang yang tidak ‘sekepala’ dengan kita.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia” (Hadith Riwayat Bukhari)

Pokoknya, perlunya kita menanam sifat husnu dhan (baik sangka) dan berlapang dada. Seperti saya katakan dalam entri sebelum ini, ruang kritikan sentiasa terbuka namun bil hikmah itu perlu dalam kita menyatakan sebarang hujah. Jadi, di mana cacatnya? Tanyalah diri sendiri.

Khulasahnya, jika kita mengaku umat Rasulullah SAW, kembalilah mengamalkan serta menghayati akhlaq Rasulullah SAW yang mulia lagi terpuji. Wahdatul Islamiyah (kesatuan Islam) hanyalah angan-angan jika kita menyempitkan pemikiran kita untuk hanya menerima pandangan kita sahaja.
Wallahua’lam.

P/S:doakan saya dan sahabat RIT lain yang akan menghadapi final examination  minggu hadapan. Insya Allah, jumpa di tamrin di Michigan dan muktamar di Las Vegas.

Tuesday, November 8, 2011

Agen Islam...

Salam buat ikhwah akhawat yang dirahmati Allah Jalla wa A’la. Semoga terus diberi kekuatan untuk berada di atas landasan yang dijamin kemenangan oleh Allah.
Amma ba’d.

Allah menjadikan bumi ini sebuah tempat tinggal yang mengandungi pelbagai hikmah dan rahsia. Terpulang kepada kita mahu mengkaji dan memikirkan tentangnya. Saya ingin bercakap tentang agen Islam. Siapa agen Islam sebenarnya? Baik, sebelum itu saya rasa kita semua pernah belajar tentang faktor atau agen penyebaran biji benih bagi tumbuhan. Sekadar yang kita pelajari, ada melalui angin, air, haiwan, dan tumbuhan itu sendiri (self-pollination & cross pollination). Wujudnya pelbagai mekanisma penyebaran biji benih ini kerana tumbuhnya pelbagai jenis tumbuhan. Ada yang menjadi pokok menumpang seperti pokok dedalu, ada yang jenis menjalar seperti tembikai, dan pelbagai jenis lagi. Subhanallah, indahnya ciptaan Allah. Bagi golongan yang mempunyai pemikiran yang sempurna, apakah patut kita memandang sepi ciptaan Allah ini? Memandang laut hanya sebagai laut, melihat pokok hanya sebagai pokok, melihat haiwan hanya sebagi haiwan?

Berbalik kepada persoalan tadi? Siapa agen Islam? Ustaz-ustaz, tok-tok guru, pegawai-pegawai jabatan agama, atau pelajar-pelajar sekolah agama sahajakah? Barangsiapa yang bersyahadah tidak ada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah, maka dia adalah agen Islam. Apa tugas sebagai agen Islam ini? Adakah seperti agen Mossad laknatullah yang membunuh pejuang-pejuang Islam? Agen Islam ini tugasnya menyampaikan Islam dengan kapasiti yang dia miliki. Jika dia pelajar, sampaikan kepada rakan-rakan pelajar, teman sekuliah, dan rakan sebaya. Jika dia ustaz, sampaikan kepada orang-orang kampung, sampaikan kepada anak-anak murid, dan masyarakat lainnya. Jika dia pemimpin, sampaikan seruan Islam kepada rakyat bawahan serta orang-orang dibawah kepimpinannya. Jika dia suami, sampaikan kepada isteri dan anak-anaknya. Pendek kata, setiap yang bergelar muslim itu adalah agen Islam dan wajib menyampaikan Islam mengikut kapasiti yang dia miliki.
Courtesy of Google Image

Kerana wujudnya pelbagai ragam manusia seperti mana wujudnya keadaan dan sifat pokok yang pelbagai, maka wujudnya cara dan manhaj dakwah yang pelbagai. Ada dakwah yang perlu melalui seni dan hiburan, ada yang melalui akademik, ada yang memang melalui kehidupan beragama, ada yang melalui penguatkuasaan undang-undang, dan ada yang melalui bantuan dan kebajikan. Inilah agama Islam, agama yang penuh keharmonian dan kesyumulan.

Kesimpulannya, sudah menjadi kewajipan kita sebagai muslim untuk menyampaikan seruan Islam kepada umat manusia. Sampaikanlah Islam dengan cara yang Allah dan rasulnya sampaikan.

Aqimu daulatan Islam fi qulubikum, taqum a’la ardhikum (tegakkanlah daulah Islam di dalam diri kamu, nescaya daulah Islam akan tertegak di atas muka bumi kamu).

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.”
(Tafsir Surah As Saff: 9-14)

Sesungguhnya kemenangan itu dekat, masih adakah keraguan di hatimu tentang janji-janji  tuhanmu?

Saturday, November 5, 2011

Hidup Menuntut Pengorbanan...

Salam semua. Moga Aidil Adha tahun 1432 Hijrah membawa pelbagai erti kemanisan hidup dalam hidup kita.
Amma ba’d.
Hidup menuntut pengorbanan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak pengunjung blog saya berkorban sedikit harta untuk menjayakan program muktamar di Las Vegas hujung tahun ini. Untuk menyumbang, bolehlah tonton video di bawah dan tengok description video untuk cara menyumbang.



Abu Hurairah (RA) narrated, Rasulullah (SAW) said: "Charity does not decrease wealth." (Muslim)

Selamat Hari Raya Aidiladha. Maaf Zahir & Batin. Kullu ‘Am Wa Antum Bikhair..:)

Tuesday, November 1, 2011

...

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. Saya mulakan entri kali ini dengan membesarkan Allah yang maha agung kerana tiada kepentingan dalam kehidupan seorang mukmin melainkan tunduk patuh serta mengagungkan Allah rabbul Jalil.
Amma ba’d. 

Saya melihat situasi yang berlaku sekarang di Malaysia yang juga memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar Negara adalah perkara yang kurang sihat. Suka saya untuk memetik ayat Allah dalam Al Quranul Karim: 

“Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka putusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku. Kepada-Nya lah aku bertawakkal dan kepada-Nyalah aku kembali.” (As Syuura:10)

Saya melihat ada ustaz ini kata begini, ustaz itu kata begitu. Fenomena begini akhirnya menimbulkan kecelaruan kepada orang yang kurang faham akan situasi sebenar. Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan akal untuk saya menilai apakah perkara utama dalam kehidupan sebagai muslim. Ada juga orang bertanya, kenapa ada organisasi-organisasi atau pertubuhan-pertubuhan yang dianggotai oleh muslim sukar bersatu. Walaupun kedua-duanya muslim, memang sukar untuk bersatu andai satu muslim yang mahukan Islam dan satu lagi muslim yang menolak Islam. Allah telah jelaskan dalam Al Quran:

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (Al Maidah:2)

Allah menyuruh kita untuk bersatu jika ia perkara yang mendorong kepada taqwa dan kebajikan. Jika penyatuan itu mendorong kepada kebatilan dan maksiat, maaf! Tiada kompromi di situ.

Berbalik kepada situasi tentang pelbagai pendapat dari ustaz-ustaz yang pelbagai latar belakang itu, saya berharap ustaz-ustaz dapat berkumpul dan berbincang bersama-sama mencari titik persamaan. Memang ada perbincangan dan berkumpulnya ustaz-ustaz yang saya kenali atas tujuan itu, tapi masih belum semua ustaz yang ada dalam halaqah tersebut.

Saya suka memetik kata-kata Ustaz Zaharudin Abdul Rahman (UZAR):

Islam tidak mengajar kesamarataan dalam semua perkara, kerana 'equality' dalam semua perkara adalah suatu kezaliman.Justeru, ilmu & pendirian yang disampaikan oleh seseorang tokoh akademik atau ilmuan itu pasti akan sentiasa cenderung & berpihak kepada yang diyakini lebih benar atau kurang mudarat. Jika anda ingin mereka sentiasa 'neutral' & tidak berpihak, maka anda akan jatuh dalam zalim kerana ingin kezaliman dilakukan oleh mereka. Ilmu itu menjadikan seseorang alim perlu berpendirian & tak neutral. Adil itu brbeza dengan equlity dan fairness, adil itu adalah justice, walau ia berpihak. Sentiasa neutral pula boleh jatuh ke dalam munafiq.- Ust Zaharuddin

Wallahua’lam.
P/S: saya biarkan entri ini tidak bertajuk kerana saya tidak tahu apa tajuk yang sesuai untuk entri ini. Bagi siapa yang faham entri ini fahamlah, bagi yang tidak faham, biarlah anda tidak faham daripada terlibat dengan perkara yang membolehkan anda pening.

Sunday, October 30, 2011

Jom Bersantai Seketika...

Sekadar santai-santai bersama para sahabat..:)


Mine:
Passionate
Loyal 
Elegant
Honest
^__^
Sekadar suka-suka..:)
Kredit: Kak Nadiah, Lincoln

Friday, October 28, 2011

Human Capital...

Salam buat semua, semoga Allah memberkati kehidupan seharian kita.
Amma ba’d.

Saya mulakan entri kali ini dengan menyingkap secebis sirah untuk kita sama-sama mengambil pelajaran.
Pada suatu hari Saidina Umar Alkhattab RA berkumpul dengan para sahabat yang lain dalam sebuah bilik.

 Lalu Saidina Umar RA bertanya, “Apakah kalian mahu bilik ini dipenuhi?”

Lalu jawab seorang sahabat.”saya mahu bilik ini dipenuhi dengan harta agar dapat diinfaqkan ke jalan Allah”

“saya mahu bilik ini dipenuhi dengan emas dan permata agar dapat digunakan ke jalan fi sabilillah” Jawab seorang sahabat yang lain.

“kami tidak tahu apa lagi yang kami impikan. Wahai amirul mukminin, apakah yang kamu inginkan bilik ini dipenuhi?” Tanya seorang sahabat.

“aku mahu bilik ini dipenuhi dengan pemuda seperti Abu Ubaidah bin Aljarah dan Muaz bin Jabal agar aku dapat menggunakan mereka untuk membangunkan ummah” jawab Saidina Umar RA.

Subhanallah, betapa jauhnya pandangan dan pemikiran amirul mukminin Saidina Umar RA. Sahabat yang dirahmati Allah sekalian, Nampak tak apa mesej yang cuba saidina Umar RA sampaikan? Mesej utama dalam sirah ini adalah berkenaan peri pentingnya  human resource atau human capital  yang sering kita dengari pada masa ini. Harta yang banyak akan habis apabila kita gunakan tetapi sumber manusia jika kita betul-betul mengoptimakan penggunaannya, kita akan dapat lihat wujudnya sebuah tamadun (civilization) yang ulung di abad ini. Jadi, persoalannya, bagaimana kita boleh mewujudkan human resource  yang berkualiti dari pelbagai aspek? Pada pendapat saya, segala-galanya harus bermula dari PENDIDIKAN ataupun TARBIYAH.

Dalam kehiduapan seorang insan, untuk insan tersebut menjadi sebenar-benar insan, dia mesti melalui satu proses pentarbiyahan agar sifat insaniyah terbentuk di dalam dirinya. Atas dasar ini, USRAH memainkan peranan penting dalam melahirkan insan-insan yang terdidik dengan sifat-sifat kemanusiaan. Jangan sesekali sangka bahawa dalam usrah kita akan jadi tok wali atau masyaikh besar dalam bidang fiqh, hadith atau usul fiqh tetapi usrah membentuk jati diri kita menjadi muslim yang berkualiti. Jadi selepas terbentuknya individu muslim yang berkualiti, kita akan dapati segala amanah, gerak kerja membangunkan ummah dan Negara dapat dibangunkan dengan gemilang. Jika yang mengepalai organisasi, pertubuhan hatta Negara itu terdiri daripada individu muslim yang cemerlang akhlak, akademik, sahsiah dan kefahaman siyasahnya, insya Allah kita akan dapati bahawa sesuatu organisasi atau Negara itu akan bangkit dengan sebuah tamadun yang agung dan gemilang.

Jadi sekadar peringatan buat diri saya dan kalian, kita sebenarnya tiada masa lagi untuk bermain-main, lalai, memikirkan gossip sana sini, dan berpeluk tubuh; hanya bertepuk tangan apabila Islam sudah di atas. Dengan apa cara sekalipun serulah insan-insan yang masih teraba-raba mencari jalan keluar dari permasalahan umat yang kronik kepada seruan ad dinul haq (Islam). Bantulah mereka untuk membentuk diri mereka menjadi human capital yang pernah Rasulullah SAW hasilkan 1400 tahun yang lalu. Ajaklah mereka untuk menyertai usrah agar mereka dapat merasai kemanisan hidup dan agar kita bebas dari penghujahan mereka ke atas kita di akhirat kelak.

Tuesday, October 25, 2011

Kesederhanaan...



Salam buat ikhwah akhawat sekalian. Sejarah mengajar kita agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan umat-umat terdahulu. Seerah mengajar kita agar meneladani para sahabat yang setia mempertahankan Islam dan aqidah yang murni itu. Oleh itu marilah sama-sama menelusuri sejarah dan seerah orang yang terdahulu daripada kita.

Amma ba’d.

“Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu? Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (daripada mendapat petunjuk dan hidayah) dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik (derhaka)” (As Soff:5)

Dalam ayat ini Allah menceritakan bagaimana kaum Nabi Musa AS mengingkari akan kenabian Nabi Musa AS. Sehari selepas kaumnya terselamat dari fitnah (kezaliman) firaun yang ditenggelamkan laut merah, Nabi Musa dan kaumnya berjalan menuju ke Palestin. Mereka berhenti sebentar di Syam (dikenali sebagai Syiria sekarang). Ketika mereka berhenti di Syam, mereka dapati ada satu kaum menyembah berhala, lalu dengan tidak ada rasa syukurnya terselamat daripada fitnah firaun, mereka meminta Nabi Musa agar membuatkan mereka ukiran untuk disembah padahal mereka telah menyaksikan kemukjizatan Nabi Musa sebagai utusan Allah azza wa jalla melalui tongkatnya yang dapat membelah laut merah. Betapa kecewanya Nabi Musa AS kepada umatnya yang berperangai tersangat liberal. Mereka lupa akan Allah yang telah menyelamatkan mereka, maka jadilah kaum yang fasiq.

“Dan ingatlah ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: wahai bani Israil, Sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang selepasku bernama Ahmad. Maka ketika dia (Nabi Isa AS) datang memberi keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata,inilah sihir yang nyata (sebenar-benar sihir)” (As Soff:6)

Dalam ayat ini pula Allah jelas menceritakan bagaimana kaum yang terlalu ekstreme dalam agama. Kita sedia maklum bahawa kaum Nabi Isa AS terlalu ekstreme dalam beragama sehingga mereka menganggap Nabi Isa AS sebagai anak tuhan. Sebab itu, dalam kebanyakan ayat Al Quran, apabila disebut nama Nabi Isa AS pasti disebut juga Ibni Maryam. Hal ini menjernihkan bahawa Nabi Isa yang lahir tidak berbapa itu adalah anak manusia bernama Maryam,bukannya anak tuhan.

Jadi melalui kedua kisah ini kita boleh mencapai satu kesimpulan. Dalam beragama kita perlu mempunyai sikap wassatiyah. Wassatiyah adalah bermaksud kesederhanaan dalam beragama. Sikap ini adalah sikap positif demi kecemerlangan ummah. Saya akui, dalam konteks Malaysia sendiri wujudnya pelbagai bilangan jemaah-jemaah Islam (Taadud Jamaah). Melalui kewujudan jemaah yang pelbagai ini, kita yakin bahawa matlamat kita adalah sama iaitu ingin menegakkan dan mendaulatkan agama tauhid ini sebagai agama tertinggi di muka bumi.

Namun, kadangkala berlaku ketidak sefahaman dari segi tindakan dalam ingin menterjemahkan matlamat asal tadi. Ruang kritikan dan pembaikan sentiasa terbuka tetapi apa yang perlu dalam jiwa seorang ahli jemaah dan pejuang kebenaran ini adalah sifat tidak taksub hatta kepada jemaah sendiri sehingga kita tidak boleh menerima pandangan dari ahli jemaah lain. Allah memberi kita akal supaya kita boleh membuat  penilaian. Oleh itu, ilmu fiqh dan seerah harus sentiasa dirujuk agar manhaj kita adalah manhaj nubuwwah; bukan mengikuti apa yang dilakukan jemaah secara taklid buta (membabi buta). Perlu wujudnya check & balance dalam pergerakan kita agar terselamat daripada budaya fanatisme yang akhirnya merosakkan dakwah dan tarbiyyah kita. Selamat Beramal..:)
Wallahua’lam.

united we stand, devided we fall

Monday, October 17, 2011

Cerita Anakku...

Salam buat sahabat yang dikasihi Allah, semoga dalam lindungan Allah Azza wa Jalla.
Amma ba’d.

Mendengar tajuk ini mungkin orang akan kata saya buat lawak.

“eleh, setakat anak kucing ke, anak ikan ke, anak kunci ke, aku pun ade. Lapuk la lawak kau.”

Tidak ini bukan lawak, memang betul saya dah ada anak.

“kalau macam tu, mane isteri kau, mane mak anak kau? Jangan kate kau...”

Tidak, memang betul saya ada anak angkat. Macam mana saya boleh dapat anak angkat ini?ha, inilah nak ceritanya.

Pada suatu hari..(ok, ceritanya pendek je ^_^)

Di bawah projek yang dinamakan Projek Penajaan Anak Yatim Palestin kelolaan Aqsa Syarif, saya dan 10 orang sahabat dari RIT bersepakat untuk menyertai projek ini. Bagi saya inilah peluang menambah saham akhirat dan peluang untuk sekurang-kurangnya melepaskan diri di hadapan Allah bahawa saya ada menyumbang untuk saudara kita di Palestin. Mereka yang menjadi anak yatim ini merupakan anak mujahidin yang syahid ketika melawan tentera zionis laknatullah. Ganjarannya sangat besar kalau kita dapat membela nasib mereka. Andai ditakdirkan bahawa pada masa hadapan, anak-anak ini juga syahid, subhanallah, diharapkan agar mereka dapat memberi syafaat kepada ‘ayah’ mereka ini.

“ seorang yang syahid dapat memberi syafaat bagi tujuh puluh ahli keluarganya” (riwayat Abu Daud)

Jadi siapa yang berminat untuk membela nasib anak-anak Palestin, boleh la klik link aqsa syarif ataupun PM di facebook saya.
Wallahua’lam.

P/S: Sedang belajar menjadi bapa.:) 

Anakku: Abdul Rahman Aamarah

Saturday, October 15, 2011

Rezeqi Allah Jamin...

Salam buat sahabat semua, mudah-mudahan Allah Jalla wa A’la sentiasa meberi kemurahan rezeqi kepada kita.
Amma ba’d.

Semalam selepas usrah di Province (rumah Mr President), kami berlima (siapa?hehe), berbincang macam mana nak ke Las Vegas untuk muktamar tahun ini, selepas berbincang dalam masa lebih kurang sejam setengah itu, kami bersepakat untuk pergi ke sana menaiki flight, dan malam itu juga kami terus masuk ke website kayak.com untuk cari tiket. Alhamdulillah selepas beberapa minit mencari, dapat harga tiket yang saya rasa berpatutan iaitu USD 335.00 (round-trip). Tanpa berlengah, kelima-lima kami terus klik, dan selesailah sudah urusan pembelian tiket kami pada malam itu. Sekarang, saya hanya berdoa agar Allah menyampaikan kami ke Las  Vegas,Nevada memandangkan tiket sudah dibeli. Mudah-mudahan salji tidak turun waktu tarikh penerbangan kami. Kalau ingin ke sana menaiki kereta memang akan mengambil masa berhari-hari dan sangat penat. Dikhuatiri kami tidak dapat apa-apa ketika muktamar nanti akibat keletihan memandu semasa dalam perjalanan.

Bukanlah point pergi ke sana menaiki apa yang ingin saya bincangkan tetapi apa yang ingin saya cuba ketengahkan adalah, sejauh mana kita ingin melaburkan aset kita ke jalan Allah. Ramai sahabat saya disini ingin pergi ke muktamar tetapi mereka masih memikirkan masalah kewangan. Saya akui, ada dalam kalangan kami berlima pada mulanya masih terasa ‘berat’ untuk ke muktamar memandangkan kosnya sekuarang-kurangnya akan mencecah USD 500. Berbanding tahun lepas, muktamar di Missouri tahun lepas menelan belanja paling tinggi pun setakat USD 250  sahaja.

“Bagi aku rezeki Allah jamin.so, jangan risaulah” kata saya pada malam tersebut.

Lalu, tanpa ragu-ragu kami semua pada malam tersebut terus beli tiket flight tanpa rasa ‘berat’ lagi. Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, yakinlah bahawa Allah akan memberi ganti yang lebih baik jika kita menggunakan sebahagian harta yang direzeqikan ke jalanNya. Jangan pernah ada keraguan pada janji Allah. Allah berfirman dalam surah Saba’ ayat 39:

“Katakanlah (wahai Muhammad), Sesungguhnya tuhanku melapangkan dan menyempitkan rezeqi bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hambaNya dan apa sahaja yang kamu infaqkan dia akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeqi” (34:39)

Janganlah ada keraguan lagi untuk menginfaqkan harta kita di jalan Allah. Ikhlaskan niat untuk pergi ke muktamar kali ini dan yakinlah bahawa Allah akan menggantikan apa yang kita rasa hilang dengan sesuatu yang lebih baik. Allah juga menegaskan dalam Alquran:

“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia daripada masalah hidup dan diberikannya rezeqi dari sumber yang tidak ia sangka dan barangsiapa bertawakkal kepada kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Ssungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (65:2-3)

Saya pun tidak ada perkataan yang ingin saya panjangkan lagi tetapi yakinlah janji Allah. Bahawa Allah tidak pernah memungkiri janjiNya kepada hambaNya. Insya Allah jumpa kalian semua di Muktamar 2011 Las Vegas, Nevada..:)

Muktamar 2011 Las Vegas - The Trailer from Vegas Pro Studios on Vimeo.

Sunday, October 9, 2011

The Meeting Is Getting Closer...

Salam buat semua sahabat-sahabat,semoga hidup kita dinaungi rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d.

Hari ini, 9 Oktober 2011 genaplah umur saya menjadi 21 tahun. Sedar tidak sedar, term remaja belasan tahun dah berlalu dalam hidup saya. Saya menjangka tidak ada orang akan ingat hari lahir saya tetapi asas persaudaraan Islam yang kuat sehingga tarikh lahir sahabat pun mereka ingat. Inilah kualiti sebagai seorang sahabat, tahu serba serbi mengenai sahabatnya. Bagi saya kalau sahabat-sahabat saya tidak ingat pun saya tidak kisah sebab saya pasti ada seorang yang tak pernah lupa untuk wish dan sambut hari kelahiran saya; siapa lagi kalau bukan emak saya. Kalau saya di rumah sekarang, saya pasti emak dan ayah pasti sudah bawak kami sekeluarga makan di luar. Apapun jazakumullahu khairan kathiran untuk ikhwah, akhawat serta sahabat-sahabat yang wish  dan mendoakan saya, hanya Allah mampu membalas jasa kalian. Saya doakan kepada kalian semua agar dimurahkan rezeqi dan sentiasa mendapat rahmat serta redhaNya.
Kasih ibu sampai ke Amerika

Harapan saya sempena umur 21 ni agar dapat meningkatkan ilmu, iman dan amal. Saya juga berharap setiap tindakan saya lebih matang dan rasional. Dan suka saya mengingatkan diri saya bahawa semakin meningkat umur maka semakin hampirlah pertemuan saya dengan Allah. Jadi, haruslah saya bersiap-siap semampu mungkin untuk balik ke kampung akhirat membawa amal-amal soleh dan kebajikan. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada saya agar tidak tersesat dalam mengharungi mehnah dan tribulasi kehidupan.

P/S: Alhamdulillah dah boleh mengundi cuma saya belum daftar undi. Apapun saya mendoakan agar rejim thagut yang berasaskan sekularisme itu tumbang dan digantikan pemerintahan Islam yang dapat menjamin keharmonian hidup.

“Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap." Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.” (Al Isra’:81)

Wednesday, October 5, 2011

Fitrahku Memerlukan Dirimu

Salam buat semua, semoga diberkati  Allah dalam menjalani kehidupan seharian.
Amma ba’d.

Satu malam pada minggu lepas,saya bersiap-siap hendak tutup laptop untuk bersembahyang isya’ kerana lepas tu saya akan keluar bermain bola. Tiba-tiba satu mesej masuk di skype.

“salam akhi, kaifa haluka? Buat ape tu?”

“wassalam akhi, Alhamdulillah ana bi khair. Tak buat ape pun.”

“akhi, sibuk tak?call ana jap boleh”

“ana tak la sibuk tapi ana nak sembahyang isya’ dan lepas tu ana nak keluar main bola.”

“kejap je.”

“orait.ana call sekarang.”

Lalu saya pun call la seorang sahabat yang juga belajar di oversea ini.

“Hello, ha kenape akhi?bunyi macam urgent je.”

“ana down doh.ana ‘terlepas’ la. Betul cakap anta, lambat masuk habis”

“oh patutla tak boleh tidur ni. dah tengah pagi dah kat tempat anta ni.”

Bila dia cakap ‘terlepas’ tu, saya dah boleh agak apa yang berlaku. Saya ambil masa selama 10 minit bercakap dengan dia sebelum saya pergi sembahyang. Kemudian dua hari selepas itu, datang pula satu call seorang sahabat yang di US ni. sahabat ini memang layak sangat berkahwin kerana umur yang semakin menginjak.

“Assalamualaikum Nazrul, terima kasihla atas doa. Alhamdulillah semuanya nampak berjalan lancar dan positif.”

Lama juga saya sembang dengan sahabat yang ini. mengenang nasib dua orang sahabat ini, saya teringat kisah Saidina Ali dan Salman Al Farisi. Seorangnya beruntung dan seorang lagi terlepas. Saya mengakui, umur sekarang memang selayaknya kita memikirkan hal-hal berkaitan rumah tangga. Saya tak pasti keadaan perempuan macam mana, tetapi bagi lelaki benarlah seperti apa yang disabdakan Rasulullah SAW:

“Takutlah (berhati-hatilah) kalian dengan dunia dan takutlah kalian terhadap fitnah wanita kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah dalam urusan wanita.” (Hadith Riwayat Muslim)

“Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku fitnah yang paling dahsyat ke atas lelaki melainkan fitnah wanita.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memang fitrah yang Allah jadikan adalah makhluk ini berpasang-pasangan. Jadi seandainya kita cuba menafikan fitrah ini, kita akan tewas.

“bercinta sebelum nikah itu haram”

Kata sesetengah orang (biasanya budak usrah la ni). Definisi cinta itupun terlalu subjektif, jadi yang saya berani kata haram adalah bercouple. Keluar berdua-duaan ke mana-mana tanpa ikatan yang sah disisi syara’ tanpa ditemani mahram, berpegangan tangan dan berkhalwat di tempat yang jauh daripada orang awam (orang ramai) itulah couple.

Saya akui fitnah wanita memang dahsyat terutama bagi pelajar yang belajar di luar negara. Dengan pakaian minah saleh yang umpama tidak berpakaian itu, memang sangat menguji iman. Andai tidak kuat iman dan tidak mempunyai kawan-kawan yang sering mengingati, memang alamatnya hanyut. Jadi, ada baiknya mengambil langkah selamat dengan cara yang telah disyariatkan melalui jalan pernikahan. Emak bapa tak bagi, sponsor tak bagi, tiada calon; itu adalah urusan kedua kerana yang paling penting iman dan kesucian diri kita terpelihara.

Ada juga kawan yang berkata:

“aku kalau Yun  kahwin, baru aku kahwin.”

Sesungguhnya tidak ada sebarang faedah pun tunggu saya ‘jalan’ dulu. Mau yang di sebelah ‘sana’ dirampas orang atau swing hatinya, ada pulak yang datang mengadu. Pernikahan adalah jalan selamat dalam menghadapi dunia fitnah akhir zaman ini. Seperti yang kita sering baca di akhbar-akhbar, statistik hamil anak luar nikah berada di paras kritikal, jadi dengan bernikah statistik ini dapat dikurangkan. Kalau siapa sahaja yang sudah ada calon, rancanglah untuk melengkapkan separuh agamu demi memelihara kesucian dirimu.

Kata ikhwah kepada akhawat: fitrahku memerlukan dirimu.
Wallahua’lam..


Thursday, September 29, 2011

Politik Zaman Tok Nadoq...

Salam buat semua sahabat-sahabat. Ilmu adalah cahaya Allah dan cahaya Allah tidak menembusi hati yang gelap bermaksiat kepada Allah.
Amma ba’d.

Dulu waktu di tingkatan satu dan dua, saya dibenarkan untuk pulang ke rumah 2 minggu sekali. Biasalah, anak bujang balik dari asrama apalagi kalau bukan baju yang tak berbasuh dan busuk itu. Memang emak selalu kata:

“Bang ngah, baju zaman tok nadoq mana bawak balik ni. Dok sana tak bajuh baju ka?”

Memang waktu tu, saya basuh baju seminggu sekali. Jadi, balik rumah memang emak la basuh baju, sidai baju dan ironkan untuk saya (anak emak.hehe). Dalam kalangan orang utara, zaman tok nadoq merujuk kepada sesuatu yang sangat lama, kolot, dan tidak diguna pakai lagi sekarang.

Saya hairan, dalam zaman kita hidup bak kata orang maklumat di hujung jari, masih ada yang pemikirannya masih di zaman tok nadoq. Sebelum melangkah lebih lanjut sila lihat gambar di bawah. (klik pada gambar untuk pembesaran).

Zaman mencerca atau memaki orang tanpa hujah yang nyata adalah zaman masyarakat jahiliyyah dahulu. Yang dimaki pula bukan calang-calang orang tetapi ulama’ yang disegani di peringkat nasional dan antarbangsa. Astaghfirullah. Kalau nak memaki Tuan Guru Nik Aziz sekalipun biarlah setaraf dengan dia; pergi merantau belajar di India dan Mesir bertahun-tahun dahulu.  Mencerca ulama’ sebegitu rupa hanya menampakkan kebodohan diri sendiri. Sebab apa? Sebab memaki tanpa membawa hujah yang nyata. Kalau si pencerca ini mampu membawa hujah, sebagai contoh si fulan bin si fulan bodoh sebab menentang hukum Allah, si fulanah binti si fulanah jahil sebab tak menutup aurat , tidak mengapalah walaupun bahasanya memang melambangkan orang yang tidak bertamadun. Ini tidak dia memaki sedemikian rupa tanpa memberi hujah kenapa Tuan Guru Nik Aziz layak dimaki sedemikian rupa. 

Inilah orang yang jahil dan pendek akal. Di zaman kita hidup semuanya perlukan kepada reasoning, masih ada yang hidup seolah-olah tiada akses internet. Saya yakin ini hanyalah satu bukti orang yang jenis mencerca ulama dan diluar sana terdapat ramai lagi orang yang sejenis dengan si pencerca ini. kesimpulan yang dapat saya buat adalah, ini menunjukkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita GAGAL. Gagal mendidik masyarakat dan rakyat menjadi insan berakhlak, beradab dan berintelektual tinggi. Golongan yang suka mencerca orang ini sebenarnya berpemikiran rendah kerana mereka seolah-olah tidak mendapat maklumat; siapa benar siapa batil, siapa ikut perintah tuhan siapa ikut perintah syaitan.

“Sesungguhnya termasuk tanda-tanda datangnya hari kiamat adalah direndahkan para ulama’ dan diangkatnya orang jahat” (maksud hadith)

Kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi, kita hidup di satu zaman yang ilmu maklumat  sangat mudah untuk diperolehi. Janganlah jadi bodoh seperti lembu, kehidupannya yang setiap hari hanya patuh arahan tuannya membuat kerja ladang atau mengeluarkan susu. Kenali siapa yang ingin menegakkan hukum tuhan siapa menolak hukum tuhan, yang mana Islam yang mana sekular, kepimpinan mana bersih kepimpinan mana rasuah. Politik kita adalah politik idea, bukan politik selak kain orang. Politik kita adalah siayasah syari’yah, bukan politik sekularisme. Politik kita adalah politik mendidik jiwa insan menjadi hamba Allah,bukan politik hedonisme yang meluluskan kilang arak dan kedai judi.

Jadilah orang yang bijak, kenali mana intan mana kaca. Ini bukan lagi politik zaman tok nadoq yang orang bercakap tanpa ilmu pengetahuan...

Tuesday, September 27, 2011

Menghukum vs Menyedarkan...

Salam buat semua, semoga hidup diberkati Allah selalu.
Amma ba’d.

SITUASI DI AMERIKA

Mom: ok dear, we will play outside. We cannot play here in the shop.

Son: All right mommy.

SITUASI DI MALAYSIA

Emak: heh, jangan main kat sini lah.kang jatuh barang-barang tu,emak cubit.

Anak tersebut sama ada terus bermain atau berhenti dek kena cubit.

Inilah dua situasi yang sering saya perhatikan. Begitu berbeza sekali pendekatan yang digunakan ibu bapa di Amerika dan Malaysia. Apa yang boleh saya simpulkan ialah, ibu bapa di Malaysia lebih mudah menghukum berbanding memberi didikan ataupun alternatif. Dalam konteks kemasyarakatan, ada sesetengah golongan agama terlalu mudah menghukum kepada orang-orang yang masih jahil dalam agama.

“tak boleh! Apa yang kamu buat itu HARAM. Nanti masuk NERAKA!”

Terjelepuk kawan yang buat salah tadi. Konteks kemasyarakatan dan keibu bapaan juga masih mungkin masih jauh dengan saya. Namun, dalam aspek menegur dan mengajak sahabat-sahabat yang masih leka, konsep menghukum bukanlah kaedah terbaik dalam menyedarkan mereka. Bagi saya, yang paling penting adalah menyedarkan sahabat tadi tentang perbuatan yang dilakukannya salah, bukan menghukumnya dengan perkataan ini haram,itu tak boleh,itu masuk neraka walaupun natijah kesalahannya memang begitu. Sebagai contoh, katakanlah kawan kita ada yang memakai seluar pendek ketika main bola (ataupun tidak memakai tudung bagi perempuan), hampiri  dan kenali dia. Kemudian ceritakan kepadanya tentang aurat, kewajipan menutup aurat dan kesan tidak menutup aurat. Insya Allah hatinya lebih mudah untuk menerima dan lebih mudah dirinya untuk berubah kearah yang lebih baik. Berhikmahlah dalam menyeru orang kepada Allah. Hikmah itu adalah bijaksana.

Kesimpulannya, janganlah menghukum sebaliknya berilah kesedaran kerana jiwa yang sedar itu akan tahu apa tindakan yang patut dilakukannya. Wallahua’lam.
                  Masjid Diraja Sultan Sulaiman,Klang. Rindu tempat ini.

Saturday, September 24, 2011

Kalimah Kebenaran (Al Haq)...

Salam buat semua, semoga kita terus dipandu hidayah Allah. Tanpa hidayah Allah, hiduplah kita dalam kesesatan yang nyata. Kesesatan hanya membawa kita ke neraka Allah. Waliyazubillahi min zalik.
Amma ba’d

Isu yang melanda negara kita sekarang adalah perihal hudud. Pada tahun 2008, saya yang masih baru dalam dunia blog ini telah menerbitkan artikel mengenai hudud ini. untuk membaca artikel tersebut klik di sini. Ada dua video yang saya rasa ulasannya sangat menarik mengenai hudud ini. Mari sama-sama kita luangkan masa menonton video ini dan memahami kehendak tuntutan Islam yang sebenarnya.

Video Dr Asri Zainal Abidin

Video Ustaz Azhar Idrus

Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk berkongsi ayat daripada surah An Nisa’ ayat 60-63.

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.

Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.

Maka bagaimanakah halnya apabila mereka (orang-orang munafik) ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: "Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna."

Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.” (4:60-63)

Saya berdoa agar kita semua tidak tergolong dalam golongan yang berdolak dalih dalam menegakkan kalimatul haq. Ayuh kita mentajarrud (menjernihkan) fikrah kita agar dapat membezakan antara al haq dan al batil.

    اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا  اجْتِنَابَهُ               

“Allahumma arinal haqqa haqqan warzuqnat-tiba’ah, wa arinal batila batilan warzuqnaj-tinabah"

Ya Allah, nampakkanlah kami kebenaran itu benar dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutnya, dan nampakkanlah kami kebatilan itu batil dan kurniakanlah kekuatan untuk menjauhinya.

Law Kana Bainana...

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (25:74)

Thursday, September 22, 2011

Pendekatan Manusiawi...

Salam ukhuwah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Semoga dikurniakan kebahagiaan dan ketenangan sentiasa.
Amma ba’d.

Ke mana kita ingin menyeru manusia? Adakah kita ingin meyeru manusia kepada duniawi? Itu tidak perlu diseru kerana manusia memang mudah tertarik untuk mengejar duniawi. Serulah jiwa-jiwa insan untuk kembali bertaut kepada tuhannya. Hati manusia yang tandus daripada mengingati Allah harus disentuh agar hatinya kembali untuk hanya bergantung harap kepada Allah.

Perkara yang ingin disampaikan adalah dalam kita ingin menyeru orang agar kembali kepada Allah, pendekatan manusiawi mestilah diambil kira. Uniknya penciptaan manusia ini adalah kerana mempunyai akal dan perasaan. Ada rasa sayang,suka, cinta, benci,sedih dan kecewa yang hadir silih berganti dalam hidup. Kerana hati yang gersang itu perlu disentuh, maka hikmah dalam menyeru perlu ada. Hikmah tidak bermaksud sentiasa berlembut tetapi hikmah itu adalah bijak untuk menyesuaikan kaedah mengikut keadaan. Ada orang perlu disentuh dengan cara lembut, ada orang perlu disentuh dengan amaran atau ancaman dan begitulah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Ada orang yang Rasulullah SAW khabarkan dengan keindahan syurga untuk melunakkan hatinya kepada Islam. Ada orang yang Rasulullah SAW khabarkan kepadanya azab neraka yang keras agar hatinya lembut kepada Islam. Itulah hikmah!

“Kejayaan sebuah kumpulan menjayakan kaderisasinya langsung tidak bergantung kepada sejauh mana benar atau tidak benar perjuangan yang dibawa. Sebaliknya ia bergantung kepada sejauh mana manusiawinya pendekatan yang diguna. Bagi jemaah yang kaderisasinya lemah, tidak perlu disemak sangat kesahihan perjuangannya, tetapi bersungguhlah menyemak kesahihan pendekatan. Allah tolong atau tak tolong, bersebab belaka. Sunnatullah namanya!” Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
                                      Picture courtesy of Google

Pokok pangkalnya, perkara pertama untuk mendekatkan orang yang perlu kepada sentuhan tarbiyah ini adalah dengan membina jalinan ukhuwah agar terbentuknya sifat saling memahami antara satu sama lain. Ukhuwah yang dijalin perlulah ikhlas tanpa ada sebarang kepentingan peribadi. Hampirilah manusia dengan pendekatan manusiawi seterusnya jalinlah ukhuwah agar hati-hati itu tersentuh.

Nice words from Hanisah
“Ukhuwah itu ibarat simen. Simen yang menghubungkan dua atau lebih batu bata menjadi sebuah bangunan”. Selamat Beramal..:)

Thursday, September 15, 2011

Muktamar di Las Vegas?...

Salam buat sahabat-sahabat,ikhwah akhawat yang dirahmati Allah senantiasa. Semoga mati kita dalam husnul khatimah.
Amma ba’d

Kelmarin telah ditetapkan bahawa Muktamar MISG tahun ini insya Allah akan diadakan di Las Vegas,Nevada. Maka timbullah pelbagai persepsi tentang muktamar kali ini. Saya tidak berhasrat untuk mengulas tentang tempat muktamar pada tahun ini. Muktamar MISG diadakan setiap tahun pada hujung bulan Disember. Tahun lepas, muktamar diadakan di St. Louis, Missouri.

Cuma apa yang saya kagumi ialah, baru diumum semalam tetapi pelajar-pelajar di serata US ini sudah mula merancang dan memikirkan bagaimana hendak ke sana. Begitu bersemangat sekali mereka demi program-program yang berbentuk keagamaan. Sedikit sebanyak yang dapat saya maklumkan kepada siapa yang tidak belajar di US ini, pertama, kalian mesti mengetahui bahawa tanah Amerika Syarikat sangat besar. Dari satu negeri ke satu negeri kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam memandu. Ketumpatan pelajar Malaysia kebanykannya berada di kawasan Midwest dan Eastcoast (Michigan,Indiana,New York,Pennsylvania,Ohio,Iowa,Wisconsin,New Jersey dan Minnesota).Las Vegas pula berada di barat dan sudah tentu akan mengambil masa yang lama untuk memandu. Ditambah program ini diadakan pada musim sejuk, justeru kemungkinan dilanda salji lebat dan rebut salji amat tinggi. Kalau memandu pun dikhuatiri terperangkap dalam perjalanan, kalau menaiki kapal terbang pun ada kemungkinan penerbangan terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk. Apapun itu semua di luar kehendak dan kekuasaan kita, apa yang penting banyakkan BERDOA dan BERTAWAKKAL  agar kami dapat tiba ke destinasi dan selamat berprogram. Sila lihat peta di bawah. Kalau nak memandu, saya terpaksa tempuh sembilan negeri; Pennsylvania,Ohio,Indiana, Illinois,Iowa, Nebraska, Colorado, Utah, dan Nevada.Penat!!!
                                           Click to enlarge

Perjalanan dari tempat saya, Rochester,New York akan mengambil masa 1 hari 13 jam memandu tanpa henti. Itu tidak termasuk berhenti makan, sembahyang, dan hajat-hajat lain. Apa yang ingin saya sampaikan untuk entri kali ini ialah, bagaimana gigihnya pelajar-pelajar di Amerika Syarikat ini mencari program-program yang insya Allah menjadi asbabul hidayah. Saya tidak menafikan bahawa pelajar-pelajar di negara lain ataupun di Malaysia sendiri tidak mencari program-program sebegini Cuma saya tidak berada di negara-negara tersebut,jadi saya tidak boleh mengulas tentang apa yang berlaku di sana. Setakat yang saya kenal, ada beberapa orang yang dahulunya memang memandang sepi program-program sebegini tetapi apabila berada di rantau orang ini, hati mereka mula terbuka. Alhamdulillah, ini indikator bahawa orang mula mencari jalan pulang.  Semoga kita terus diberi kekuatan untuk mengahdiri program-program sebegini dan yang lebih penting, taufiq dan hidayah Allah sentiasa bersama kita.

                       Perbincangan di Twitter bersama pelajar University Buffalo
                          Perbincangan bersama akhi Wan Khalil, Pennstate

Wednesday, September 14, 2011

Lafaz Ketenangan...

Salam buat semua,semoga iman dan amal bertambah sentiasa sejajar dengan penambahan ilmu.
Amma ba’d.

Ketenangan dalam bahasa Arab disebut sebagai sakinah dan jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab tajuk entri kali ini akan berbunyi lafaz sakinah. Nanti ramai pula teringat akan lagu daripada kumpulan Far East itu dan ada pula yang menyangka bahawa entri kali ini berkenaan baitul muslim dan segala yang bersangkutan dengannya. Kali ini saya suka kalau dapat berkongsi apa yang saya alami dan mungkin sahabat-sahabat juga alami. Pernahkah kita memohon kepada Allah agar dikurniakan perkara A namun yang terjadi kepada kita adalah perkara B? saya akui bahawa perkara ini sering terjadi dalam hidup saya. Banyak perkara yang kita harapkan dalam hidup namun yang terjadi sebaliknya.

KISAHKU

Bila saya kenang balik peristiwa-peristiwa lampau dalam hidup, banyak benda yang saya terima tidak seperti saya harapkan. Bermula daripada sekolah rendah saya berharap agar dapat keputusan 5A agar saya layak masuk ke MRSM namun takdir Allah mengurniakan saya 4A 1B sekaligus tidak melayakkan saya diterima masuk ke MRSM. Kemudian hati meronta-ronta agar tidak ke sekolah agama namun takdir Allah membawa saya ke SMKA Nibong Tebal. Semasa PMR, hati masih berharap agar tingkatan 4 dan 5 saya dihabiskan di bukan sekolah agama namun Allah membawa saya ke sebuah SBP yang hanya satu-satunya ada tertera perkataan ISLAM dalam nama sekolah. Kemudian, selepas SPM hati berharap agar dapat buat persediaan di KMB seterusnya sambung belajar di UK namun telah tertulis dalam taqdir bahawa saya harus buat persediaan di INTEC dan akan ke Amerika Syarikat. Kemudian apabila hendak memilih universiti mana harus ditujui, hati beriya-iya hendak ke Michigan State University tetapi taqdir Allah mendahului bahawa RIT adalah destinasi yang Allah janjikan buat saya.

Dan hanya sekarang, Allah yang maha bijaksana merungkai satu demi satu hikmah atas setiap taqdir ke atas diri saya. Hikmah-hikmah tersebut biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Allah. Apa mesej yang saya cuba sampaikan adalah, setiap perkara yang berlaku ke atas kita adalah hikmah dan rahsia yang Allah akan rungkaikan suatu masa nanti. Ketika kita menghadapi sesuatu yang bukan kita pinta bahkan kita tidak suka, kuncinya adalah REDHA dan SYUKUR.  Kalimah ALHAMDULILLAH adalah lafaz ketenangan yang saya maksudkan. Kebanyakan kita mudah mengeluh apabila kita tidak mendapat apa yang kita hajatkan.

Bila sekarang Allah telah menyingkap sedikit demi sedikit hikmah ke atas perkara yang berlaku ke dalam hidup saya dahulu, tidak ada perasaan dalam hati ini melainkan ketenangan dan kebahagiaan. Keinsafan juga menyelinap ke dalam diri ini memikirkan bahawa betapa kerdil dan terbatasnya pengetahuan kita tentang masa hadapan. Kadang-kadang terasa bahawa Allah sedang berbicara secara langsung kepada saya “wahai hambaKu, engkau tidak mengetahui apa yang Aku ketahui. Tidaklah segala rencanaKu ke atas dirimu melainkan untuk kebaikan dirimu andai engkau mengetahui”. Mengalir air mata mengenangkan bahawa keperitan-keperitan yang dahulunya menjengah dalam hidup adalah untuk kebaikan masa kini dan masa depan. Allahu Rabbi.

Point penting untuk entri kali ini, andai kita tidak dapat seperti yang kita hajatkan, jangan cepat mengeluh sebaliknya teruslah berusaha dan bersangka baik kepada Allah seperti mana dalam hadith qudsi yang biasa kita dengari:

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasuulullah saw. bersabda : “Allah swt. berfirman : “Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia mengingatiKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku ingat kepadanya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang banyak maka Aku mengingatnya dalam kelompok yang lebih baik dari padanya. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil”. (Hadits ditakhrij oleh Ibnu Majah).

Maha suci Allah tuhan yang tidak mentaqdirkan sesuatu kepada hambaNya melainkan kebaikan.

“Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau mengurniakan petunjuk dan hidayah dan jadikanlah kami dalam kalangan hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur”.

lagu ini kerap kali saya ulang kerana ia sangat menyentuh qalbu.

Sunday, September 11, 2011

Nasi & Lauk...


Salam buat muslimin dan muslimat yang dikasihi lillahi ta’ala. Semoga hidup di bawah bayangan Al Quran dan As Sunnah senantiasa.
Amma ba’d.

Ramadhan telah hampir dua minggu meninggalkan kita namun momentum tarbiyah rohani yang diterima semasa Ramadhan harus dikekalkan untuk 11 bulan yang mendatang. Moga-moga Ramadhan 1433 H sudi bertandang lagi dalam hidup kita. “Kun Rabbaniyyin wala takun Ramadhaniyyin” jadilah kamu hamba Allah dan janganlah kamu menjadi hamba kepada Ramadhan.

Sebenarnya ibadah hari-hari yang kita lakukan boleh diumpamakan seperti nasi dan lauk. Seperti yang kita sedia maklum, nasi merupakan makanan ruji bagi kita orang asia. Manakala lauk pula terdiri daripada pelbagai jenis yang biasa kita makan termasuklah ayam, ikan dan daging yang dimasak dengan pelbagai cara. Kalau kita makan nasi putih setiap hari tanpa lauk, apa yang kita rasa? Hanya sekadar kenyang tetapi tidak membangkitkan selera. Dalam istilah lain bolehlah dikatakan hambar sahaja makanan kita. kalau setiap hari kita hanya makan lauk tanpa nasi, ianya langsung tidak cukup syarat dan tidak akan langsung merasa nikmat makanan tersebut.

Begitulah nasi ini boleh la kita umpamakan seperti solat fardhu (boleh juga diibaratkan dengan amalan fardhu yang lain) manakala lauk seperti solat nawafil (solat sunat). Kombinasi nasi dan lauk mengenyangkan serta membangkitkan selera. Begitulah kalau kita hanya menunaikan yang fardhu sahaja, kita tidak akan dapat merasai kemanisan dalam beribadah. Masa kita untuk berbicara ‘hati ke hati’ dengan Allah sangat kurang justeru sakinah (ketenangan) yang dicari tidak dapat dicapai sepenuhnya. Namun, jika kita menunaikan solat fardhu ditambah dengan solat-solat sunat seperti qiyamullail, solat sunat dhuha, solat sunat rawatib, insya Allah kita akan berasa tenang dalam menjalani kehidupan walau sesukar mana mehnah yang kita hadapi. Solat juga sesungguhnya dapat mencegah kita daripada terjebak ke lembah kemungkaran seperti yang telah Allah firmankan:

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Ankabut:45)

Andai kita bersolat namun masih tidak mengekang daripada melakukan kemungkaran, mungkin solat kita kurang sempurna dan perhatikan jua apa yang kita makan. Apa-apa pun saya ingin menyarankan agar jangan mengabaikan solat sunat dhuha kerana fadhilatnya yang sangat besar. Selain jaminan rezeki yang luas, insya Allah hati dan jiwa akan berasa tenang dan lapang. Andai kita mempunyai kelas, lakukanlah pada hujung minggu (sabtu dan ahad). Perbanyakkanlah diri kita membaca dan mentadabbur Al Quran kerana selain sumber ketenangan, ia juga penawar bagi penyakit-penyakit mazmumah yang ada dalam diri kita. Selamat beramal…J

Wednesday, September 7, 2011

Hadaf & Hamasah...

Salam buat semua sahabat yang dikasihi lillahi taa’la. Kita masih dalam bulan syawal, jadi marilah sama-sama kita lengkapkan pahala puasa kita umpama setahun dengan berpuasa enam.
Amma ba’d.

Entri kali ini, saya ingin membicarakan dua perkara iaitu HADAF dan HAMASAH. Hidup kita di dunia ini terlalu singkat untuk kita explore keseluruhannya. Atas dasar ini kita perlu sedar dan tahu tentang apa yang diperlukan dalam hidup sebenarnya.

HADAF

Apakah itu hadaf? Bagi sesiapa yang pernah belajar bahasa arab pasti mengetahui maksud hadaf ini. Hadaf bermaksud tujuan, objektif atau matlamat. Untuk kali ini, saya akan perhalusi hadaf ini dalam skop kehidupan. Memang dalam sayrikat-syarikat besar, mereka akan menentukan matlamat jangka pendek, jangka sederhana, dan jangka panjang. Jadi berbalik kepada persoalan kehidupan, kita harus mempunyai matlamat dalam hidup. Jika ditanya beberapa orang sekelilng kita tentang matlamat hidup, pasti jawapan mereka berbeza-berbeza.

Amin: aku nak jadi businessman yang berjaya.

Ali: aku nak jadi doktor pakar mata bila besar nanti

Jamal: aku nak kahwin dengan anak raja.

Abu: aku nak mati syahid.

Itulah sebahagian matlamat hidup manusia yang pelbagai ragam. Saya teringat akan satu analogi yang dipetik daripada blog Ustaz Hasrizal tentang lampu. Katakanlah kita ingin mengetahui tentang tujuan penciptaan lampu tadi, seharusnya kita pergi bertanya orang yang menciptakan lampu tersebut. Pastinya dia akan menyuruh kita merujuk kepada manual guide yang disisipkan bersama lampu tersebut. Begitulah hakikat kehidupan kita yang singkat ini. wujudnya kita di dunia ini tidak hanya sekadar jasad, roh, alam sekeliling, dan perasaan tetapi dikurniakan juga Al Quran dan As Sunnah sebagai manual guide untuk kita jalani dalam kehidupan. Jadi untuk kita mengetahui tujuan kita berada di dunia ini tidak lain haruslah merujuk kepada dua peninggalan Rasulullah SAW ini. untuk meringkaskan cerita, ada tiga tujuan kita yang Allah gariskan dalam Al Quran.

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (51:56)

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."(2:30)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (3:110)

Ayat-ayat suci di atas adalah ayat yang biasa kita dengar. Dalam surah Ad Dzariyat ayat 51 Allah Azza wa Jalla menerangkan tujuan kita dijadikan tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya. Tidak ada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dalam surah Al Baqarah ayat 30, Allah Subhanahuwataa’la menjelaskan peranan kita sebagai khalifah. Dalam erti kata lain selaku khalifah, kita hendaklah menjalani kehidupan dan memakmurkan dunia ini mengikut acuan Al Quran dan As Sunnah. Dalam surah Ali Imran ayat 110, Allah menjelaskan tanggungjawab kita selaku penyeru agama Allah ataupun dipanggil dai’eilalllah. Jadi tiga peranan kita; abidullah,khalifatullah dan dai’eilallah merupakan tujuan kita diciptakan. Adapun tujuan-tujuan lain, ia masih tertakluk kepada tiga tujuan utama ini. Misalnya, kalau kita nak jadi kaya dan dengan kekayaan tersebut kita dapat menginfaqkan sebahagian daripada harta kita untuk pembangunan ummah seperti membina madrasah, masjid, perpustakaan dan sebagainya. Ini dapat dilihat bahawa kita telah menyempurnakan salah satu tujuan hidup kita selaku khalifatullah. Jelas di sini, kita dijadikan secara tidak sia-sia. Segala apa yang kita kerjakan di dunia akan diersoalkan di akhirat kelak. Tidak ada seorang pun daripada kita yang akan terlepas daripada penghisaban Allah di hari akhirat kelak.

HAMASAH

Hamasah bermaksud semangat yang jitu. Kadang-kadang kita telah jelas tentang matlamat dan tujuan hidup kita tetapi disebabkan tumpulnya hamasah dalam diri kita, tujuan tersebut tidak dapat dicapai. Hamasah yang tinggi akan memandu kita untuk bersungguh-sungguh dalam mencapai atau melengkapi tujuan hidup kita. Bagi memupuk semangat yang tinggi dalam apa jua bidang yang kita tekuni sama ada da’wah, akademik, politik, sukan, ekonomi dan sebagainya , kita mesti menguatkan tekad, usaha, doa serta tawakkal kepada Allah Azza wa Jalla. Allah Jalla wa A’la tidak pernah menjanjikan kemudahan dalam hidup tetapi bagi kita yang beriman lagi yakin, percayalah bahawa pertolongan Allah akan bersama kita dalam setiap situasi selagi mana kita bersangka baik kepada Allah seperti mana dalam satu Hadis Qudsi (perbetulkan kalau saya silap) Allah berfirman:

“Aku adalah seperti apa yang hambaKu sangkakan”

Bagi menguatkan hamasah dalam diri kita, kita harus yakin bahawa segala janji Allah tentang syurga, kesenangan hidup, redha dan rahmat Allah akan diperolehi andai kita ikhlas dalam menjalani kehidupan sebagai Abidullah,Khalifatullah dan Dai’eilallah. Apa yang penting ialah kita kenal diri kita dan sedar kemana kita selepas ini. Sebenar-benar pengakhiran kehidupan hanyalah syurga ataupun neraka.

Wallahua’lam

Sekitar Annual Delegate Conference di Purdue University, West Lafayette, Indiana

                     Ikhwah-ikhwah yang cemerlang. Akhawat, mana antunna?

Bedah buku

Shahadatul Haq

                                                 Bersama rahib

                                Ajaran Sufi oleh Sufi Mazli

                       Lafaz sakinah.eh silap, lafaz amanah.:P

Sembang santai

                                        Ghulam da'wah

                                 Sepagi bersama Ikhwan

Khusyuk Mendengar tazkirah Ikhwan


Cleveland yang mendung


Ikhwah-ikhwah hensem