Monday, August 30, 2010

ManA mIliK kiTa...







Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

P / S : tidak perlu kita berasa sombong kerana apa yang kita ada semuanya milik Allah . Marilah menjadi hamba Allah yang bersyukur dan redha dengan ketentuannya .

Friday, August 27, 2010

BerMula SeBuah keHidupAn...


Salam buat semua rakan-rakan yang berada di atas muka bumi Allah.mudah-mudahan kita keluar dari kolej ramadhan dengan mendapat ijazah taqwa.
Amma ba’d.

Ketentuan Ilahi
Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran saya lafazkan kepada Allah kerana telah memberi peluang dan keizinan untuk saya terus merantau di bumi Nya. Allah telah membawa saya ke bumi Rochester, sebuah Bandar yang aman di negeri New York. Allah berfirman:

“Boleh jadi kamu mebenci sesuatu,padahal perkara itu baik bagi kamu dan boleh jadi kamu meyukai sesuatu perkara padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah menegtahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (2:216)

Pada asalnya, tidak ada fikiran saya untuk menyambung di Rochester Institute of Technology (RIT) namun Allah lebih mengetahui. Saya begitu bersemangat untuk pergi ke Michigan State University (MSU). Dek kerana tawaran MSU datang lebih lambat berbanding RIT, hati saya telah tawar untuk ke MSU. Saya mendapati RIT sesuai dengan jiwa saya memandangkan ia terletak di kawasan kampong dan tidak sesak dan sibuk dengan kenderaan. Alhamdulillah….

Perjalanan Yang Panjang
Perjalanan yang panjang bermula di KLIA. Flight  ke Los Angeles International Airport (LAIA) bermula pada 25/8/2010 tepat pukul 3.15 petang. Selepas 4 jam perjalanan,flight  berhenti di Tao Yuan International Airport, Taipei. Airport di Taiwan tidaklah sehebat airport di KLIA. Selepas 1 jam 30 minit, perjalanan diteruskan ke LAIA selama 12 jam 10 minit. Dalam pesawat MAS tersebut, pelbagai makanan dan minuman sedap disediakan.

“Sir, do you want beer?

Soal peramugari melayu muslim kepada penumpang berbangsa asing.inilah perkara yang saya amat kesali. Setibanya di LAIA, saya tidak menghadapi masalah untuk melepasi kastam di Amerika namun beberapa orang rakan saya ditahan selama 3 jam di LAIA tanpa diketahui sebabnya. Pukul 11.30 malam waktu LA, saya dan rakan-rakan yang lain meneruskan perjalanan ke Detroit menaiki Delta Airlines dan perjalanan ini mengambil masa selama 3 jam 15 minit. Tepat pukul 6.15 pagi, kami tiba di Detroit Airport; sebuah airport yang cantik dan sangat kemas. Sekali lagi saya dan rakan yang lain menukar flight yang lain untuk ke Rochester Airport dan masa perjalanan ini mengambil masa 1 jam 10 minit. Tepat pukul 9.30 pagi waktu Rochester, saya selamat sampai di bumi Rochester. Alhamdulillah

Anti Sampah
“ Kamu sebagai ketua murid ada kuasa mutlak untuk menyuruh mana-mana murid untuk kutip sampah di kawasan sekolah kita” pesan guru disiplin sekolah rendah kepada saya lapan tahun yang lepas. Tarbiah ini melekat di hati saya. Di sini, sampah tidak kelihatan di jalan-jalan raya dan perkara ini sangat menenangkan saya. Sesiapa yang pernah sebilik dengan saya tahu fiil saya yang anti sampah. Rochester Bandar yang tenang dan bersih tanpa sampah. Alhamdulillah..
                                                       Park Point Drive; rumah saya dari luar
Diperli Atau Memang Hensem
Kelmarin, bagi menghilangkan jet lag, saya berjalan keluar bersama Akmal, Ainuddin, dan Leh Ming. Ketika berjalan di sekitar Park Point Drive, rumah kediaman saya, 4 orang minah saleh menaiki sebuah kereta dan membunyikan hon kepada kami sambil tersengih-sengih malu. Sama ada, mereka memerli kami kaum lelaki yang berjalan sedangkan mereka menaiki kereta ataupun kami memang hensem. Wallahualam…
                                Rumah senior yang saya tumpangi di Rustic Village
Setakat ini sahaja dahulu coretan untuk kali ini.

Thursday, August 26, 2010

AlhamdUliLlah....

Alhamdulillah, saya selamat sampai di bumi Rochester..Sekarang ini saya menetap di rumah senior..
                                               ini rumah saya di rochester.

Monday, August 23, 2010

AkU guSAr..

Salam buat semua muslimin dan muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah sehingga ke akhir hayat.
Amma ba’d.

Hari ini, terdetik di hati saya untuk membeli akhbar metro. Sebelum ini, hanya berita harian yang dibeli selain akhbar alternatif tetapi akhbar metro pada 23/8/2010 ini betul-betul menyentap jantung saya. Headline pada hari ini adalah “Gadis Sunti Bermukah”. Bayangkan gadis yang masih mentah berumur 12 tahun  sudah berani bermukah dengan dua lelaki yang seorang berumur 20 tahun dan seorang lagi berumur 23 tahun. Ia lebih mengejutkan kerana ia berlaku di bulan ramadhan dan semasa waktu persekolahan. Kejadian ini berlaku di Kulim, Kedah (klik di sini untuk berita penuh).

Apabila membaca berita ini, pelbagai persoalan timbul di benak fikiran saya. Apakah dia tidak ke sekolah? Di mana ibu bapanya ketika masa kejadian? Apakah penyebab dia begitu berani melakukan perbuatan terkutuk itu di bulan Ramadhan yang mulia ini? Tidakkah dia memikirkan masa depannya?

Perkara ini berlaku di Kulim; sebuah bandar teknologi tinggi dan bangunan di pekan Kulim tidaklah sekompleks dan sehebat bangunan-bangunan di kota metropolitan Kuala Lumpur. Timbul lagi persoalan, jika di Kulim perkara sebegini boleh berlaku, apakah jaminan perkara ini tidak berlaku di Bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown, dan Johor Bahru?

Membaca berita ini menyebabkan saya bimbang dan gusar apabila memikirkan 15 ke 20 tahun akan datang. Insha Allah, pada masa itu saya juga bakal mempunyai anak-anak yang berumur dalam linkungan belasan tahun. Hati jahat saya mengatakan, gadis ini tidak dididik dengan didikan agama yang sempurna. Namun hakikatnya, hanya Allah yang tahu.

Berita ini sepatutnya membuka minda kita agar dilakukan sesuatu kepada sistem pendidikan di negara kita. Saya sendiri tidak pasti bagaimana kita harus meminda sistem pendidikan yang sedia ada tetapi saya yakin bahawa sistem pendidikan kita mempunyai kekurangan. Hari ini, kita terlalu menjadi examination oriented. Kesannya, ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen dan memaksa anak mereka untuk belajar supaya mendapat bilangan A yang maksimum. Ibu bapa harus sedar, perbuatan ini menyebabkan anak-anak memberontak dan tanpa mereka sedar, anak-anak akan melakukan sesuatu di luar jangkaan seperti yang dilakukan gadis ini. 

Selain itu, pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah tidak menyeluruh. Hanya sebahagian tertentu sahaja yang diajar sedangkan perbincangan dalam Islam mencakupi seluruh kehidupan. Saya  juga tidak nampak usaha-usaha yang bersungguh dalam menimbulkan pembudayaan ilmu di negara kita. Kita boleh dapati di stesen –stesen bas, kreta api, teksi dan sebagainya masyarakat menunggu kaku tanpa buku di tangan. Kalau ada pun, ianya novel picisan, majalah hiburan yang melalaikan dan komik yang langsung tidak membentuk budaya berfikir. Sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu memandangkan kes-kes seksual di kalangan remaja seawal 12 tahun sudah berleluasa.

Dalam setiap kali solat, saya sentiasa memohon kepada Allah agar mengurniakan isteri yang solehah yang dapat bersama-sama saya di masa hadapan agar dapat mendidik anak-anak saya menjadi insan soleh solehah. 

Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatuna min qurrata a'yun waja'lna lil muttaqina imaama.

Sunday, August 22, 2010

HilAnG FokUS..

   Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Rabbul I’zzati kerana telah menyampaikan kita ke dalam fasa maghfirah dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Fasa rahmat telah dua hari berlalu sekaligus menyaksikan bahawa masa berjalan begitu pantas sehingga terkadang kita tidak menyedarinya. Beruntunglah bagi yang sentiasa beringat.

   Dalam bulan ramadhan yang mulia ini, hendaklah kita mempertingkatkan amal Ibadah sebanyak mungkin kerana pahala yang dikurniakan Allah berlipat kali ganda Allah kurniakan. Dalam bulan mulia ini, saya telah mengambil langkah untuk deactivate facebook bagi tujuan ihya’  ramadhan. Namun, dua tiga hari ini, saya hilang fokus atau dalam erti kata lain saya hilang khusyuk dalam solat terutama solat tarawih. Punca utama berlakunya keadaan ini disebabkan saya terlalu memikirkan tentang hari rabu ini. Bukanlah bermaksud sebelum ini, solat saya sememangnya khusyuk tetapi sejak dua tiga hari ini saya kurang fokus dalam sembahyang berbanding solat tarawih sebelum ini. Sesungguhnya kita manusia terlalu disibukkan (baca: menyibukkan diri) dengan urusan duniawi.

   “Yun, nanti kalau dah kahwin aku nak pesan kat isteri aku. Kalau nak buat kuih ke, nak beli baju raya ke, buat di bulan sya’ban. Zaman rasulullah SAW, para sahabat pulun (bersungguh-sungguh) melakukan amal ibadah tapi hari ini kita sibuk dengan nak cari baju raya la, buat kuih la, pergi pekan la..macam-macam” kata seorang sahabat saya.

“cari baju raya awal-awal tak best sebab baju fashion tahun lepas punya. Satu lagi, tak banyak offer sangat.haha” saya berceloteh.

  Apa yang saya nak ceritakan disini adalah, memang benarlah kata sahabat saya itu. Orang sekarang lebih mengimarahkan syawal berbanding Ramadhan walhal ramadhan terdapat pelbagai rahmat, berkat, serta terdapat padanya malam al qadar. Ramadhan juga menyaksikan bahawa umat Islam menang dalam peperangan badar al kubra. Ramadhan juga menyaksikan, al quran diturunkan pada malam 17 ramadhan dan dalam ramadhan juga, pahala dilipat gandakan. Jadi, orang yang menyia-nyiakan ramadhan bolehlah dikatakan kurang bijak atau dalam bahasa kasarnya bodoh. Sepuluh malam ramadhan terakhir sepatutnya ditingkatkan amal ibadah kerana kita tidak pasti lagi sama ada kita akan bertemu ramadhan akan datang ataupun tidak. Oleh itu, hargailah ramadhan yang sedang mendatangi kita dengan bersolat jemaah setiap waktu di masjid, bertadarus, bertarawih, bersedekah, dan melakukan amal-amal kebajikan yang lain.

Saya menyeru diri saya dan saudara-saudara sekalian supaya marilah kita ubah cara fikir kita dan melakukan anjakan paradigma dalam ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Friday, August 20, 2010

Ini ReaLitI...

Saya tidak berniat untuk menulis panjang kerana ada orang sudah menulis tentang cerita ini dengan panjang lebar. Nak Tahu? klik di sini 



Fasa Rahmat akan berakhir. Fasa Maghfirah bakal menyusul.

Thursday, August 19, 2010

TaHniAh!!!!....

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar A Level INTEC yang telah memperolehi keputusan peperiksaan dengan cemerlang. Sesungguhnya usaha anda semua selama dua tahun telah membuahkan hasil.Semoga kejayaan ini menaikkan lagi semangat anda semua untuk melanjutkan pelajaran ke Ireland dan India (ALM), United Kingdom (ALUK), dan Jerman (ALG). Adalah diharapkan kejayaan anda diiringi dengan kesyukuran kepada ilahi.

Khas: Kepada Rafi Md Yusop , sekalung tahniah kepada anda atas keputusan yang cemerlang. Allah tidak pernah mensia-siakan doa hamba Nya yang ikhlas. Semoga terus berjuang di University College of Dublin (UCD)

Monday, August 16, 2010

Dan aPaBiLa meRekA BerPesaN.....

 Mak Cik Gayah (jiran): "Nanti jangan bawak balik minah saleh pulak.orang melayu kita ramai lagi"

Mak Lang: "Dok sana cuti jangan balik.Pi jalan-jalan.Jangan tinggal sembahyang sebab tu ja benteng kita"

Cikgu Zabaruddin: "Belajaq kat sana elok-elok. Kalau nak cari jodoh, carila yang melayu kat sana."

Emak :"Hang dok sana tak payah balik tak pa.Hang pi la jalan-jalan mana hang nak pi. Kalau ada duit, tahun depan pi Mekah buat umrah dulu .nanti tak kalut dah"

Rasulullah SAW: “Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman hingga kamu saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan kamu  satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu!”(HR. Muslim)

Allah : “Tidakkah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada." (Surah al-Hajj, ayat 46)

Sunday, August 15, 2010

LeBai dan sOngkOk...

Salam ramadhan buat semua muslimin dan muslimat, semoga kita terus meningkatkan amal ibadah dalam bulan yang mulia ini.
amma ba’d.


Semakin hari kita mendapati bahawa gejala pembuangan bayi, rasuah, seks bebas dan pecah amanah semakin menjadi-jadi di negara kita. Gejala ini merebak bagaikan barah tahap keempat; seolah-olah tidak boleh dikawal lagi. Apakah tidak ada penyelesaian dalam hal ini? Apakah manusia tidak tahu bahawa api neraka itu sangat panas? Bagi menjawab persoalan-persoalan ini kita harus tahu apa punca sebenar yang membawa kepada pemasalahan di atas.

Presenting Problem  VS  Real Problem
Gejala-gejala yang saya sebutkan di atas adalah presenting problem ataupun pemasalahan yang zahir (baca: pemasalahan yang wujud disebabkan sesuatu perkara). Semua gejala tersebut berlaku disebabkan adanya real problem ataupun pemasalahan pokok. Kebanyakan masyarakat hari ini, tidak kenal lagi halal dan haram. Apa yang penting bagi dirinya adalah wang, harta, pangkat, dan projek. Pemasalahan pokok bagi semua gejala yang negatif ini adalah disebabkan masyarakat hari ini menjauhkan (baca:dijauhkan) diri daripada al quran dan as sunnah.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu mengikutinya. Al quran dan sunnahku.” (Bukhari)
Segala suruhan Allah dalam al quran tidak dihiraukan lagi. Semua sunnah nabi tidak lagi diamalkan. Apabila dua panduan ini ditinggalkan atau diamalkan secara separuh-separuh, maka kepincangan dalam masyarakat berlaku tanpa dapat dibendung. Manusia hidup tidak lagi bertuhankan Allah tetapi mereka menyembah nafsu ammarah yang senantiasa menghasut kearah kejahatan. Persoalan sembahyang pada hari ini tidak lagi dititik beratkan, puasa tidak lagi ditunaikan, zakat dianggap membebankan, dan haji dianggap menyusahkan. Lupakah kita bahawa semua yang kita ada adalah pinjaman yang akan dipersoalkan di yaumul hashr? 

Firman Allah dalam al quran : “sesungguhnya solat itu dapat mencegah kamu daripda perbuatan keji dan mungkar” (29:45).
Kerana tidak bersolat, kita dapat melihat hari ini masyarakat melakukan dosa dan maksiat secara terang-terangan. Pemimpin terpalit dengan rasuahnya, orang kaya sentiasa menindas yang miskin, para ulama’ bagaikan syaitan bisu dan orang miskin pula tidak sudah-sudah merungut akan nasib diri. Apakah sudah tidak ada ruang untuk mengubah keadaan ini?

Politik Kepartian
“Eh mat, hari ni kenduri rumah Seman kat Taman Batu Dua. Dia panggil kita semua pergi makan kenduri”

“Kau je lah yang pergi Mail. Kau tau kan aku ni berdarah ‘biru’. Tak nak lah aku pergi rumah orang berdarah ‘hijau’. Diorang ni cakap je lebih,buatnya tidak pun.”

Begitulah situasi keadaan sesetengah daripada kita. Jika kenduri orang BN, orang PAS tidak pergi dan jika kenduri orang PAS, orang BN tidak pergi. Inilah politik sempit yang diamalkan oleh masyarakat hari ini. Kadang-kadang perkara-perkara remeh pun hendak dipolitikkan.

“Tiang elektrik kat hujung kampong kita tumbang semalam”
“Ni mesti kerja ‘puak-puak’ tu semalam. Diorang pasang kat tiang tu banyak sangat bendera dan banner”

Boleh tak jika dalam hal-hal kemasyarakatan kita mengenepikan perbezaan fahaman politik? Disebalik perbezaan marilah kita mencari titik persamaan. Orang memakai lebai dilabel PAS manakala orang memakai songkok dilabel sebagai UMNO. Kenapa perlu mempolitikkan pemakaian songkok atau lebai?Bukankah orang islam dalam PAS dan UMNO adalah bersaudara. Rasulullah SAW bersabda “setiap muslim itu bersaudara. Tidak boleh menzaliminya, tidak boleh membiarkannya, tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh mendustainya. Taqwa disini (Rasulullah SAW mengisyaratkan di dadanya).(Muslim)

Marilah kita semua tinggalkan fahaman politik sempit (politik kepartian) yang menuju ke jurang binasa. Politik yang baik adalah, kita duduk berbincang bagaimana harus kita majukan ekonomi ummah dan negara, siapa yang harus memimpin negara kita, bagaimana ingin mendaulatkan perundangan Islam dan bagaimana ingin kita mencapai perpaduan antara kaum. Perkara ini yang sepatutnya menjadi titik persamaan dalam kita ingin menuju kea rah negara maju.

Ultra Melayu
Terdapat hari ini segelintir orang melayu sangat pantang dicabar hak dan ketuanan Melayu tetapi apabila Islam dicabar semuanya menikus. Saya amat terkilan dengan kelulusan lesen perjudian yang dibuat oleh seorang pemimpin melayu. Bukankah dalam Perlembagaan Malaysia perkara 160, Melayu itu adalah I) menganut agama Islam II) bercakap bahasa melayu III) mengamalkan adat dan budaya melayu. Di mana Islam disisi orang yang membenarkan lessen judi? Adakah masih di dalam hati atau sebaliknya. Nauzubillah.. Kadang-kadang semangat kemelayuan melebihi semangat Islam lalu halal haram tidak lagi diambil kira. Kalau ia menguntungkan orang melayu, ketepikan perkara halal dan haram. Mari kita renungi sebuah lagi hadis Rasulullah SAW
“Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang di atas panji Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati di atas Asabiyah” (Sunan Abu Dawud)

“Barangsiapa yang berjuang di bawah panji-panji emosi, menjadi marah kerana sikap berat sebelah (’asabiyah), atau menyeru ke arah ‘asabiyah, atau mendukungnya dan kemudian meninggal, maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Sahih Muslim)

Rasullulah SAW tidak mengaku umat bagi orang yang mendukung fahaman assabiyah dan matinya dalah sama dengan orang jahiliyah. Neraka tersedia bagi orang yang memegang selain dari tali-tali Allah.

Tajdid
Oleh itu, sudah tiba masanya kita melakukan tajdid (pembaharuan) dalam diri kita. Selaku masyarakat yang celik ilmu, marilah kita mengambil semula al quran dan as sunnah yang ditinggalkan setelah kita melihat kebobrokan yang berlaku akibat panduan yang mulia ini ditinggalkan. Hiduplah di atas landasan tauhid dan iman serta tingglkanlah segala kemungkaran dan kefasikan hidup. Semoga ramadhan tahun 1431 hijrah menjadi pemangkin (catalyzer) dalam kita melakukan anjakan paradigma.
Wallahua’lam…

Thursday, August 12, 2010

SaraNan Buat baKal pERanTau....

Salam buat semua,mudah-mudahan kita mendapat kerahmatan, keampunan serta pelepasan dari api neraka sempena di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Amma ba’d.

Alhamdulillah pada 7/8/2010 yang lepas, kumpulan pertama penerbangan pelajar Malaysia ke Amerika bagi tahun 2010 telah selamat berlepas ke destinasi masing-masing di Amerika. Ada yang ke Iowa State University, Penn State University, University Park dan University of Arizona. Mereka semua khabarnya telah selamat sampai setelah hampir 40 jam menempuh perjalanan udara serta beberapa transit.

Di kesempatan ini saya ingin menyarankan kepada rakan-rakan yang bakal berlepas selepas ini untuk membeli buku bagi menghilangkan kebosanan ketika di atas kapal terbang nanti. Ada empat atau lima buah buku telah saya beli bagi tujuan tersebut. Antaranya buku  The 7 Habits of Highly Effective People (Stephen R Covey), Rindu Bau Pohon Tin dan Bercinta Sampai ke Syurga (Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil), The Perfect Man (Sheila O’Flanagan, novel), Fikah Luar Negara (Ustaz Maszlee Malik) serta beberapa buah buku lagi.

Di sini saya ingin menyarankan dua buah buku yang sangat wajar dibeli, Rindu Bau Pohon Tin dan Bercinta Sampai Ke Syurga karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com). Bagi pelajar yang akan ke luar negara, buku ini sangat sesuai untuk dijadikan panduan memandangkan Ustaz Hasrizal juga merupakan bekas anak perantauan di bumi Jordan dan UK. Saya akui, bahawa buku Fikah Luar Negara karya Ustaz Maszlee Malik juga penting memandangkan kita akan keluar dari “comfort zone” kita. Sebagai contoh di negara kita, di semua tandas kita akan menemui paip air namun di sesetengah negara tandas mereka kering dan mereka hanya menggunakan tisu untuk beristinjak. Jadi kita perlu sesuaikan dengan keadaan yang baru ini secepat mungkin.

Berbalik kepada buku saranan saya ini, ia lebih banyak perkongsian dan perbincangan ustaz Hasrizal tentang mua’malat kita sesama rakan-rakan senegara, komuniti setempat serta rakan-rakan yang datang dari negara asing lain juga. Dalam buku ini juga, banyak input-input  yang dapat membuka minda kita terhadap sesuatu isu apabila berada di luar negara kelak. Secara peribadi, saya mendapati banyak pandangan saya sama dengan Ustaz Hasrizal. Mungkin kerana kami pernah mendapat tarbiah dari sekolah agama, maka banyak pendapat kami boleh dikatakan sama. Tidak pasti pula saya jika faktor pihak penajaan yang sama telah menyebabkan banyak persamaan pendapat antara saya dan beliau. Ustaz Hasrizal merupakan pelajar kumpulan pertama tajaan JPA ke Jordan dalam bidang syariah.
Pelajar INTEC bersama Ustaz Hasrizal pada 18/6/2010
dalam program Fly High 2010

Sebelum membaca buku ini, saya berpendapat bahawa lambakan pelajar Malaysia di Timur Tengah sedikit sebanyak telah merendahkan kualiti ilmu di tempat tersebut. Hal ini kerana, sesetengah ibu bapa menghantar anak mereka belajar bidang agama di sana dengan duit poket sendiri setelah mendapati anaknya tidak cemerlang dalam bidang akademik. Seolah-olah jika anak mereka tidak pandai, maka bidang agama adalah “talian hayat” atau pilihan terakhir untuk mencerahkan masa hadapan anak-anak mereka.Ustaz hasrizal telah “mengiyakan” pendapat saya dalam buku Rindu Bau Pohon Tin. Hal ini terjadi apabila beliau berada di tahun kedua di Jordan apabila layanan orang Jordan sebelum ini sangat baik terhadap rakyat Malaysia bertukar menjadi dingin sedikit disebabkan kemasukan pelajar-pelajar Malaysia ke sana bukan atas dasar ingin belajar tetapi kerana suruhan ibu bapa. Jadi memang berbeza orang yang pergi ke sana atas dasar ingin mendalami ilmu dengan orang yang pergi kerana “mak suruh”. Iltizam dan kesungguhan mereka sangat berbeza.

Pendapat lain dalam buku Bercinta Sampai Ke Syurga adalah dalam institusi rumah tangga sekarang. Ada suara-suara mengkritik beliau mengatakan dalam banyak-banyak isu, kenapa isu cinta dan rumah tangga menjadi pilihan dalam kebanyakan artikel beliau. Saya sememangnya bimbang dengan kes-kes keruntuhan institusi rumah tangga yang semakin meruncing di negara kita terutama membabitkan orang melayu Islam. Ia sangat menyedihkan dan dikhuatiri masyarakat non-muslim akan mendapat persepsi negatif dengan mengatakan Islam adalah punca keruntuhan rumah tangga ini. Atas sebab ini jugalah beliau menulis buku ini bagi menyatakan kebimbangan dan punca-punca berlakunya kes-kes sebegini. Ustaz Hasrizal juga telah banyak menghuraikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani krisis sebegini.

Pendapat lain yang sama dengan saya adalah mengenai hala tuju politik negara dan beberapa isu lain mengenai siasah. Cukuplah bagi saya menyatakan dua persamaan di sini dan sesungguhnya tidak rugi membeli kedua-dua buku ini. Mudah-mudahan buku ini dapat menjadikan panduan bermua’malat dan menguruskan persepsi ketika berada di luar negara kelak.

Akhir kalam, semoga kita semua menghampiri tahap taqwa dalam dalam bulan yang penuh rahmat ini.
Wallahua’lam...
P/S: Sedang menunggu panggilan akhir penerbangan ke Los Angeles pada 25/8/2010 ini.

Saturday, August 7, 2010

SalAm Ramadhan

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak buat semua muslimin dan muslimat. Semoga kita semua menghampiri tahap taqwa seperti yang telah difirmankan Allah dalam surah Al Baqarah ayat 183:

"YOU WHO BELIEVE, FASTING HAS BEEN PRESCRIBED FOR YOU, AS IT HAS BEEN PRESCRIBED FOR THOSE BEFORE YOU, SO THAT YOU MAY BE PIOUS"

"Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu sebelum kamu,mudh-mudahan kamu bertaqwa"

Thursday, July 8, 2010

ApaBila HamBa mEnGugUT TuHAnNya...


“Kalau aku dapat A+ untuk subjek Biologi ni, aku nak puasa seminggu lah”. Inilah salah satu contoh daripada banyak-banyak contoh harapan kita. Dalam kehidupan, kita banyak mempunyai hajat-hajat yang ingin kita gapai. Sebagai contoh, untuk masa terdekat ini saya sedang membuat persiapan untuk ke Amerika Syarikat dan sudah pasti saya berharap agar semuanya berjalan lancar. Untuk jangka masa sederhana pula, saya berharap supaya dapat menggemgam ijazah kelas pertama dan begitulah seterusnya; kerja, kahwin, beranak-pinak, melabur, menghadapi hari tua dan seterusnya. Dalam kita ingin menggapai semua perkara ini, ada sesetengah daripada kita sering bernazar.
Topik yang ingin saya kongsikan bersama sahabat hari ini adalah tentang NAZAR. Apa pendapat sahabat-sahabat mengenai nazar? Sebelum saya teruskan, eloklah saya terangkan secara ringkas maksud nazar. Nazar ini dalam erti kata yang mudah adalah berjanji untuk melakukan sesuatu selepas hajat tertunai. Seperti contoh “Kalau aku dapat anugerah pelajar cemerlang, aku nak puasa seminggu berturut-turut”, “kalau aku berjaya dalam pertandingan ini, aku nak sedekah RM 300 kepada rumah anak-anak yatim”, “kalau aku menang dalam perlumbaan ini, aku nak belanja kawan-kawan aku makan”. Inilah kebiasaan yang sering kita dengar; sama ada kita sendiri yang bernazar atau kawan-kawan kita yang melakukan demikian. Alhamdulillah saya diberi cuti oleh Allah dalam tempoh sebulan lebih sebelum bersambung kembali meneruskan misi ‘kembara ilmu’ saya. Jadi jika sebelum ini ada alasan sibuk untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid tetapi sekarang tiada lagi alasan yang boleh diberikan. Semoga sahabat-sahabat yang masih dalam percutian ini dapat memanfaat cuti ini dengan sebaiknya. Buatlah apa sahaja asalkan perkara tersebut memberi manfaat kepada kita.
Baiklah, kembali kepada topik asal NAZAR. Jadi, dek kerana cuti ini saya ada banyak masa untuk mendengar kuliah-kuliah agama. Perbincangan yang paling akhir saya dengar adalah tentang nazar di radio Mutiara fm (Radio Pulau Pinang). Ustaz Idris Zakaria yang mengupas tajuk ini menjelaskan perkara ini (nazar) dengan sangat jelas. Beliau membaca sepotong hadith yang disabdakan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi begini “Nazar tidak datang melainkan daripada orang yang bakhil” (riwayat Abu Hurairah). Martabat hadith ini adalah Hasan Sahih menunjukkan ianya boleh dijadikan sumber rujukan dan dijadikan hujah. Mengikut ulama’, bernazar ini hukum sebenarnya makruh tetapi ada sesetengah ulama’ yang ‘keras’ pandangannya mengatakan bahawa bernazar ini hukumnya haram.
Logiknya, jika kita bernazar, keikhlasan kita boleh dipersoalkan. Adalah layak kita sebagai hamba melakukan sesuatu untuk Allah hanya apabila hajat kita tertunai? Kita selaku hamba sepatutnya tawakkal dan redha dengan segala pemberian Allah selepas kita berusaha bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh ‘mengugut’ tuhan supaya menunaikan hajat kita. Kalau kita bernazar dan kemudian perkara yang kita harapkan itu tidak menyebelahi kita, saya yakin ramai yang tidak akan menunaikan nazar tadi dengan alasan “ aku tak dapat benda yang aku nak, so tak perlulah la tunaikan nazar aku”. Kelihatannya seolah-olah kita protes dan merajuk terhadap Allah. Sekali lagi, siapakah kita untuk  protes terhadap ketentuan tuhan yang maha menegtahui segala baik buruk hidup kita?  Ada sesetengah daripada kita beranggapan bahawa “jika aku tak nazar, tuhan tak akan bagi”. Ulama’ berpendapat bahawa jika perkara ini yang terlintas di fikiran kita maka jatuh hukum haram nazar tadi dan pelaku tadi harus bertaubat. Ingatlah wahai sahabat sekalian! Allah adalah tuhan yang maha kaya; segala yang ada di langit dan bumi ini adalah kepunyaan Allah dan Allah maha pemurah. Dia boleh memberi apa sahaja kepada kita asalkan kita berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya. Tidak perlulah kita ‘mengugut’ Allah kalau kita berhajatkan sesuatu.
Saya sendiri mempunyai banyak hajat; ada sesetengahnya telah tertunai dan ada sesetengahnya tidak tertunai tetapi saya akui segala yang Allah aturkan untuk saya sangat cantik ‘jalannya’. Jadi, saya ingin mengingatkan diri saya dan para sahabat sekalian, jika kita mempunyai hajat, tidak perlulah kita bernazar tetapi kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh ke arah hajat tersebut seterusnya tawakkal dan optimis bahawa Allah akan menunaikan hajat kita. Jika hajat kita tidak tertunai, yakinlah bahawa perkara itu mungkin tidak baik untuk kita ataupun Allah tangguhkan untuk suatu masa yang tidak ditentukan.
Wallahualam...

Monday, July 5, 2010

Aku Di pEnjaRa...

Salam buat semua, semoga dipanjangkan umur dalam amal soleh.
Amma ba’d.
“Susah la kita ni. Kita kena sembahyang, puasa, sedekah, dan macam-macam lagi. Cuba kau tengok orang kafir tu, diorang boleh buat apa saja kat bumi ni. Bumi ni macam mak bapak diorang punya.nak berzina ke, minum arak ke, berjudi ke, semua diorang boleh buat.Kita ni yang ni tak boleh, yang tu tak boleh, ini haram, ini makruh.haih! banyak pantang larang betul la.”

Barangkali inilah rungutan bagi mereka yang  menganut Islam secara warisan. Islam secara kefahaman dan Islam secara warisan memang banyak bezanya. Hari ni kita melihat statistik perempuan melayu mengandung anak luar nikah meningkat dari tahun ke tahun. Perempuan lari dari rumah juga menunjukkan peningkatan. Di sini, saya tak berhajat untuk menyediakan sumber-sumber tentang berita ini kerana saya rasa sahabat-sahabat sekalian sedia maklum tentang cerita-cerita ini melalui Berita Harian, Metro, dan Utusan Melayu.

Sesungguhnya adanya hukum-hukum Islam adalah untuk mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah-lembah yang hina. Hari ni pembuangan bayi berlaku dengan berleluasa sekaligus membuktikan bahawa masyarakat Malaysia hari ini lebih jahil daripada Arab jahiliah dahulu. Buktinya, orang Arab jahiliah dahulu selepas anak perempuan dilahirkan mereka akan menanam hidup-hidup anak tersebut tetapi masyarakat Malaysia hari ini apabila melahirkan anak tidak kira lelaki atau perempuan, mereka membuangnya dalam tong sampah, membakar bayi tersebut dalam tong sampah, meninggalkannya di tepi jalan. Hal ini akan membuatkan bayi ini lebih terseksa sebelum mati berbanding terus menanamnya hidup-hidup dalam tanah. Orang Malaysia hari ini juga kadang-kadang telah membunuh bayi tersebut sebelum bayi itu menjengah melihat dunia ini melalui pengguguran janin. Tidakkah ini lebih binatang daripada binatang? Binatang sendiri pun tidak membuang anaknya bahkan dibelainya dengan kasih sayang sesudah dilahirkan.

Sebenarnya apa yang ingin saya bawakkan kali ini adalah kita sebagai Muslim telah diberi panduan Al-Quran dan Assunnah. Jadi, apakah patut makhluk yang memakan rezeki tuhan melawan apa yang telah diperintahkan tuhan? Analogi yang mudah saya berikan di sini: seorang majikan menggaji pekerjanya dan dalam masa yang sama pekerjanya ‘menikamnya ‘ dari belakang, menabur pelbagai fitnah terhadap beliau, dan memburuk-burukkan beliau. Apakah majikan itu akan berdiam diri? Inilah yang patut kita fikirkan. Bala’ Allah akan datang menghukum bagi masyarakat yang mengingkari hukum Allah.

Bagi orang yang beriman, kita sepatutnya sedar bahawa dunia yang ada ini bersifat fana. Ia akan hancur apabila tiba masanya dan sepatutnya mukmin itu bertaqwa kepada Allah. Dalam erti kata lainnya, mereka harus sabar dalam melakukan perintah dan meninggalkan larangan Allah. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya dunia ini penjara bagi mukmin dan syurga bagi orang kafir, akhirat itu syurga bagi mukmin dan neraka bagi orang kafir” (maksud hadis).  Ada satu kisah di zaman selepas rasulullah SAW: seorang yahudi bertemu dengan seorang ulama’ yang ketika itu menunggang kuda lalu si yahudi itu bertanya kepada ulama’ tersebut “ wahai tuan, tuan mengatakan bahawa ini penjara bagi mukmin tetapi tuan memakai pakaian yang cantik dan mahal, kuda yang tuan tunggangi adalah kuda daripada baka yang terbaik”. Lalu jawab ulama’ tersebut “cuba kamu bayangkan, ‘penjara’ mukmin ini sudah begi ni keadaanya, bagaimana dengan syurga yang dijanjikan Allah kepada mukmin?”

Sesungguhnya bagi mukmin yang bertaqwa kepada Allah, mereka harus mengambil dunia sekadarnya sahaja. Mereka tidak harus terlalu mengejar duniawi, berlumba-lumba memperbanyakkan harta tanpa berkepenti ngan untuk ummah, dan tidak harus mereka lupa akan akhirat. Akhirat itu yang kekal selama-lamanya dan dunia ini pasti hancur. Marilah sama-sama kita sedar wahai mukmin-mukmin sekalian bahawa dunia ‘penjara’ bagi kita. Kehidupan kita yang sebenar adalah di akhirat sana
Wallahualam.

Saturday, June 19, 2010

INTEC-mEaning oF life....

Salam buat rakan-rakan yang dikasihi kerana Allah sekalian.
Amma ba’d.

Saya mengambil kesempatan yang masih ada ini untuk memhon maaf kepada semua rakan-rakan di INTEC atas segala kesilapan yang pernah lakukan terhadap kalian. Saya tidak dapat menafikan bahawa selaku manusia biasa, saya tidak lari daripda melakukan kesilapan. Saya juga mengakui bahawa saya lebih mengenal erti hidup ketika di sini. Pelbagai cabaran yang dihadapi semasa di INTEC adalah merupakan rancangan Allah yang maha hebat untuk hamba-Nya yang maha kerdil ini dan saya dapati semua yang terjadi ke atas saya semasa di INTEC mempunyai hikmah yang tersendiri dan memberi inspirasi kepada saya untuk terus maju ke depan.Apakah perkara yang terjadi ke atas saya?biarlah ia menjadi rahsia antara Allah dan saya. Bagi saya, di sini semuanya manis-manis belaka. Saya juga tidak berhajat untuk bercakap panjang dan biarlah gambar menterjemahkan segala-galanya.
                          sambutan hari lahir saya dan danial tahun lepas oleh sahabat-sahabat ACTP

       bersama amin dan syihan menyiapkan assignment video untuk subjek intro to biology II

                                                                     Mencari cacing


 
 amin dan syihan-di hadapan KLCC


                    dalam hutan UKM-Field Trip for Biotech students


                               Subhanallah!!
          
                 Jalan-Jalan di Kedah selepas semester Fall 09


  di Penang bersama sahabat-sahabat..


 kenangan cerakah-kaifiat solat dalam air oleh Ustaz Akif


 Kanak-kanak bersuka ria di Cerakah


 Program Fly High 2010-BBQ

                             mereka bekerjasama

Sharing with seniors in Fly high program


Live in studio-bersama ustaz Hasrizal (saifulislam.com)

Inilah sedikit sebanyak kenangan saya bersama rakan-rakan ACTP. Saya menghargai ukkhuwah yang terjalin antara kami dan saya berharap walaupun kami akan berpisah di Amerika kelak, biarlah yang berpisah hanyalah jasad tetapi di hati, kami tetap merindui antara satu sama lain. Semoga pengalaman di INTEC dapat diaplikasikan untuk kehidupan di masa hadapan dalam memburu kejayaan dunia dan akhirat.

Siru a'la barakatillah.....

Sunday, June 13, 2010

Aku mEstI JAdi kaYa...

Salam buat sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalia. semoga hidup tenang dan harmoni selalu.
amma ba’d.

Saya mesti menjadi kaya. Mungkin ada sahabat-sahabat  berkata dalam hati apabila membaca post ini “habislah, kawan aku dah terkena penyakit wahan (cintakan dunia dan takutkan mati)”. Dalam menghadapi arus globalisasi, wang adalah kuasa. Tanpa wang hidup kita terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun harus diingatkan walaupun wang adalah kuasa tetapi ia tidak boleh menjamin kebahagiaan dan  cinta manusia tidak boleh dibeli melalui wang. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW ditawarkan pangkat dan harta oleh kafir quraisy dengan syarat baginda mesti meniggalkan da’wah mulia baginda. Baginda dengan tegas mengatakan “andainya kamu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, aku sesekali tidak akan tinggalkan da’wah ini”. Contoh lain yang membuktikan wang tidak menjamin kebahagiaan adalah, Marylin Monroe merupakan bintang Hollywood yang sudah pastinya mempunyai wang yang berjuta-juta dolar namun mati membunuh diri disebabkan tekanan hidup.

Kembali kepada persoalan bahawa saya mesti menjadi kaya. Kaya merupakan sesuatu yang diinginkan oleh manusia yang waras dan berakal.  Dengan adanya wang yang banyak, saya boleh melabur kedalam saham-saham yang halal seperti melabur dalam syarikat HPA, melabur dalam perusahaan batik dan sebagainya. Selain itu, dengan kekayaan yang ada, saya boleh membangunkan institusi pendidikan dan penyelidikan khusus bagi membantu kemajuan umat Islam. Institusi ini tidaklah berorientasikan keuntungan tetapi berpaksikan kepada kebajikan dan kepentingan umat Islam. Dengan kekayaan yang ada, saya juga boleh menaja pelajar-pelajar cemerlang muslim tanpa mengira bangsa untuk melanjutkan pelajaran ke Negara yang mereka minati.Kekayaan juga boleh merapatkan silaturahim sesama insan. Saya boleh membuat rumah terbuka besar-besaran dan menjemput semua orang tanpa megira agama, bangsa dan agama.

Sebenarnya dalam kitab Fiqh Aulawiyyat (Fiqah Keutamaan) karangan Profesor Doktor Yusof Al Qaradawi telah dibincangkan perkara ini. Sheikh Yusof telah membahaskan yang mana lebih penting antara kaya dengan syukur dan miskin dengan sabar. Sudah semestinya kaya dengan syukur itu lebih aula (utama). Dengan kekayaan dimiliki oleh orang mukmin yang sedar tanggungjawabnya terhadap umat, maka produktiviti umat Islam akan meningkat. Umat Islam yang miskin akan dibantu manakala segala projek-projek mega untuk manfaat Muslim dapat dibangunkan dengan giat.
Wallahualam......

Tuesday, June 8, 2010

CinTakaH aku pADa NyA??....

Salam buat semua sahabat yang saya kasihi. Semoga semuanya hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Selaku umat Islam yang cintakan keamanan dan kasihkan saudara seislam kita, marilah kita doakan kecelakaan bagi regim zionis dan sekutunya.
Amma ba’d.

Setiap hari Selasa selepas solat Maghrib, Ustaz Ridha akan bagi kuliah di surau cemara. Kalau saya berkelapangan, saya memang akan tunggu sehingga waktu isya’ untuk mendengar kuliah Ustaz Ridha. Pada 8/6/2010, seperti biasa ustaz memberi kuliah. Dalam kuliah ini, ustaz Ridha ada menceritakan kisah tentang seseorang yang ingin sangat bertemu (bermimpi) berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Lalu dia pun pergi bertemu dengan gurunya untuk mengadu tentang hasratnya. Lalu berkatalah gurunya “baiklah, esok malam kau datanglah ke rumah aku”. Lalu pada malam yang dijanjikan, datanglah dia ke rumah gurunya.

Di rumah gurunya, dia dihidangkan makanan tanpa air. Apabila dia menyuapkan makanan itu, ternyata makanan itu terlalu masin dek kerana garam yang berlebihan barang kali. Namun, dia yang diajar adab-adab berguru tidak terlintas di hatinya untuk meminta air daripada gurunya walaupun terasa sangat dahaga disebabkan makanan masin tadi. Lalu tidurlah dia dalam keadaan menginginkan air teramat sangat. Dek kerana terlalu dahagakan air, dia termimpi melihat pelbagai jenis air yang sedap-sedap dihidangkan untuknya. Lalu dia pun meminum air-air tersebut.

Pagi esoknya apabila terjaga, gurunya terus bertanya “ada kau mimpi sesuatu”. Maka dijawabnya “ada tuan guru. Saya mimpi melihat pelbagai jenis air yang sedap-sedap dihidangkan dan saya meminumnya sehingga puas”. Sebenarnya apa yang gurunya cuba lakukan adalah, seorang itu apabila terlalu teringin atau rindu kepada sesuatu maka benda yang dirinduinya itu terbawa-bawa dalam mimpi.

Kita mengaku rindu kepada Rasululllah SAW, tetapi ia hanya di mulut kerana perbuatan kita tidak menggambarkan kita benar-benar merindui Rasulullah SAW. Kita masih memakan benda-benda yang shubhah sedangkan nabi menyuruh kita tinggalkan. Kita masih memandang perkara yang haram sedangkan nabi melarang kita melakukannya. Kita tinggalkan sunnah nabi sedangkan nabi menggalakkan kita melakukannya. Jika kita menilai semula cinta kita kepada nabi, persoalannya di tahap manakah cinta kita? Sekadar cinta biasa atau cinta yang luar biasa. Sebagai contoh apabila ada group dalam facebook “i love Muhammad SAW”, “1000000 against Muhammad SAW draw day”, 1000000 Muhammad SAW followers in FB” maka kita pun sertai. Adakah dengan menyertai group-group ini kita sudah dikatakan benar-benar mencintai nabi sedangkan ketika azan berkumandang kita masih dihadapan lap top. Percakapan seharian kita masih diselaputi dengan pelbagai maki hamun. Pergaulan bebas dalam kalangan muda mudi pada hari ini terlalu bebas. Ini semua bukanlah sesuatu yang Nabi Muhammad SAW wariskan kepada kita.

Maka para sahabat sekalian apa yang saya rencanakan pada kali ini, tidak dapat tidak memang terkena juga atas batang hidung saya. Apa yang perlu kita lakukan adalah lakukanlah anjakan paradigma ke atas diri kita. Marilah sama-sama kita menegakkan yang ma’aruf da mencegahkan  yang mungkar. Tanamlah sifat cintakan nabi dalam diri kita dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, amalkan sunnah baginda, berlapang dada dalam bersahabat serta tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah Nabi Muhammad SAW.

Saturday, June 5, 2010

hOld My HanD....


I hear the flower's kinda crying loud
The breeze's sound in sad
Oh no
Tell me when did we become,
So cold and empty inside
Lost a way long time ago
Did we really turn out blind
We don't see that we keep hurting each other no
All we do is just fight

Now we share the same bright sun,
The same round moon
Why don't we share the same love
Tell me why not
Life is shorter than most have thought

Hold my hand
There are many ways to do it right
Hold my hand
Turn around and see what we have left behind
Hold my hand my friend
We can save the good spirit of me and you
For another chance
And let's pray for a beautiful world
A beautiful world I share with you

Children seem like they've lost their smile
On the new blooded playgrounds
Oh no
How could we ignore
heartbreaking crying sounds
And we're still going on
Like nobody really cares
And we just stopped feeling all the pain because
Like it's a daily basic affair

No matter how far I might be
I'm always gonna be your neighbor
There's only one small planet where to be
So I'm always gonna be your neighbor
We cannot hide, we can't deny
That we're always gonna be neighbors
You're neighbor, my neighbor
We're neighbors

So hold my hand
There are many ways to do it right
Hold my hand
Turn around and see what have left behind

So hold my hand
There are many ways to do it right
Hold my hand
Turn around and see what have left behind
Hold my hand my friend
We can save the good spirit of me and you
For another chance
And let's pray for a beautiful world
A beautiful world I share with you

Friday, June 4, 2010

KaU yANg TerIsTimeWa dI haTikU...

Assalamualaikum buat saudara saudari yang saya kasihi sekalian. Semoga bertambahlah iman kita dari sehari ke sehari.
Amma ba’d.

Palestin sekali lagi menjadi perhatian dunia dan kali ini dunia telah benar-benar melihat siapa yang kejam sebenarnya. Yahudi tanpa belas kasihan telah menyerang aktivis keamanan yang ingin membantu rakyat Gaza atas dasar kemanusiaan. Aktivis-aktivis yang inigin menghantar bantuan kali ini tidak hanya terdiri daripada muslim semata-mata tetapi merangkumi ahli parlimen Eropah, pemenang anugerah Nobel, jurnalis, wartawan dan pencinta-pencinta keamanan yang lainnya. Sebagai umat Islam kita sepatutnya tahu bahawa Palestin mempunyai tempat yang istimewa dalam sanubari kita.
                                                          Palestin adalah tanah umat Islam
Palestin istimewa kepada umat Islam kerana:

1) Kiblat pertama umat Islam sebelum Nabi Muhammad mendapat wahyu supaya beralih kearah masjdil haram di Makkatul Mukarramah.

2) Tempat nabi di mikrajkan ke sidratul muntaha bagi menerima perintah sembahyang. Selain itu Nabi juga telah menyaksikan pelbagai nikmat dan azab yang Allah telah sediakan bagi hamba-hambaNya samada yang patuh atau ingkar kepada arahanNya.

3) Palestin merupakan tanah yang subur dan sangat sesuai untuk bercucuk tanam. Buah-buahan yang berasal dari sana merupakan hasil yang sangat tinggi nilai khasiatnya. Allah berfirman:

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya (tanahnya), untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. <17:1>

4) Palestin merupakan tanah wakaf umat Islam bermula daripada zaman saidina Umar Al Khattab hinggalah ke akhir zaman. Maksud tanah wakaf bagi kaum muslimin adalah, tanah ini menjadi hak milik penuh umat Islam sahaja. Namun atas dasar toleransi, sejumlah 0.7% umat Kristian (10,500) menduduki tanah Palestin

5) Di baitul muqaddas, terdapat satu masjid yang dinamakan Masjid Al aqsa Assyarif yang merupakan masjid ketiga yang paling suci selepas Masjidul Haram di Makkah  al Mukarramah dan Masjid An Nabawi di Madinatul Munawwarah. Umat Islam sangat digalakkan untuk berziarah ke tiga-tiga tanah suci ini.

6) Palestin menjadi tiga rebutan agama samawi yaitu Islam, Kristian, dan Yahudi. Barngsiapa dapat menguasai Palestin maka dia akan dapat menguasai dunia. Hal ini kerana kedudukan Palestin yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa dan bersebelahan dengan terusan Suez yang merupakan pintu masuk bagi kapal ke Asia dari Barat.

7) Palestin merupakan bumi lahirnya para anbiya’. Nabi-nabi yang dilantik Allah telah menaburkan wangian tauhid namun ia telah dicemari dengan najis kebinatangan Israel yang rakus membunuh Umat Islam di sana.
                                                           Dia memahami erti jihad

Inilah sedikit sebanyak keistimewaan Palestin di hati kita Umat Islam dan kita harus sedar daripada lamunan yang panjang. Marilah kita sama-sama melakukan semampu mungkin bagi membebaskan bumi kita. Isu Palestin bukanlah isu keagamaan semata-mata tapi merupakan isu kemanusiaan sejagat. Bangsa Yahudi tidak diajar apa itu erti kemanusiaan. Marilah kita Umat Islam bersatu padu atas dasar aqidah islamiah. Janganlah lagi kita berpaksikan kepada perjuangan menegakkan bangsa yang sempit dan membawa kepada perpecahan dan kehancuran itu. Hiduplah di muka bumi Allah untuk memakmurkan buminya dan janganlah kita melakukan kerosakan di muka bumi Allah. Akhir kalam renungilah Ayat Al quran ini:

Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".<28:77>