Wednesday, January 30, 2013

Apabila Sudah Sampai Umurnya...


Salam kepada sahabat, semoga semua urusan dipermudahkan Allah.
Amma ba’d.
Kebelakangan ni, ada beberapa sahabat sama ada yang dekat mahupun jauh bercerita kepada saya yang niat mereka untuk bernikah, tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa terutama daripada pihak ibu mereka. Saya boleh faham andai mereka ialah anak perempuan, tetapi yang menceritakan masalah mereka itu ialah sahabat-sahabat lelaki saya. Hal ini menyebabkan saya berfikir, punca hal ini terjadi. Di umur 23 tahun, mereka  belajar jauh di perantauan (berjauhan dengan ibu bapa), menunjukkan mereka sudah mampu berdikari. Ini sudut pandang saya secara simplistik.

Saya akui, di umur sebegini, ramai yang sudah mula memasang impian mendirikan rumah tangga kerana inilah fitrah manusia yang Allah jadikan seperti mana tercatat dalam Al Quran:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar Rum 30:21)

Namun apabila saya cuba memposisikan kedudukan saya di tempat ibu bapa, saya merasakan perkara ini terjadi disebabkan keadaan tertentu di negara kita. Sebagai contoh, ramai sahabat-sahabat saya ini dahulunya sekolah berasrama penuh, mereka sudah berjauhan dengan kedua ibu dan bapa sejak berumur 13 tahun lagi. Ibu bapa pula belum rasa puas untuk membesarkan anak-anaknya. Jadi apabila ingin bernikah, Mereka mungkin menganggap anak-anak mereka masih kecil seperti mana anak-anak mereka yang sentiasa dekat dengan mereka ketika sekolah rendah dahulu. Selepas bernikah, sudah pasti perhatian dan komitmen akan lebih tertumpu kepada isteri dan anak-anak berbanding ibu bapa. Manusia apabila semakin meningkat usia, mereka semakin kaya dengan pengalaman tetapi dalam masa sama perasaan mereka menjadi semakin sensitif. 

Alhamdulillah, dalam bab ini saya tidak menghadapi masalah. Mungkin mak dan ayah saya kenal saya, kalau saya keluar berprogram jauh dari mereka, saya tidak akan berlama-lama. Sejurus habis program, saya akan terus pulang ke rumah.

Satu masalah lagi bagi mereka yang menghadapi tentangan ibu bapa apabila menyuarakan hasrat ingin bernikah, mungkin mereka jarang menghubungi ibu bapa mereka ketika berjauhan. Ada sesetengah yang saya tanya, mereka menelefon rumah dua minggu sekali, ada yang sebulan sekali. Mungkin perkara ini juga menyebabkan ibu bapa terasa, jarang-jarang telefon rumah, tiba-tiba menyatakan hasrat ingin bernikah. Saya wajibkan diri saya, walau sesibuk manapun, setiap minggu mesti telefon rumah.
picture courtesy of google

Saya berpandangan, sekarang ini kita perlu buktikan bahawa kita sudah matang untuk memikul amanah berkeluarga. Kalau bersembang dengan ibu bapa mungkin boleh sembang bab-bab orang tua seperti bab politik, agama, hal masyarakat sekeliling, atau business. Bila mereka meminta pandangan, beri pandangan yang matang supaya mereka sedar bahawa kita bukan lagi anak kecil. Buktikan juga kepada mereka bagaimana kita sudah boleh berdikari mencari sumber ekonomi sendiri tanpa perlu bergantung kepada mereka. yakinkan juga mereka bahawa, walau selepas kahwin, mereka tidak akan diabaikan dan dipinggirkan. Mungkin kalau kita bekerja di tempat yang jauh, yakinkan mereka yang kita akan pulang melawat mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali (tetapi ini applicable bagi mereka yang dari negeri atau region yang sama). Bagi mereka yang berlainan  region, harus difikirkan bagaimana kalian boleh pulang ke rumah sekerap mungkin. Tak mungkin untuk balik hanya pada setiap kali raya puasa dan raya haji.

Sedikit pandangan bagi sahabat-sahabat yang memang serius memikirkan tentang pernikahan, jika sebelum ini, kalian adalah pemain game yang tegar, seharusnya perkara ini sudah ditinggalkan atau dikurangkan. Kalau sebelum ini, kita masih mengharapkan atau bergantung kepada ibu bapa, kawan-kawan atau orang sekeliling, belajarlah untuk berdikari.

Kita hidup di zaman fitnah, yang mana jalan zina terbentang luas dan jalan syariat melalui perkahwinan disusahkan dengan adatnya, halangan ibu bapanya, kerenah birokrasi oleh institusi agama di negara kita serta pandangan serong masyarakat tentang kahwin awal. Rasulullah SAW berpesan:

“Aku berwasiat kepada kalian untuk bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemerintahan Islam) walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba sahaya dari negeri Habasyah. Sesungguhnya barangsiapa hidup sesudahku nescaya dia akan melihat banyak perselisihan (fitnah yang dahsyat), maka wajib atas kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Berpeganglah kalian dengannya dan gigitlah ia dengan gigi gerahammu (pegang dengan kuat) serta jauhilah oleh kalian perkara agama yang diada-adakan kerana semua yang baru dalam agama adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Imam Tirmizi)

Di zaman fitnah yang sungguh menggila ini, marilah kembali kepada sunnah dan beristiqamah untuk beramal dengan sunnah. Bertaqarrub (dekatkanlah) diri kepada Allah, semoga Allah membantu mempermudahkan urusan kita.
Wallahua’lam.

Tuesday, January 29, 2013

Agar Agama Tidak Difitnah...


Salam kepada sahabat yang dirahmati Allah semua, semoga Allah menganugerahkan kita keberkatan dalam hidup.
Amma ba’d.

Adakah Rasulullah SAW sejak dari lahir lagi sudah diangkat menjadi Rasulullah? Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul pada umur 40 tahun, satu tahap umur yang diiktiraf oleh Alquran mencapai tahap kematangan yang sempurna. Allah berfirman:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al Ahqaf 46:15)

Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa umur 40 tahun adalah, satu tahap umur seseorang mencapai tahap kematangan yang sempurna dalam hidup. Ada orang yang kematangannya awal, ada yang lambat tetapi umur 40 tahun merupakan benchmark tahap kematangan insan.

Berbalik kepada cerita Rasulullah SAW diatas, apakah yang telah Rasulullah SAW lalui sebelum dilantik menjadi Rasul? Baginda berakhlaq dengan akhlaq yang begitu mulia yang tidak pernah ditonjolkan oleh mana-mana orang di zaman arab jahiliyah. Jika ada daripada para pedagang quraysh yang ingin keluar berdagang dari tanah arab, mereka menyimpan duit atau harta mereka kepada Rasulullah SAW kerana yakin harta mereka selamat. Dalam peristiwa Makkah dilanda banjir, mereka mengguna pakai idea Rasulullah SAW supaya setiap pemuka kaum quraysh agar memegang bucu kain yang di atasnya diletakkan hajarul aswad (batu hitam) untuk diletakkan semula di dalam ka’abah.

Allah melatih Rasulullah SAW supaya berakhlaq mulia, kerana faktor akhlaq adalah antara factor yang utama penerimaan dakwah islamiyah pada zaman awal kedatangan Islam.  Andai kita berdegar-degar menerangkan islam ini agama benar, agama yang membawa ke syurga, dan agama yang terbaik, non-muslim tidak boleh menerima hakikat ini. Bagaimana kita boleh mengatakan Islam agama yang terbaik sedangkan daripada kaca mata barat, negara yang paling banyak penyelewengan dan pergolakan politik adalah negara arab yang dikatakan  negara Islam. Negara yang paling kotor dan dipenuhi sampah adalah terdiri daripada negara-negara Islam seperti Indonesia, Mesir, dan tidak terlepas negara kita. Talk is cheap.
The mansion, Connecticut  (gambar hiasan)

Masa untuk kita terjemahkan segala teks Alquran dan Assunah ke dalam bentuk tindakan. Segala suruhan dan sunnah Rasulullah SAW adalah manifestasi kepada akhlaq mahmudah. Saya berpendapat, sesuatu ideology atau fahaman tidak perlu betul untuk menarik ramai pengikut, tetapi cukup bagi pembawa fahaman tersebut untuk menonjolkan akhlaq yang baik agar fahamannya diterima ramai.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia” (Hadith Riwayat Imam Bukhari)

Menjadi tanggungjawab kita untuk memberi kesedaran kepada umat Islam terutama mereka yang dekat dengan kita (literally & figuratively) agar kembali berpegang kepada petunjuk Alquran dan Assunnah. Alquran dan Assunnah menyuruh kita agar berakhlaq mulia supaya tidak menjadi fitnah kepada agama Islam. Berakhlaqlah dengan akhlaq yang mulia, mudah-mudahan ia menjadi sebab kepada orang di sekeliling kita mendapat hidayah Islam.

Wallahua’lam.

Sunday, January 20, 2013

School of Marriage...

"Marriage is a school where you get the certificate before you start.
A school where you will never graduate.
A school without a break or a free period.
A school where no one is allowed to drop out.
A school which you will have to attend every day of your life.
A school where there is no sick leave or holidays.

A school founded by the Almighty:
1.On the foundation of love,
2.The walls made of trust,
3.The door made of acceptance,
4.The windows made of understanding.
5.The furniture made of blessings.
6.The roof made of faith.

Before you forget, you are just a student not the principal. The Almighty is the principal.
Even at times of a storm, don't be unwise and run outside.
Remember this school is the safest place to be.
Never go to sleep before completing your assignments for the day.
Never forget the C-word, communicate, communicate, and communicate with your classmate and with the Principal.
If you find something in your classmate (spouse) that you do not appreciate, remember your classmate is also just a student not a graduate. The Almighty is not finished with him/her yet, so take it as a challenge and work on it together.
Do not forget to study, study, and study the Noble Book (the main textbook in this school).

Start each day with a sacred assembly and end it the same way.
Sometimes you will feel like not attending class, yet you have to.
When tempted to quit find the courage and continue.
Some tests and exams may be tough but remember the Principal knows how much you can bear.
Still, it is one of the best schools on earth; joy, peace and happiness accompany each lesson of the day.
Different subjects are offered in this school, yet love is the major subject.
After all the years of being theoretical about it, now you have a chance to practice it.
To be loved is a good thing, but to love is the greatest privilege of them all.

Marriage is a place of love, so love your spouse but remember: "This class doesn't involve a person who is not permitted into it"! If you invite your mother or father or your friends to this class, or anyone who is not allowed to be there, you will fail the exam.
It is you who should attend and it is you who will pass.
Its your choice today:" build it or break it".
May the Almighty bless us all. Aameen "

copy and paste from Mufti Ismail Menk


 "And among of His signs is that He created for you from yourselves mates that you may find tranquillity in them; and He placed between you affection and mercy. Indeed in that are signs for a people who give thought." (Ar Rum 30:21)

Tuesday, January 15, 2013

Bertaqwalah dan Dengarlah...


Salam kepada sahabat yang dikasihi kerana Allah, semoga Allah memberikan kita hidayah dan taufiq agar dapat beristiqamah dengan amal-amal islami.
Amma ba’d.

Isu demi isu timbul di Malaysia. Daripada isu kalimah Allah, isu Perhimpunan Kebangkitan Rakyat, Isu fatwa ustazah bersalam dengan bekas perdana menteri sehinggalah isu terbaru, isu ‘listen’. Akhirnya isu yang besar, kezaliman yang berlaku dalam pentadbiran negara menjadi sepi.

Saya tidak berminat untuk mengulas isu-isu di atas, cuma apabila timbul isu listen ini, saya langsung teringat khutbah yang pernah disampaikan oleh Dr. Hany Ghoneim di Interfaith Center, RIT tentang TAQWA dan MENDENGAR. Dr.Hany membacakan firman Allah yang bermaksud:

“Oleh itu BERTAQWALAH kepada Allah, dan DENGARLAH dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq.” (Al Maidah 8:108)

Mendengar adalah kemahiran yang perlu dilatih dan dipraktikkan. Ramai orang hari ini, terlalu mudah untuk mengkritik, memberi pendapat, mengeluarkan fatwa dan menghukum tanpa mendengar secara keseluruhan daripada pihak yang terlibat. Saya akui, dulu-dulu (semasa masih ‘muda’), terlalu cepat ingin memberi pendapat apabila diminta pendapat tanpa mendengar cerita keseluruhan tentang perkara yang diajukan kepada saya. Lama-kelamaan, saya tersedar tidak semua perkara yang sahabat-sahabat saya datang dan ajukan kepada saya meminta pendapat bagaimana masalah mereka boleh diselesaikan. Tidak dinafikan, memang ada sesetengahnya datang meminta pandangan dalam masalah mereka, tapi ada sesetengahnya yang menceritakan masalah peribadi mereka sebagai luahan isi hati; untuk melepaskan beban yang ditanggung. Adakalanya sesudah mendengar cerita mereka, respons saya hanyalah senyum. Smile because it will heal the world.
Sekadar gambar hiasan (rindu Dubai)

Selain belajar menjadi penyampai yang baik dan berkesan, saya juga belajar untuk mendengar dengan teliti dan memahami mesej yang ingin disampaikan, agar tindakan dan pandangan saya lebih menepati kehendak orang yang datang mengajukan  sesuatu perkara kepada saya.

Dalam ayat di atas, Allah menyuruh kita menjadikan taqwa sebagai perisai diri agar kita tidak melulu memberi pandangan dan menghukum manusia tanpa kita mengetahui cerita asal usul yang sebenarnya. Mendengar perlulah secara keseluruhan, jangan hanya dengar apa yang kita nak dengar. Menjadi pendengar yang baik lebih utama daripada penyampai yang baik.

Sebagai kesimpulan, belajarlah menjadi pendengar yang baik, agar kita tidak melatah dan melulu dalam tindakan.
Wallahualam.

Thursday, January 10, 2013

Angkara Fitnah...


Salam kepada semua sahabat. Semoga semuanya dikasihi dan dirahmati Allah harapnya.
Amma ba’d.

Apa yang kita faham tentang fitnah? Rata-rata kita memahami fitnah adalah umpatan, atau kata-kata yang tidak benar kepada seseorang. Sebenarnya perkara sedemikian dalam Islam dinamakan buhtaan. Dalam banyak ayat di dalam Al Quran, fitnah yang dimaksudkan Allah adalah ujian yang sangat berat sehingga boleh menggugat agama dan pegangan. Antara maksud lain fitnah adalah kekafiran, gangguan, konflik, godaan, mangsa kezaliman dan kebinasaan.

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.” (Al Baqarah 2:191)

Fitnah dalam ayat ini bermaksud kezaliman kaum kafir terhadap kaum muslimin, maka kaum kafir itu harus diperangi sehingga tiada lagi fitnah daripada mereka. Allah menyambung dalam ayat 193:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (Al Baqarah 2:193)

Jadi, dalam konteks kita hidup di akhir zaman ini, fitnah sentiasa berlegar. Kadang-kadang kita merasakan bahawa tiada lagi tempat untuk kita berlindung daripada fitnah yang berleluasa. Di negara kita sebagai contoh, melemparkan tuduhan tanpa tabayyun (usul periksa) sudah menjadi biasa terutama mereka yang terlibat dalam politik. Gejala seks luar nikah dan pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Jenayah bunuh dan rasuah di akhbar menunjukkan ia semakin membarah. Perempuan-perempuan yang berpakaian sambil aurat terdedah sudah terlalu biasa walaupun di kampung. Nabi pernah bersabda:

”Aku tidak meninggalkan suatu fitnah yang paling berbahaya sesudahku nanti kecuali fitnah yang dihadapi oleh kaum lelaki dengan sebab kaum wanita” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Apabila fitnah berleluasa di dalam masyarakat, kerahmatan dan keberkatan hilang. Hati manusia tidak tenang dalam menjalani kehidupan seharian walaupun mereka kaya raya. Perasaan tidak selamat berada dalam hati jantung manusia.
Fitnah akhir zaman

Oleh sebab itu, kita semua kena kembali berhukum kepada syariat Islam. Kembalilah menyokong dan mendokong perjuangan Islam untuk melaksanakan syariat di atas muka bumi Allah supaya ketenangan meresapi semula dalam sanubari kita. Perbanyakkan membaca doa memohon agar diselamatkan daripada terkena fitnah yang boleh menggugat iman dan aqidah. Bentuklah dan hiduplah dalam persekitaran yang baik (biah solehah). Bergaullah dengan orang-orang soleh serta jauhilah tempat maksiat, semoga Allah menghindarkan kita daripada terkena fitnah.

Allahumma salimna minal fitan



Tuesday, January 8, 2013

The Grand Signeur...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada fitnah yang menggugat agama dan pegangan kita.
Amma ba’d.

Dunia Islam kaya dengan sejarah yang agung. Jika ditelusuri sejarah islam terutama seerah nabawiyah, kita akan menghargai serta mensyukuri nikmat Islam yang menjadi pegangan kita. Setiap sejarah Islam di zaman dahulu mempunyai pengajaran yang amat berguna bukan hanya kepada Muslim tetapi seluruh umat manusia akhir zaman. Golongan orientalis barat menuduh bahawa Islam mengongkong wanita, sedangkan datangnya Islam membebaskan wanita daripada perhambaan seks kepada lelaki di tanah Arab ketika itu. Jika dahulu, wanita tidak berhak membuat pilihan dengan siapa dia mahu berkahwin, tetapi datangnya Islam memberi  kebebasan kepada wanita untuk membuat pilihan dengan siapa dia mahu berkahwin (rujuk kisah Mughits dan Barirah).

Islam berkembang dari satu zaman ke satu zaman dan setiap pengembangan Islam mempunyai tamadun tersendiri. Dalam banyak tamadun Islam yang muncul, saya amat tertarik dengan tamadun kerajaan Turki Uthmaniyyah. Tamadun yang diasaskan oleh Osman Gazi pada tahun 1299M ini berkembang menjadi tamadun Islam yang memerintah paling lama dalam sejarah Islam; dianggarkan selama 625 tahun (1299M-1924M). Fokus kegemilangan dalam tamadun ini ialah apabila Sultan Muhammad Alfateh Berjaya menakluki Kota Konstantinople (Sekarang dikenali sebagai Istanbul). Sedikit sejarah Istanbul, ‘bul’ dalam bahasa turki adalah bandar, pada asalnya selepas Kota Konstantinople, ia dikenali sebagai Islambul (Bandar Islam), lama kelamaan, dek kerana dialek penduduk setempat mungkin, kota ini dikenali sebagai Istanbul sehingga ke hari ini. Uniknya adalah, hanya Turki satu-satunya negara di dunia yang terletak di antara dua benua; benua Asia(bahagian Ankara) dan benua Eropah(bahagian Istanbul).

Rasulullah SAW bersabda;

“Kota Konstantinople pasti jatuh kepada kaum Muslimin, Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” (maksud hadith)

Apa yang menariknya tentang hadith ini adalah, ianya direalisasikan selepas lebih kurang 800 tahun Rasulullah SAW mengatakannya. Percubaan demi percubaan dilakukan tetapi gagal mengalahkan kerajaan Byzantine sehinggalah ekspedisi ke 10 di bawah pimpinan Sultan Muhammad Alfateh (Sultan Muhammad bin Murad), Allah menganugerahkan kemenangan kepada kaum muslimin. Sebelum kita pergi lebih lanjut, amat molek jika kita mengetahui peri pentingnya Kota Konstantinople kepada umat Islam.

Pada ketika itu, penguasaan umat Islam ke atas Konstantinople amat penting kerana kedudukannya yang strategik terletak di antara dua benua, yang merupakan laluan perdagangan rempah bagi bangsa Eropah. Ia memberi faedah yang besar bagi mengukuhkan ekonomi serta politik kerajaan Uthmaniyyah. Selain itu, Kota Konstantinople ini dibangunkan oleh Maharaja Byzantine pada tahun 330 masihi, mempunyai struktur pertahanan kota yang sangat kukuh. Kota ini mempunyai tembok luar dan dalam. Tembok luarnya mempunyai ketinggian 25 kaki (7.6 meter) dan setebal 10 meter manakala tembok dalamnya mempunyai ketinggian 40 kaki (12.2 meter) dan setebal 15 meter. Bahagian luar kota dilingkungi parit besar yang mempunyai lebar sebanyak 60 meter dan sedalam 10 meter.

Begitulah kekuatan serta strategiknya kedudukan Kota Konstantinople ini.  Napoleon Bonaparte pernah mengungkapkan bahawa “ Apabila dunia ini sebuah negara, Konstantinople adalah yang paling ideal untuk menjadi ibu negaranya”

Sebenarnya banyak faktor menyumbang kepada kejayaan penaklukan Konstantinople oleh Sultan Muhammad Alfateh. Antaranya ialah pengetahuan yang mantap tentang kekuatan Kota Konstantinople, tawakkal yang tinggi kepada Allah, sentiasa menjadikan ulama’ sebagai rujukan dalam setiap tindakan, serta penguasaan bahasa musuh dan jalinan hubungan diplomasi (tahaluf siyasi?) dengan kerajaan sekeliling.

Namun, saya lebih suka untuk memfokuskan pada sistem pendidikan komprehensif yang diterima oleh Sultan Muhammad Alfateh dalam melengkapkan maksud hadith Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik pemimpin. Pendidikan atau dalam bahasa arabnya, dikenali sebagai tarbiyah merupakan elemen penting dalam pembentukan individu menjadi insan yang sempurna akal dan peribadi. Jadi, Sultan Muhammad Alfateh bukanlah mukjizat bagi kerajaan Uthmaniyah, sebaliknya melalui pentarbiyahan yang menyeluruh merangkumi aspek spiritual serta intelektual, dan aspek syariatullah serta  sunnatullah (law of nature), Sultan Muhammad Alfateh dengan izin Allah berjaya menakluki Konstantinople.

Di bawah pemerintahan Uthmaniyyah, setiap pelajar diwajibkan mengambil  pengajian sains spiritual dan sains intelektual. Setiap pelajar yang terdiri daripada golongan marhaen mahupun golongan diraja diwajibkan menguasai klasifikasi ilmu berikut:

Sains kaligrafi: Menguasai kaedah penulisan

Sains oral: Menguasai bahasa termasuk puisi, sastera dan tatabahasa

Sains Intelektual:  Menguasai ilmu logik dan dialetik

Sains politik: Mengetahui selok belok politik termasuk cara berdiplomasi

Sains agama: Menguasai ilmu Alquran dan Assunnah terutama dalam bidang pentafsiran dan pentakwilan, Pengkajian sunnah dan tradisi kenabian (Prophetic Tradition), teologi Islam serta Syariat Islam.

Selain itu, Sultan Muhammad Alfateh menguasai cabang-cabang Ilmu seperti Sejarah, Matematik, Geografi serta Astronomi. Subjek sejarah penting bagi mengkaji faktor-faktor kegagalan ekspedisi terdahulu serta mengkaji kekuatan musuh secara menyeluruh. Ilmu geografi memberi pendedahan kepada baginda untuk mengetahui struktur Kota Konstantinople yang terletak di kawasan yang berbukit serta berangin. Ilmu astronomi memberi kelebihan kepada Sultan Muhammad Alfateh mengetahui bila berlakunya gerhana matahari, kerana orang-orang Rom percaya bahawa gerhana bulan memberi nasib malang kepada mereka; ini dapat melunturkan semangat perang mereka. Ilmu matematik, memberi kelebihan kepada Sultan Muhammad Alfateh untuk membuat perincian angka, seperti jumlah makanan untuk tentera dan jarak bedilan meriam Urban.

Kehebatan Sultan Muhammad Alfateh bukanlah secara kebetulan namun pembentukan diri baginda menjadi insan ulung adalah melalui sistem tarbiyah yang sistematik yang mengintegrasikan antara pendidikan duniawi dan ukhrawi.

Jika ada mana-mana kita hendak menjadi hebat, tidak perlu bersusah payah mengambil model-model pendidikan barat, sebaliknya selongkarlah sejarah Islam, dan kajilah tentang model tersebut. Pokoknya, ia mestilah berteraskan Alquran dan Assunnah.

Turki, bukan sahaja negara yang kaya dengan tempat-tempat yang indah tetapi  kaya dengan sejarah ketamadunan Islam yang hebat. Islam pernah bangkit di situ, Islam juga pernah jatuh di situ. Ambillah pelajaran, kerana pelajaran dapat digarap oleh mereka yang berpemikiran. Jika ada peluang, melanconglah ke sana..:)
Sumber rujukan dalam penulisan kali ini

 The Grand Signeur adalah gelaran kepada Sultan Muhammad Alfateh oleh cendekiawan barat.

Saturday, January 5, 2013

Zaman Berubah, Pemikiran Berubah...


Salam kepada sahabat yang dikasihi kerana Allah. Semoga semua semakin bersemangat untuk menempuhi tahun 2013.
Amma ba’d.

Kadang-kadang, saya mencari masa untuk bersendirian dan merenung liku-liku kehidupan saya semenjak kecil sehinggalah sekarang umur yang hampir mencecah 23 tahun. Banyak perkara yang terjadi sewaktu kecil dahulunya saya anggap remeh tetapi amat besar signifikannya apabila usia semakin meningkat menjadi dewasa. Banyak juga pemikiran saya yang telah berubah dek berlakunya perubahan masa. Kalau dahulu saya berfikir bahawa haram memakan makanan yang dimasak oleh orang non-muslim (Konteks Malaysia:Cina dan India), tetapi apabila di US, kadang-kadang kami makan masakan halal yang dimasak oleh non-muslim (Konteks: warga Amerika). Jika direnung ayat Allah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang berbunyi:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al Baqarah 2:168)

Maka kita akan dapati bahawa perintah Allah, supaya memakan makanan yang HALAL dan BAIK. Mafhum (dapat difahami) daripada ayat ini tidak kira siapa yang memasaknya, asalkan ia menepati dua ciri ini, sudah pasti ianya boleh dimakan. Cuma mungkin ada hadith atau perbahasan ulama’ supaya makanan yang dimasak oleh orang-orang beriman itu lebih utama untuk dimakan. Disitulah terletaknya keberkatan.

Banyak lagi contoh pemikiran saya yang dah berubah namun cukuplah hanya makanan ini dijadikan contoh. Baru-baru ini timbul isu amanat Haji Hadi, satu amanat yang diucapkan di Kampung Banggol, Peradong, Terengganu pada 7 April 1981. Antara isi amanat tersebut ialah:

“Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”

Begitulah sebahagian amanat Tuan Guru Haji Hadi yang sekaligus mengubah lanskap politik pada waktu tersebut terutama dalam parlimen yang menjadi lebih islamik. Peristiwa ini telah berlalu hampir 31 tahun yang lalu, tiba-tiba ada pihak yang berkepentingan politik memainkan semula isu ini.
Ia seolah-olah orang kata kepada saya;

“Eh! Dulu bukan kau tak makan ke makanan di kedai Cina?”

“Itu waktu aku kat Malaysia, Sekarang kat US ni lain”

Begitulah, secara simplistik jika kita ingin memahami isu amanat Haji Hadi. Jika diperhatikan pada kandungan isi amanat tersebut, jelas di sini bahawa UMNO ditentang kerana mengekalkan undang-undang penjajah (yang digubal oleh Lord Reid), bukan kerana namanya UMNO. Katakanlah, esok PM Najib membuat sidang media bahawa kabinetnya akan melaksanakan syariat Islam, maka mengapa tidak kita menyokong? Bahkan menjadi kewajipan bagi kita sebagai muslim untuk menyokong usul tersebut.

Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.


Sebenarnya isu ini dimainkan semula, bagi menutup salah laku yang lebih besar; isu pembelian scorpene, isu National Feedlot Corporation (NFC), isu rasuah Port Klang Free Zone (PKFZ), isu hutang negara yang sudah mencecah 50% KDNK serta pelbagai lagi isu ketirisan.

Nasihat saya kepada semua diri saya dan semua pihak, jadilah insan yang adil dalam menilai isu ini, pandanglah isu ini dalam kerangka zaman yang sudah berubah dan yang paling terbaik, berilah peluang agar Tuan Guru Haji Hadi diberi ruang untuk menjelaskan amanatnya sendiri.  Katakanlah, saya membuat kenyataan;

“Indahnya hidup andai si dia di sisi”

Bagi yang ingin bertanya siapa si dia yang saya maksudkan, wajarkah mereka bertanya soalan ini kepada orang selain saya?

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al Maidah 5:8)

Berlaku adil lah dalam melakukan penilaian dan bertaqwalah kepada Allah.
Wallahua’lam.


Saturday, December 29, 2012

Bangunlah...


Salam kepada semua sahabat yang jauh mahupun dekat, semoga sentiasa dalam rahmat dan redha Allah.
Amma ba’d.

Tahun 2012 berbaki lagi dua hari lagi. Apa azam kita untuk tahun 2013? Adakah sudah terlaksana segala perancangan 2012? Marilah merenung sejenak kehidupan kita, sudahkah kita penuhi dengan tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai muslim. Untuk tahun 2013, saya tidak mahu terlalu merancang itu dan ini, cuma biarlah hanya sedikit perancangan tapi berfokus.

Saya mengajak, marilah kita semua merancang untuk mendalami  ilmu dan mengubah cara kita berfikir. Saya  dapati sebahagian sahabat di Amerika ini begitu bersemangat berbicara soal dakwah dan tarbiyah (pendeknya DnT). Satu semangat yang wajar dipuji kerana tatkala masih ramai anak muda yang hanyut dengan keduniaan, namun sahabat-sahabat saya ini sudah tersedar bahawa umat ini harus bangkit. Namun, saya tidak pasti apa sama ada mereka tidak nampak atau terlepas pandang tentang situasi semasa yang berlaku di Malaysia. Mereka begitu cakna dengan keadaan umat di Palestin, Syria dan dunia Islam lainnya yang bergolak tetapi mereka langsung tidak atau begitu kurang cakna dengan apa yang berlaku di negara sendiri. Mereka berdalilkan satu hadith Rasulullah SAW:

"Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya" (Hadith Rasulullah SAW)

Satu persoalan yang ingin saya lontarkan, apakah tiada muslim yang hidupnya susah dan merempat di Malaysia? Jika dikatakan umat Islam di Palestin dan Syria ditindas oleh kezaliman zionis, apakah orang-orang miskin dan faqir di Malaysia tidak ditindas oleh kezaliman pihak berkuasa yang menafikan hak rakyat (hak royalty minyak rakyat Kelantan misalnya)?

Berdegar-degar mereka melaungkan, marilah kita berjihad di Palestin,Syria, dan sebagainya, apakah tiada jihad bagi menentang kezaliman di Malaysia?bercakaplah dengan melihat realiti umat. Saya tidak pernah menafikan bahawa pentingnya untuk kita mengambil tahu dan membantu perjuangan umat Islam di sana tetapi cukuplah gambar di bawah mengingatkan kita peri pentingnya membangunkan umat dalam erti kata lain menghapuskan kezaliman di tanah air kita
Kredit gambar: PAS Selangor
.
Cara fikir inilah harus diperbetulkan. Allah berfirman dalam surah At Tahrim ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At Tahrim 66:6)

Ada sesetengah ulama’ menafsirkan perkataan ‘ahli’ dalam ayat ini, selain merujuk kepada keluarga, termasuk juga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Akhirnya kita hanya mampu mengeluh melihat keadaan umat di negara sendiri tetapi dalam masa sama, kita terlalu sibuk membantu mereka di yang berada di jauh. Cara berfikir yang sebegini kurang tepat. Sesiapa sahaja yang ditindas oleh kezaliman wajib dibantu sama ada jauh atau dekat.

Kepada ikhwah dan akhawat yang saya kasihi, bentuklah diri menjadi insan yang matang dan mampu berfikir dengan kritis; bukan hanya mengangguk dan mengiyakan segala kata-kata naqib naqibah. Akal adalah anugerah Allah yang tidak ternilai, maka janganlah mempersiakan anugerah Allah ini dengan malas berfikir, mengkaji dan membaca. Bangunlah dan ayuh menentang kezaliman dalam negara kita dan dunia Islam yang lain.

Wallahua’lam.


Monday, December 17, 2012

Infiru...


Salam kepada sahabat yang saya sayangi kerana Allah, semoga semua kita dianugerahkan ketenangan dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh tribulasi.
Amma ba’d.

Cuti musim sejuk (winter break) akan bermula tidak lama lagi di US. Ada beberapa tempat di tanah Inggeris serta Ireland sudah mula cuti mereka. Apa perancangan kalian sempena cuti ini? Saya bercadang untuk ke Toronto,Canada bagi menghadiri Reviving Islamic Spirit yang diadakan setiap kali cuti musim sejuk setiap tahun. Namun, sehingga hari ini masih tiada perkhabaran tentang visa Canada yang telah saya mohon sebulan lepas. Apapun, andai tiada rezeki saya ke sana, saya akur akan takdir Allah. Saya percaya dan pasti setiap sesuatu berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri.

“Berangkatlah kamu beramai-ramai (untuk berjihad pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (At Taubah 9:41)

Kepada sahabat-sahabat yang akan menghadiri program yang diadakan di tempat masing-masing, saya doakan semoga Allah mempermudahkan urusan kalian. Hati-hati bagi yang memandu kereta. Bagi yang menaiki kenderaan awam, periksa betul-betul jadual flight, bas, tren, dan sebagainya agar tidak terlepas. Niat menghadiri program-program baik ini kerana Allah dan ingin mendapat manfaat buat diri. Yakinlah, andai niat kita ikhlas dan jujur, kesan yang baik terhadap diri akan muncul selepas tamatnya program. Bagi yang berjalan-jalan, sila berhati-hati juga di musim sejuk, pastinya jalan raya licin disebabkan salji.

Akhir kalam, seeru a’la barakatillah..:)

Reviving Islamic Spirit 2012 (RIS 2012), Toronto,Canada

Muktamar MISG 2012, Dallas, Texas

Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland 2012 (PUISI 2012), Glendalough, Ireland

Rehlah Insaniah Seluruh England 2012 (RISE 2012), Lancanshire, England

Semoga Allah mengurniakan keberkatan dan kerahmatanNya yang banyak dalam setiap langkah kita.


Tuesday, December 11, 2012

Neraca Pemikiran Kita...


Salam kepada semua sahabat yang dirahmati Allah, semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmatNya.
Amma ba’d.

Tamadun Mesir Purba merupakan sebuah tamadun yang hebat dengan binaan piramidnya. Siapa tidak kenal dengan rajanya yang diberi gelaran firaun. Sungguh firaun ini benar-benar melampaui batas apabila sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan sedangkan iblis sendiri tidak pernah mengakui dirinya sebagai tuhan. Apa yang terjadi di zaman firaun adalah sesuatu yang kita kenali sebagai pembodohan kaum. Ya! Firaun memperbodohkan kaumnya sebagaimana tercatat dalam Al Quran:

”Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina (Nabi Musa) keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)? (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq - derhaka. Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).” ( Az Zukhruf 43:51-55)

Bagi kerajaan yang zalim, skrip mereka berulang sebagaimana yang telah terjadi di zaman firaun.

“Eh, kerajaan dah bagi kamu biasiswa, kamu nak apa lagi?”

“Bersyukurlah, kerajaan yang buat semua sekolah, jalan raya, lebuh raya semua ini. Semuanya demi kemudahan rakyat.”

“Ini satu lagi projek kerajaan, demi rakyat.”

Di semua Negara maju, mereka tidak pernah sesekali menggunakan istilah ‘wang kerajaan’ tetapi istilah yang mereka gunakan adalah ‘wang pembayar cukai’ (taxpayer money). Bagi rakyat yang kurang berfikir, mereka terus hidup dengan doktrin yang sungguh busuk ini sama seperti yang telah menimpa rakyat firaun.
Merenung alam dan memikirkan penciptaannya

Bagaimana kita boleh mengelak dari terkena pembodohan ini? Islam bukanlah agama dogmatik yang lahir di tengah-tengah masyarakat arab jahiliyah tanpa petunjuk wahyu dan dalil. Segala yang terdapat dalam Islam bersumberkan dalil naqli dan aqli. Begitu banyak ayat al quran menyuruh dan menggalakkan kita berfikir.

“Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al Baqarah 2:219)

“Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Ali Imran 3:7)

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Al An’aam 6:32)

Cara fikir dan sudut pandang kita harus betul berneracakan Al Quran dan As Sunnah. Kita terlibat dengan usrah ataupun gerakan Islam bukan kerana ikut-ikutan. Kalau kita bergerak atas dasar kerana ‘orang itu buat’, maka proses pembodohan sedang berlaku ke atas diri kita, dan tidak mustahil untuk kita berhenti di pertengahan jalan Islam. Kita mesti membebaskan fikiran kita dari memandang dimensi kesempitan duniawi kepada keluasan ukhrawi. Jika kita mengambil petunjuk selain Al Quran dan As Sunnah, ia mustahil untuk menyampaikan kita kepada Allah. Betulkan cara fikir dan sudut pandang, kita akan jadi umat yang Berjaya, insha Allah. Sebagai pengakhiran, suka saya memetik kata-kata Prof. Tariq Ramadan, “There is no faith without a critical mind” (tiada iman tanpa minda yang kritikal).

Wallahua’lam.

Sunday, December 9, 2012

Sampaikan Aku KepadaMu Ya Allah...


Salam kepada sahabat semuanya. Semoga rahmat Allah turun mencurah-curah ke atas kita semua.
Amma ba’d.

Hidup merupakan perjuangan. Perjuangan untuk merebut syurga Allah.Perjuangan ini bukan sekadar berjuang untuk mendaulatkan Islam di atas tanah air kita tetapi juga berjuang membebaskan diri daripada belenggu jahiliyah yang mencengkam, berjuang menundukkan hawa nafsu, berjuang menjadi insan soleh dan berjuang untuk menyedarkan masyarakat yang sedang kelalaian. Ramai orang bercita-cita untuk merebut syurga Allah, namun terkadang cita-cita itu lebih daripada usaha itu sendiri. Apabila kita berjuang, ia bukanlah satu kemestian untuk kita memperoleh kemenangan. Dalam perjuangan, kalah atau menang, hanya Allah yang tahu tetapi bagi kita yang faham, berjuang ialah untuk mengutip pahala dan rahmat daripada Allah. Bagi kita yang ingin berjuang di atas jalan Allah, carilah wasilah atau jalan yang dapat menghampirkan diri kepada Allah. Kenapa perlu menghampirkan diri kepada Allah? Allah adalah sumber kekuatan, Allah tempat bergantung harap, dan Allah adalah wali (pembantu) bagi kaum mukminin. Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al Maidah 5:35)

Jalan yang dibentangkan kepada kita kadang-kadang terlalu rencam kerana banyaknya persimpangan. Salah satu wasilah untuk menyampaikan kita kepada Allah, hampirkanlah diri kita dengan orang-orang yang soleh. Orang-orang soleh itu bukanlah mereka yang memakai gelaran ustaz, mufti, tok guru dan pelbagai lagi gelaran agama yang lain tetapi orang-orang soleh itu adalah mereka yang sentiasa bertaqwa alam erti kata melaksanakan segala titah perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Mereka yang sentiasa memelihara perkara-perkara halal dan haram. Mereka yang senantiasa berakhlaq dengan akhlaq Rasulullah SAW tatkala susah dan senang. Mereka yang sentiasa basah hati dan bibir mereka berzikir kepada rabbul jalil. Itulah mereka golongan orang yang soleh yang kedudukan mereka di sisi Allah sangat dekat.

Melihat wajah mereka yang adanya nur Allah, menjadikan hati kita yang resah gelisah menjadi tenang. Tidaklah perkataan yang keluar daripada mulut mereka melainkan penuh hikmah dan kelembutan. Setiap nasihat mereka mampu menghidupkan semula hati-hati yang kering. Apabila kita bersama mereka, hati akan berasa begitu tawar untuk bermaksiat kepada Allah. Maha suci Allah dengan segala kebaikan yang dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang soleh.

Bukanlah wali-wali Allah itu mereka yang boleh berjalan atas air, terbang tanpa sayap, hidup tanpa makan dan pelbagai perkara pelik di luar jangkauan akal tetapi wali-wali Allah itu adalah mereka yang  beriman dan bertaqwa kepada Allah seperti mana firman Allah:

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Yunus 10:62-64)

Insan-insan yang soleh ini mereka telah dijamin Allah bahawa tidak ada apa yang akan menggundahkan hati mereka dan mereka tidak bersedih dengan apa yang menimpa mereka. Mudah-mudahan, dengan menghampirkan diri dengan insan –insan soleh, Allah mempermudahkan jalan buat kita menjadi soleh. Tiadalah yang kita kejar dan cari di dunia ini melainkan mardhatillah (keredhaan Allah) semata-mata. Andai Allah redha, apa yang kita hilang? Allah tuhan yang maha berkuasa.

Ya Allah, kami memohon kepadaMu, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami daripada jalan yang Engkau redhai setelah Engkau menganugerahkan kami hidayah dan taufiq. Dan janganlah Engkau serahkan urusan diri kami kepada kami sendiri atau orang lain, kelak kami pasti binasa. Engkau yang maha pengasih dan penyanyang, bimbinglah kami, rahmatilah kami dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang soleh dn bertawakkal kepadaMu. Amin ya rabbal a’lamin.

Wallahua’lam.

Friday, December 7, 2012

Di Mana Allah Di Hatimu...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga kita sentiasa dalam rahmatNya selalu.
Amma ba’d.

Bila saya fikirkan semula, sedar tidak sedar, insha Allah masa saya di US hanya berbaki enam atau tujuh bulan lagi. Perasaan memang bercampur baur; antara sayangkan Rochester tempat saya mendalami makna hidup, dan perasaan tidak sabar membuak-buak untuk pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga tercinta. Sejak-sejak akhir ini, perasaan saya semakin sensitif apabila bercakap mengenai ibu bapa. Saya pernah menceritakan pengorbanan ayah saya dalam entri yang lepas. Kadang-kadang saya belek gambar emak dan ayah saya di FB, tanpa saya sedari air mata mengalir mengenangkan telah banyak jasa mereka kepada saya sehingga saya berada di tahap ini. Mereka hanya orang kampung biasa namun didikan agama dan ketegasan mereka dalam mendidik membentuk siapa saya di hari ini. Allah berfirman:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al Ahqaf 46:15)

Tahap kematangan kita mungkin berbeza; ada yang awal dan ada yang lambat namun usia 40 tahun, merupakan tahap kemuncak untuk seseorang mencapai kematangan yang sempurna dalam hidup. Di umur yang sudah menjengah 22 tahun, kita seolah-olah berada di persimpangan kehidupan. Jalan manakah harus kita pilih? Setiap jalan pasti mempunyai rencana tersendiri. Perlunya kita kepada istikharah dan beristisyarah dengan mereka-mereka yang terlebih dahulu ‘makan garam’  daripada kita. Siapalah yang paling hampir dengan kita andai bukan ibu bapa sendiri. Saya terfikir, setelah hampir sedekad saya tidak membesar di depan emak dan ayah, saya perlu lebih kerap menghubungi mereka. Saya dapati, cara emak saya bersembang dengan saya juga sudah berbeza, lebih terbuka untuk membincangkan topik-topik orang dewasa (politik, pendidikan,dan  pernikahan).
Antara perkara besar yang saya belajar dalam kehidupan apabila hidup berjauhan dengan orang yang kita sayang, dan berjauhan dari zon keselesaan, tahap kebergantungan dan tawakkal hanya kepada Allah sebulat-bulatnya. Tidak ada tempat lagi yang boleh saya mengadu melainkan kepadaNya, As Somad. Bila kita bergantung kepada Allah sepenuhnya, kita akan lebih berkeyakinan untuk kita bergerak dalam kehidupan. Oleh itu, agar kita dipelihara Allah, kita hendaklah menjaga hak-hak Allah. Nabi SAW bersabda:

“Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak muda, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.” (Hadith Hasan Sahih Imam Tirmizi).

Kenanglah jasa ibu bapa kita dengan berbakti dan berakhlaq dengan mereka. Berdoalah dan bertawakallah kepada Allah dalam hidup, sesungguhya tawakkal adalah perkara paling ajaib dalam dunia.

Wallahualam
Emak dan ayah, Kelantan,2008


Tuesday, December 4, 2012

Kematangan Hidup...



Emosi mungkin sukar dikawal, tetapi penilaian kita mesti adil. Kematangan hidup diperoleh setelah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam hidup.

Sunday, November 25, 2012

Memburu Sakinah...


Salam kepada semua sahabat.Semoga Allah memelihara kita dalam hidayah dan inayahNya.
Amma ba’d.

Alhamdulillah masih lagi diberi nafas untuk meneruskan kehidupan demi menyelami hikmah penciptaan diri. Bermula cuti minggu lepas, program saya bermula dengan Islamic Fall Retreat (IFR). Program yang sangat bermakna bagi saya kerana inilah pertama kali RIT menganjurkan program sebegini dan dibuka penyertaannya kepada university sekitar Region East. Saya bertugas untuk membawa imam Ismet Husny Akcin, imam bagi Islamic Center of Rochester(ICR). Perjalanan ke Vanderkamp, tempat program IFR kami mengambil masa lebih kurang satu jam 45 minit. Macam-macam yang dibualkan dengan imam antaranya, kisah keluarganya di Turki, kisah beliau belajar di Universiti Al-Azhar, keadaan Muslim di peringakt global dan juga yang paling menarik beliau mengalunkan bacaan ayat Alquran ketika saya memandu. Terima kasih juga kepada sahabat saya Faz, yang meninggalkan kereta Honda Accord nya untuk saya guna selama pemergiannya ke London selama seminggu. Allah sahajalah tuhan yang mempermudahkan segala urusan kita. Berada dekat dengan alam, menjadikan jiwa kita tenang dan damai. Melihat kebesaran Allah, menjadikan diri kita insaf hakikat kekerdilan diri.

Hari Isnin saya bertolak ke New Haven,Connecticut bagi menziarahi sahabat saya, Ahmad Topal yang merupakan orang Turki. Ahmad seorang yang sangat baik dan jujur orangnya. Orangnya sangat menjaga pemakanan terutama yang melibatkan halal dan haram serta sentiasa mendoakan kebaikan orang.. Saya bertuah kerana Allah menganugerahkan sahabat-sahabat yang baik sepanjang perjalanan hidup saya, Alhamdulillah. Hari Selasa saya bertolak ke Rhode Island, sebuah negeri yang kecil terletak di sebelah timur Amerika. Apa yang saya dapati, kebanyakan nama-nama tempat di Rhode Island sama dengan nama-nama tempat di UK seperti Durham, Coventry, Warwick, New Port, dan Middletown. Keadaan geografinya yang terbuka kepada lautan Atlantic sangat mengujakan. Selepas puas berjalan-jalan di Rhode Island, saya dan sahabat-sahabat saya kembali semula ke New Haven, Connecticut.

Pada hari Rabu, kami bertolak pulang semula ke Rochester. Biarpun kembara ini singkat namun ia sangat bermakna buat saya. Sampainya saya di rumah, rupanya housemate saya buat makan-makan turkey pada hari itu. Semoga Allah memberkati kesemua housemate yang sangat saya sayangi. Malam itu pula, seusai maghrib saya bersiap sedia untuk membawa usah di rumah sahabat saya di River Knoll. Biarpun badan letih akibat memandu sepanjang hari, namun keletihan hilang melihat sahabat-sahabat begitu bersemangat mendengar pengisian. Sehabisnya usrah pukul 9 malam, saya dengan seorang sahabat terus menuju ke kedai kopi Tim Horton. Ada beberapa perkara besar sempat dibincangkan dengan sahabat tersebut. Alhamdulillah.

Pada hari Khamis, semasa hendak pergi ke ICR bagi menunaikan solat subuh, saya dapati ramai orang yang tidur di rumah saya di tingkat bawah, rupa-rupanya sahabat-sahabat dari Michigan State University dan University of Michigan berkunjung ke rumah saya. Mereka semua baru sahaja sampai awal pagi tersebut. Selepas solat subuh, saya ke gym Park Point Club House bagi mengeluarkan sedikit peluh. Apa yang menariknya pagi itu, selepas pulang dari gym, kelihatan Suhaimi sudah mula menyiapkan barang-barang memasak nasi lemak bagi menjamu tetamu dari jauh tadi. Saya terus mandi dan membuat sedikit persiapan bagi pengisian kuliah usul 20 pada  hari tersebut. Petangnya selepas pulang dari kuliah perbincangan usul 20, sekali lagi rezeqi Allah datang; Suhaimi sekali lagi memasak nasi kerabu bagi menjamu tetamu istimewa tadi. Petangnya selepas solat Maghrib, sahabat saya yang baru sahaja pulang dari London menghubungi saya meminta tolong menjemputnya di airport dan pada petang itu juga selepas solat Isya’, saya bersama sahabat-sahabat di RIT, berangkat ke Buffalo bagi mengahdiri Tamrin MISG 2012.

Tamrin di Buffalo bermula pada malam Khamis tersebut dan berakhir pada pukul 8 malam hari Sabtu. Antara nikmat yang terbesar dalam hidup adalah apabila kita bertemu sahabat-sahabat atas tujuan mencari keredhaan Allah dalam gerakan dakwah. Pelbagai ilmu dikongsi, masalah didengari, padangan diberi dan ukhuwah bersemi. Semuanya rahmat Allah pakejkan bagi mereka yang ingin bersama gerakan Islam yang indah ini.

Biarpun letih masih belum hilang tetapi dek kerana indahnya hidup dalam gerabak dakwah ini, menyebabkan semangat menulis terus berkobar-kobar. Orang yang dalam hidupnya memburu sakinah (ketenangan) akan memperolehi dengan melakukan sunnah Rasulullah SAW yang agung ini, berdakwah. Ketenangan ini milik Allah dan hanya DIa lah yang akan menganugerahkan ketenangan ini dalam diri kita selagi mana kita yakin dan bekerja demi melihat sinar kemenangan Islam di muka bumi ini.

Wallahua’lam

Tuesday, November 13, 2012

Kehidupan Ini Sebuah Misteri...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah memberkati kita semua.
Amma ba’d.

Alhamdulillah atas segala nikmatnya, baru terasa boleh bernafas sikit.Blog ini pun sudah berhabuk. Ya Allah ampunilah dosa hambaMu ini andai tidak menyumbangkan sesuatu buat sahabat-sahabatnya. Antara perkara yang saya suka bicarakan adalah persoalan tentang kehidupan. Kehidupan ini sebuah misteri. Bagi mereka yang hidup hanya memburu duniawi, mereka tidak akan Nampak betapa misterinya hidup. Namun, bagi mereka yang menjadikan akhirat sebagai buruan, mereka akan Nampak kehidupan ini sesuatu perjalanan yang penuh misteri dan ajaib. Kenapa? Kerana bagi mereka yang memburu akhirat, dibentang segala ujian, mehnah dan tribulasi bagi pembuktian iman yang haq.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al An’kabut 29:2-3)

Bagi mereka yang menjadikan akhirat sebagai matlamat pasti diuji dengan ujian yang berat. Ada yang melalui detik sukar apabila gagal dalam peperiksaan, gagal dalam hubungan, gagal dalam perniagaan dan gagal dalam kerjaya walaupun semuanya telah dibuat mengikut kehendak syariat. Allah maha adil, bersamanya kesusahan itu adanya kesenangan.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Al Sharh 94:5-6)

Selaku orang beriman, apabila diuji, percayalah akan ada sesuatu perkara yang lebih baik di masa hadapan cuma apa yang penting, kita mesti tetap yaqin dan istiqamah dengan amalan soleh. Allah tidak pernah bermaksud mempermainkan kita hambaNya. Dia Cuma ingin menunjukkan kepada kita bahawa Dia amat menyanyangi kita. Kehidupan lebih bermakna dan menjadi manis apabila ujian dan nikmat datang silih berganti. God works in mysterious ways. Kita sendiri tidak terjangkau dek akal memikirkan bagaimana kita boleh keluar daripada permasalahan yang kita rasa begitu berat ketika kita diuji. Itulah cara Allah ingin membawa kita lebih dekat kepadaNya. Kita mungkin sedih tatkala diuji, itu fitrah! namun janganlah sampai membawa kepada hilang kebergantungan hidup kepada Allah.


Apabila Allah menunjuk jalan atau membawa kita keluar daripada permasalahan hidup barulah kita sedar bahawa Allah bersama kita. Pokoknya, kebergantungan hidup kepada Allah menjadi nadi kepada kita untuk meneruskan kehidupan yang serba rencam. Marilah kita berazam untuk istiqamah dan mempertingkatkan amal soleh dan amal kebajikan agar jiwa kita lebih dekat dengan Allah.
Wallahua’lam

Trials will come but surely they will fade away. Senyum