Saturday, April 23, 2011

Tahniah! Kamu Mendapat Naungan Allah..

Salam buat semua sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah.mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah.
Amma ba’d.

Alhamdulillah semalam (22 April 2011) telah berlangsungnya pemilihan presiden bagi RIT MySA (Rochester Institute of Technology Malaysian Students Association). Saudara Fuad Ismail telah dilantik menjadi presiden yang baru  bagi penggal 2011/2012. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada saudara Fuad atas pelantikan beliau. Menjadi harapan dan keyakinan saya agar MySA dibawah kepimpinan Fuad akan lebih mantap dan progresif terutama dalam memperbanyakkan aktiviti-aktiviti yang lebih bersifat Islamik. Disini perlu difahami bahawa kepimpinan sebelum ini sangat mantap cuma saya berharap MySA dibawah kepimpinan Fuad Ismail akan menjadi lebih mantap. Terlanjur bercakap mengenai kepimpinan, sukalah saya untuk berbicara mengenai syarat-syarat menjadi pemimpin. 

Dalam ucapan saudara Fuad, beliau mengaskan bahawa kepimpinan adalah amanah yang akan dipersoalkan. Kita (warga RIT) perlu faham bahawa naiknya saudara Fuad selaku presiden adalah dengan DILANTIK dan bukannya MELANTIKNYA dirinya sendiri. Jadi kita semua telah menaruh sepenuh kepercayaan kepada beliau. Andaikata ada kelemahan dan kepincangan di masa hadapan, terimalah hakikat bahawa kita manusia dan kita tidak sesekali lari daripada kesilapan dan marilah sama-sama kita menampung kelemahan itu. Memang sepatutnya kita tiada ruang melakukan kesilapan tetapi kita sentiasa ada peluang untuk melakukan pembaikan.

Dalam kitab Fiqh Islam Wa Adillatuhu (Feqah Islam dan Dalil-Dalilnya) karangan Profesor Dr. Wahbah Zuhaili yang merupakan penerima anugerah tokoh maal hijrah antarabangsa pada tahun 2008 ada menyatakan syarat-syarat menjadi pemimpin (Bab Shurutul Imam). Hari ini kita dapat lihat di Malaysia, terlalu ramai yang ingin jawatan terutama yang melibatkan ahli politik. Mereka melihat menjadi ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri sebagai langkah mudah untuk mengaut kekayaan. Mana tidaknya, sebarang projek harus mendapat tandatangan mereka. Adakah sekadar tandatangan? Tidak, pasti ada ‘bayaran’ disebalik tandatangan itu. Tetapi tidak semua ahli politik bersikap demikian kerana ada sebahagiannya  yang baik, amanah serta berkhidmat dengan penuh keikhlasan.
                                                              Profesor Dr Wahbah Zuhaili

Dr Wahbah Zuhaili menggariskan tujuh syarat dalam memilih pemimpin.

Yang pertama, seseorang itu haruslah mempunyai keupayaan yang sempurna (wilayatul tammah). Maksudnya, dia bukanah seseorang yang terdiri daripada orang yang cacat fizikal dan mental. Dia juga haruslah seorang lelaki, Islam, berakal, baligh, dan merdeka.

Yang kedua, dia mesti seorang yang adil (al a’dalah). Adil disini bermaksud dia seseorang yang berpegang dengan agama dan tidak meremehkan hukum hakam yang telah termaktub dalam AL Quran dan Assunnah. Dia juga mesti berakhlak dengan akhlak islamiah yang mulia dan tidak mencemarkan maruah. Mencemarkan maruah bermaksud tidak melakukan sesuatu yang dipandang serong oleh masyarakat umum. Sebagai contoh, jika kita berkumpul beramai-ramai pasti ada sahaja jenaka yang dibuat. Bagi orang biasa ketawa berdekah-dekah itu adalah perkara biasa namun bagi pemimpin perbuatan itu dapat mencemarkan maruahnya selaku pemimpin maka dia harus mengelakkannya. Termasuk di bawah syarat-syarat ini adalah, dia tidak mengambil ringan dosa-dosa kecil serta menjauhi dosa-dosa besar.

Yang ketiga, beliau mesti mempunyai ilmu yang mencukupi (al kifayah ilmiyah). Ilmu yang dimaksudkan disini adalah ilmu mengenai hukum serta mampu berijtihad apabila menghadapi situasi genting. Sebagai contoh, Kes buang bayi semakin meruncing di Malaysia, jadi seharusnya dia tahu solusi terbaik dalam menangani kes ini mengikut lunas-lunas Al Quran dan Assunnah. Dalam bab ini dia berkuasa dan wajib menjalankan amar maaruf dan anhi munkar atau dalam erti kata lain, dia berkuasa untuk mengimplimentasikan peraturan yang mencegah kemungkaran.

Yang keempat, seorang pemimpin harus tahu selok-belok ilmu pentadbiran, peperangan dan politik. Dia harus tahu dan faham sesuatu isu yang melanda dibwah kepimpinannya. Dia juga harus menangani isu dengan ilmu, kematangan serta tidak mudah ‘melatah’.

Yang kelima, seorang pemimpin itu harus bersemangat waja, tabah dan kental. Dia tidak mudah merajuk jika menerima kritikan serta tidak mudah lemah semangat. Beliau sentiasa berani menyatakan kebenaran walaupun dicerca oleh puak yang suka mencerca. Allah berfirman dalam surah al maidah ayat 54:

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.(5:54)

Yang keenam, sesorang itu harus mempunyai kesempurnaan tubuh badan (alkifayah aljasadiah). Dalam hal ini, pemimpin bukanlah yang terdiri daripada orang yang buta, pekak, dan bisu. Dia juga bukanlah dari kalangan orang yang menghidap penyakit-penyakit kronik.

Yang ketujuh, yang dilantik menjadi pemimpin itu haruslah dari kalangan mereka yang berpengaruh dan mendominasi sesuatu tempat. Sebagai contoh di Malaysia, kaum melayu yang mendominasi kaum-kaum lain. Maka seharusnya Melayu Islam yang berhak untuk menjadi pemimpin Malaysia.  

Rasulullah SAW bersabda:

Dari Ibn Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah Saw. Berkata :”setiap kalian adalah pemimpin, setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinan kalian. Penguasa adalah pemimpin, dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Suami adalah pemimpin keluarganya, dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Isteri adalah pemimpin dirumah suaminya, dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Pelayan adalah pemimpin dalam mengelola harta tuannya, dan akan diminta pertanggungjawaban tentang kepemimpinannya. Oleh kerana itu kalian sebagai pemimpin akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.“

Disebalik kepayahan memimpin sebuah organisasi atau Negara, jika pemimpin itu amanah, Allah menyatakan ganjaran yang akan diperolehi oleh pemimpin tersebut dalam satu hadis Rasulullah SAW:

Dari Abu Hurairah ra., dari Nabi Saw., beliau bersabda : “Ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, yaitu : Pemimpin yang adil, Pemuda yang senantiasa beribadah kepada Allah Ta’ala, Seseorang yang hatinya senantiasa terpaut (dipertautkan)” dengan masjid, Dua orang saling mencintai kerana Allah, yang keduanya berkumpul dan berpisah keranaNya. Seorang lelaki yang ketika diajak [dirayu] oleh seorang wanita bangsawan yang cantik lalu ia menjawab :”Sesungguhnya saya takut kepada Allah.”Seorang yang mengeluarkan sedekah sedang ia merahsiakannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sepi sehingga menitiskan air mata.”

Dalam hadis ini, kita dapat lihat bahawa pemimpin yang adil didahulukan mendapat naungan Allah berbanding enam golongan yang lain.

Kesimpulannya, menjadi pemimpin itu sesuatu yang berat tetapi saya kira  rakyat Malaysia sudah cukup matang dan bijak untuk memilih pemimpin yang selayaknya memimpin kita. buatlah pilihan bijak kerana kita akan dipersoalkan Allah tentang mengapa kita mengangkat seseorang menjadi pemimpin.

Wallahualam.


Pemimpin yang sangat saya kagumi dan rindui pada zaman ini. semoga saya mengikuti jejak langkah beliau.

Mengalir Air Mataku..



Tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir mendengar lagu ini...

"Ya Allah jadikanlah aku anak yang soleh kepada kedua ibu bapaku. Rahmati dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku ketika kecil. Ya Allah hambaMu memohon ampun dan maaf andai pernah terlanjur dan terkasar kepada kedua ibu bapaku. tiada erti hidup aku di dunia andai redha mereka tidak menyertaiku"

Wednesday, April 20, 2011

Tuntutan Zaman...

Zaman ini menuntut saya menjadi lebih bertaqwa kepada Allah kerana fitnah yang datang tidak ringan.

Zaman ini menuntut saya agar menjadi lebih berhati-hati dalam memilih arah hidup kerana kehidupan menjadi semakin rumit.

Zaman ini menuntut saya menjadi lebih bijak dan rasional dalam bertindak kerana ia mempengaruhi kehidupan saya di masa hadapan.

Zaman ini menuntut saya sentiasa mencipta dan mencari peluang yang ada di sekeliling demi tertegaknya Islam.

Zaman ini menuntut saya agar bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan kerana sedetik terleka pasti dipintas orang.

Zaman ini menuntut saya agar menjadi berani untuk menyatakan kebenaran walaupun dicerca oleh puak yang suka mencela kerana inilah tanggungjawab seorang hamba dan khalifah Allah.

Zaman ini menuntut saya sentiasa berfikir secara matang dan kritis kerana mehnah dan tribulasi yang mendatang adalah berat.

Zaman ini menuntut saya menjadi yang terkehadapan kerana Muslim harus cemerlang dalam segala aspek.

Zaman ini menuntut saya agar lebih taqarrub kepada Allah kerana hanya kepadaNya lah tempat berlindung dan kembali.


Zaman ini menuntut saya supaya sentiasa optimis dengan setiap qada’ dan qadar Allah kerana Allah yang mengetahui segala yang terbaik untuk saya.

Kerana zaman ini adalah zaman fitnah. Zaman di mana orang membuang Islam dari kehidupan. Zaman di mana kebanyakan orang sudah melupakan akhirat.

“Ya Allah, kepadaMu lah hamba berlindung dari segala bala’ dan bencana. Ya Allah, kepadaMu lah hamba serahkan jiwa raga dan sandarkan segala harapan. Amin Ya Rabbal A’lamin..”

Ayuh terbang tinggi..:)

Tuesday, April 12, 2011

One Step Taken, One Step Closer

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah azza wa jalla. Bersempena musim bunga yang tiba di negara-negara empat musim di hemisfera utara ini, marilah kita sama-sama menghayati kebesaran Allah yang menciptakan bunga-bunga cantik bagi mereka yang berfikir. Sesungguhnya memandang bunga-bunga, langit, laut dan alam sekeliling sangat menenangkan kerana mereka sentiasa berzikir dan bertasbih kepada Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang (13:28).
Amma ba’d.

Entri kali ini dikeluarkan khas atas permintaan akhi Abdul Wahid Munif yang sedang berada di Colorado School of Mines, Colorado. Saya kira akh Wahid lebih mengetahui tentang perkara ini namun mungkin beliau ingin melihat pendapat saya dan dalam masa yang sama kami boleh bertukar-tukar pendapat. Persoalan yang ingin kita rungkaikan kali ini adalah berkaitan khitbah. Saya sangat memahami bahawa umur 20 hingga 25 tahun merupakan zaman kritikal (critical time) bagi seseorang kerana zaman ini, kita harus membuat pilihan yang mana pilihan-pilihan ini akan mempengaruhi kehidupan kita  apabila berumur 30 an, 40 an, 50 an dan begitulah seterusnya sehingga datangnya malaikat Izrail untuk mencabut nyawa.

 Apa itu khitbah?  Khitbah bermaksud peminangan seorang lelaki terhadap perempuan yang mahu diambilnya sebagai permaisuri hidup atau dalam bahasa lebih mudah ialah bertunang. Bertunang tidak bermaksud segala-segalanya halal melainkan dalam beberapa perkara. Rasulullah SAW bersabda:

Dari Mughirah bin Syu’bah berkata “Aku pernah melamar seorang wanita. Lalu Nabi SAW
bersabda, ‘Lihatlah ia, kerana yang demikian itu akan menimbulkan kasih sayang antara kalian
berdua.” (HR Nasa’I, Ibn Majah dan Tirmidzi).

Disini Rasulullah SAW menyuruh kita melihat wajah gadis yang ingin kita peristerikan supaya tidak menyesal sesudah perkahwinan nanti. Jadi melihat muka adalah harus supaya kita berpuas hati dengan pilihan yang dibuat kerana perkahwinan bukan proses yang singkat tetapi ia memerlukan komitmen sehingga ke syurga. Ramai orang yang berkata, rupa tidak penting asalkan ada agama. Bagi saya pernyataan ini harus diperbetulkan kepada asalkan ada agama dan sedap mata memandang. Setiap orang mentakrif kecantikan dari perspektif yang berbeza. Ada berkata yang hitam manis itu menawan, ada yang berkata yang putih melepak itu menarik, dan ada yang berkata yang berkulit kuning langsat itu cantik. Jadi, terpulanglah kepada kehendak masing-masing. Jika ditanya saya yang mana menjadi pilihan hati, jawapan saya adalah asalkan ada agama dan sedap mata memandang. Ustaz Ridhauddin pernah berpesan kepada saya.

“Nanti kalau Nazrul nak cari isteri, cari yang pakej. Cari yang solehah, cantik dan sama fikrah.”

Segala pesanan Ustaz Ridha kepada saya sebelum berangkat ke bumi asing ini memang sentiasa terpahat kukuh di sanubari saya.

Bertunang vs Coupling

Ada soalan dari seorang sahabat baru-baru ini.

“Yun, macam mana kalau kita saling menyukai dengan orang perempuan tu dan kita tak nak jatuh ke lembah coupling?”

“ha, itu pasal lah kita kena bagitau kat mak ayah kita kalau kita berkenan dengan seseorang. Pastikan mak ayah kita tahu dan mak ayah yang sebelah sana pun tahu. Sebab benda saling menyukai ni fitrah.”

Hari ini kita sangat sedih dengan budaya coupling dalam kalangan muda mudi yang begitu bebas ke mana sahaja tanpa batasan. Mereka keluar ke taman, panggung wayang, shopping mall dan makan-makan sekali seolah-olah sudah mempunyai hubungan yang sah. Bahkan ada yang lebih teruk pada itu apabila syaitan dan nafsu menguasai diri, ibu bapa sudah tidak diingati, ‘perkara’ yang paling kita takuti itu pun terjadi. Wana’uzubillahimin zalik.

Apabila bertunang, kita sudah mendapat restu dan redha dari ibu bapa. Apabila bertunang, kita boleh keluar bersama asalkan ada mahram yang menemani dari pihak perempuan. Kita boleh bertanya khabar dengan syarat tidak berlebih-lebihan. Tetapi sangat tidak digalakkan bagi mana-mana pihak untuk bermalam sama ada di rumah lelaki atau rumah perempuan selagi ikatan pernikahan belum dimerterai.

Namun bagi yang bercouple, mereka bebas keluar ke mana bersama-sama bernaungkan kemurkaan Allah. Emak dan ayah seolah-olah tunggul kayu di rumah kerana mereka tidak dikhabarkan perihal anak yang mereka lahir dan besarkan. Mereka berjanji bersumpah setia, sedangkan redha dan restu ibu  bapa belum diminta. Tidak malukah kita mengusung anak dara orang ke hulu hilir tanpa pengetahuan orang tuanya? Yang paling patut dimalukan adalah, tidak malukah kita melanggar larangan Allah yang sentiasa memberi rezeki dan melihat kita?

Malu Tapi Mahu

Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak boleh bagi seorang lelaki melamar tunangan orang lain sehingga ia menikahinya atau
meninggalkannya ".
(HR Bukhari dan An-Nasai)

Dalam hal ini, kita tidak boleh melamar seseorang yang sudah diketahui menjadi tunang orang. Atas dasar ini, perlulah kita selidik terlebih dahulu. Bagi yang berani, dia akan berterus terang.

“Sebenarnya, saye dah lame menaruh hati kat awak. Sudi tak awak menjadi isteri saye?”

Tapi bagi orang-orang yang pemalu, khidmat orang tengah sangat diperlukan. Orang tengah pula bukanlah orang yang jenis tangkap muat tetapi haruslah orang yang menjaga agamanya. Seafdhal-afdhalnya sudah tentulah dari kalangan orang yang berkahwin sendiri. Maksud menjaga agama disini adalah yang mempunyai akhlak yang bagus baik dari segi tingkah laku,perbuatan dan tutur kata.

Tempoh pertunangan ini tidak perlulah dilamakan kerana khuatir ada orang-orang yang dengki kepada kita akan melakukan sesuatu yang akan menggagalkan impian menuju mahligai impian. Dibimbangi kedua pasangan banyak melakukan dosa disepanjang tempoh pertunangan dengan kerapnya mengadakan pertemuan yang tak syarie. Susah untuk menjaga batas aurat dan syarat ditemani oleh Mahram. Seharus-harusnya tempoh pertunangan juga harus dirahsiakan. Rasulullah SAW bersabda:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan”
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Situasi yang boleh dilihat pada masa kini terutamanya di Facebook adalah pasangan-pasangan ini sudah meletakkan status “in relationship”, “engaged” dan sebagainya. Bagi saya status yang sesuai hanyalah “married” apabila benar-benar sudah berkahwin. Sebab itu saya tidak meletakkan sebarang status sama ada single,it’s complicated, in relationship dan sebagainya di Info FB saya bagi mengelakkan spekulasi-spekulasi yang akan timbul.

Mungkin orang-orang yang malu ini jugak bertanya macam mana nak memulakan hal perkahwinan ini dengan ibu bapa. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan emak dan ayah yang sentiasa berminda terbuka untuk bercerita tentang hal ini, Alhamdulillah.

“Tak payah tunggu sapa lahir dulu. Kalau angah dah ada, angah la naik dulu” kata emak pada suatu hari

Mungkin cara yang boleh saya sarankan adalah cuba bersembang hal sebegini dengan ibu bapa kalian.

“Mak, ada kawan angah yang sampai kat US ni dah kahwin dah”

Ayat ini boleh dijadikan permulaan untuk memulakan topik perkahwinan ini bersama ibu bapa kalian.

Pesanan Buat Diriku dan Dirimu

Kita harus ingat, cinta makhluk hanyalah alat untuk menyampaikan cinta yang sebenar-benarnya kepada Allah. Andai tidak memiliki bunga yang kita dambakan itu, yakinlah Allah telah menyediakan kuntuman bunga yang lebih harum dan indah mewangi. Perkahwinan itu selain memenuhi fitrah, ia juga mesti mempunyai matlamat dan matlamat itu biarlah bersambung kepada kebaikan Akhirat kita. Niatlah di hati moga perkahwinan kita diberkati Allah dengan anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kebahagiaan kita di alam barzakh sesudah kematian kita kelak.

Kepada Wahid, saya memohon maaf jika terdapat kekurangan pada tulisan saya. Semoga apa yang baik boleh diamalkan, dan yang kurang baik, saya memohon keampunan daripada Allah dan jauhkan kami daripada mengamalnya.

Satu langkah diambil, satu langkah menghampirinya.

Wallahua’lam.

untuk Wahid, terimalah lagu ini

Monday, April 11, 2011

Memali: Kami Golongan Celik Sejarah..

salam buat sahabat-sahabat yang dirindui kerana Allah,semoga semakin ceria dan sihat selalu.
Amma ba'd.

"Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya" George Santayana

Dibawah ini saya bawakan sejarah yang perlu kita tahu tentang perkembangan Islam di negara kita.
Artikel ini diambil dari blog ini.


BALING, ialah sebuah daerah di Kedah yang terletak di utara Malaysia. Daerah ini pernah mengalami pelbagai pengalaman tragedi yang dicetuskan oleh Parti Komunis Malaya yang diharamkan itu, walaupun ia menerima sokongan kerajaan Cina yang berpusat di Peking. Apakah satu keanihan, tragedi yang terjadi pada 19hb November, 1985 di Baling itu berlaku ketika Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohammad sedang melakukan satu kunjungan rasmi di China?

Tragedi ini telah mengorbankan empat belas nyawa orang Islam yang mati syahid kerana mereka lebih rela memilih jalan syahadah daripada jalan sekularisme. Orang yang lebih memilih jalan kebenaran daripada akur kepada kekerasan telah turut terkorban nyawanya. Beliaulah al Syahid Ibrahim Mahmud. Latar belakang Al-syahid Ibrahim Mahmud berumur 43 tahun ketika itu dan amat dihormati oleh masyarakat di Kampung Memali, yang termasuk dalam Mukim Siong, Baling. Beliau memang merupakan seorang yang banyak pengalaman dan berpendidikan Islam yang cukup tinggi. Beliau lulus daripada Universiti Al Azhar dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya lagi di India dan Libya. Sebaik pulang ke tanah air, Al Syahid Ibrahim telah berkhidmat sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri.

Thursday, April 7, 2011

Lughatul Hubb..

Salam buat semua, semoga hari ini lebih gemilang dari hari semalam.
Amma ba’d.

Apakah lughatul hubb ini? lughatul hubb bermaksud bahasa cinta; bahasa yang indah untuk dipertuturkan. Bila dan dimana bahasa cinta boleh digunakan? Sebenarnya bahasa cinta ini boleh digunakan bila-bila masa dan di mana saja. Kondisi yang saya maksudkan kali ini untuk menggunakan bahasa cinta adalah dalam medan dakwah. Ya, ramai dalam kalangan ‘orang agama’ hari ini menggunakan kaedah menghukum dalam berdakwah.

“ape kau buat ni, tau tak perbuatan ini haram. Allah berfirman bla  bla bla..”

“ish, teruknye kau ni.takkan kau tak belajar pasal benda simple ni waktu kecik dulu.”

“dah nampak dah kau ni memang calon neraka.Allah kate jangan makan bende haram, kau sumbat jugak.”

Begitulah sebahagian cakap-cakap mereka yang ada ilmu agama lebih sedikit berbanding orang lain. Wahai sahabat nabi bersabda:

“Barangsiapa yang Allah mengehendaki kebaikan kepadanya, maka Allah akan memberi kefahaman agama kepadanya” (hadis riwayat Bukhari)

Di sini, Allah berjanji memberi KEFAHAMAN dalam agama. Kefahaman dalam agama bukan sekadar tahu. Sebagai contoh, seseorang sangat tahu untuk memasak ayam masak lemak cili api. Dia tahu berapa banyak cili api perlu dimasukkan, berapa banyak santan perlu dimasukkan, berapa batang serai yang diperlukan bagi menghasilkan ayam masak lemak cili api yang sangat sedap itu. Hendak dijadikan cerita, satu hari dia termasuk santan lebih daripada yang sepatutnya, apa yang sepatutnya dia lakukan? Disinilah kefahaman sangat diperlukan. Bagi orang yang sekadar tahu, dia hanya boleh memasak tanpa silap tetapi jika ditakdirkan kesilapan berlaku, maka masakannya yang dipuji ramai tidak akan menjadi kerana dia tidak tahu apa yang patut dilakukan bagi mengatasi kesilapan tadi. Bagi orang yang faham, dia mungkin boleh menambah air sedikit ke dalam masakan tadi bagi mengimbangi kepekatan kuah masak lemak cili api tadi.

Begitulah beza antara orang yang sekadar tahu dan orang yang tahu serta faham dalam agama. Apa kaitan dengan bahasa cinta tadi? Bezanya orang yang sekadar tahu dalam hukum fiqh tetapi tidak memahami diri seseorang yang hendak didakwahnya mudah untuk menghukum seseorang. Sebagai contoh:

“eh! Kenape kau tak bertudung. Kau tau tak tudung tu WAJIB dan perempuan yang tak pakai tudung BERDOSA dan masuk NERAKA. Rasulullah SAW bersabda:

“Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku lihat : satu kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya, dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, mereka jauh dari ketaatan kepada Allah serta mengajar yang lain tentang perbuatan mereka (tidak menutup aurat), kepala mereka seperti bonggol unta, mereka ini tidak masuk syurga dan tidak mencium bau syurga sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak ini dan ini.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Rasulullah SAW kate tak cium bau syurga tau tak.”

Wah hebat betul “ustaz/ustazah” ini, siap berlapikkan hadis lagi. Betul, memang betul tudung itu wajib dan barang siapa yang mengingkarinya berdosa. Tetapi selaku dai’e, kita harus menggunakan pendekatan kasih dan sayang untuk mad’u kita. apabila kita melihat orang tidak bertudung (merujuk situasi di atas), perkara pertama yang mesti kita lakukan adalah MUHASABAH DIRI. Bagi kita yang FAHAM,Kita perlu bertanya kepada diri sendiri dahulu, adakah kita  telah bertanya kepadanya kenapa dia tidak bertudung? Adakah kita sudah memberitahunya tentang kewajipan bertudung? Adakah kita telah menghadiahkannya sehelai tudung buat permulaan untuk dia pakai? Jadi disinilah bahasa cinta sangat diperlukan. Hampiri mad’u kita, makan sekali, bertanya kabar dan tanyakan kenapa dia tidak bertudung. 

Sesetengah orang tidak bertudung kerana bi’ah (suasana) yang tidak islamik di rumah, ada sebahagiannya kerana tidak diberi pendedahan tentang agama sejak kecil dan ada sesetengahnya yang memang sukakan hidup bebas dari syaria’t agama. Di sini saya tertarik dengan konsep real problem vs presenting problem  yang dikemukan oleh ustaz Hasrizal Abdul Jamil. dalam konsep ini, presenting problemnya adalah tidak bertudung dan real problemnya mungkin tidak tahu tentang kewajipan bertudung. Jadi yang perlu diselesaikan adalah pada real problem bukannya presenting problem.

Kita sepatutnya menggunakan bahasa-bahasa yang indah dalam menegur:

“Eh! Nur rupanya. Ape kabar hari ni? Muka happy je. Jom saye belanje makan. (dalam perjalanan ke kedai makan) Nur, saye nak tanye sikit la. Maaf la kalau menyinggung perasaan awak, kenape awak tak pakai tudung? Alhamdulillah, saye tengok makin ramai kawan kite dah mule pakai tudung. Saye yakin awak pun tahu tudung tu wajib (dengan senyuman di bibir)….”

Kesimpulannya, gunakanlah bahasa-bahasa yang lembut dalam menyeru orang lain kearah kebaikan. Janganlah sesekali menghukum seseorang atas kesilapan mereka kerana yang layak menghukum hanyalah Allah azza wa jalla. Fastabiqul khairat
Wallahua’lam.

P/S: situasi feminine yang digunakan di atas adalah bertujuan supaya mudah difahami.

Monday, April 4, 2011

Kerana Ia Menyucikan...

Salam sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Mudah-mudahan hidup kita diberkati dan dirahmati Allah.
Amma ba’d.

Apakah Al Quran di hati kita? adakah sebagai perhiasan yang terletak di dalam rak? Atau sekadar untuk dijadikan acara tahunan sebagai musabaqah Al Quran? Atau dijadikan sekadar hantaran sewaktu perkahwinan? Sebagai umat Islam, Al Quran itu tidak boleh dipisahkan dalam setiap inci dan aspek kehidupan. Al Quran adalah kalamullah yang diturunkan sebagai panduan buat penyuluh kehidupan sebagaimana Allah firmankan:

“Alif lam mim. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” (2:1-2)

Ada sesetengah orang bertanya, apa guna kita baca quran kalau kita tidak memahami maknanya. Disini saya ada analogi yang menarik untuk dikongsi bersama. Analogi ini saya dapat daripada sahabat saya, Ahmad Faiz bin Khalil (Fateh) sewaktu saya di tingkatan lima dulu. Beliau memberi analogi dengan menceritakan bahawa ada seorang datuk menyuruh cucunya mengambil air dari perigi menggunakan bakul rotan yang jarang. Lalu cucu tersebut tanpa banyak soal terus melakukan seperti yang disuruh oleh datuknya. Namun selepas beberapa kali mengambil air dari perigi tersebut, ternyata air yang masuk itu keluar semula kerana sifat bakul yang jarang. Lalu cucu itu mengadu kepada datuknya bahawa mustahil dia mampu membawa air menggunakan bakul yang jarang itu. Lalu berkatalah datuk tersebut kepada cucunya. “ wahai cucuku, datuk yakin bahawa bakul itu sudah tentu bersih setelah beberapa kali engkau mengambil air daripada perigi itu walaupun air itu tidak mampu engkau bawakan kepada datuk. Begitulah dengan hati kita, walaupun kita tidak memahami al quran tetapi apabila kita tetap membacanya, hati akan menjadi bersih”. Lalu tahulah cucu itu bahawa datuknya sedang menagajarnya ilmu hikmah.

Begitulah sepatutnya yang kita amalkan, walaupun kita tidak memahami isi Al Quran tetapi jika terus membacanya, Allah akan membersihkan hati kita dari penyakit-penyakit mazmumah. Hari ini kita boleh lihat, akibat Al Quran dipinggirkan rasuah dalam kalangan pemimpin politik sangat membarah, hedonisme dalam kalangan muda mudi merebak bagai api membakar lalang, budaya fitnah memfitnah serta menjatuhkan kredibiliti orang lain seperti tidak ada apa-apa. Astaghfirullahal azim, Islam versi mana yang kita warisi? Islam Mustafa Kamal Attartuk atau Islam Saidina Mustafa Muhammad Rasulullah SAW?

Oleh yang demikian saya menyeru kepada diri saya dan sahabat-sahabat agar marilah sama-sama membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan ayat –ayat suci Allah agar kita tidak terpesong daripada jalan hidup yang diredhai Allah. Bacalah sekurang-kurangnya satu helai satu hari. Apabila Quran diamalkan, kita dapat menilai antara batu dan permata serta palsu dan dusta .
Wallahua’lam.

Sesungguhnya kepimpinan taghut dan sekular akan jatuh dan kepimpinan Islam akan tertegak. yakinlah...

Wednesday, March 30, 2011

Jangan Main Belakang..

Salam buat sahabat, semoga sihat dan bertambah amal kebajikan serta berkurangan jahilliyah dalam diri kita.
Amma ba’d.

Kali ini saya tidak berhasrat mahu melencong lagi. Tajuk kali ini memang berkaitan cinta, baitul muslim atau yang sewaktu dengannya. Kebelakangan ini, saya lihat rakan-rakan semakin rancak berbicara isu kahwin. Satu pujian harus saya hamburkan buat sahabat-sahabat kerana semakin meningkat minda dan tahap kematangan. Kanak-kanak tidak akan memikirkan soal perkahwinan, berumah tangga, mencari calon dan sebagainya kerana mereka masih di dunia ‘main-main’.

Proses menuju ke tangga baitul muslim adalah proses menjadi bukannya proses mencari. Kadang-kadang kita sibuk mencari calon yang soleh/solehah dengan harapan baitul muslim yang dibina akan berkekalan bahagia hingga ke akhirat. Salahkah? Tidak salah sama sekali cuma sebelum itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri adakah kita sudah benar-benar soleh/solehah. Kita tidak boleh tentukan sama ada kita soleh atau solehah tetapi orang sekeliling kita lah yang boleh menilai sama ada kita soleh/solehah. Itupun penilaian manusia bukanlah penilaian yang hakiki kerana manusia hanya nampak apa yang zahir. Atas sebab ini, perkahwinan itu sendiri merupakan proses menjadi insan soleh dan solehah. Tidak perlulah mencari yang terlalu sempurna kerana khuatir apabila kita nampak kekurangan dan kelemahan pasangan kita selepas berkahwin kelak akan menimbulkan penyesalan.

Lebih kurang dua bulan lepas, ada senior senior saya bertanya kepada seorang sahabat saya di sini.

“Eh, Nazrul tu dah ‘ade’ ke?”

“Hurm.entahlah, die tu kuat berahsia sikit.”

Alhamdulillah, satu lagi pujian buat sahabat saya yang seorang ini atas jawapan yang sangat tepat diberikan. Saya sangat terbuka untuk berbincang mengenai agama,akademik,politik, ekonomi, sukan, movie, lagu hits terbaru dan sebagainya.  Namun, apabila berbicara mengenai calon isteri (kalau dah ada), sahabat yang paling rapat dengan saya pun tidak akan tahu. Sahabat terapat saya boleh beritahu bila waktu saya happy, bila saya marah, saya suka makan apa, apa hobi saya, di mana saya berada pada waktu-waktu tertentu tetapi untuk mengcungkil rahsia saya yang satu ini, insya Allah mereka tidak akan tahu selagi masanya belum tiba.

Kenapa saya begitu berahsia? Saya mempunyai pendirian bahawa dalam bab ini, orang pertama yang berhak untuk tahu adalah kedua ibu bapa saya. Mana mungkin saya membelakangi pengetahuan ibu yang bersusah payah mengandungkan saya dan ayah yang siang malam bekerja keras menyara kehidupan saya. Kadang-kadang habis semua kawan-kawan di US, UK, Aussie, Malaysia dan di merata tempat lagi sudah tahu kita memang ada affair dengan sekian-sekian orang tetapi ibu bapa yang membesarkan kita dari kecil, dibelainya dengan kasih sayang, ditatangnya bagai minyak yang penuh tidak tahu tentang calon menantu mereka. Kenapa mereka perlu tahu? Mari kita renungi sebuah hadis Rasulullah SAW:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”

Rasulullah SAW tidak menjanjikan keredhaan Allah melalui keredhaan selain keredhaan ibu dan ayah. Kadang-kadang saya memerhati sesetengah pasangan muda bercinta bagai nak rak, berjanji sehidup semati tetapi kesudahannya berkahwin dengan orang lain. Atas dasar ini, sesiapa dari kalangan kita yang rasa telah bertemu calon pilihan hati, jangan pernah segan untuk luahkan kepada ibu bapa kalian; kawan-kawan kemudian pun tidak mengapa. Ingat keredhaan Allah terletak pada keredhaan mereka. Jika tidak hadir redha mereka dalam hidup kita, bahagia yang ingin dikecapi hanyalah sebuah angan-angan. Saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat sekalian, jangan main belakang.

Wallahua’lam.

setitis air mata ibu yang gugur kerana kesedihan
segaris luka di hati ibu kerana kederhakaan
tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya
azimat ini ku tanam di lubuk hati yg dalam.

Monday, March 28, 2011

Kerana Manisnya Epal...

Salam buat saudara saudari yang saya kasihi sekalian. Mudah-mudahan kita sentiasa sihat serta dilindungi Allah hendaknya.
Amma ba’d.

Kerana manisnya epal. Saya yakin bagi kita yang telah melepasi alam sekolah menengah pasti familiar dengan tajuk ini. sebenarnya, ini adalah tajuk sebuah cerpen karya Faisal Tehrani di dalam KOMSAS semasa tingkatan 4. Kisah yang menceritakan Buchanan, pemilik ladang epal di US yang tanahnya ingin diambil oleh pihak persekutuan untuk dijadikan lapangan terbang tentera. Mazlina dan Yvone anak angkat kepada Buchanan bersimpati dengan nasib yang menimpa bapa angkat mereka. Perjuangan Buchanan untuk mempertahankan haknya berakhir dengan sebuah kejayaan yang manis apabila pihak berkuasa tidak jadi mengambil tanahnya. Saya difahamkan, tujuan Faisal Tehrani menulis cerpen ini bagi mengkiaskan peristiwa pengambilan tanah penduduk di Kerpan, Kedah pada tahun 1995 oleh pihak pemerintah untuk melaksanakan projek tertentu. Pengambilan tanah penduduk secara paksa memang amat menyakitkan hati.
                                                   Pokok epal di depan rumah saya

Sebenarnya, cerita di atas tidak ada kena  mengena dengan cerita yang ingin saya sampaikan. Cerita di atas adalah versi Faisal Tehrani tetapi saya terpaksa menceritakan bagaimana boleh saya mendapat tajuk untuk entri kali ini. jadi, saya terpaksa cerita serba sedikit tentang Kerana Manisnya Epal yang pernah kita belajar dahulu.

Saya hanya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar kita semua mencontohi pohon epal. Pohon epal itu biar pun dibaling batu namun ia tetap menggugurkan buahnya yang manis untuk si pembaling batu itu. Begitulah sikap yang patut kita miliki. Biarlah orang membuat kejahatan kepada kita tetapi balaslah dengan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya:

“Tidak ada satu penanggungan yang lebih dikasihi Allah daripada seteguk kemarahan yang ditelan seseorang. Mana-mana perasaan marah yang dikawal oleh seseorang semata-mata kerana Allah nescaya Allah akan penuhkan batinnya dengan keimanan.”

Sesuatu kejahatan sudah pasti akan menimbulkan kemarahan namun Rasulullah memotivasikan kita dengan menjanjikan bahawa Allah akan memenuhi batin kita dengan iman jika kita bersabar dan menahan marah. Apabila seseorang itu merasai halawatul iman (kemanisan iman), maka hati,jiwa dan fikirannya akan sentiasa lapang.

Kesimpulannya, contohi pohon epal yang sentiasa mengeluarkan buah yang manis walaupun dibaling dengan batu.


part yang paling best dalam lirik lagu ini adalah:
 "hindari satu kejahatan dengan kebaikan, agar dapat kau rasai erti kemanisan iman"

wallahua'lam.

Thursday, March 24, 2011

HaDiah Dari LanGit..

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Moga kita terus mendapat naungan rahmat Allah.
Amma ba’d.

Meminjam status FB Nur Ainina, maka terhasillah entri kali ini. Rochester, sebuah bandar yang terletak di utara New York dan berdekatan dengan Lake Ontario. Kesan kedudukan geografi Rochester yang berdekatan dengan Lake Ontario ini, keadaan cuaca di sini memang sukar dijangka terutama pada musim sejuk ini. Sepatutnya, sekarang sudah memasuki musim bunga tetapi  kerana dekatnya Rochester dengan tasik ini, ada satu fenomena dipanggil Lake-effect snow di mana angin sejuk bergerak sepanjang atas permukaan tasik lalu menghasilkan tenaga.Wap air yang tersejat lalu membentuk menjadi ais dan diterbangkan oleh angin ke permukaan pantai (Lake Ontario macam laut). Fenomena inilah yang berkemungkinan sebab turunnya salji di Rochester kelmarin walaupun sudah bulan Mac sekarang. Menurut seorang sahabat saya yang belajar di University of Manchester, hari terakhir salji turun di Manchester adalah pada 18 Disember tahun lepas dan sekarang bunga-bunga sudah mula kelihatan di UK.
                                               Kereta yang diselaputi salji


                                                         Lake Ontario (Ontario Beach)

Sebenarnya, bukanlah tujuan saya untuk menceritakan tentang salji ataupun musim bunga tetapi perkara yang ingin dikongsikan adalah persoalan syukur. Ya! Bersyukur merupakan perkara yang sepatutnya seorang hamba lafazkan terhadap Allah Rabbul Jalil. Bukannya apa, ada  status-status FB rakan-rakan disini seolah-olah mempersoalkan kenapa perlu turunnya salji, kenapa perlu nampak memutihnya salji yang sepatutnya nampak kehijauan rumput dan adakah berlakunya skipping season. Apa sahaja yang Allah beri adalah untuk kebaikan kita; tidak perlu merungut atau mempersoalkan kenapa. Layakkah makhluk yang diciptakan mempersoalkan kenapa perlu itu dan ini kepada tuhan yang menciptakan? Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7:

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (14:7)

Allah jelas menyatakan jika kita bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat kepada kita sebaliknya jika kita kufur maka azab neraka yang bergelojak sedia menanti kita. Ada satu lagi hadis berkenaan mencela angin.

“ Janganlah kamu mencela angin! Jika kamu melihat apa yang kamu tidak suka dari angin itu maka berkatalah: wahai Allah, kami mohon kepadamu kebaikan angin ini, dan berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, dan dari keburukan yang ada pada angin ini, dan dari keburukan yang angin ini dikirim". [HR. At-Tirmidzy dalam Sunan-nya(2252), Ahmad dalam Al-Musnad (5/123/no.21176)Hadits ini di-shohih-kan oleh Al-Albaniy dalam Ash-Shohihah (2756)]. 

Baik angin mahupun salji yang datang bukanlah dengan kekuasaanya melainkan dengan perintah Allah jua. Maka janganlah kita mencela setiap benda yang datangnya dari langit kerana ini adalah rahmat dan kasih sayang Allah buat kita makhluknya. Sepatutnya kita mukmin harus sentiasa optimis dan syukur dengan pemberian Allah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)


Khulasahnya, usahlah mempertikaikan apa saja yang datang dari Rabbul A’lamin kerana Dia maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apakah kita makhluk yang diciptakan lebih mengetahui dari Allah yang menciptakan? Kita juga yang membuat pilihan untuk belajar di Negara 4 musim,terimalah konsekuen beajar di Negara 4 musim. Saya memohon maaf andai ada pihak terasa hati namun teguran ini dibuat tanda sayangnya saya kepada sahabat-sahabat saya kerana Allah. Saya sudahi coretan saya dengan meminjam kata-kata seorang lagi sahabat:

I asked for strength...and Allah gave me difficulties to make me strong.
I asked for wisdom...and Allah gave me problems to solve.
I asked for courage...and Allah gave me obstacles to overcome.
I asked for for love...and Allah gave me troubled people to help.
I asked for favors...and Allah gave me opportunities..
“maybe I received nothing I wanted...But I received everything I needed”
(Muhammad Farhan Abd Razak, Vanderbilt University)

     Sabtu lepas kami dah mula main bola di padang. cair salji nanti, kita main lagi..:)

Saturday, March 19, 2011

Sir Ishak-Jasamu Dikenang

Alfatihah buat Allahyarham Sir Ishak bin Mustapha Kamal, lecturer biologi INTEC yang telah kembali ke rahmatullah. Memang banyak kenangan saya bersama beliau antaranya bermain futsal bersama di Sport Planet Seksyen 16 Shah Alam, Pergi field trip di Hutan Simpan UKM di Bangi, dan yang paling penting Sir Ishak seorang lecturer yang tidak lokek markah dalam biologi. Semoga roh Sir Ishak dicucuri Allah. Kami akan menyusul Sir Ishak juga. Terima kasih atas segala tunjuk ajar kepada kami anak-anak muridmu di USA.

Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan. Peringatan buat kita yang telah hidup, mati tidak mengenal usia.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (3:185)

                Kenangan Sir Ishak bersama kelas Jackson, Irvine & Honolulu 2009

Monday, March 14, 2011

KerEta Apa?..

Salam buat semua ikhwah dan akhawat yang dikasihi kerana Allah. Semoga semua mengekalkan dan meningkatkan momentum untuk terus berbakti kepada ummah.
Amma ba’d.

Ada seorang sahabat bertanya.

“Yun, kau nak pakai kereta ape nanti?”

“Insha Allah, ade rezeki aku nak pakai BMW 7 Series.”

“pergh gile mantap. Ape hebatnye kereta tu?”

“kereta tu of course la laju dan smooth. BMW ni nampak elegan la.”

“hurm.macam tu lah dakwah kita yang sepatutnya sekarang.”
                                                                    BMW 750 Li

Ikhwah akhawat sekalian mesti tertanya kenapa kereta (baca:kenderaan) diibaratkan macam dakwah. Di jalan raya kita boleh lihat ada yang menunggang motosikal, ada yang memandu kereta, ada yang memandu lori dan treler, dan ada yang membawa kontena. Semuanya mempunyai matlamat dan hala tuju masing-masing. Berbalik kepada soal dakwah yang ingin kita bincangkan ini, begitulah keadaan orang-orang yang ingin menyeru manusia kepada Allah. Kita ada satu matlamat yakni ingin menyeru orang kembali kepada jalan Allah. Ada yang sangat laju; program sana sini, usrah sana sini, meeting sana sini. Ada juga yang sederhana; adakala datang program adakala tidak, adakala on usrah adakala off usrah. Gerak kerja dakwah kita pada hari ini menjadi laju sebagaimana lajunya BMW 7 Series yang meluncur laju di I-90 (lebuhraya di US). Laju yang sebagaimana? Laju dalam menyusun gerak atur dakwah mengikut awlawiyyat (keutamaan) atau dalam erti kata lain tidak berlengah dalam mengorak langkah bagi melahirkan insan-insan rabbaniy. Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 148:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu.” (2:148)

Allah menyuruh kita agar berlumba-lumba dalam melakukan khairat (kebaikan) agar menjadi saham kita di akhirat kelak.

Saya juga terkesan dan tertarik dengan apa yang disampaikan oleh seorang ikhwah dalam usrah. Katanya, dalam khutbah wida’ (khutbah terakhir) Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa:

” Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.”

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain.Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.”

Bagaimana kita memahami ” Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.”? Biasa kita dengar ustaz-ustaz di masjid mengatakan  sebelum sesi ceramahnya tamat, “sampaikanlah kepada sesiapa yang tidak bersama kita malam ini”. Sebelum ini saya memahami bahawa, saya hanya perlu sampaikan kepada kawan-kawan yang tidak datang usrah, kawan-kawan sebilik yang sibuk dengan assignment nya, ataupun sampaikan sewaktu sembang-sembang kosong di kedai kopi (Tim Horton, kedai kopi yang best untuk melepak di US).

Namun, malam tersebut ikhwah ini menyatakan bahawa para sahabat Rasulullah SAW memahami maksud baginda dengan begitu mendalam. Mereka keluar dari bumi arab dan bertebaran di seluruh dunia seperti Saad bin Abi Waqas yang berdakwah hingga ke China, Amru bin Al Asr ke Mesir dan ramai lagi kerana ingin menyampaikan kepada ‘orang yang tidak dapat hadir pada hari Rasulullah SAW menyampaikan khutbah terkahirnya’. Subhanallah, ceteknya pemahaman saya dalam berdakwah, hanya disampaikan kepada rakan sekeliling sahaja. Sepatutnya, dakwah yang dilakukan tidak hanya kepada kaum kerabat dan teman sekeliling tetapi perlu dengan sesiapa sahaja yang kita temui. Ataghfirullahal adheem.

Khulasahnya, dakwah pada hari ni perlu selaju BMW 7 Series dan bersifat holistik serta global.

Tuesday, March 8, 2011

A New Saga...

                                              click here to get a clear view

After all, this is  my schedule for spring quarter.  Every day except for Friday, I have Bioenergy Microbiology Product class from 8 am till 8.50 am and this is not a problem for me since I am a morning person.  This class is so interesting because I learn about bioethanol, biobutanol, biodiesel and other forms of energy to run the vehicles. According to Dr Lodge, the price of gasoline in New York will not hike to 4 USD per gallon but for me 3.59 USD per gallon (current price) is considered expensive. Why I am so concerned about gasoline's price right now? RIT students supposed to know why.^__^. A part from that, I also take Molecular Biology and Organic Chemistry III classes which are required courses to complete my major. Another special topic is Fundamental of Plant Biochemistry (the green one) which I just added today. So the total credit hour for this quarter is 15. I have one night lab (organic chemistry) and one evening lab (molecular biology). What I expect in this ‘blossom’ quarter is to get deeply understanding in those classes I am currently taking and get flying colors grade as well. Now, the event I am waiting the most is lilac festival where I can see beautiful and colorful flowers blossom at the Highland Park in Rochester. I had been in that place during the fall break and you guess what I found; it’s just a cemetery site of the US armies who died in Vietnam War. Lastly, to all my dear RIT friends, I would like to wish happy new quarter and may Allah grant us excellence throughout this spring quarter.

Seeru a’la barakatillah..

                                            I enjoy watching sunrise in Rochester

                                                   The twilight saga of RIT

Thank you Allah for every thing you have given to me. i am surrounded with a good environments, helpful & kind friends, and a very good Muslim community. Alhamdulillah a'la kullihal..:)

Sunday, March 6, 2011

O Allah My LoRd...




O Allah my Lord
You are my creator and I am your creature
You are everything and I am nothing

O Allah my Lord
I ask You what I want and You give me what I need
I ask You for easiness in life affairs and You give tests upon me to make me strong

O Allah my Lord
From You I come and to You I shall return
Please accept my repentance as You are my Lord and I am Your servant

Friday, March 4, 2011

Aku BuKan BudAk BaIk...

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah, moga semakin hari semakin bertambah ilmu dan amal serta iman.
Amma ba’d

Bagi sesetengah orang, tajuk entri kali ini mungkin sangat klise (cliché). Namun, diharapkan sahabat sekalian dapatlah menghabiskan bacaan entri ini. Saya ingin tegaskan sekali lagi, saya bukan budak baik. Kadang-kadang rasa sesuatu yang tidak sedap apabila kawan-kawan overrated  mengatakan saya baik. Ada yang menggelar ustaz,imam, sheikh dan macam-macam lagi title yang saya dapat. Hal ini mungkin disebabkan saya post status di facebook, dan di blog yang kebanyakan berunsur keagamaan, nasihat, dan tokoh-tokoh Islam. Sebenarnya, saya ada sebab tersendiri untuk berbuat demikian iaitu saya menggunakan segala medium untuk tujuan dakwah kerana ini tanggungjawab saya dan kalian selaku umat Islam, umat yang terbaik yang diiktiraf Allah dalam Al Quran.

Antara tujuan lain ialah saya tidak mahu dipertanggungjawabkan di hadapan Allah tentang kenapa saya tidak menyampaikan kalam Allah, kenapa tidak menyampaikan seruan Allah, kenapa tidak menyampaikan apa yang saya tahu tentang Islam. Saya khuatir dipertanggungjwabkan atas dosa-dosa orang lain sedangkan dosa saya sendiri pun tidak tertanggung di akhirat kelak. Saya sedar dalam friends list  di facebook, ada rakan-rakan non-Muslim, ada rakan-rakan yang tercicir pendidikan agamanya sewaktu kecil, ada rakan-rakan walaupun tahu tetapi terlupa (termasuk saya). Saya gunakan medium facebook dan blog untuk menyampaikan apa yang patut saya sampaikan, namun facebook dan blog bukanlah medium atau kaedah utama dalam menyampaikan dakwah; medium utama adalah kita bertemu muka dengan mad’u (orang yang nak didakwahkan),bertanya khabar, bersama-sama mereka ketika susah dan senang.

Ada rakan-rakan non-Muslim saya sewaktu di INTEC dahulu banyak bertanya saya pasal Islam. Pertanyaan mereka bukan biasa-biasa tetapi mereka bertanya mengenai wahabi,syiah, turki Uthmaniyah dan mengenai hukum seperti hudud Qisas dan sebagainya. Saya masih teringat lagi, ada seorang rakan non Muslim yang paling saya rapat di INTEC dahulu bertanyakan kepada saya tentang apa itu dosa besar dan jenis-jenisnya. Subhanallah, kadang-kadang mengalir air mata saya kerana mereka berminat kepada Islam tetapi hidayah Allah belum menyapa. Atas sebab in, status facebook dan entri di blog lebih kepada keagamaan. Saya berdoa moga-moga Allah memberi hidayah dan taufiq kepada mereka  agar Islam menjadi pilihan mereka sebelum meninggalkan dunia ini dan engampunkan dosa-dosa saya.

Cuma sesekali saya ada post di facebook mengenai kasut,kereta atau sesuatu yang tidak ada kaitan dengan keagamaan. Di sini, saya hanya ingin memberitahu bahawa Islam itu bukanlah hanya berbicara mengenai akhirat semata-mata tetapi dunia ini disediakan juga bahagian untuk kita sebagaimana Allah firmankan:

“Dan carilah  apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. “ (Al Qasas:77)
                                Boot bola untuk Midwest Games telah sampai sebulan lepas

Allah menyuruh kita mengumpul bekalan akhirat sebanyak-banyaknya tetapi ambillah sedikit dunia untuk menampung kehidupan kita yang sementara di dunia ini. Saya akui, saya amat meminati kereta dan sentiasa mengambil tahu tentang dunia automobil ini.
                                            Insha Allah akan digunakan di Malaysia
                                                  (Hyundai Sonata 2011)

                                                                    future family's car
                                                             (Toyota Camry 2011)

Akhir kalam, di hari tiada naungan melainkan naungan Allah saya memohon kepada Rabbul Jalil supaya saya tidak dipertanggungjawabkan atas dosa-dosa orang lain kerana dosa saya yang banyak ini pun tidak tertangggung.

Saya bukan budak baik tetapi saya melakukan yang terbaik untuk kebaikan dunia dan akhirat saya.
Wallahu’alam.

Tuesday, March 1, 2011

MenJadI HaraPanKu..

Salam buat sahabat-sahabat sekalian. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah dalam setiap urusan.
Amma ba’d

Bagi yang sedang bercuti sekarang, selamat bercuti diucapkan. Rancanglah percutian kalian dengan baik dan buatlah aktiviti yang berfaedah.

Bagi saya, perjalanan di RIT ini memang diatur oleh Allah dengan rapi. Saya selaku khalifah di atas muka bumiNya hanya mampu melakukan yang termampu bersama teman-teman seperjuangan disini. Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah atas kejayaan penganjuran program ISK di RIT. Harapan saya agar biah solehah di RIT dapat diwujudkan, seterusnya Islam mekar di bumi Rochester ini.

Saya masih teringat ketika pergi ke Muktamar di St. Louis lebih kurang 2 bulan lepas. Ada yang bertanya

“berapa orang peserta dari RIT?”

“kitorang datang dengan lima kereta”

“wah ramainya. Sebelum ini tak de pun students RIT datang ke Muktamar.sekali datang lima kereta”
 kami di rumah Dr Roslan, Pengarah MSD Chicago selepas program muktamar

Mungkin selama ini, RIT hanya kolej kecil yang terpencil di Rochester namun selepas kehadiran students RIT yang ramai ke muktamar dan kejayaan penganjuran program ISK yang pertama kalinya diadakan di RIT ini, menjadi harapan saya agar RIT tidak dipinggirkan lagi dalam program-program yang dianjurkan MISG dan sebagainya. Bukan saya ingin mengatakan bahawa selama ini RIT dipinggirkan oleh mana-mana pihak, tetapi keterlibatan pelajar-pelajar RIT memang kurang.

Apa-apa pun, saya selaku pengarah program bagi program ISK 2011 mengucapkan jutaan terima kasih kepada peserta-peserta dan speakers dari RIT, SUNY Buffalo, dan Penn State University. Saya juga memohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan teknikal. Semoga Allah memberkati usaha kita dan Islam terus subur berkembang di bumi Amerika. Kepada committees ISK RIT 2011, tahniah dan terima kasih atas kerjasama dan kerja keras kalian mengadakan program kita kali ini. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita lebih kuat dalam perjuangan. Insha Allah
Seeru a’la barakatillah.

P/S: sasaran kami (RIT students) selepas ini adalah menjuarai permainan bola sepak dalam Midwest Game 2011 di Wisconsin nanti. Insha Allah..:)