Thursday, May 13, 2010

pEnGajaRan DarIPadA Al FatiHah..

Assalamualaikum buat rakan-rakan yang dikasihi kerana Allah.
Amma ba’d.

Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan bagi kita untuk menunaikan solat fardhu lima kali sehari bermula dengan subuh, zohor, asar, maghrib dan berakhir dengan isya’. Jika kita jumlahkan semua rakaat dalam sembahyang maka jumlahnya menjadi 17 rakaat semuanya. Hal ini juga bermaksud, dalam sehari, sekurang-kurangnya kita membaca al fatihah sebanyak 17 kali. Jika ditambah dengan bilangan solat sunat, witir,dan bacaan dalam majlis-majlis keilmuan, maka bertambah banyaklah al fatihah kita baca dalam sehari.
Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada surah yang pertama dalam al quran ini. Saya ada satu analogi yang menarik untuk diceritakan. Katakanlah kita hendak minta bantuan daripada wakil rakyat, apakah benda yang akan kita buat semasa berjumpa dengan beliau? Saya memikirkan bahawa kita tidak akan terus meminta bantuan yang kita perlukan tetapi kita akan bermula dengan bunga-bunga pujian. Contohnya:

“ Assalamualaikum YB, sibuk la ni no. YB sihat ka?” kita
“Waalaikumsalam, alhamdulillah saya sihat. Memang sibuk la ni” wakil rakyat
“Dengaq cerita, baru-baru ni YB dah dapat pangkat Dato’ Seri, sultan negeri  isketam batu yang bagi. Tahniah la YB no. Memang YB layakla dapat pangkat Dato’ Seri ni sebab saya tengok YB la wakil rakyat yang paling gigih berkhidmat untuk orang kawasan YB ni. YB tak macam YB-YB lain. Depa pandai cakap saja tapi tak pandai buat.” Kita
“tak dak apa aih.Saya besa-besa saja.Kita kena pegang pada amanah la sebab benda ni tuhan nak tanya nanti.” YB
“Macam ni YB. Saya mai ni sebab nak minta bantuan. Anak saya yang nombor dua tu nak masuk Universiti Kampung Pandan dan la ni kantung saya tengah kering ni.” Kita

Begitulah rasanya keadaan kita kalau nak minta bantuan. Sekarang mari kita renungi surah al fatihah.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.(1)Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam(2)Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.(3)Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).(4)Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.(5)Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.(6)Iaitu jalan orang-orang YangEngkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.(7)
<1:1-7>

Jika kita renungi surah al fatihah kita akan dapati bahawa bermula dengan ayat pertama sehinggalah ayat yang keempat kita memuji Allah. Namun pada ayat keempat juga, kita mula memohon bantuan Allah. Sewaktu sembahyang, sangat rugi jika kita tidak memohon sesuatu kepada Allah. Sepatutnya semasa membaca ayat keempat ini sangat wajarlah kita memohon kepada Allah agar kita diberi kekuatan, keyakinan, serta kemurahan rezeki hidup di dunia dan akhirat. Al fatihah mengajar kita bahawa jika kita berhajat sesuatu kepada orang yang memiliki hajat kita, ada cara yang halus untuk kita mendapatkannya sekaligus cara ini dapat meningkatkan hubungan kita dengan orang tersebut. Cuba bayangkan kalau kita berjumpa dengan wakil rakyat tadi tanpa memberi salam kita terus meminta bantuan dariapada beliau. Saya tidak pasti apakah kita akan dapat bantuan yang kita pinta tadi. Sebenarnya dalam hidup kita banyak perkara yang boleh kita aplikasikan daripada al quran namun dek kerana kelalaian kita terhadap al quran, kita seolah-olah tiada panduan. Maka menjadi suatu keharusan kita bagi membongkar rahsia-rahsia dalam al quran agar hidup kita sentiasa di atas landasan yang diredhai Allah. Rasulullah SAW bersabda:

“Aku tinggalkan kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selama mana kamu mengikuti kedua-duanya.Al quran dan As sunnah”

Semoga kita semua mendapat mafaat daripada surah al fatihah.

Sunday, May 9, 2010

MusLiM itU bErsaUdaRA.....

Salam buat rakan-rakan, semoga kalian sihat walafiat di samping orang tersayang.
Amma ba’d.

   Kita sering mendengar bahawa Islam is the way of life namun sejauh mana kita memahami kenyataan ini ataupun ia sekadar retorik. Ramai orang menyangka bahawa Islam hanyalah sekadar agama ritual yang pengikutnya sembahyang, puasa, bayar zakat, dan pergi haji. Pandangan ini kurang tepat kerana Islam ada dalam setiap perkara; Islam tidak terbatas hanya kepada rukun-rukun Islam sahaja. Apakah yang saya maksudkan dengan Islam ada dalam setiap perkara? Ia bermaksud Islam ada kaedah tersendiri  dalam tatacara kehidupan yang merangkumi sosial, politik, ekonomi, dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kehidupan kita baik di dunia mahupun di akhirat. Sebermulanya kita bangun tidur sehinggalah malam kita nak tidur, Islam mengajar kita pelbagai adab dan doa dalam membentuk kita menjadi manusia yang mempunyai nilai-nilai insaniah. Sifat kemanusiaan seperti, berkasih sayang, bertolak ansur, membantu orang lain merupakan sifat sebenar manusia yang mempunyai akal dan perasaan.

Kali ini saya ingin membicarakan tentang satu juzu’ dalam juzu’-juzu’ Islam iaitu persaudaraan islamiyyah. Persaudaraan dalam Islam atau Ukkhuwah islamiyyah merupakan satu ikatan yang terbentuk hasil daripada ikatan aqidah yang mentauhidkan Allah SWT. Melalui lafaz yang mulia “Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi nabi Muhammad itu pesuruh Allah” maka seluruh umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira bangsa, keturunan, geografi, serta budaya. Allah berfirman:

sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. <49:10>
Mengikut situasi di Malaysia kita hidup dalam negara pelbagai kaum dan berbilang bangsa. Kita tidak boleh menanamkan semangat cintakan bangsa sehingga kita merendahkan kaum-kaum lain. Ingatlah! tidak ada yang mulia disisi Allah melainkan orang yang paling bertaqwa disisi Allah.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)"<49:13>.

 Jika kita menyanyangi saudara seislam kita, apakah kita tidak boleh menyanyangi rakan-rakan non-muslim yang baik dengan kita? Mari kita renungi sebuah hadith yang disabdakan Nabi Muhammad SAW:“ siapa yang menyakiti az-zimmi seumpama telah menyakiti ku”.Daripada Hadith ini kita mengetahui bahawa kafir zimmi ataupun kafir yang tidak menentang islam harus dihormati. Darah dan maruahnya haram ditumpahi.
                                                                 Manisnya Ukkhuwah

Kembali kepada perbincangan asal, Ukkhuwah Islamiyah. Serendah rendah tahap dalam berukkhuwah adalah berlapang dada (husnu dhan) manakala setinggi-tinggi tahap berukkhuwah adalah itsar. Apakah itu itsar?ia adalah kita mendahului orang lain dalam perkara-perkara yang bukan Ibadah. Sebagai contoh apabila kita makan berjemaah, kita membiarkan diri kita sebagai orang terakhir yang mengambil makanan tersebut.Adapun itsar dalam hal-hal ibadah adalah makruh sebagaimana contoh, kita menyuruh orang bersedeqah dahulu sebelum kita sendiri yang melakukannya.

Akibat nilai-nilai ukkhuwah islamiyah terhapus,kita lihat umat Islam hari ini terlalu mudah diganyang. Adapun yang mengamalkan nilai-nilai Islam ini hanyalah pada ahli usrah sendiri sahaja sedangkan Islam tidak membezakan warna kulit,budaya, dan bangsa inikan pula sesama muslim walaupun dia bukanlah daripada kalangan ahli usrah kita mahupun jemaah kita. Selain itu, apabila nilai-nilai ini hilang, kebanyakan muslim langsung tidak terasa tanggungjawabnya keatas umat Islam di Palestin. Mereka hanya fikir cukup dapat hidup dengan aman di bumi Malaysia yang bertuah ini. Ya! Mereka pergi ke program-program yang dianjurkan Aman Palestin namun mereka tidak sanggup meninggalkan kelazatan KFC, McDonald, dan sebagainya yang merupakan produk Israel.

Oleh yang demikian, saya dengan rendah hati mengajak saudara saudari sekalian agar kita kembali menerapkan nilai-nilai ukkhuwah islamiyah dalam diri kita agar semua Muslim dapat bersatu padu menentang segala ideologi-ideologi yang bercanggah dengan Al quran dan As sunnah. Banyak cara yang boleh dilakukan bagi menerapkan nilai ukkhuwah islamiyah seperti sembahyang berjemaah di surau, membantu rakan-rakan yang kurang arif dalam pelajaran, keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan, serta sentiasa bersama dalam susah dan senang.Sebelum menghabiskan kalam saya pada kali ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar menghayati Hadith yang disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW:

“....Orang islam itu adalah saudara orang Islam yang lain.maka tiada boleh dia menzaliminya,tiada boleh membiarkan dia dalam kehinaan, tiada boleh mendustainya, dan tiada boleh menghinanya....”

Monday, May 3, 2010

iA leBiH beRharGA daripAda SeguNung eMas.....

Salam buat sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,semoga sihat walafiat.
Amma ba’d.

Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah tuhan yang telah mengurniakan saya pelbagai nikmat hidup terutamanya nikmat  Iman dan Islam. Walau sekaya mana kita tetapi tanpa dua nikmat yang terbesar ini, tidak ada faedahnya harta dan anak pinak kerana kedua-duanya tidak boleh melepaskan kita daripada siksaan neraka Allah. Sedar tidak sedar,rupa-rupanya perjuangan saya di INTEC hanya berbaki kurang dua bulan dan dalam masa ini saya banyak mengenang perjalanan hidup saya semenjak saya menjejak kaki ke PASTI hinggalah saya melangkah kaki ke INTEC. Terlalu unik jalan yang telah Allah rencanakan untuk saya dan setiap jalan diambil saya memohon doa kepada Allah agar hidup saya selari dengan tuntutan Nya.
                                                      Perpustakaan INTEC,2008
Setelah lama tidak menulis, saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk menulis tentang MASA. Masa adalah sesuatu yang berharga kerana masa yang berlalu tidak akan berpatah kembali. Katakan semasa kecil kita hidup penuh dengan riang ria tanpa perlu memikirkan masalah, tetapi hakikatnya sekarang kita tidak boleh lagi memiliki waktu itu. Sekarang ini, sejajar dengan peningkatan umur, maka meningkatlah tanggungjawab baik pada diri, agama, ummah dan orang sekeliling. Dalam kehidupan bermasyarakat kita tidak boleh hidup bagai enau melepaskan pucuk masing-masing. Hidup nafsi-nafsi tidak sewajarnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Berbalik kepada persoalan masa yang ingin saya rencanakan, pada semester pendek (short semester) tahun ini, saya hanya mengambil satu kelas sahaja; kelas Muamalat Islam. Jadual kelas saya hanyalah pada hari selasa dan khamis bermula pada pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari. Seminggu kelas saya hanyalah 4 jam. Terlalu banyak masa yang kosong yang mesti diisikan dengan perkara-perkara berfaedah. Allah berfirman:

Demi Masa!(1).Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian(2)-kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar(3) <103-1-3>

Benarlah firman Allah bahawasanya manusia itu sentiasa dalam kerugian melainkan mereka yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Kita hari ini banyak dilalaikan dengan program-program hiburan seperti akademi fantasia, mentor, bintang kecil yang hakikatnya tidak melahirkan generasi modal insan seperti yang dicanangkan sedangkan masa hidup kita terlalu singkat untuk menunaikan tanggungjawab kita selaku abidullah, khalifatullah, dan daieilallah. Saya teringat akan kata-kata imam Hassan al Banna bahawa “kerja kita (umat Islam) lebih banyak daripada masa yang diperuntukkan untuk kita sehari semalam”. Jadi bagi rakan-rakan yang banyak masa terluang bolehlah merancang untuk melakukan aktiviti yang berfaedah seperti menghadiri ceramah-ceramah motivasi, bermain futsal bersama rakan-rakan, menolong ibu dan ayah di rumah.

Kehidupan kita pada hakikatnya antara azan dan iqamah. Ketika lahir kita diazankan dan ketika jenazah kita hendak disembahyangkan mayat kita diiqamahkan. Rancanglah masa kita dengan baik kerana ia lebih berharga daripada segunung emas..

Thursday, April 8, 2010

TerBaik haNYa unTuK yang TerbAik....

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Apa khabar saudara saudari sekalian? Bagaimana iman pada saat ini? Harapnya kita sentiasa dekat dengan Al-Khaliq.



Ada satu kisah benar yang sangat menarik perhatian saya. Cerita ini saya baca dalam majalah solusi isu yang ke 13. Kisahnya bermula begini:

      Lebih kira tujuh puluh yang lalu, terdapat pemuda miskin yang belajar agama di Masjid At Taubah di Damsyiq, Syiria. Dia bernama sulaim al suyuthi dan tinggal masjid tersebut kerana kemiskinannya yang menidakkannya untuk mempunyai rumah. Pada suatu hari, dia berasa amat lapar kerana sudah dua hari dia tidak makan. Laparnya telah berada di tahap darurat yang telah mengizinkan untuknya memakan bangkai ataupun mencuri sekadar yang perlu. Lalu beliau memilih untuk mencuri makanan. Keadaan di Damsyiq ketika itu digambarkan bahawa rumahnya rapat-rapat sehingga seseorang boleh berjalan-jalan di atasnya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dia berjalan di atas bumbung rumah-rumah tersebut untuk menyelinap masuk ke dalam salah sebuah rumah tersebut. Semasa berjalan di atas bumbung, dia terhidu bau masakan yang sedap.

Tuesday, March 23, 2010

SyeiKH AhmaD YasIn- DalaM KenaNgan....

Salam buat semua. Dibawah ini merupakan amanat syeikh Ahmad Yasin, pemimpin tertinggi HAMAS yang telah syahid pada 22/3/2004.
      Syeikh Ahmad Yasin-syahid pada 22/3/2004

Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku yang perlahan ini. Aku tidak mampu kemana –mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan kerusi rodaku. Aku yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

Adakah semua penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah? Adakah kalian semua begitu, wahai bangsa Arab? Kalian diam membisu dan lemah atau adakah kalian semua telah mati binasa? Adakah hati kalian tidak bergelora sehingga tiada satu golongan pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah? Tiada satu pun kumpulan yang bangkit  menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami dari golongan mulia kepada golongan yang dianiaya dan dizalimi oleh pembunuh dan penjenayah serta pengganas.  Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan pada dirinya ada kemuliaan? Tidak malukah negara-negara umat Islam membiarkan penjenayah zionis dan sekutu mereka tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat airmata kami dan meringankan bebanan kami?

Adakah pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan:

  “Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan tulang-temulang mereka, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambaMu yang beriman”
Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis di dahi kami bahawa  kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati dlam keadaan melarikan diri. Akan mati bersama-sama kami adalah anak-anak kami, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda. 


Kami jadikan dalam kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti sehingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih kerana ketahuilah bahawa kami tetap akan mati walaupun kami berbuat demikian (menyerah). Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahidin dan syuhada’.

Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul di bahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kematia n kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan  yang diamanahkan.

Kami juga berharap kalian supaya janganlah menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi  Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini.

“ Ya Allah, kami mengadu kepadaMu...kami mengadu kepadaMu...kami mengadu kepadaMu...lemahnya kami dan kurangnya helah kami. Demikianlah kami di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhan kepada kami.  Ya Allah kami mengadu kepadaMu, darah-darah yang tertumpah, maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa, kanak-kanak yang diyatimkan, wanita-wanita yang dijandakan, ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang diruntuhkan, tanaman-tanaman yang dirosakkan.
Y a Allah, kami mengadu kepadaMu, berseleraknya  kesatuan(umat) kami,berpecahnya perpaduan kami, berbagai-bagainya haluan kami, terkebelakangnya kami...” 

Sunday, March 21, 2010

KesEMpiTan.....

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat yang dikasihi, semoga kalian sihat walafiat hendaknya.
Sebenarnya, tidak ada apa yang ingin direncanakan untuk kali ini Cuma sekadar pemberitahuan dan sedikit perkongsian. Blog ini sudah lama tidak diupdate disebabkan kekangan masa dan tidak ada isu menarik yang berlaku di Malaysia melainkan isu lompat parti beberapa ahli parlimen (MP) PKR ke dalam UMNO.
Saya teringat akan sepotong hadis yang disabdakan Baginda Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya:
“Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tuamu, masa kayamu sebelum kepapaanmu (faqir), masa lapangmu sebelum masa sempitmu, masa sihatmu sebelum sakitmu dan masa hidupmu sebelum matimu.” (rujukan:kitab Durratun Nasihin m/s 447)

Saya yakin bahawa sahabat-sahabat sekalian pernah mendengar hadis ini. Namun kali ini saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian merenung ‘point’ yang ke tiga yang diutarakan Rasulallah SAW; masa lapangmu sebelum masa sempitmu. Kita tahu semakin hari umur kita semakin meningkat dan tanggungjawab semakin hari semakin bertambah. Namun, baik yang bekerja dengan kerajaan mahupun swasta, suatu masa nanti dia pasti bersara. Selepas bersara pasti dia mendapat duit pencen dan KWSP (kerajaan). Masa yang ada selepas pencen boleh lah digunakan menambahkan amal (bagi yang beringat) selain bermain dengan anak cucu. Dia boleh melepak di kedai kopi menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Persoalannya, dimana sempitnya waktu dia? Bukankah waktu itu masih lapang bahkan bertambah lapang kerana tidak perlu memikirkan soal kerja,soal traffic jam,soal nak jumpa clients dan sebagainya?

Sempit yang dimaksudkan Rasulallah SAW dalam hadis ini adalah, ketika datangnya malaikat maut untuk mencabut nyawa kita. Ketika itu, malaikat akan membentangkan segala amal baik dan buruk serta menunjukkan ke mana destinasi kita selepas ini sama ada ke syurga atau neraka. Ketika dipaparkan amalan kita, masa itulah kita merasakan betapa sempitnya hidup apabila tidak ada ruang lagi bagi bersedekah, tidak sempat lagi untuk menunaikan haji, dan tidak berpeluang lagi menziarahi sanak saudara bagi menyambungkan silaturrahim.

Masa itu, apa yang dirasakan adalah penyesalan semata-mata kerana hidupnya selama di dunia ,dia tidak melakukan amal kebajikan tersebut  sama ada terlupa atau sengaja terlupa. Hidup kita tidak lama di atas dunia ini. Maha suci Allah yang memperjalankan masa dengan cepat.
Saya dengan rendah hatinya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian agar meninggalkan perkara-perkara maksiat dan marilah kita beramal untuk kebaikan dunia dan akhirat kita. Sesungguhnya setiap yang kita lakukan tidak ada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah.

REBUTLAH MASA LAPANGMU SEBELUM TIBA MASA SEMPITMU.


Friday, March 12, 2010

the LesSon aBouT God....

I have copied this article from a blog and i am so sorry because i forgot to copy the URL. Enjoy reading this article...
Amma Ba'd....
Something to learn unless u have to dealt with alike situations.
An atheist professor of philosophy speaks to his class on the problem sciencehas with God, The Almighty. He asks one of his new students to stand and.....

Prof: So you believe in God?
Student:Absolutely, sir.
Prof: Is God good?
Student: Sure.
Prof:Is God all-powerful?
Student:Yes.
Prof: My brother died of cancer even though he prayed to God to heal him. Most of us would attempt to help others who are ill. But God didn't. How is this God good then? Hmm?
(Student is silent.)
Prof: You can't answer, can you? Let's start again, young fella. Is God good?
Student: Yes.
Prof: Is Satan good?
Student: No.
Prof: Where does Satan come from?
Student: From...God.
Prof: That's right. Tell me son, is there evil in this world?
Student: Yes.
Prof: Evil is everywhere, isn't it? And God did make everything. Correct?
Student: Yes.
Prof: So who created evil?
(Student does not answer.)
Prof: Is there sickness? Immorality? Hatred? Ugliness? All these terriblethings exist in the world, don't they?
Student: Yes, sir.
Prof: So, who created them?
(Student has no answer.)
Prof: Science says you have 5 senses you use to identify and observe the worldaround you. Tell me, son...Have you ever seen God?
Student: No, sir.
Prof: Tell us if you have ever heard your God?
Student: No, sir.
Prof: Have you ever felt your God, tasted your God, smelt your God? Have youever had any sensory perception of God for that matter?
Student: No, sir. I'm afraid I haven't.
Prof: Yet you still believe in Him?
Student: Yes.
Prof: According to empirical, testable, demonstrable protocol, science says yourGOD doesn't exist.What do you say to that, son?
Student: Nothing. I only have my faith.
Prof: Yes. Faith. And that is the problem science has.
Student: Professor, is there such a thing as heat?
Prof: Yes.
Student:And is there such a thing as cold?
Prof: Yes.

Thursday, March 4, 2010

KasiH saYanGmU tiDak TernILaI....






Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah.

Kasih sayang seorang insan bergelar ayah tidak dapat dibalas walau dengan apa cara sekalipun kerana pebgorbanan seorang ayah sangatlah tinggi. Saya masih ingat sewaktu saya di sekolah rendah, saya sangat suka bermain bola sehingga sebarang benda yang berada di atas lantai di dalam rumah akan menjadi mangsa sepakan kaki saya. Oleh sebab itu, banyaklah cermin tingkap rumah saya yang pecah, namun ayah saya tetap menggantikannya.Begitu juga dengan peti surat di luar rumah, seingat saya sudah tiga kali pecah dek tendangan bola, namun ayah saya tetap menggantikan dengan peti surat yang baru. Setiap kali balik bercuti, kebiasaannya saya akan balik menaiki tren dan sampai di Butterworth pada pukul 4.30 pagi. Namun seorang insan yang bergelar ayah sudah sedia menanti anaknya di stesen keretapi tersebut. Tidak lupa juga apabila setiap kali ingin pulang ke INTEC, ayah saya akan menghantar saya sehingga ke Shah Alam, namun kadang-kadang saya akan cepat-cepat membeli tiket pulang semula ke Shah Alam kerana saya tidak mahu menyusahkan ayah saya.. Saya merasakan sudahlah saya menyusahkan ayah saya selama ini.

Jadi saya ingin berkongsi sebuah lagu yang sangat menyentuh hati tentang ayah. Dengar dan hayatilah lagu di bawah..


Saturday, February 27, 2010

kErana DiA peMImpiN kiTA.........

Nota Kepala: Artikel ini di ambil daripada grup Al-Hikmah di Facebook dan tanpa edit..

Saudaraku, islam sampai kepada kita saat ini tidak lain berkat jasa Baginda Rasulullah Muhammad SAW sebagai penyampai risalah Allah SWT yang benar dan di redhai. Dan nanti di padang mahsyar, setiap umat islam pasti akan meminta syafa’at dari beliau SAW dan menginginkan berada di barisan beliau SAW. Namun, pengakuan tidaklah cukup sekadar pengakuan. Pasti yang mengaku umat beliau SAW akan berusaha mengikuti jejak beliau dengan jalan mengikuti sunnah-sunnah beliau dan senantiasa membasahi bibir ini dengan mendoakan beliau dengan cara memperbanyak bersalawat kepada beliau SAW.



Sejarah tak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah tercinta, Muhammad SAW hingga salah seorang isteri beliau, Sayyidatina A’isyah RAD mengatakan bahwa akhlak Rasulullah adalah “Al-Qur’an”. Tidak satu perkataan Rasulullah merupakan implementasi dari hawa nafsu beliau, melainkan adalah berasal dari wahyu Ilahi. Begitu halus dan lembutnya perilaku keseharian beliau. Rasulullah SAW adalah agung dengan sifat tawadhu’ yang tiada tandingnya.

Beliau pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa harus menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, beliau adalah seorang yang ringan tangan dan tidak segan-segan untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu dikisahkan bahawa beliau tiada merasa canggung atau kekok untuk makan disamping seorang tua yang penuh kudis, kotor lagi miskin. Beliau adalah seorang yang paling sabar dimana ketika itu pernah kain beliau ditarik oleh seorang badui hingga berbekas merah dilehernya, namun beliau hanya diam dan tidak marah.

Dalam satu riwayat dikisahkan bahwa ketika beliau mengimami solat berjemaah, para sahabat mendapati seolah-olah setiap beliau berpindah rukun terasa susah sekali dan terdengar bunyi yang aneh. Selesai sholat, salah seorang sahabat, Sayyidina Umar bin Khatthab bertanya, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah baginda menanggung penderitaan yang amat berat. Sedang sakitkah engkau ya Rasulullah? “Tidak Ya Umar. Alhamdulillah aku sehat dan segar.” Jawab Rasulullah. “Ya Rasulullah, mengapa setiap kali Baginda menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi-sendi tubuh baginda saling bergeseran? Kami yakin baginda sedang sakit”. Desak Sayyidina Umar penuh cemas.

Akhirnya, Rasulullah pun mengangkat jubahnya. Para sahabat pun terkejut ketika mendapati perut Rasulullah SAW yang kempis tengah di lilit oleh sehelai kain yang berisi batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Ternyata, batu-batu kerikil itulah yang menimbulkan bunyi aneh setiap kali tubuh Rasulullah SAW bergerak. Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah, adakah bila baginda menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk tuan?”. Baginda Rasulullah pun menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apapun akan kalian korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawabanku nanti dihadapan Allah, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah dari Allah buatku, agar kelak umatku tak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih di akhirat nanti.

Teramat agung peribadi Rasulullah SAW sehingga para sahabat yang ditanya oleh seorang badui tentang akhlak beliau SAW hanya mampu menangis kerana tidak sanggup untuk menggambarkan betapa mulia akhlak beliau SAW. Beliau diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak manusia dan sebagai suri tauladan yang baik sepanjang zaman.

Sahabatku, sungguh kehadiran Rasulullah SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia segala hal yang beliau contohkan kepada umat manusia. Beliau tidak pernah pandang bulu atau kaum dalam hal menghargai manusia, penuh kasih sayang, tidak pernah mendendam, malahan beliau pernah menangis ketika mengetahui bahwa balasan kekafiran adalah neraka yang menyala-nyala hingga menginginkan umat manusia untuk mengEsakan Allah SWT.

Cukup kiranya beliau yang jadi suri tauladan kita, umat islam khususnya yang hari ini sebahagian sudah sangat jauh dari akhlak Rasulullah, baik dalam tindakan maupun perkataan yang menyejukkan. Apa yang dikatakan oleh seorang sastrawan Pakistan, Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya dapat kita jadikan renungan bersama dimana beliau berkata: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti beliau (Nabi Muhammad)”.

Dalam salah satu hadits dikatakan bahwa “Belum beriman seseorang sehingga aku (Rasulullah Muhammad SAW) lebih dicintainya daripada ayahnya, anak-anaknya dan seluruh manusia”(HR. Bukhari). Kita tidak tahu apakah nanti akan di akui Rasulullah sebagai umatnya atau tidak kelak di yaumil kiamah. Namun satu yang pasti bahawa semua ingin berada di barisan beliau. Maka, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengikuti akhlak beliau SAW semampu diri kita, sebagai suri tauladan kita yang utama, memperbanyak ucapan salawat untuknya, membela sunnahnya, bukan malah membelakanginya (mari berlindung dari hal demikian), sebagai bahagian dari rasa cinta kita terhadapnya.

Sahabatku, mari kita sampaikan salam dan salawat kepada beliau SAW, yang dengannya kita akan beroleh cinta dan Syafa’atnya kelak di yaumil mahsyar. 

InsyaAllah…Amin.

"Allahumma sholli ‘alaa sayyidina wa habibina wa mawlana Muhammad wa aalihi wa shohbihi wasallim"

"Ummati…Ummati…Ummati…." begitulah kata-kata terakhir Rasulullah SAW pada detik-detik terakhir sakaratul maut beliau. Begitu cintanya beliau kepada ummatnya, sedangkan kita masih juga melakukan hal-hal yang baginda benci dan larang. Astagfirullah al adzim. 

Renunglah akhlak kita semasa ini. Di mana kita untuk mendapat syafaat Nabi SAW? Layak ke kita?

Semoga diri ini, tuan-tuan dan semua ummat semakin baik dan istiqamah sebagai hamba Allah SWT dan ummat Rasulullah SAW yang mulia itu…

Amiiin yaa Rabbal Alamiiin.

Nota Kaki 1: Semua pelajar ACTP (American Credits Transfer Program) akan menduduki peperiksaan    
               pertengahan spring semester pada 2-4 Mac ini. Diharapkan rakan-rakan dapat
               mendoakan kejayaan kami.
Nota Kaki 2: Kami juga sedang menunggu tawaran universiti dan sesetengah daripada kami sudah
                mendapat tawaran daripada universiti (Penn State University).Doakan semoga kami
                mendapat universiti yang terbaik.

Tuesday, February 23, 2010

wHat ThE f*Ck??

Salam buat semua, moga diberi hidayah oleh Allah sentiasa.

Merujuk kepada tajuk entri kali ini, bunyinya macam kasar  tetapi itulah hakikatnya. Perkataan ini seolah-olah menjadi ‘zikir’ harian bagi sesetengah daripada kita. Sebenarnya ada lagi selain perkataan diatas seperti.... bit*h, sh*t, dan banyak lagi yang tidak sanggup lagi ditulis. Apakah ini ajaran Rasullulah? Adakah ini panduan Alquran dan Assunnah? Inikah budaya kita sebagai orang melayu yang kaya dengan adab dan santun?..Sudah tentu jawapan bagi semua persoalan ini semuanya TIDAK.. Namun mengapa kita cenderung untuk menyebutnya? Marilah sama-sama kita merenung cebisan kalam suci Allah:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman(1) Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya(2); dan mereka Yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan Yang sia-sia(3) ;dan mereka Yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)(4);dan mereka Yang menjaga kehormatannya(5)                                                                                                                                     
Merujuk kepada surah ke 23 dalam kitab suci Al quran dalam ayat ke 2, Allah jelas menyatakan bahawa salah satu sifat mukmin yang berjaya adalah tidak melakukan perbuatan dan mengeluarkan  perkataan yang sia-sia. Perkataan sia-sia merupakan perkataan yang tidak langsung mengandungi sebarang manfaat bahkan kemungkinan membawa kepada keburukan. Rasanya kita semua sudah biasa mendengar sebuah peribahasa melayu yang berbunyi “kerana pulut santan binasa,kerana mulut badan binasa”..Kesan menyebut perkataan ini memang sangat buruk; Ia dapat merosakkan hubungan silaturrahim yang terjalin.

Jika kita sering menyebut perkataan ini, percayalah bahawa kita akan kurang menyebut nama Allah sekaligus sangat bahaya terutama ketika ajal datang menjelma. Orang yang sentiasa menyebut sesuatu perkataan sama ada yang baik atau buruk semasa hidupnya, maka ketika penghujung hayatnya perkataan inilah yang akan disebutnya. Sebagai contoh, jika semasa hidup kita sering menyebut Allahu Akbar jika melihat sesuatu maka ketika malaikat maut datang menjemput sudah pastilah kita akan menyebut Allahu Akbar kerana ketika itu keadaannya pasti sangat mengejutkan. Oleh itu, selamatlah si fulan tersebut kerana pengakhiran hidupnya disudahi dengan nama Allah. Tetapi cuba bayangkan, setiap kali melihat sesuatu si fulan tersebut sering menyebut perkataan “sh*t!!lawe gile minah tu”...”kau ni memang fc*K la” ataupun perkataan keji yang lain, maka sudah tentulah ketika malaikat maut datang si fulan tersebut akan menyebut perkataan keji ini.wanauzubillahi min zalik...


Jadi, sebenarnya banyak perkataan lain yang indah lagi menyenangkan hati orang mendengarnya seperti..”Subhanallah!! cantiknya handset ini”..”Astaghfirullah!! kau ni bila la nak berubah”..”Allahu Akbar!! Ada accident kat depan sana”..bukankah perkataan ini lebih indah dan juga berpahala? Ya! Sesetengah kita akan menyambung belajar di luar negara terutama di Amerika, United Kingdom dan Australia tetapi ia tidak bermaksud kita perlu mengungkapkan perkataan-perkataan yang kotor ini bagi memberitahu kita pelajar lulusan negara tersebut.
Clean your mind and shift your paradigm..

P/S: minta maaf kerana lama tidak mengemas kini blog ini..

Wednesday, February 3, 2010

pAda MalAm yAng Sepi ITu....

Salam buat semua rakan yang dikasihi,

Dunia materialistik semakin menghimpit dan mendesak kita. Tidak mahu tidak, kita sedikit sebanyak dalam merebut fatamorgana duniawi ini.Salahkah kita mengambil duniawi? Sudah tentu tidak salah namun kita harus mengambilnya sekadar mengikut keperluan; tidak perlulah berlebih-lebihan kerana khuatir tanggungjawab kita kepada Allah diketepikan.

Pada kali ini, sukalah saya untuk berbicara tentang sejenis ibadah yang mungkin jarang dilakukan oleh kita hari ini termasuk saya ini. Amalan tersebut adalah qiamullail.Qiam ertinya bangun manakala Al lail adalah malam. Jadi maksud qiamullail adalah bangun malam. Qiamullail ini, kita boleh buat apa sahaja ibadah seperti zikir, solat sunat, bertafakur, muhasabah diri hatta belajar sekalipun.

Walaubagaimanapun, entri kali ini lebih difokuskan kepada solat sunat tahajud serta hikmahnya. Solat tahajud sama sahaja dengan solat sunat yang lain cuma beza dari segi niat dan waktunya sahaja. Niatnya "sahaja aku solat sunat tahajud dua rakaat tunai kerana Allah". Solat ini dilakukan pada waktu malam bermula selepas isya' sehingga sebelum subuh dengan syarat mesti tidur dahulu walaupun sebentar. Bacaan dalam solat ini tidak dikhususkan tetapi kebiasaannya pada rakaat pertama dibaca al fatihah dan al kafirun manakala di rakaat kedua dibaca alfatihah dan al ikhlas. Solat ini boleh ditunaikan lebih daripada dua rakaat mengikut kemampuan. Dalam surah al muzammil ayat ke 6, Allah telah berfirman bahawa:
       "Sesungguhnya sembahyang dan ibadah malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya."

Banyak kelebihan akan kita perolehi apabila melakukan solat tahajud ini. antaranya:

Di dunia>>

1) Percakapan menjadi berhikmah
   -Hati yang terkesan dengan tahajud menjadi bersih sekaligus memandang setiap perkara dengan cahaya Allah. Oleh itu, setiap idea dan buah fikiran menjadi bernas serta mulut terpelihara daripada kejahatan seprti mengumpat,memfitnah,mencarut, serta mencaci maki orang lain.

2)Diangkat kederajat para wali serta terpancar cahaya kesolehan di wajahnya.
  - Para wali adalah kekasih Allah yang dikurniakan pertolongan dalam menjalani kehidupan.Para wali sangat banyak melakukan Ibadah kepada Allah sehingga mereka tidak menghiraukan keperluan diri mereka. Mereka hidup ala kadar kerana apa yang penting bagi mereka adalah mentaqarrubkan diri kepada Allah. Muka mereka akan berseri-seri serta sejuk mata yang memandangnya. Dia pula menjadi sumber ketenangan bagi orang yang memandangnya.

3)Terlepas daripada kesakitan ketika sakaratul maut.
  - Kita mengetahui bahawa sakaratul maut ini sangatlah sakit sehinggakan Nabi bersabda bahawa kesakitan ketika hendak mati itu bersamaan badan kamu ditusuk seratus pedang. Maka solat tahajud dapat menyelamatkan kita daripada kesakitan ketika sakaratul maut.

4)Dikasihi seluruh Mukmin dan rakan-rakan.
  -Kerana Allah telah memelihara akhlak serta percakapan kita, maka kita akan dikasihi oleh seluruh mukmin.

5)Diberikan rezeki dari sumber yang halal dan bersih
  - Allah menganugerahkan rezeki yang halal dan bersih.Rasulullah SAW bersabda:"setiap daging yang tumbuh dalam badan kamu daripada benda haram, maka neraka terlebih layak baginya"

Di akhirat>>

1)Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
2)Dipermudahkan hisab
3)Dipercepatkan perjalanan melintasi titian sirat
4)Diserahkan buku amalan melalui tangan kanan.

Untuk yang di akhirat, saya berharap rakan-rakan sekalian dapat mencari huraiannya yang tersendiri..

Saya akui kehidupan kita semakin hari semakin rumit namun tidakkah kita mahu mengambil masa untuk 'berdua-dua an' dengan Allah? insyaAllah, Allah akan melindungi kita daripada bahaya. Kehidupan kita pada hari ini memerlukan kita untuk berhubung (deal) dengan pelbagai ragam manusia. Mungkin adakalanya kita mengeluarkan perkataan atau tingkah laku kita yang kurang menyenangkan. Namun, dengan bertahajud Allah akan memelihara kedua-duanya. Selain itu, tahajud merupakan sumber kekuatan dalaman. Setiap hari pelbagai masalah akan kita hadapi dan jika tidak dikawal dengan baik ia akan membawa kepada stress.Jadi, sekali lagi tahajud dapat menghilangkan stress yang kita hadapi.Walaupun pelbagai masalah melanda,kita akan sentiasa tenang.

marilah sama-sama kita berusaha untuk bangkit bermunajat kepada Allah agar kita hamba yang dekat dengan-Nya.