Wednesday, February 8, 2012

Sebelum Bertemu Ibu Anakmu...

Salam buat sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga kita semua terus menerus tanpa jemu mencari erti kehidupan, menyingkap hikmah atas setiap taqdir yang telah tertulis atas diri kita.
Amma ba’d.

Rasa lama pula tidak menulis; bukan kerana tiada idea tetapi kerana semangat menulis kadang-kadang terbang entah ke mana.

“Subhanallah, sweetnya tengok akhi Saiful bawa zaujah die pergi program sana sini”

“Untunglah ukhti Khadijah dapat suami macam akhi Karim tu kan.nampak bahagia je rumah tangga diorang”

Pernah dengar ungkapan macam ni? saya selalu sangat dengar ungkapan ini keluar daripada mulut ikhwah yang masih bujang (baca: saya).

Pada ‘meeting persatuan peladang’ minggu lepas, kami ada membincangkan sedikit perihal baitul muslim ini. Eh! Sekejap siapa ahli persatuan peladang ini? Insya Allah kita akan berkenalan dengan mereka di penghujung entri ini. Biasanya orang lain guna istilah bulatan gembira atau bulatan riang ria tetapi kami menggunakan istilah persatuan peladang. Mungkin sebab semuanya dalam bidang bioteknologi tetapi hakikatnya ia lebih daripada itu…J

Saya bertanya sahabat-sahabat dalam halaqah saya, selain memenuhi tuntutan fitrah manusiawi ini, apa sebab lain kita ingin mendirikan rumah tangga?(baca: baitul muslim)

Adakah kerana kita Nampak indahya hidup dalam baitul muslim; ada anak, ada rumah sendiri, kereta, pergi program-program islamik sekali dan sebagainya?

Saya kemukakan satu hadith yang biasa kita dengar:

“Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu Sadaqah jariah, ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain dan anak soleh yang mendoakan (kesejahteraan) untuknya” (Riwayat Muslim)

Personally, saya sangat mengkagumi dua tokoh Islam iaitu Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan Sultan Muhammad Alfatih kerana saya tertarik dengan cerita sebelum kelahiran mereka. Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum kelahirannya, kita pernah mendengar kisah bagaimana kisah bagaimana seorang ibu menyuruh anak perempuannya mencampur air dalam susu dengan harapan banyak susu boleh dijual nanti.

“wahai anakku, campurlah air ke dalam susu itu supaya kita dapat untung yang banyak esoknya”

“bukankah Saidina Umar melarang kita berbuat demikian?”

“jangan risau anakku, amirul mukminin tak akan tahu”

“Tetapi wahai ibu, Allah maha mengetahui”

Inilah kesan apabila TAQWA sebati dalam sanubari. Anak perempuan ini kemudiannya dikahwinkan dengan anak Saidina Umar Alkhattab kemudian lahirlah cucu kepada pasangan ini yang akhirnya menjadi Khalifah yang hebat dan disebut-sebut hingga kini, Khalifah Umar Abdul Aziz.

Sultan Murad II yang merupakan ayahanda kepada Sultan Muhammad Alfatih bercita-cita tinggi untuk merealisasikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Konstantinople akan ditakluk oleh tentera Islam. Sebaik-baik amir, adalah amirnya, sebaik-baik tentera adalah tenteranya”(maksud hadith)

Sultan Murad II adalah seorang yang sangat dekat dengan ulama’. Pernah pada suatu hari baginda bertanya kepada seorang ulama, Sheikh Samsuddin Alwali (perbetulkan saya kalau silap).

“kenapa Konstantinople masih belum dapat ditakluki? Apakah masih ada perkara yang beta belum lakukan?”

Jawab Sheikh Samsuddin Alwali, “Tuanku orang yang baik tetapi bagaimana pula dengan rakyat dan tentera tuanku? Bukan tuanku yang akan menakluki  Konstantinople tetapi bayi yang di dalam buaian itu akan menaklukinya (merujuk kepada Sultan Muhammad Alfatih yang masih kecil ketika itu)”
Daya kepimpinan tersendiri Sultan Muhammad Alfatih sangat saya kagumi

Perbincangan yang saya ingin ketengahkan adalah, anak adalah ASET buat kita apabila nyawa sudah terpisah dengan badan kelak. Andai anak itu ditarbiyah dengan cara yang sepatutnya, maka bahagialah kita di alam barzakh dan di akhirat kelak,  kerana dia pasti mendoakan kesejahteraan kita disana Insya Allah. Saya tidak mahu menyentuh tentang tarbiyatul aulad sebab saya bukan ‘ahlinya’. Sebelum lahirnya anak itu, kita harus melihat dan bermuhasabah diri, “andai aku masih begini, adakah anak yang bakal isteriku lahirkan kelak mampu menjadi anak yang soleh?” jika YA jawapannya, Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan tetapi jika sebaliknya, sedarlah bahawa masih belum terlambat untuk kita mempersiapkan diri MENJADI soleh.

Diri SENDIRI yang harus diislahkan (dibaikkan) dahulu SEBELUM MENCARI yang soleh/solehah. Merujuk kepada cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dan Sultan Muhammad Alfatih, ayah dan ibu mereka menjadi ORANG YANG BAIK dahulu sebelum lahirnya mereka yang baik-baik. Ayah sultan Muhammad Alfatih, sultan Murad II adalah orang yang wara’ dan suka bergaul dengan ulama’. Kesan bergaul dengan para solehin, kita akan terkena tempiasnya. Saya tidak mahu hanya sekadar anak yang soleh tetapi  rijal-rijal dan serikandi yang soleh/solehah lagi muslih/muslihah serta menjadi mujaddid (pembaharu) dalam gerakan Islam.

Kesimpulannya, sebelum mendapat anak soleh/solehah haruslah kita bukan sahaja mencari calon isteri yang solehah tetapi harus juga memikirkan siapa bakal ibu kepada anak-anak kita dan yang paling penting sebelum mencari calon ibu untuk anak-anak kita, TERLEBIH PENTING untuk kita melakukan pengislahan dalam diri kita. Jika diri kita sudah menuju ke arah KESOLEHAN, maka benarlah formula yang Allah rumuskan dalam Alquran:

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji pula. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik. Mereka yang baik itu adalah bersih dari tuduhan yang dikatakan oleh orang-orang yang jahat, mereka yang baik itu memperolehi pengampunan daripada Allah dan pengurniaan yang mulia” (Annur:26)

Allah dan Rasulnya tidak pernah akan sesekali memungkiri janji.
Ahli persatuan peladang. Bestnya lepas usrah boleh makan nasi ambeng dalam talam..:)

Wednesday, February 1, 2012

Manifestasi Sebuah Belas Kasihan...

Salam sahabat-sahabat sekalian. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d

Alhamdulillah atas segala kurniaan nikmat yang Allah limpahkan buat kita. Di sini, saya ada bersahabat dengan seorang American berketurunan Mesir. Orangnya tinggi lampai. Bapanya yang berasal dari Mesir dan ibunya warganegara Amerika. Bapanya seorang muslim tetapi ibunya seorang protestan. Saya bertanya macam mana bapa dan ibunya boleh berkahwin. Dia menceritakan bahawa, bapanya berasal daripada golongan kaya di Mesir yang kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Lehigh University. Kemudian di akhir pengajian, bapanya berkenalan dengan ibunya dan mereka berkahwin. Saya tidak mahu bincang dari sudut hukum berkenaan perkahwinan bapa dan ibunya tetapi saya sering memikirkan nasibnya. Apa agama dia? Entah. Dia tidak sembahyang sebagaimana muslim lainnya. Ceitanya lagi, sama ada ibu atau  bapanya, kedua-duanya tidak pernah memaksa dia untuk menganut sama ada protestan atau Islam. Saya akui dia seorang budak yang baik; tidak pernah semasa kami bersembang dia mengeluarkan perkataan yang tidak elok (Sh*t,Fu*k dan sebagainya).

Tetapi berbeza dengan American yang lain, hubungan kekeluargaan mereka kukuh (kebiasaannya American apabila sampai umur tertentu akan meninggalkan ibu bapa). Yang menarik lagi, walaupun dia berketurunan Mesir, tetapi sepatah Arab pun dia tidak tahu untuk bercakap. Memang banyak dalam Kelas Arab ni dia bergantung kepada saya.

“Oh you are my savior.”

“No. Allah is your savior. I just help you and it is my responsibility.”

“Yeah, but it’s through you”

Kadang-kadang, selepas kami siapkan assignment, dia menghampiri saya dan memeluk erat.

“oh thank you so much, if you are not here, I wil die”

Saya hanya mampu tersenyum.

Begitulah keadaan selepas saya membantunya menyelesaikan assignment arab. Saya bertanya kepadanya bila kali terakhir dia pulang ke Mesir dan katanya dua minggu sebelum revolusi Mesir tahun lepas. Ini bermaksud, hubungan bapa dan ahli keluarga bapanya juga baik. Membantu dia dalam arab banyak mengajar saya erti sabar. Sabar dalam mendidik. Mula-mula memang  timbul dalam hati “hai mamat ni, dari tadi aku ajar sebut perkataan ni, tak boleh-boleh lagi” tetapi cepat-cepat saya padam sebab memikirkan saya diberi banyak kelebihan berbanding dirinya dan timbul pula rasa kasihan kepadanya. Saya tak tahu kenapa.
inilah orangnya. dia ada cerita yang dia baru clash. ada siapa nak masuk?:P

Saya menulis tentang dia kerana manifestasi perasaan belas kasihan yang timbul dalam hati. Bapanya seorang muslim tetapi dia langsung tidak tahu tentang Islam. Bukankah ini satu perkara yang pelik? Saya pernah bersembang pasal tujuan hidup di dunia dengannya dan kehidupan selepas mati. Dia bersetuju dengan saya bahawa adanya life after death tetapi saya tidak tahu bagaimana harus saya bantu dia untuk mengenali Islam. Saya beharap sahabat-sahabat yang ada pengalaman sebegini agar dapat berkongsi dengan saya. Dia akan graduate pada May ini dan saya berharap agar dapat berbuat sesuatu supaya aqidah kita dan dia adalah sama. Mohon bantuan sahabat-sahabat.


Kata orang muka saya garang, tengok cerita Hafalan Solat Delisa, terkeluar juga air mata saya. Banyak lagi filem-filem seberang yang berjaya menyentuh hati saya. Tertanya juga saya, apa terjadi pada industri tempatan yang bermatlamatkan hiburan semata-mata.

Thursday, January 26, 2012

Kita Di Mana?...

Salam buat ikhwah akhawat dan sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah atas kurniaan semula semangat yang menghilang. Kadang-kadang Allah sengaja menguji kita dengan lemah semangat supaya kita benar-benar kembali merintih kepadaNya.
Amma ba’d.

Ada satu hadith yang panjang yang menceritakan tentang kepimpinan di dunia ini. Insya Allah saya akan cuba huraikan potongan hadith ini.

Telah berkata kepada kami Sulaiman bin Dawud al-Thayaalisiy; di mana dia berkata, "Dawud bin Ibrahim al-Wasithiy telah menuturkan hadith kepadaku (Sulaiman bin Dawud al-Thayalisiy). Dan Dawud bin Ibrahim berkata, "Habib bin Salim telah meriwayatkan sebuah hadith dari Nu’man bin Basyir; dimana dia berkata, "Kami sedang duduk di dalam Masjid bersama Nabi saw, –Basyir sendiri adalah seorang laki-laki yang suka mengumpulkan hadith Nabi saw. Lalu, datanglah Abu Tsa’labah al-Khusyaniy seraya berkata, "Wahai Basyir bin Sa’ad, apakah kamu hafal hadith Nabi saw yang berbicara tentang para pemimpin? Hudzaifah menjawab, "Saya hafal khuthbah Nabi saw." Hudzaifah berkata, "Nabi saw bersabda, "Akan datang kepada kalian masa kenabian, dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya.

Waktu ini merupakan ketika Nabi memerintah Madinatul Munawwarah. Baginda membuat piagam Madinah yang dikenali sebagai Sohifatul Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal sendiri oleh Rasulullah SAW. Semasa pemerintahan Nabi, umat Islam hidup dalam dunia yang aman tanpa fitnah. Zaman ini sudah lebih 1400 tahun meninggalkan kita. 

Setelah itu, akan datang masa Kekhilafahan ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah; dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Ia berkehendak menghapusnya.

Kemudian legasi pemerintahan khalifah diteruskan oleh Khulafa’ Arrasyidun Almahdiyun. Zaman ini Islam disebarkan dengan rancak dan pada zaman Saidina Umar sendiri menakluk Palestin. Pelbagai pembaharuan dilakukan zaman ini termasuk dalam bidang pentadbiran, pertanian, dan pembukuan Alquran. Bibit-bibit fitnah sudah mula timbul semasa pemerintahan Saidina Ustman dan Saidina Ali dan mereka sendiri dibunuh. Zaman ini juga telah lama meninggalkan kita namun jasa dan pengorbanan mereka mempunyai nilai yang amat tinggi untuk kita hayati serta teladani.

Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit (Mulkan ’Adhan), dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya.

Zaman ini merupakan zaman pemerintahan monarki dan tampuk pemerintahan Islam berjalan sehingga ribuan tahun bermula dengan zaman Umayyah kemudian kerajaan Abbasiyah diteruskan pula oleh kerajaan Uthmaniyyah. Zaman ini merupakan paling lama bermula dari tahun 660 M sehinggalah jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1924 M. kerajaan ini dikenali sebagai kerajaan menggigit kerana pemerintahan diwarisi kepada anak-anak atau kaum kerabat khalifah yang memerintah. Sebagai contoh Khalifah Harun Arrasyid digantikan oleh anaknya Khalifah Almakmun (Zaman Abbasiyah) dan Sultan Murad digantikan oleh anaknya Sultan Muhammad Alfateh (Zaman Uthmaniyyah). Perkembangan ilmu, tamadun, serta teknologi berlaku pada zaman ini. Perluasan wilayah takluk Islam juga berkembang dengan amat pesat semasa era Khalifah ini. Dan zaman ini sudah hampir sekurun meninggalkan kita.
Sejarah pasti berulang

Setelah itu, akan datang masa raja diktator (Mulkan Jabariyyan); dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, baginda diam".(HR. Imam Ahmad)

Kemudian datang satu pemerintahan yang mana pemimpin yang jahil lagi zalim memerintah bermula dengan Mustafa Kamal Attartuk di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir, Ben Ali di Tunisia, Muammar Ghadafi di Libya, Basyar Al Assad di Syiria dan Hosni Mubarak di Mesir. Mereka memerintah berasaskan ketenteraan dan mereka menghukum sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Lihatlah berapa ramai ahli Ikhwanul Muslimin dipenjarakan. Lihatlah juga berapa ramai pejuang IM diusir keluar dari Mesir termasuklah Prof Sheikh Dr Yusof Alqardawi. Zaman ini sedang berlaku dan di ambang kejatuhan. Kita sudah lihat Ben Ali sudah tumpas di Tunisia, Hosni Mubarak sudah tumpas di Mesir, Muammar Ghadafi sudah tumpas di Libya. Kita juga sedang menyaksikan kebangkitan beberapa parti politik Islam di dunia seperti parti An Nahda di Tunisia, Parti Hurriyah wal ‘Adalah (Freedom and Justice Party) yang merupakan sayap IM di Mesir, Parti HAMAS di Palestin, dan Parti AKP di Turki di mana Recep Tayyip Erdogan yang merupakan anak didik Dr Erbakan Necmettin (pengasas Parti Refah) mengepalai Turki sekarang ini. Di Malaysia kita juga boleh lihat parti yang memperjuangkan Islam sedang melakukan transformasi supaya masyarakat yang berbilang bangsa lebih lunak dengan Islam. Nak tahu? Sila kaji sendiri..:)
                                            Celakanya Bashar Al Assad

Persoalan yang ingin saya timbulkan, di saat sahabat serta saudara kita berjuang bertungkus lumus memenangkan Islam, kita di mana? Nabi telah menjanjikan bahawa Rom, Parsi dan Konstantinopel akan jatuh ketangan Muslim dan semua janji Nabi telah terbukti benar. Apakah kita meragukan janji Nabi SAW yang ini?Janganlah.

Islam sudah ingin kembali semula ke puncaknya. kita masih longlai?ayuh bangun.
wallahu'alam.

Tuesday, January 24, 2012

Pantulan Kehidupan...

Salam buat sahabat yang dirahmati Allah sekalian. Semoga kalian dikurniakan ketenangan yang tidak terhingga daripada Allah Azza wa Jalla.
Amma ba’d.

Sedar tidak sedar, sudah tiga minggu kita berada dalam tahun 2012. Bila fikirkan kembali, Ya Allah! Umur saya bakal menginjak ke angka 22. Zaman remaja belasan tahun sudah hampir 2 tahun ditinggalkan namun kadang-kadang saya terfikir masih belum berbuat apa-apa untuk Islam. Imam Hasan Albanna lahir pada tahun 1906 dan pada tahun 1928 beliau menubuhkan Ikhwanul Muslimin (IM). Ini bermaksud beliau sudah benar-benar serius memikirkan permasalahan serta solusi kepada penyakit yang menimpa umat pada umur 22 tahun. Subhanallah wa astaghfirullah. Kita yang baru membawa dua usrah sudah rasa kepenatan. Allahu rabbi.
Apa yang saya perasan, semakin meningkat umur, tanggungjawab itu datang dengan tidak semakin mengecil. benarlah firman Allah: 

“Sesungguhnya kamu tetap melalui tingkatan demi tingkatan (dalam kehidupan)” (84:19)

Sebelum mengembara jauh di bumi Uncle Sam ini, tidak pernah terlintas di benak yang saya akan sibuk dengan ‘perkara’ ini. Kesibukan study itu sudah dijangka kerana memang itu matlamat asal saya dihantar ke sini. Seperti  orang lain sibuk belajar, saya juga belajar namun ada tugasan ‘extra’  yang dikurniakan Allah buat saya. Alhamdulillah saya ucapkan. Kadang-kadang kena mempengerusikan mesyuarat di sini dan kadang-kadang di alam maya, membawa usrah di sini dan alam maya. Kadang-kadang hampir terlupa agenda seharian saya. 

“Yun, bile usrah kite minggu ni? Kat mane?”

“akhi, usrah minggu ni macam biase ke?”

Hampir sangat mesej sedemikian tidak berbalas. Mungkinlah sultan Muhammad Alfateh terlalu jauh untuk kita bandingkan diri kita dengannya. Baginda membuka Konstantinopel pada umur 21 tahun sedangkan kita pada umur 22 tahun masih lembap dalam ‘bergerak’ ataupun tidak bergerak langsung. Tetapi di abad ini, kita boleh lihat Imam Hasan Albanna membuktikan bahawa umur 22 bukanlah umur yang kita boleh lagi berkhayal. Di umur ini, kita seharusnya memikirkan pemantapan diri dan ummah. Kita harus benar-benar bekerja untuk Islam dan tidak lagi bermain-main dalam kehidupan. Cuma, kadang-kadang kita lalai. Astaghfirullah

Sumber ketenangan hanya dari Allah

Ada kawan-kawan yang sudah merancang summer ni hendak ke situ dan ke sini sedangkan saya pula terfikir summer ini, berapa kali saya mesti ulang alik ke sekitar KL dan Selangor untuk program, meeting, dan sebagainya? Walaupun ada lagi lima bulan sebelum tibanya summer, sudah ada ‘tugasan’ untuk saya yang bakal pulang bercuti di Malaysia summer ini, insya Allah. Allahu musta’an. Untunglah kan boleh roadtrip di Malaysia summer ini dan semoga saya berkesempatan..:)

Apapun inilah pantulan kita dalam kehidupan; sejauh mana kita telah bekerja untuk Islam. Alhamdulillah kita masih lagi boleh tidur di katil empuk, makan makanan yang enak, pakai pakaian yang berjenama barangkali. UMUR SUDAH 22 atau UMUR BARU 22?. Kalian tentukan. Saya juga perasan yang saya ambil masa yang lama untuk update blog ini. Saya pun kurang pasti apa puncanya. Adakala fikiran jadi buntu, emosi jadi kaku, jiwa jadi bercelaru dan saat inilah timbul di benak pemikiran “saya perlukan sayap kiri saya”.

Ya Allah, berkatilah kehidupanku di atas jalan yang Engkau Redhai dan sampaikanlah aku dan ahli keluargaku ke syurgaMu untuk bertemuMu dan kekasihMu”

Tawakkal merupakan keajaiban dalam kehidupan seorang mukmin.

Wednesday, January 18, 2012

Mencari Solusi...





“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan” (17:32)

Mencari-cari solusi? Lihat video di bawah


Selamat beramal..:)

Tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan kerana menganjurkan program Taysir Alziwaj (permudahkan pernikahan).Baca di sini.

Saturday, January 14, 2012

Siapa Tuhan Kamu...

Salam buat semua sahabat yang saya kasihi, bagaimana hidup kita hari ini? Semoga semakin hari semakin hampir kepada Allah.
Amma ba’d.

Alhamdulillah kuliah tafseer di RIT semakin ramai minggu ke minggu dan saya berharap agar usaha imam Shaqeer diredhai Allah. Sedikit maklumat; imam Shaqeer merupakan seorang doktor pakar sakit mata di sebuah hospital di Rochester ini. Saya amat mengkagumi usaha beliau dalam mengembangkan dakwah di bumi Uncle Sam ini. Semoga Allah mengurniakan limpahan rahmat, rezeqi dan kasih sayangNya yang tidak terbatas kepada Imam Shaqeer. Inilah kualiti sebagai umat Islam yang mesti kita teladani. Apa guna Degree, Master dan PhD kita andai kita jahil ilmu agama kita sendiri.

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi dari kuliah tafseer minggu ini. Sering kali kita berdoa kepada Allah dengan pelbagai permintaan, rintihan, pengaduan dan rayuan. Saya yakin kita sedar bahawa perkataan yang kita gunakan untuk merujuk kepada Allah adalah Rabb. Sebagai contoh:

“Ya tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka” (2:201)

“Ya tuhan kami, berilah kami beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara yang menyenangkan hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan orang muttaqin” (25:74)

“Ya tuhan kami, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta orang-orang beriman pada hari berlakunya perhitungan amal”(14:41)

“Ya tuhan kami, janganlah Engkau jadian pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir dan ampunkanlah dosa kami wahai tuhan kami, Engkau sahajalah yang maha kuasa lagi maha bijaksana” (60:5)

Banyak lagi doa-doa yang diajar oleh Al Quran, kalau yang berminat untuk menghafal doa-doa dari Al Quran bolehlah klik di sini.

Kesemua doa-doa tersebut bermula dengan Rabbana. Kalimah Rabb digunakan bagi merujuk kepada tuhan. Insya Allah selepas kita tahu maksud sebenar Rabb ini, doa kita akan lebih bermakna dan mudah-mudahan kita lebih khusyuk ketika berdoa. Rabb mempunyai tiga maksud:

Maksud Rabb yang pertama adalah yang memiliki secara mutlaq (the total and complete owner). Apa maksud yang memiliki secara mutlaq ini? Katakanlah kita ada iPhone 4, adakah kita tahu segala-galanya tentang iPhone 4 tersebut? Kita mungkin tahu bagaimana menggunakannya, tapi kita mungkin tidak tahu bagaimana system itu bekerja. Kita juga tidak tahu untuk membaikinya andai gadget tadi rosak. Setiap komponen iPhone 4 seperti casing, screen dan sebagainya pula dicipta daripada bahan asas (raw material). Namun kalimah Rabb ini bermaksud Allah menciptakan sesuatu daripada tiada dan Dia maha mengetahui apa yang terdahulu dan terkemudian, apa yang tersembunyi serta yang dizahirkan. Allah juga boleh menyesatkan kita serta memberi kita taufiq dan hidayah. Allah juga boleh memuliakan kita serta menghinakan kita, Allah juga boleh mengkayakan kita serta boleh menjadikan kita miskin. Atas sebab ini, ada satu hadith qudsi:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal,nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta,nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Jadi apabila berdoa, yakinlah Allah akan memaqbulkan doa kita serta bertawakkallah.

Maksud Rabb yang kedua ialah , hanya satu-satunya (the one and only) yang layak dipatuhi dan disembah (the one who deserves to be obeyed and worshipped). Hanya Allah zat yang layak disembah dan ditaati dan tidak boleh dipersekutukan dengan apa-apa jua. Baik percakapan kita, perbuatan kita, pembawakan kita, semuanya tidak menjadikan kita terjerumus ke lembah syirik. Atas sebab ini, ketika kita gembira ucaplah Alhamdulillah dan apabila ditimpa musibah sebutlah innalillahi wainna ilaihi raji’un. Ingatlah tempat s kembali segala perkara hanyalah kepada Allah.

“..Cukuplah Allah untuk menolong kami dan Dialah sebaik-baik pengurus yang terserah kepadaNya segala urusan kami” (3:173)

Maksud Rabb ketiga adalah, pemelihara, pembekal serta pentadbir alam ini (sustainer, provider and maintainer). Haruslah kita meyaqini bahawa segala apa yang kita dapat adalah pemberian dan anugerah daripada Allah jalla wa’ ala. Maka, patutkah kita kufur atas segala pemberian dan kurniaan Allah itu? Ingatlah segala yang kita kecapi hari  ini adalah daripada Allah; semuanya akan ditanya. Tentang harta kita; yang halal akan dihisab dan yang haram akan diazab, beringatlah.  Tanpa pemberian Allah, kita tidak punya apa-apa.

Jadi, inilah sedikit sebanyak ilmu yang mampu saya kongsikan untuk kali ini. Harapan saya, sahabat yang membaca artikel ini dapat menyebarkannya baik dalam usrah, kepada kawan-kawan, sanak saudara serta orang yang kita temui, mudah-mudahan saya mendapat saham di akhirat kelak. Apabila kita faham maksud Rabb ini, mudah-mudahan kita dapat hayati maksud semasa memanjatkan doa kepada Allah.
Wallahua’lam.

Imam Shaqeer said, RIT should be Rochester Institute of Tafseer.Allahu Akbar..:)
Dakwah itu indah dan harum

Wednesday, January 11, 2012

Apabila Bukan Ahlinya Berbicara...

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Akan datang kepada manusia di akhir-akhir zaman di ambang kemunculan dajjal itu tahun-tahun yang menipu.Pendusta akan dianggap benar, dan orang yang berkata benar akan dianggap sebagai pendusta. Pengkhianat akan dipercayai, dan pada masa itu orang-orang yang benar akan dikhianati. Dan pada masa itu juga akan berkata golongan Ar Ruwaibidhah. Siapakah golongan Ar Ruwaibidhah itu, para sahabat bertanya. Baginda Sollallahua’laihiwassalam menjawab: orang yang bodoh bercakap tentang urusan orang ramai” (Riwayat Imam Ahmad)

Hadith di atas saya naqalkan daripada apa yang dibacakan oleh Ustaz Hasrizal sendiri. Saya suka pada bahagian akhir hadith ini “Orang yang bodoh bercakap tentang urusan orang ramai”. Saya tidak cuba mentafsir hadith ini kerana saya bukan ahli hadith Cuma apabila terdengar hadith ini saya memikirkan tentang keadaan zaman sekarang. Pada hari ini ramai orang cuba bercakap tentang sesuatu perkara yang dia bukan ahli tentangnya. Contoh mudah saya boleh bagi, seorang perempuan yang tidak pandai main bola, hanya meminati pasukan tertentu cuba mengkritik pemain itu tidak pandai ambil free kick, pemain itu tidak pandai ambil penalty kick,pemain itu tidak tahu passing dan sebagainya. Lagaknya kalah pemain yang dikritiknya tetapi pada hakikatnya dia hanyalah seorang kaki bangku.

Contoh lain yang saya boleh bagi adalah, kita baca berita tertentu di akhbar tentang seseorang melakukan jenayah. Hanya dengan secebis berita yang kita baca, kita sudah melampau dalam membuat kesimpulan mengatakan penjenayah itu bersalah dan memang patut dihukum dengan hukuman yang berat. Untuk mendalami contoh ini, berita yang biasa kita dengar; seorang lelaki ditangkap kerana mencuri makanan di sebuah pasaraya yang berjumlah RM300. Lelaki itu dikenakan penjara selama enam bulan.
Lalu kita yang membacanya terus membuat kesimpulan:

“padan muka.itulah jahat sangat, apa kejadah makanan pun nak curi. Tak tahu ke makanan yang dia makan itu haram, nanti jadi darah daging.lepas tu bagi pulak anak bini makan.haih, tak tahulah apa nak jadi masyarakat sekarang”

Terlalu mudah kita menohmah orang berdasarkan secebis berita yang kita baca. Padahal, mungkin lelaki tersebut terdesak untuk memberi anak dan isteri makan kerana dia baru sahaja di buang kerja. Hendak minta tolong kepada jiran tetangga, masing-masing pun ada perkara yang perlu diuruskan. Ini mungkin berlaku dalam konteks masyarakat setempat.
Bagaimana kamu memandang diri kamu

Dalam konteks organisasi atau pertubuhan tertentu, kadang-kadang ‘orang luar’ organisasi atau pertubuhan tersebut cuba menjadi hero berbicara mengenai konflik dalaman pertubuhan tersebut seolah-olah dia tahu segalanya apa yang terjadi. Inilah yang terjadi dalam masyarakat Malaysia yang saya lihat sekarang. Ia bukan gejala yang sihat dan merupakan petunjuk bagaimana masyarakat kita lebih suka menjaga tepi kain orang berbanding jaga hal-hal sendiri. Kalau hal itu menyalahi syariat, boleh la ditegur dan dinasihati tetapi kalau ia hanya melibatkan salah faham atau masalah teknikal, maka tidak perlu ‘orang luar’ sibuk condemn atau nak mengkritiknya. Sekadar pandangan.
Wallahua’lam

P/S: Insya Allah pada 3-4 Mac nanti MySA (Malaysian Students Association) RIT di bawah biro kebajikan akan mengadakan program “The Miracle of All Miracles” yang akan diadakan khusus untuk pelajar-pelajar RIT sahaja. Speaker, Ustaz Salahudin, orang Indonesia merupakan seorang pensyarah Theology di State University of New York (SUNY) *maaf saya lupa SUNY cawangan mana. Makanan disediakan dan program ini percuma (tidak dikenakan sebarang bayaran). Semua pelajar RIT dijemput hadir..:)

Untuk bacaan tambahan, klik di sini

Thursday, January 5, 2012

Kita Pemuda & Pemudi Itu...


Salam sahabat-sahabat semua, semoga kita dikurniakan hidayah dan taufiq agar kekal dalam Deenul Haq, Islam.
Amma ba’d.

Alhamdulillah cuti yang masih berbaki lagi beberapa hari ini akan diisi dengan perkara yang bermanfaat. Alhamdulillah a’la kulli hal atas rahmat, nikmat serta kesempatan yang dikurniakan Allah Ar Rahim untuk bertemu ikhwah dari seluruh pelosok US serta dapat berjalan-jalan tadabbur alam di Las Vegas,Nevada serta beberapa tempat di California.
Golden Gate Bridge, San Francisco, California

Dalam kesibukan kita berprogram, masih sempat lagi kita membaca beberapa isu yang berlaku. Bermula dengan perkahwinan sejenis yang terjadi di Dublin, Ireland kemudian berlaku demontrasi dalam kalangan mahasiswa di Malaysia disusuli pula dengan dikatakan seorang pelajar cemerlang SPM suatu ketika dahulu terjebak dengan perkara-perkara liar. Astaghfirullahal A’zim, kita yang membaca jadi pening dan kadang-kadang pelik dengan apa yang berlaku. Sedar atau tidak, kesemua perkara itu jika tidak terlibat secara langsung pasti ada sedikit persamaan antara kita dengan mereka yang terlibat; kesemua mereka adalah remaja yang berumur antara 20-an ke 30-an.Ya mereka dan kita ada persamaan. Dalam fatrah (fasa) umur ini, saya akui kita masih mencari identiti diri kita yang sebenar. Ya, kita sedar kita muslim tetapi kadang-kadang duniawi ini terlalu indah sehingga melekakan kita daripada tanggungjawab sebenar.

Di sini saya suka untuk membincangkan  tanggungjawab kita selaku pemuda dan pemudi Islam. Setelah usrah demi usrah, tamrin ke tamrin, daurah ke daurah tetapi masih lagi ada saki baki jahiliyah dalam diri kita. Jadi, marilah sama-sama kita renungkan semasak-masaknya tanggungjawab pemuda dan pemudi Islam yang telah digariskan oleh Profesor Shiekh Dr. Yusof Alqardawi.

1) Memahami Islam Secara Jelas

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan buatnya, Allah akan memfaqihkan dia dalam agama”

Memahami Islam secara jelas adalah substance penting untuk menghilangkan kekeliruan dalam tindakan dan pemikiran kita. Selalu kita terdengar statements:

“ala aku tak bertudung pun tapi still solat penuh lima waktu dan baca al quran. Ok what.”

“ala dia tu nampak macam ustaz, pakai kopiah dan jubah bagai, akhlaq hampeh. Baik aku lagi”

Kenyataan-kenyataan ini, menunjukkan kekeliruan sesetengah sahabat kita dalam menjalani kehidupan sebagai muslim. Alquran dan Assunnah itu mesti diambil secara kaffah (keseluruhan) tanpa ragu. Jadi, pergilah menuntut dengan guru yang mursyid demi mendapat ilmu yang sahih.

2) Mengamalkan Islam Yang Sahih

Suka saya tegaskan sekali lagi, Islam bukanlah agama dogmatic tetapi kesemuanya datang dengan dalil dan hujah. Perlembagaan yang kita junjung adalah Alquran dan Assunnah. Syarat diterima amal seseorang adalah niat yang ikhlas kerana Allah dan mengikut syariat. Jadi, perlunya kita untuk merantau menuntut ilmu dengan guru yang kita kenali sebagai guru yang baik dan benar pengamalannya. Banyak dalam masyarakat kita sering keliru antara adat dan ibadat. Sering kali adat walaupun bercanggah dengan syariat dikatanya ibadat. Hati kita perlu dididik agar membuahkan amal yang soleh. Akhlaq seorang muslim adalah ‘mukjizat’ bagi melunakkan hati orang sekeliling.

3) Memelihara Ukhuwah Islamiah

Dalam memelihara ukhuwah Islamiah, dua elemen penting yang perlu diambil perhatian adalah salamatus sodr (berlapang dada) dan husnu dhan (bersangka baik). Kita muslim bukannya penghukum tetapi penyeru kearah jalan al haq dan taqwa. Maka,jangan terlalu mudah membuat kesimpulan dalam sesuatu perkara. Harus kita dalami sesuatu perkara berdasarkan sumber-sumber yang sahih. Ukhuwah adalah perkara tunjang untuk memelihara keharmonian hubungan sesama muslim dan masyarakat sekitar.

4) Melaksanakan Amar Maa’ruf & Nahi Munkar

Mengajak kepada kebajikan dan mencegah daripada kemungkaran merupakan aspek penting untuk melihat sebuah masyarakat islami dan masyarakat tarbawi. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110:

“Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala kebajikan  dan mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar keimanan). Dan kalaulah ahli kitab itu beriman, tentulah hal itu menjadi baik bagi mereka tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq” (3:110)

Apabila keempat-empat perkara ini sudah lengkap, kata Sheikh Yusof Alqardawi, ianya petanda kepada kemenangan Islam semakin hampir.

Jadi, harapan besar kita agar garis panduan ini dijadikan titik mula tahun 2012. Insya Allah harapan saya untuk diri saya dan sahabat-sahabat yang saya kasihi agar kita dapat menguatkan tekad dan semangat untuk semakin laju melangkah dalam kehidupan. Saya berdoa agar saya dan sahabat-sahabat dihimpunkan dalam jannah Allah sebagaimana kita di dunia hidup di bawah bumbung langit yang sama.
Wallahu’alam.


P/S: Terjumpa lagu ini di playlist blog Hanisah, terus teringat kampung. Barakallahulakuma untuk Kak Long saya yang akan berkahwin pada 22 January ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati Kak Long dan bakal keluarga sehingga ke syurga.

Tuesday, December 20, 2011

Pandanglah Di Sekelilingmu...


Salam buat sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Hidup dalam dunia arus globalisasi memerlukan kita menyediakan diri kita dengan perisai taqwa. Taqwa bicaranya mudah tetapi mencapai darjat taqwa sangat sukar namun ia suatu yang tidak mustahil. Semoga Allah mengurniakan sifat taqwa dalam hidup kita agar segala tindak tanduk kita tidak tersasar daripada Alquran dan Assunnah.
Amma ba’d.

Berbicara mengenai taqwa, semalam dalam usrah memang kami mengupas tentang perihal taqwa. Pernah semasa zaman pemerintahan Saidina Umar Alkhattab diceritakan ada seorang perempuan bernama Khaulah binti Tsa’labah. Perempuan ini seorang yang sangat tua. Suatu ketika sedang Saidina Umar berjalan bersama para sahabat, Khaulah duduk di sisi jalan dan merenung tajam Saidina Umar. Kemudian dia menghampiri Amirul Mu’minin sambil menarik jubah Saidina Umar lalu dia berkata:

“Wahai Umar, aku kenal engkau sejak engkau lahir lagi. Kemudian engkau membesar sebagai pemuda yang gagah dalam kalangan bani tamim, engkau seorang yang sangat digeruni. Waktu muda, engkau sangat benci kepada nabi Muhammad SAW dan engkau orang yang begitu keras terhadapnya. Kemudian engkau menjadi mulia dengan sebab Islam dan Islam menjadi mulia dengan sebab engkau dan sekarang engkau dilantik menjadi Amirul Mu’minin. Hanya satu pesanan aku kepada engkau, Ittaqullah (bertaqwalah) engkau kepada Allah”

Lalu seorang sahabat berkata kepada Khaulah binti Tsa’labah ini:

“ Wahai makcik, tahukah dengan siapa makcik bercakap?”

Saidina Umar terdengar pertanyaan itu daripada sahabat itu lalu menghampiri sahabat tersebut lalu berkata:

“Sebelum engkau bertanyakan makcik ini siapa aku, aku ingin bertanyakan kepada engkau. Kenalkah engkau tentang makcik ini? Dia adalah Khaulah binti Tsa’labah yang mana setiap seruannya didengari Allah”

Saidina Umar tertunduk mengenangkan nasihat yang sangat ringkas namun mengandungi makna yang cukup mendalam diberikan oleh Khaulah. Subhanallah, bagi orang yang ikhlas mencari redha Allah akan sentiasa bertaqwa sama ada ketika beramai-ramai mahupun bersendirian.

Sebenarnya bukan perihal taqwa yang ingin saya sampaikan tetapi untuk kali ini saya ingin membicarakan mengenai kebersihan. Pernahkah kita terfikir kenapa kadang-kadang kita solat, puasa, berdoa, dan melakukan segala perintah Allah baik yang sunat mahupun wajib tetapi merasakan tiada perubahan baik dari segi peningkatan amal, akhlak dan produktiviti kita?

Saya masih ingat semasa di awal tingkatan empat dan ketika saya masih belum berpindah ke KISAS, saya sempat belajar di sekolah lama saya di Nibong Tebal selama sebulan. Dalam satu kelas iaitu kelas Bahasa Melayu ini diajar oleh seorang cikgu perempuan yang sangat tegas, kemas, berdisiplin, tersusun, dan sangat menjaga adab-adab ketika menuntut ilmu. Macam biasa, ketika beliau masuk semua pelajar akan berdiri untuk bagi salam dan baca doa. Namun sebelum beliau benarkan kami duduk semula, beliau suruh kami lihat sekeliling. Kami melihat dengan pandangan yang kosong. Lalu beliau berkata:

“Nampak tak sampah sekeliling kamu? sebelum kamu duduk, saya mahu kamu bersihkan kelas ini. Buang sampah sekeliling kamu dalam tong sampah. Ambil sampah dalam meja kamu dan buang, sapu lantai, lap tingkap, bersihkan meja guru, padam semua contengan di atas meja kamu, betulkan pakaian, tali leher dan kasut kamu.”

Bayangkan masa kelas selama sejam itu sudah diambil selama setengah jam untuk membersihkan kelas. Selepas selesai membersihkan kelas, beliau berkata:

“bila diri dan sekeliling kamu bersih, barulah rahmat Allah turun dan ilmu yang kamu dapat akan menjadi berkat dan mudah masuk. Baik, sila duduk semua”

Subhanallah, kadang-kadang kita membicarakan bab-bab besar; baitul muslim, daulah islamiyah, ustaziatul alam tetapi bab yang paling asas bagi individu muslim ini masih belum selesai. Saya tidak kata salah kalau nak membicarakan bab yang ‘berat’ ini tetapi tolong pastikan bab kebersihan dan kekemasan diri ini betul-betul kita amalkan. 

“Kita mesti menegakkan daulah Islamiyah”

“Kerajaan Sekular mesti kita tumbangkan”

Ya akhi, ya ukhti bilik kita sudah bersih dan kemaskah? Bagaimana pula dengan tandas dan dapur? Pinggan mangkuk dah berbasuh dan tersusunkah? Bagaimana susun atur perabut di ruang tamu?
 Katil Ainuddin yang sentiasa kemas

 Meja study Suhaimi yang tersusun
 Biar teratur
 Bujang tak semestinya serabut
 Dapur kami yang bersih

 Ruang tamu yang kemas

Ini belum beristeri/bersuami dan beranak pinak lagi. Ingatlah wahai sahabat, kekemasan dan kebersihan merupakan elemen atau ciri penting bagi seorang muslim. Sebab itu saya cuba kalau di luar saya akan pakai pakaian yang simple tetapi kemas kerana kita muslim ada izzah (kemuliaan) supaya dapat dicontohi dan dipandang mulia oleh masyarakat non muslim. Semoga Allah memberi taufiq dan hidayahNya kepada kita untuk beramal.
Wallahua’lam.

P/S: Housemates saya semuanya sudah berangkat ke Las Vegas sebab diorang pergi naik bas dan tinggallah saya keseorangan kat rumah ni. Insya Allah flight saya esok. Jadi mohon doa sahabat-sahabat pengunjung dan pembaca blog ini supaya doakan perjalanan kami selamat pergi dan selamat kembali..:)
 Off from Rochester for two weeks
Will be missing my home

Sunday, December 18, 2011

Asal Kita Segumpal Darah...

Salam semua, Alhamdulillah segala puji hanya layak untuk Allah jalla wa a’la, tuhan yang telah menganugerahkan segala rahmat dan kasih sayangNya kepada semua makhluk.
Amma ba’d.

Kita sering mengimpikan perkara-perkara mahal dalam kehidupan kita seperti kereta mewah, rumah banglo, makanan sedap dan pakaian yang mahal lagi berjenama tetapi kita lupa bahawa semua perkara itu adalah kesenangan yang memperdaya. Sebenarnya ada perkara yang lagi mahal jika hendak dibandingkan dengan perkara-perkara di atas; itulah iman dan islam yang ada dalam diri kita sekarang. Walaupun tanpa rumah besar, kita masih ada tempat untuk berteduh daripada hujan dan panas. Tanpa kereta mewah, kita masih mempunyai kenderaan untuk sampai ke destinasi kita. Tanpa pakaian yang mahal kita masih mampu memakai pakaian yang menutup aurat kita. Namun, tanpa iman dan Islam kita hilang panduan dan pedoman, hidup dalam kegelisahan dan tiada arah tuju. Oleh itu, peganglah Islam yang kita ada sekarang ini walaupun harganya sehingga nyawa menjadi taruhan.

Hari ini (sabtu), Alhamdulillah saya dan sahabat-sahabat di sini diberi peluang oleh Allah untuk menghadiri kuliah tafsir mingguan oleh Imam Shaqeel. Sebenarnya kuliah ini bermula dari minggu lepas dan memang kami sudah menghadirinya sejak minggu lepas lagi tetapi atas faktor masa (exam dan perkara lain) jadi saya tangguhkan dahulu cerita pasal kuliah tafsir ini. Imam Shaqeel mulakan dengan tafsir surah Al Alaq ayat satu hingga lima.

“(Wahai Muhammad!) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (seluruh makhluk). Ia telah menciptakan manusia dan segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Ia mengajar mauusia apa yang tidak diketahuinya.” (96:1-5)

Lafaz Iqra’ dalam surah ini adalah kata perintah (fi’il amr). Di sini kita harus bezakan antara request dan command. Jika ianya request, kita ada pilihan sama ada ingin buat atau tidak tetapi apabila ianya command, kita tidak ada pilihan. Mahu atau tidak, kita mesti buat.

Saya sebenarnya tertarik dengan pengajaran di sebalik penurunan ayat ini. Pertama, ketika malaikat Jibril menurunkan ayat ini lalu menyuruh nabi membaca, lalu jawab Nabi Muhammad SAW bahawa baginda tidak tahu membaca lalu dipeluk oleh malaikat dengan kuat dan perkara ini terjadi sebanyak tiga kali. Ketika nabi dipeluk, nabi merasa gementar yang amat sangat dan kesukaran untuk bernafas. Ini menunjukkan bahawa apa yang nabi terima dan tugas nabi selepas ini amat sukar dan terbeban. Inilah tugas dakwah dan apa yang paling penting, perkara berat inilah yang Rasulullah SAW wariskan kepada kita selaku Muslim.

Ketika Rasulullah SAW pulang lalu bagnda berkata kepada Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama dan paling dikasihi baginda, “zammilooni” (selimutkan aku) dalam keadaan baginda berwajah pucat lesi dan gementar. Lalu Saidatina Khadijah menyelimut baginda sambil menenangkan baginda. Saidatina Khadijah juga menyuruh baginda bertemu dengan sepupunya , waraqah bin naufal, seorang ahli kitab yang sahih.Pengajaran di sini adalah, seorang isteri merupakan sumber inspirasi dan kekuatan kepada perjuangan seorang suami. Tanggungjawab seorang lelaki dalam lapangan dakwah memang berat, terutama bagi yang sudah berada dalam Jemaah. Atas sebab ini isteri sebagai sayap kiri kepada sang suami dan sumber inspirasi kepada perjuangan suami.


Kemudian Rasulullah SAW pergi berjumpa dengan waraqah bin naufal. Di sana ketahuilah baginda bahawa baginda akan dilantik menjadi Rasul kepada umat akhir zaman. Di sini, ibrah yang dapat kita ambil adalah, kita hendaklah pergi merujuk kepada orang yang tahu jika kita tidak tahu.

Subhanallah, kadang-kadang saya rasa terlalu besar nikmat Allah kepada kami warga Rochester; dikurniakan komuniti muslim yang baik, duduk dalam persekitaran kampong yang aman dan tenang, dan apa yang penting program-program islamik di sini subur. Alhamdulillah. Apapun semuanya terpulang kepada diri masing-masing untuk merebut peluang keemasan ini ataupun tidak. Tiada hujah lagi di hadapan Allah bahawa “oh, aku tak dapat hidayah lagi” sedangkan sumber-sumber hidayah terlalu banyak di sekeliling kita.
Wallahu’alam.

P/S: insya Allah lagi tiga hari saya dan sahabat-sahabat dari Rochester (39 orang) akan bertolak ke Las Vegas bagi menghadiri muktamar MISG di sana. Ada yang naik flight dan ada yang naik bas tetapi apa yang paling penting, kami semua selamat pergi dan selamat pulangn ke Rochester yang kami sayangi...:)

Sunday, December 11, 2011

Secebis Kenangan Untuk Dikongsi...

Salam buat semua, ucaplah syukur kepada Allah atas segala nikmatNya yang kita terima. Sesungguhnya itulah yang selayaknya dilakukan oleh seorang hamba.
Amma ba’d.

Hidup kita tidak selalunya indah tetapi kepayahan itulah menjadikan kehidupan kita indah. Kelmarin (Sabtu), Alhamdulillah saya dan beberapa pelajar RIT menyertai satu community service  di St. John Home di Highland Avenue, Rochester. Tempat ini dihuni oleh orang-orang tua yang kebanyakannya menghidap penyakit Alzheimer. Kami pergi ke sana pada pukul 1.30 petang. Kebetulan setiap hari sabtu memang mereka (penghuni) akan bermain satu permainan dinamakan Bingo. Ada daripada kami membawa epal sebagai buah tangan. Kami menyantuni mereka dengan bermain sekali permainan tersebut dengan mereka. Saya bukanlah hendak menceritakan tentang apa yang kami buat disitu tetapi saya lebih suka untuk berkongsi pengalaman semasa saya di sana. 

Rata-rata penghuni di situ berusia lewat 80 an dan ada yang sudah mencecah umur 104 tahun. Melihat muka mereka seorang demi seorang, ada yang ceria dengan kedatangan kami tetapi kebanyakannya kelihatan sangat sugul seolah-olah hidup ini tidak ada harapan lagi. Saya ada bertanya seorang mak cik di situ tentang keluarganya. Katanya 50 tahun dahulu dia berkahwin dengan seorang peladang dan mereka tinggal di ladang tersebut dan dikurniakan 6 orang anak. Saya bertanya kepada mak cik tersebut tentang anak-anaknya, katanya tiga masih di Rochester dan yang lain-lain ada di Colorado, Tennessee, dan ada di Massachusetts; dia   ada 14 orang cucu dan tiga orang cicit. Sejak kematian suaminya dia berpindah ke rumah orang-orang tua tersebut. Saya Cuma terfikir seorang ibu mampu memelihara kehidupan enam orang anaknya tetapi tidak ada seorang pun yang mampu memelihara ibu mereka yang seorang. Tiba-tiba datang seorang wanita tua tetapi kelihatan lebih muda daripada mak cik tadi, rupanya dia adalah anak mak cik tadi. Kehadirannya sedikit sebanyak mengubah persepsi saya; mungkin dia menghantar ke tempat tersebut kerana prasarana (facilities) lebih lengkap bagi orang-orang seperti ibunya (penghidap Alzheimer). Anaknya memang melawat mak cik tersebut setiap minggu. Memang tidak dinafikan bahawa setiap bilik di rumah tersebut seolah-olah hotel tiga bintang dilengkapi tandas, katil, tv dan sebagainya. Anak mak cik tadi ada juga bertanya asal saya, jawab saya dari Malaysia dan sungguh beruntung dia tahu tentang Malaysia (jarang warga Amerika tahu tentang Malaysia), katanya dia ada kawan di Singapura. Dia juga ada bertanyakan sama ada Malaysia terkena tsunami atau tidak semasa tahun 2004.
 di tengah itu adalah anak mak cik berbaju biru itu.

Kadang-kadang punca yang menyebabkan mereka berada di situ mungkin disebabkan kehidupan mereka semasa muda; mengamalkan gaya hidup bebas, tidak berkahwin, lari dari keluarga dan sebagainya. Apabila tua, tiada siapa yang peduli akan nasib mereka lalu menyebabkan mereka menghuni di situ. Islam datang dengan membawa syariat yang menjamin kesejahteraan hidup kita selaku manusia. Islam menyruh berkahwin bagi memelihara nasab keturunan manusia, Islam menyuruh kita mentaati dan mengenang jasa ibu bapa atas segala pengorbanan yang mereka lakukan, Islam menyuruh kita mendidik anak-anak agar patuh perintah Allah, RasulNya serta kedua ibu bapa. Kalau kita mentaati dan menghayati serta mengamalkan Islam, masa tua kita insya Allah terjamin kesejahteraannya.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan.sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”(Al Baqarah:208)

Inilah secebis kenangan untuk dikongsi bersama para sahabat. Saya memandang ke hadapan untuk menyertai lagi community service sebegini supaya saya sedar saya adalah manusia yang beruntung.

“what are you studying honey?”

“erm.Biotechnology”

“oh.that’s too smart for me and even I can’t spell that”

Kenangan semalam mengingatkan saya kepada nenek saya di kampung yang umurnya hampir menjengah 80 tahun. Oh rindunya Malaysia.
 kenapa bayang-bayang tu nampak gemuk.:P

tatkala senja berlabuh di RIT. Subhanallah